Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 6/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 5/6)
HUKUM HAYAT (Bahagian 1/11)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 6/6)
2020-09-07 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (132)

Nota Editor:

“Sampai di sini kita dapat membuat beberapa kesimpulan: Pertama, penyelamatan Tuhan berbeza daripada pembaikan diri manusia...Kedua, penyelamatan Tuhan bukanlah menjadikan kita manusia baik tetapi menjadikan kita manusia hayat...Ketiga, kita yang telah diselamatkan oleh Tuhan seharusnya hidup dalam Tuhan...Keempat, matlamat penyelamatan Tuhan ialah penyatuan Tuhan dan manusia.”

“Terdapat dua butir lagi dari aspek subjektif. Pertama, kita harus menyentuh perasaan di dalam, iaitu mematuhi perasaan di dalam. Kedua, kita harus hidup dalam persekutuan. Persekutuan ialah pengaliran hayat. Hidup dalam persekutuan bererti hidup dalam pengaliran hayat. Dua butir ini membolehkan kita mempunyai pengalaman hayat secara praktikal.”

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM
(Bahagian 6/6)

(Pengetahuan Hayat, Bab 9)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 7:22 “Kerana menurut manusia dalaman, aku gemar akan hukum Tuhan.”

Roma 7:23 “Tetapi aku melihat satu hukum yang lain dalam anggota-anggotaku, berperang menentang hukum mindaku dan menjadikan aku tawanan kepada hukum dosa yang ada dalam anggota-anggotaku.”

Roma 8:2  “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

D. Sifat dan Fungsi bagi Empat Hukum (samb.)

Oleh yang demikian, kita dapat melihat dengan jelas bahawa hukum Tuhan di luar mengenakan tuntutan pada kita, dan hukum kebaikan dalam sukma kita ingin memenuhinya. Namun hukum dosa dalam tubuh kita berada di antara dua hukum ini — hukum Tuhan di luar dengan hukum kebaikan dalam sukma kita — untuk mengadang dan menghalang kita agar hukum kebaikan dalam sukma kita tidak dapat memenuhi tuntutan hukum Tuhan di luar seperti yang diingininya. Tubuh kita mengepung sukma kita, maka hukum dosa dalam tubuh juga mengepung hukum kebaikan dalam sukma kita dan lebih kuat daripada hukum kebaikan dalam sukma kita. Oleh itu, sangat sukar bagi hukum kebaikan dalam sukma kita mengatasi hukum dosa dalam tubuh kita untuk merempuh pengepungannya dan memenuhi semua tuntutan hukum Tuhan di luar kita. Namun begitu, hukum Roh hayat dalam roh kita lebih kuat daripada segala-galanya; dengan itu, hukum Roh hayat dapat mengatasi hukum dosa dalam tubuh kita dan menyelamatkan kita daripada pengepungan hukum ini supaya kita dapat memenuhi semua tuntutan hukum Tuhan.

Kita boleh menggunakan satu ilustrasi lagi di sini untuk menerangkan hubungan empat hukum ini dengan kita. Hukum Tuhan di luar adalah seperti seorang lelaki terhormat yang melamar kita, manakala hukum kebaikan dalam minda kita adalah seperti seorang gadis berakhlak mulia yang menerima lamaran ini. Akan tetapi, hukum dosa dalam anggota-anggota kita adalah seperti seorang penjahat yang selalu mengekori gadis ini dan cuba menimbulkan masalah antara dia dengan lelaki itu. Ketika dia melihat gadis ini hendak menerima lamaran lelaki itu, dia pun menculik gadis ini dan memaksa dia melakukan perkara yang tidak menurut kemahuan atau keinginannya. Pada ketika ini, hukum Roh hayat dalam roh kita, bagaikan seorang malaikat dari syurga, menyelamatkan gadis ini daripada penjahat itu dan membolehkan dia menerima lamaran lelaki itu dan mencapai hasratnya. Akhirnya, gadis ini mendapati bahawa rupa-rupanya malaikat dari syurga ini diwakili oleh lelaki itu. Oleh yang demikian, dengan membolehkan gadis itu menerima lamaran lelaki itu, malaikat itu sebenarnya membolehkan gadis itu memenuhi hasrat hatinya sendiri.

Daripada ilustrasi ini kita dapat melihat bahawa meskipun hukum Tuhan di luar kita mengenakan tuntutan pada kita, tetapi hukum Tuhan tidak berupaya membolehkan kita memenuhi tuntutannya. Sungguhpun hukum kebaikan dalam minda kita ingin memenuhi tuntutan hukum Tuhan di luar, namun hukum kebaikan tidak berupaya mengatasi hukum dosa dalam anggota-anggota kita yang menentang itu. Tambahan pula, hukum dosa ini selalunya mengekori hukum kebaikan. Ketika hukum dosa melihat bahawa hukum kebaikan hendak memenuhi tuntutan hukum Tuhan, hukum dosa pasti akan mengganggunya dan menghalangnya daripada menggenapi hasratnya. Akan tetapi, hukum Roh hayat dalam roh kita, iaitu penyelamatan yang diberikan Tuhan kepada kita dan mempunyai kudrat hayat Tuhan yang perkasa, dapat membebaskan kita daripada hukum dosa, dan dengan itu membolehkan kita memenuhi semua tuntutan hukum Tuhan dan menghidup keluar hayat divin Tuhan. Jika kita hidup menurut hukum Roh hayat ini, kita akan diselamatkan daripada hukum dosa dalam anggota-anggota kita dan menjadi orang Kristian yang menang secara spontan. 

