Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 3/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 2/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 4/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 3/6)
2020-09-04 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (129)

Nota Editor:

“[Dalam Roma 7 dan 8,] dutus berbicara tentang empat hukum berlainan yang berkaitan dengan kita secara peribadi. Yang pertama ialah ‘hukum Tuhan’ (7:22, 25), iaitu hukum Wasiat Lama yang menyatakan semua tuntutan Tuhan atas kita. Kedua, ‘hukum minda’ (7:23) yang terdapat dalam minda kita, menyebabkan kita suka berbuat baik dan ingin berbuat baik; oleh itu, hukum ini juga boleh digelar sebagai hukum kebaikan dalam minda kita. Ketiga, ‘hukum dosa dalam anggota-­anggota’ (7:23) yang menyebabkan kita berbuat dosa. Oleh sebab fungsi hukum yang menyebabkan kita berbuat dosa ini dinyatakan dalam anggota-anggota tubuh kita, maka hukum ini digelar sebagai ‘hukum dosa dalam anggota-anggota’. Keempat, ‘hukum Roh hayat’ (8:2) yang menyebabkan kita hidup dalam hayat Tuhan.”

“Kita harus melihat dengan jelas bahawa sewaktu kita diselamatkan, Tuhan bukan meletakkan hukum kebaikan dalam kita; sebaliknya, Dia meletakkan hukum hayat dalam kita. Matlamat Tuhan dalam kita ialah hayat, bukan kebaikan. Sewaktu Tuhan menyelamatkan kita, Dia meletakkan hukum hayat dalam kita. Hukum kebaikan bukan diberi menerusi penyelamatan Tuhan, tetapi menerusi penciptaan-Nya. Unsur berbuat baik yang terdapat dalam kita ini sudah wujud pada asalnya. Namun sewaktu Tuhan menyelamatkan kita, Dia meletakkan hayat-Nya dalam kita. Dalam hayat ini terkandung satu hukum hayat, iaitu hukum Roh hayat.”

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM
(Bahagian 3/6)

(Pengetahuan Hayat, Bab 9)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 7:22 “Kerana menurut manusia dalaman, aku gemar akan hukum Tuhan.”

Roma 7:23 “Tetapi aku melihat satu hukum yang lain dalam anggota-anggotaku, berperang menentang hukum mindaku dan menjadikan aku tawanan kepada hukum dosa yang ada dalam anggota-anggotaku.”

Roma 8:2  “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

II. EMPAT HUKUM 

Tiga hayat yang terdapat dalam kita yang telah diselamatkan ini masing-masing mempunyai satu hukum. Dengan itu, dalam diri kita bukan sahaja terdapat tiga hayat, tetapi juga terdapat tiga hukum yang kepunyaan tiga hayat ini. Selain itu, di luar kita terdapat hukum Tuhan. Dengan demikian, di dalam dan di luar kita, kesemuanya terdapat empat hukum. Hal ini diwahikan kepada kita dalam Roma 7 dan 8. 

A. Definisi Empat Hukum 

Tema utama bagi Roma bab tujuh dan lapan ialah hukum. Dalam bab enam sebelum ini, dutus berkata, “Dosa tidak akan mempertuani kamu, kerana kamu bukan di bawah hukum.” Satu-satunya sebab dosa tidak dapat mempertuani kita ialah kita bukan di bawah hukum. Oleh itu, demi menjelaskan pernyataan bahawa kita “bukan di bawah hukum”, dutus seterusnya berbicara tentang hukum dalam bab tujuh dan lapan. Bab tujuh bermula dengan berkata, “Atau tidak tahukah kamu, dikbang-dikbang (kerana aku berbicara kepada orang yang mengetahui hukum), bahawa hukum mempertuani orang itu selagi dia hidup?” Sekali lagi, “Tetapi sekarang kita telah dilepaskan daripada hukum, memandangkan kita telah mati terhadap hukum yang menahan kita” (ay. 6). Kemudian dia berkata, “Aku tidak tahu apa itu dosa melainkan menerusi hukum” (ay. 7). Sekali lagi, “Kerana menurut manusia dalaman, aku gemar akan hukum Tuhan” (ay. 22). Semua ini merujuk kepada hukum Wasiat Lama. Akhirnya, dia berkata, “Tetapi aku melihat satu hukum yang lain dalam anggota-anggotaku, berperang menentang hukum mindaku dan menjadikan aku tawanan kepada hukum dosa yang ada dalam anggota-anggotaku.” Dan sekali lagi, “Dengan demikian, aku sendiri dengan minda melayan hukum Tuhan, tetapi dengan tubuh daging melayan hukum dosa” (ay. 25). Kemudian dalam bab lapan dia berkata, “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut” (ay. 2). Dalam kata-kata ini, dutus berbicara tentang empat hukum berlainan yang berkaitan dengan kita secara peribadi.

