Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 5/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 4/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 6/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 5/6)
2020-09-06 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (131)

Nota Editor:

“Menurut wahi dalam Bible, hayat dan kebaikan adalah berbeza. Di sini terdapat tiga butir utama: Yang pertama, hayat ialah sifat hayat Tuhan, manakala kebaikan ialah sifat hayat manusia; kedua-duanya sama sekali berbeza. Kedua, meskipun hayat adalah baik, tetapi kebaikan tidak semestinya ialah hayat. Ketiga, pohon hayat dan pohon pengetahuan baik dan jahat di Taman Eden menunjukkan kepada kita dengan jelas bahawa hayat dan kebaikan sememangnya berbeza; hayat bukanlah baik ataupun jahat. Hayat, kebaikan, dan kejahatan ialah tiga perkara yang berbeza dan berasingan.” 

“Kita harus mengetahui bahawa bukan sahaja hayat dan kebaikan itu berbeza, malah kebaikan juga berbeza daripada kebaikan. Terdapat kebaikan Tuhan dan juga kebaikan manusia. Kebaikan Tuhan berasal daripada hayat Tuhan dan mengandungi sifat hayat Tuhan. Kebaikan manusia pula berasal daripada hayat manusia dan hanya mengandungi sifat baik manusia...Oleh yang demikian, kita melihat bahawa hukum Roh hayat yang mengandungi sifat ‘hayat’ Tuhan dapat menyebabkan kita menghidup keluar ‘hayat’ Tuhan, iaitu menghidup keluar kebaikan Tuhan.”

“Cara penyelamatan Tuhan bukanlah menanggulangi Dosa yang mengepung kita dalam tubuh kita di luar, dan juga bukan menguatkan tekad kita untuk berbuat baik dalam sukma kita di bahagian tengah, tetapi menambahkan satu unsur baru dalam roh kita di pusat dan membawa satu kudrat hayat yang perkasa. Kemudian Dia maju dari pusat kita ke lilitan, menembusi seluruh diri kita dengan cara menggunakan hukum untuk menundukkan hukum yang lain demi mengatasi kudrat yang menyebabkan kita berbuat dosa dalam hukum dosa, malah membolehkan kita menghidup keluar kebaikan yang dituntut oleh hukum Tuhan yang tidak dapat kita hidup keluar sebelum ini menerusi hukum kebaikan. Lebih-lebih lagi, menerusi hayat yang berasal daripada hukum Roh hayat, kita dapat menghidup keluar hayat yang diingini Tuhan.”

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM
(Bahagian 5/6)

(Pengetahuan Hayat, Bab 9)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 7:22 “Kerana menurut manusia dalaman, aku gemar akan hukum Tuhan.”

Roma 7:23 “Tetapi aku melihat satu hukum yang lain dalam anggota-anggotaku, berperang menentang hukum mindaku dan menjadikan aku tawanan kepada hukum dosa yang ada dalam anggota-anggotaku.”

Roma 8:2  “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

D. Sifat dan Fungsi bagi Empat Hukum (samb.)

Namun kita harus bersyukur kepada Tuan kerana dalam kita yang diselamatkan, bukan sahaja terdapat dua hukum ini, yakni hukum kebaikan dan hukum kejahatan yang kepunyaan manusia dan kepunyaan Syaitan, tetapi juga terdapat satu hukum bagi Roh yang kepunyaan hayat Tuhan. Memandangkan hukum ini berasal daripada Roh kepunyaan hayat Tuhan, maka hukum ini juga berasal daripada hayat divin Tuhan yang tidak tercipta. Berkenaan dua jenis sifat ini—divin dan abadi—antara segala yang bergelar hayat, hanya hayat Tuhanlah yang merupakan “hayat”. (Kita telah membincangkan hal ini secara terperinci dalam bab satu, Apa itu Hayat?) Oleh itu, sifat bagi hayat Tuhan ialah “hayat”. Memandangkan hukum Roh hayat berasal daripada hayat Tuhan, maka sifatnya ialah “hayat” sebagaimana sifat hayat Tuhan ialah “hayat”. Hukum ini tidak seperti dua hukum yang disebut sebelum ini, iaitu “baik” atau “jahat”, berlandaskan jenis hayat yang merupakan asalnya. 

Menurut wahi dalam Bible, hayat dan kebaikan adalah berbeza. Di sini terdapat tiga butir utama: Yang pertama, hayat ialah sifat hayat Tuhan, manakala kebaikan ialah sifat hayat manusia; kedua-duanya sama sekali berbeza. Kedua, meskipun hayat adalah baik, tetapi kebaikan tidak semestinya ialah hayat. Ketiga, pohon hayat dan pohon pengetahuan baik dan jahat di Taman Eden menunjukkan kepada kita dengan jelas bahawa hayat dan kebaikan sememangnya berbeza; hayat bukanlah baik ataupun jahat. Hayat, kebaikan, dan kejahatan ialah tiga perkara yang berbeza dan berasingan. 