KESIMPULAN 

Sampai di sini kita dapat membuat beberapa kesimpulan: Pertama, penyelamatan Tuhan berbeza daripada pembaikan diri manusia. Pertama sekali, asalnya tidak sama. Pembaikan diri manusia adalah berasaskan kebaikan manusia yang asal, iaitu virtu terang, kesedaran nurani, keterangan batin dan sebagainya, manakala penyelamatan Tuhan adalah berasaskan hayat Tuhan dan Roh Tuhan, iaitu Roh hayat. Kedua, kaedahnya tidak sama. Pembaikan diri manusia menggunakan cara kekuatan manusia, menyeksa tubuh, dan mengekang nafsu untuk merangsang kebaikan dalam manusia. Penyelamatan Tuhan pula meletakkan Roh-Nya dan hayat-Nya ke dalam roh kita demi menghidupkan roh kita, kemudian memulakan kerja pembaruan dari roh kita, dengan mula-mula sekali memperbarui setiap bahagian dalam roh kita, kemudian memperbarui setiap bahagian dalam sukma kita, dan akhirnya memperbarui setiap bahagian dalam tubuh jasmani kita. Ketiga, hasilnya tidak sama. Hasil bagi pembaikan diri manusia cumalah kebaikan manusia yang terunggul, dan pembaikan ini tidak dapat menyebabkan manusia menghidup keluar standard divin bagi sifat Tuhan. Hasil bagi penyelamatan Tuhan pula ialah kita menjadi Tuhan-manusia, menghidup keluar hayat divin Tuhan.

Kedua, penyelamatan Tuhan bukanlah menjadikan kita manusia baik tetapi menjadikan kita manusia hayat. Dalam alam semesta terdapat tiga golongan manusia secara keseluruhan: Tuhan-manusia, manusia baik, dan manusia jahat. Penyelamatan Tuhan bukanlah untuk menjadikan kita manusia jahat atau manusia baik, tetapi manusia hayat.

Ketiga, kita yang telah diselamatkan oleh Tuhan seharusnya hidup dalam Tuhan. Tuhan ialah hayat, dan penyelamatan Tuhan ialah kita menjadi manusia hayat. Hayat ialah Tuhan; menjadi manusia hayat bererti menjadi Tuhan-manusia. Demi menjadi manusia sedemikian, kita harus hidup dalam Tuhan. Namun hidup dalam Tuhan ialah satu doktrin yang kabur. Jika kita ingin hidup dalam Tuhan, maka kita harus hidup dalam hukum Roh hayat. Ini menuntut kita hidup dalam roh kerana hukum Roh hayat berada dalam roh. Ini juga menuntut kita hidup dalam perasaan hayat kerana perasaan hayat ialah perasaan bagi hukum Roh hayat. Sekiranya kita mematuhi perasaan hayat, kita semestinya meletakkan minda pada roh dan hidup dalam roh. Sekiranya kita meletakkan minda pada roh, kita tentu hidup dalam hukum Roh hayat. Apabila kita hidup dalam hukum Roh hayat, kita hidup dalam Tuhan. Hasilnya, apa yang kita hidup keluar ialah Tuhan sendiri. Tuhan ialah hayat, maka apa yang kita hidup keluar ialah hayat, dan kita menjadi manusia hayat.

Keempat, matlamat penyelamatan Tuhan ialah penyatuan Tuhan dan manusia. Apabila kita mematuhi hukum Roh hayat dan hidup dalam Tuhan, Tuhan juga hidup dalam kita, dan Tuhan berbaur dengan kita secara praktikal hingga menjadi satu sepenuhnya. 

Terdapat dua butir lagi dari aspek subjektif. Pertama, kita harus menyentuh perasaan di dalam, iaitu mematuhi perasaan di dalam. Kedua, kita harus hidup dalam persekutuan. Persekutuan ialah pengaliran hayat. Hidup dalam persekutuan bererti hidup dalam pengaliran hayat. Dua butir ini membolehkan kita mempunyai pengalaman hayat secara praktikal. Bab berkenaan tiga hayat dan empat hukum ini bertujuan untuk membawa kita kepada butir ini. Jika kita menyentuh perasaan di dalam secara praktikal dan hidup dalam persekutuan, kita secara spontan akan: (1) dibebaskan daripada dosa, (2) melakukan kebaikan yang tidak dapat kita lakukan, (3) memenuhi hukum Tuhan, dan (4) menghidup keluar hayat Tuhan. Akhirnya kita dapat menjadi Tuhan-manusia dan menyatakan hayat Tuhan. Inilah matlamat penyelamatan Tuhan, dan ini juga merangkumi semua perkara yang berkaitan dengan hayat.

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 5/6)
HUKUM HAYAT (Bahagian 1/11)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)