Yang pertama ialah “hukum Tuhan” (7:22, 25), iaitu hukum Wasiat Lama yang menyatakan semua tuntutan Tuhan atas kita. Kedua, “hukum minda” (7:23) yang terdapat dalam minda kita, menyebabkan kita suka berbuat baik dan ingin berbuat baik; oleh itu, hukum ini juga boleh digelar sebagai hukum kebaikan dalam minda kita. Ketiga, “hukum dosa dalam anggota­-anggota” (7:23) yang menyebabkan kita berbuat dosa. Oleh sebab fungsi hukum yang menyebabkan kita berbuat dosa ini dinyatakan dalam anggota-anggota tubuh kita, maka hukum ini digelar sebagai “hukum dosa dalam anggota-anggota”. Keempat, “hukum Roh hayat” (8:2) yang menyebabkan kita hidup dalam hayat Tuhan. Oleh sebab hukum ini terletak dalam Roh yang merupakan Roh hayat, iaitu Roh Tuhan membawa bersama hayat Tuhan dan dibaurkan dengan roh kita, maka hukum ini digelar sebagai “hukum Roh hayat”. Tambahan pula, memandangkan Roh ini mengandungi hayat, kepunyaan hayat, dan merupakan hayat, maka hukum bagi Roh ini juga boleh digelar “hukum hayat”. Berkenaan empat hukum ini, satu berada di luar kita, iaitu hukum Tuhan; manakala tiga yang lain berada dalam kita, iaitu hukum kebaikan dalam minda, hukum dosa dalam anggota-anggota tubuh, dan hukum Roh hayat dalam roh.

B. Asal Empat Hukum 

Asal empat hukum ini adalah berbeza. Hukum Tuhan yang tertulis pada loh-loh diberikan Tuhan kepada manusia menerusi Musa pada zaman Wasiat Lama. Tiga hukum yang lain pula berasal daripada tiga hayat yang kita sebut sebelum ini. Kita tahu bahawa setiap hayat mempunyai satu hukum. Walaupun sesuatu hukum tidak semestinya berasal daripada sesuatu hayat, namun sesuatu hayat semestinya mempunyai satu hukum. Memandangkan kita mempunyai tiga hayat yang berbeza dalam kita, maka kita juga mempunyai tiga hukum yang sepadan dengan tiga hayat yang berbeza. 

Hukum kebaikan dalam minda berasal daripada hayat baik yang tercipta, yang diperoleh bukan pada masa kita diselamatkan tetapi pada masa kita dilahirkan. Hukum ini merupakan satu anugerah dalam penciptaan Tuhan, bukan satu berian dalam penyelamatan Tuhan. Sebelum kita diselamatkan, kerap kali dalam minda dan niat kita terdapat kecenderungan semula jadi yang menyebabkan kita ingin berbuat baik, menghormati ibu bapa, berbuat amal, atau bertaubat untuk mengubah perangai diri dan bertekad untuk memajukan diri. Semua niat hendak berbuat baik dan memajukan diri ini berasal daripada hukum kebaikan dalam minda kita. Semua ini membuktikan bahawa bahkan sebelum kita diselamatkan, hukum kebaikan ini sudah pun ada dalam kita. 