Kita harus mengetahui bahawa bukan sahaja hayat dan kebaikan itu berbeza, malah kebaikan juga berbeza daripada kebaikan. Terdapat kebaikan Tuhan dan juga kebaikan manusia. Kebaikan Tuhan berasal daripada hayat Tuhan dan mengandungi sifat hayat Tuhan. Kebaikan manusia pula berasal daripada hayat manusia dan hanya mengandungi sifat baik manusia. Kebaikan yang disebut dalam Efesus 2:10 dan 2 Timotius 2:21 ialah kebaikan yang kita hidup keluar menerusi hayat Tuhan; dengan itu, kebaikan ini merupakan kebaikan yang berasal daripada hayat Tuhan dan merupakan kebaikan Tuhan. Kebaikan yang disebut dalam Matius 12:35, Roma 7:18, 19, 21 dan 9:11 ialah kebaikan yang kita hidup keluar menurut hayat kita sendiri; dengan itu, kebaikan ini merupakan kebaikan yang berasal daripada hayat manusia dan merupakan kebaikan manusia. Kebaikan yang berasal daripada hayat manusia cumalah kebaikan manusia yang tidak mempunyai sifat “hayat” atau unsur Tuhan. Hanya kebaikan yang berasal daripada hayat Tuhan, iaitu kebaikan Tuhan, yang bukan sekadar baik, tetapi juga mempunyai sifat “hayat” dan unsur Tuhan. Oleh itu, apabila kita mengatakan bahawa hayat dan kebaikan adalah berbeza, kita bermaksud bahawa hayat Tuhan dan kebaikan manusia adalah berbeza. Kebaikan manusia berasal daripada hayat manusia dan tidak mengandungi sifat hayat Tuhan, maka kebaikan manusia sudah tentu berbeza daripada hayat Tuhan. Namun begitu, kebaikan Tuhan berasal daripada hayat Tuhan dan mengandungi sifat hayat Tuhan, maka kita tidak dapat mengatakan bahawa kebaikan Tuhan berbeza daripada hayat Tuhan.

Oleh yang demikian, kita melihat bahawa hukum Roh hayat yang mengandungi sifat “hayat” Tuhan dapat menyebabkan kita menghidup keluar “hayat” Tuhan, iaitu menghidup keluar kebaikan Tuhan.

Tambahan pula, tiga hukum yang berbeza dalam kita ini juga berbeza dari segi tahap kekuatan. Kita mengetahui bahawa tahap kekuatan hukum-hukum itu berbeza menurut asal masing­masing. Hukum kebaikan berasal daripada hayat manusia, dan hayat manusia adalah paling lemah; oleh itu, kudrat untuk berbuat baik bagi hukum kebaikan juga adalah paling lemah. Hukum dosa berasal daripada hayat Syaitan yang lebih kuat; oleh itu, kudrat untuk berbuat dosa bagi hukum ini lebih kuat daripada kudrat untuk berbuat baik bagi hukum kebaikan; hukum ini bukan sahaja menghilangkan keupayaan kita untuk berbuat baik, tetapi juga menyebabkan kita berbuat dosa dan melakukan kejahatan. Hukum Roh hayat berasal daripada hayat yang paling kuat, iaitu hayat Tuhan; oleh itu, kudrat bagi hukum ini juga adalah paling kuat; kudrat ini bukan sahaja memelihara kita daripada mematuhi hukum dosa dan melakukan dosa, tetapi juga membolehkan kita mematuhi hukum ini sendiri dan menghidup keluar hayat Tuhan secara spontan.

Dari abad ke abad, ahli-ahli falsafah menyokong pelbagai cara pembaikan diri, sama ada memupuk akhlak atau memperbaiki tingkah laku. Sesungguhnya, semuanya cumalah usaha menerusi akal budi manusia, melalui tekad manusia, dan dengan menggunakan kekuatan manusia untuk menanggulangi tubuh dan sukma yang korup, memperbaiki dan memulihkan bahagian asal dalam manusia serta mencungkil kebaikan asal dalam manusia. Semua ini tidak dapat mengatasi kudrat spontan dalam hukum dosa. Kekuatan manusia adalah terhad, sedangkan kudrat hukum adalah berkekalan; usaha manusia adalah secara paksaan, sedangkan kudrat hukum adalah secara spontan. Walaupun manusia dapat menggunakan usahanya sendiri untuk memberi tenaga kepada dirinya buat seketika waktu, tetapi sebaik sahaja kekuatannya habis digunakan, kudrat hukum pun timbul sekali lagi. Oleh itu, cara penyelamatan Tuhan bukanlah menanggulangi Dosa yang mengepung kita dalam tubuh kita di luar, dan juga bukan menguatkan tekad kita untuk berbuat baik dalam sukma kita di bahagian tengah, tetapi menambahkan satu unsur baru dalam roh kita di pusat dan membawa satu kudrat hayat yang perkasa. Kemudian Dia maju dari pusat kita ke lilitan, menembusi seluruh diri kita dengan cara menggunakan hukum untuk menundukkan hukum yang lain demi mengatasi kudrat yang menyebabkan kita berbuat dosa dalam hukum dosa, malah membolehkan kita menghidup keluar kebaikan yang dituntut oleh hukum Tuhan yang tidak dapat kita hidup keluar sebelum ini menerusi hukum kebaikan. Lebih-lebih lagi, menerusi hayat yang berasal daripada hukum Roh hayat, kita dapat menghidup keluar hayat yang diingini Tuhan. 

