Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian HUKUM HAYAT (Bahagian 1/11)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 6/6)
HUKUM HAYAT (Bahagian 2/11)
HUKUM HAYAT (Bahagian 1/11)
2020-09-08 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (133)

Nota Editor:

“Hukum hayat...merupakan keupayaan semula jadi bagi hayat Tuhan, yang membolehkan kita menghidup keluar hayat Tuhan secara semula jadi. Oleh itu, jika kita ingin menyentuh jalan hayat, maka kita perlu mempunyai pengetahuan yang cukup jelas terhadap hukum hayat.”

“[Selepas kejatuhan manusia,] manusia mempunyai dua aspek keperluan: Dari satu aspek, dia memerlukan Tuhan untuk menanggulangi dosa yang dilakukannya disebabkan kejatuhan; dari aspek yang lain, dia lebih-lebih lagi memerlukan Tuhan untuk melahirukan dia dengan menghidupkan semula rohnya yang mati supaya dia dapat menerima hayat Tuhan dan menggenapi tujuan utama Tuhan mencipta manusia.”

“Sebaik sahaja kita dilahirukan, kita mempunyai hayat Tuhan dalam roh kita, dan sebaik sahaja kita mempunyai hayat Tuhan, kita secara semula jadi mempunyai hukum hayat yang berasal daripada hayat Tuhan.”

HUKUM HAYAT
(Bahagian 1/11)

(Pengetahuan Hayat, Bab 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 8:2 “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

Ibrani 8:10 “Kerana inilah waadah yang akan Kuwaadkan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, sabda Tuan: Aku akan menaruh hukum-hukum-Ku ke dalam minda mereka, dan akan menulis hukum-hukum ini pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

Dalam bab sebelum ini kita telah melihat tiga hayat dan empat hukum. Sekarang kita akan melihat hukum hayat secara khusus, iaitu hukum Roh hayat yang disebut dalam bab sebelum ini. Antara empat hukum, hanya hukum hayat yang merupakan keupayaan semula jadi bagi hayat Tuhan, yang membolehkan kita menghidup keluar hayat Tuhan secara semula jadi. Oleh itu, jika kita ingin menyentuh jalan hayat, maka kita perlu mempunyai pengetahuan yang cukup jelas terhadap hukum hayat. 

I. ASAS BIBLE

Dalam seluruh Bible, hanya lima bahagian sabda berikut yang boleh dikatakan menyebut hukum hayat secara langsung atau tidak langsung:

A. Roma 8:2, “hukum Roh hayat...”

Hukum Roh hayat yang disebut di sini ialah hukum hayat. Oleh sebab Roh yang daripada-Nya hukum ini berasal mengandungi hayat, maka boleh dikatakan bahawa Roh ialah hayat; dengan itu, hukum ini merupakan satu hukum Roh, dan juga satu hukum hayat.

B. Ibrani 8:10, “Kerana inilah waadah yang akan Kuwaadkan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, sabda Tuan: Aku akan menaruh hukum-hukum-Ku ke dalam minda mereka, dan akan menulis hukum-hukum ini pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

C. Ibrani 10:16, “Inilah waadah yang akan Kuwaadkan dengan mereka selepas hari-hari itu, sabda Tuan: Aku akan menaruh hukum-hukum-Ku ke dalam hati mereka, dan akan menulis hukum-hukum ini pada minda mereka.”

Dua bahagian sabda di atas dalam Ibrani 8 dan 10 mula­mulanya menyebut “menaruh”, kemudian menyebut “menulis”, dan juga memperkatakan “minda” dan “hati”; oleh itu, kedua­duanya berbicara tentang satu perkara. Dua bahagian sabda ini dipetik daripada Yeremia 31:33.

D. Yeremia 31:33, “Inilah waadah yang akan Aku dirikan dengan kaum Israel selepas hari-hari itu, isytihar Yehova: Aku akan meletakkan hukum-Ku ke dalam bahagian dalaman mereka dan menulisnya pada hati mereka; Aku akan menjadi Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.”