Oleh itu, Bible menunjukkan kepada kita bahawa terdapat empat hukum yang berkaitan dengan kita: Satu di luar kita dan tiga di dalam kita. Yang di luar kita itu ialah hukum Tuhan. Antara tiga yang ada dalam kita, satu berada dalam sukma kita, satu dalam tubuh kita, dan satu lagi dalam roh kita. Hukum dalam sukma kita berasal daripada hayat baik manusia yang tercipta; oleh itu, hukum ini baik dan menyebabkan kita ingin berbuat baik; hukum dalam tubuh kita berasal daripada hayat jahat Syaitan yang jatuh; oleh itu, hukum ini jahat dan menyebabkan kita berbuat dosa; hukum dalam roh kita pula berasal daripada hayat divin Tuhan yang tidak tercipta; oleh itu, hukum ini divin dan menyebabkan kita menghidup keluar hayat divin Tuhan.

Hukum Tuhan di luar kita ini mewakili tuntutan kekudusan, keadilbenaran, dan kebaikan Tuhan terhadap kita. Pada ketika hukum kebaikan dalam sukma kita ini menyentuh semua tuntutan kudus dan baik daripada hukum Tuhan ini terhadap kita, hukum kebaikan ingin menyahut dan bertekad hendak memenuhi tuntutan itu. Namun sebaik sahaja hukum dosa dalam anggota-anggota kita mendapati bahawa hukum kebaikan dalam sukma kita ingin menyahut dan memenuhi tuntutan kudus dan baik daripada hukum Tuhan di luar kita, hukum dosa pasti akan menentang, menolak, dan selalunya mengatasi hukum kebaikan dalam sukma kita. Atas sebab ini, kita tidak dapat menggenapi hukum Tuhan, sebaliknya kita melanggar tuntutan kudus dan baik daripada hukum Tuhan di luar kita kerana hukum dosa dalam tubuh kita lebih kuat daripada hukum kebaikan dalam sukma kita. Walau bagaimanapun, hukum Roh hayat dalam roh kita lebih kuat daripada hukum kebaikan dalam sukma kita. Oleh itu, jika kita berpaling kepada roh dan hidup menurut roh, maka hukum Roh hayat dalam roh kita akan menyelamatkan kita daripada hukum dosa dalam tubuh kita dan menyebabkan kita menghidup keluar hayat divin Tuhan. Dengan demikian, kita bukan sahaja dapat memenuhi semua tuntutan kudus dan baik daripada hukum Tuhan di luar kita, malah kita dapat mencapai standard divin Tuhan sendiri. 

Misalnya, hukum Tuhan di luar menuntut kita supaya jangan tamak. Sebaik sahaja hukum kebaikan dalam sukma kita menyentuh tuntutan hukum Tuhan terhadap kita ini, hukum kebaikan segera ingin menyahutnya dan bertekad agar tidak tamak lagi. Namun pada ketika ini, hukum dosa dalam tubuh kita turut bangkit menentang, merangsang ketamakan dalam kita dan menyebabkan kita tidak dapat menggenapi hukum Tuhan yang menuntut kita supaya jangan tamak. Pada masa ini, tidak kira betapa kuatnya kita bertekad dan berusaha, kita tidak dapat menghindari hati yang tamak. Sebaliknya, semakin kita bertekad dan berusaha untuk menghindari ketamakan, semakinlah ketamakan bekerja dalam kita. Ini kerana bila-bila masa hukum kebaikan dalam sukma kita menyebabkan kita ingin berbuat baik mengikut tuntutan hukum Tuhan di luar kita, pada masa itulah hukum dosa dalam tubuh kita akan menyebabkan kejahatan bekerja dalam kita dan berperang menentang keinginan kita untuk berbuat baik. Selain itu, hukum kebaikan dalam sukma kita tidak dapat menandingi hukum dosa dalam tubuh kita; dalam hampir setiap kali pertempuran ini berlaku, hukum kebaikan akan kalah kepada hukum dosa dalam tubuh kita. Akan tetapi, puji Tuhan kerana hukum Roh hayat dalam roh kita lebih kuat daripada hukum dosa dalam tubuh kita serta dapat menyelamatkan kita dan membebaskan kita daripada hukum dosa. Sekiranya kita tidak lagi bertekad dan berusaha menerusi hukum kebaikan dalam sukma kita, sebaliknya bergerak-hidup menurut hukum Roh hayat dalam roh, kita pasti akan diselamatkan daripada niat tamak yang dirangsang oleh hukum dosa dalam tubuh kita. Kita akan dapat memenuhi tuntutan hukum Tuhan di luar supaya tidak tamak dan menghidup keluar kekudusan Tuhan yang unggul itu. (bersambung...)

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 4/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 6/6)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)