E. Yehezkiel 36:25-28, “Aku akan merenjiskan air bersih padamu, dan kamu akan menjadi tahir; daripada semua kekotoranmu dan daripada semua berhalamu Aku akan mentahirkan kamu. Aku juga akan memberi kamu hati baru, dan Aku akan meletakkan roh baru dalammu; Aku akan menyingkirkan hati batu daripada tubuh dagingmu, dan Aku akan memberi kamu hati daging. Dan Aku akan meletakkan Roh-Ku dalam kamu dan membuat kamu bergerak-hidup dalam statut-Ku, dan ordinan-Ku harus kamu patuhi dan lakukan...dan kamu akan menjadi umat-Ku, dan Aku akan menjadi Tuhanmu.”

Beberapa ayat ini membicarakan sekurang-kurangnya lima perkara: (1) mentahirkan kita dengan air bersih, (2) memberi kita hati baru, (3) memberi kita roh baru, (4) menyingkirkan hati batu kita dan memberi kita hati daging, dan (5) meletakkan Roh Tuhan dalam kita. Hasil daripada gabungan lima perkara ini membolehkan kita bergerak-hidup dalam statut Tuhan dan mematuhi ordinan-Nya. Kita akan menjadi umat-Nya, dan Dia akan menjadi Tuhan kita. Ini bermaksud bahawa Roh Kudus dalam kita memberi kita kekuatan baru untuk melakukan kehendak Tuhan dan diperkenan Tuhan supaya Tuhan dapat menjadi Tuhan kita dan kita dapat menjadi umat Tuhan. Oleh yang demikian, hasil yang disebut di sini sama dengan hasil yang disebut dalam Yeremia 31:33.

II. ASAL BAGI HUKUM HAYAT — KELAHIRUAN

Jika kita ingin berbicara tentang asal hukum hayat, kita harus bermula dengan kelahiruan kerana kelahiruan bererti menerima hayat Tuhan ke dalam roh kita. Sebaik sahaja kita dilahirukan, kita mempunyai hayat Tuhan dalam roh kita, dan sebaik sahaja kita mempunyai hayat Tuhan, kita secara semula jadi mempunyai hukum hayat yang berasal daripada hayat Tuhan.

A. Penciptaan Manusia 

Semasa berbicara tentang kelahiruan, kita perlu bermula dengan penciptaan manusia. Apabila manusia dicipta oleh tangan Tuhan, dia hanya mempunyai hayat manusia yang baik dan lurus; dia tidak mempunyai hayat Tuhan yang divin dan abadi. Namun ketika Tuhan mencipta manusia, tujuan-Nya yang paling utama ialah membaurkan hayat-Nya ke dalam manusia, bergabung dengan manusia, dan mencapai penyatuan Tuhan dengan manusia. Oleh itu, ketika Tuhan mencipta manusia, selain daripada tubuh dan sukma manusia, Dia terutamanya mencipta satu roh untuk manusia. Roh ini organ yang digunakan manusia untuk menerima hayat Tuhan. Apabila kita menggunakan roh ini untuk menghubungi Tuhan yang merupakan Roh, kita dapat beroleh hayat-Nya dan bergabung dengan-Nya, dengan itu menggenapi tujuan Tuhan yang utama itu. 

B. Kejatuhan Manusia 

Namun sebelum manusia menerima hayat Tuhan, dia sudah jatuh. Kejatuhan manusia bukan sahaja menyebabkan manusia berbuat dosa dan bersalah terhadap Tuhan, tetapi terutamanya menyebabkan roh manusia mati, iaitu membawa maut kepada organ yang digunakan manusia untuk menerima hayat Tuhan. Roh sudah mati bukan bermaksud roh sudah tidak wujud, tetapi bermaksud roh sudah kehilangan fungsinya untuk bersekutu dengan Tuhan lalu menjadi terpisah daripada Tuhan; oleh yang demikian, manusia tidak dapat bersekutu dengan Tuhan lagi. Lantaran itu, manusia tidak dapat menggunakan rohnya untuk menghubungi Tuhan agar menerima hayat-Nya. 

Pada masa ini, manusia mempunyai dua aspek keperluan: Dari satu aspek, dia memerlukan Tuhan untuk menanggulangi dosa yang dilakukannya disebabkan kejatuhan; dari aspek yang lain, dia lebih-lebih lagi memerlukan Tuhan untuk melahirukan dia dengan menghidupkan semula rohnya yang mati supaya dia dapat menerima hayat Tuhan dan menggenapi tujuan utama Tuhan mencipta manusia. (bersambung...)

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 6/6)
HUKUM HAYAT (Bahagian 2/11)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)