Sesetengah orang membuat kesimpulan berdasarkan Roma 7:18 (“Kerana aku mengetahui bahawa dalamku…tidak ada apa yang baik huni”) bahawa sama ada sebelum kita diselamatkan atau selepas kita diselamatkan, tidak ada apa yang baik dalam kita; oleh itu, hukum kebaikan yang terdapat dalam minda kita itu tidak mungkin berasal daripada hayat asal kita yang tercipta, malah tidak mungkin wujud sebelum kita diselamatkan. Namun, jika kita membaca Roma 7:18 dengan teliti, kita melihat bahawa kesimpulan ini tidak tepat kerana apabila Paulus mengatakan bahawa tidak ada apa yang baik dalam kita, dia merujuk kepada keadaan dalam tubuh daging kita. Menurut konteks ayat 21, 23, dan 24, tubuh daging yang dibicarakan di sini merujuk kepada tubuh kita yang sudah jatuh dan berubah mutu. Dalam tubuh kita yang sudah jatuh dan berubah mutu, iaitu dalam tubuh daging kita, tidak ada apa yang baik huni. Ini bukan bermaksud bahawa tidak ada apa yang baik sama sekali dalam diri kita yang jatuh. Sebaliknya, kita kemudiannya diberitahu dengan jelas dalam bab tersebut bahawa dalam diri kita yang jatuh terdapat satu tekad yang ingin berbuat baik dan satu hukum kebaikan dalam minda kita. Tekad dan minda ialah bahagian dalam sukma kita. Oleh itu, meskipun tidak ada apa yang baik dalam tubuh kita yang sudah jatuh dan berubah mutu, tetapi masih terdapat unsur kebaikan dalam bahagian minda dan tekad sukma kita bahkan selepas kita jatuh. Unsur kebaikan ini semestinya kepunyaan hayat baik yang tercipta. Oleh itu, hukum kebaikan dalam minda kita memang berasal daripada hayat asal kita yang tercipta dan wujud sebelum kita diselamatkan, bahkan sewaktu kita dilahirkan.

Sesetengah orang pula mengatakan bahawa hayat baik kita yang tercipta itu telah dikorupkan oleh Syaitan lantaran kejatuhan kita, maka unsur kebaikannya tidak wujud lagi. Pernyataan ini juga tidak tepat. Misalnya, apabila segelas air madu ditambahkan bahan masam, rasa manis itu dirosakkan tetapi unsur manis itu masih ada. Sungguhpun manusia telah dikorupkan oleh Syaitan, tetapi unsur kebaikannya masih ada. Unsur kebaikan yang tercipta dalam manusia itu telah dikorupkan sehingga menjadi tidak dapat diubati; meskipun ini merupakan hakikat tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa unsur ini telah dikorupkan sehinggakan tidak wujud lagi. Jika kamu menghancurkan sebiji gelas, gelas itu akan berkecai tetapi unsurnya masih ada. Sekeping jongkong emas mungkin dibuang ke dalam lubang tahi tetapi unsur emas masih wujud. Meskipun sifat hormat kepada ibu bapa, kasih sesama saudara, kesetiaan, keikhlasan, kesopanan, keadilan, kerendahan hati, dan perasaan malu kita adalah tidak suci dan bercampur aduk, tetapi unsur-unsur ini tetap sejati. Oleh itu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa meskipun unsur kita yang baik itu telah dicemari, telah menjadi sisa selepas kemusnahan, dan sangat lemah, tetapi unsur itu masih wujud. Atas sebab inilah pendeta dan ahli falsafah Cina menemui bahawa dalam manusia terdapat “virtu terang”, “kesedaran nurani”, “keupayaan nurani”, “keterangan batin” dan sebagainya, lalu menyimpulkan bahawa sifat manusia adalah baik. Penemuan ahli-ahli falsafah berkenaan sifat manusia ini memang betul kerana dalam kita yang merupakan manusia jatuh masih terdapat unsur kebaikan dan hukum yang menyebabkan kita ingin berbuat baik secara semula jadi.

Hukum dosa dalam anggota-anggota berasal daripada hayat Syaitan yang jatuh dan jahat. Kita telah mengatakan sebelum ini bahawa lantaran Adam berbuat dosa dan jatuh—memakan buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat—hayat Syaitan masuk ke dalam manusia. Dalam hayat Syaitan ini terkandung satu hukum jahat, iaitu hukum dosa dalam anggota-anggota. Memandangkan hayat Syaitan adalah jahat, maka hukum yang berasal daripada hayatnya secara spontan menyebabkan manusia berbuat dosa dan melakukan kejahatan.

Hukum Roh hayat berasal daripada Roh hayat yang berada dalam roh kita, iaitu berasal daripada hayat divin Tuhan yang tidak tercipta. Apabila kita menerima Tuan dan diselamatkan, Roh Tuhan bersama-sama dengan hayat Tuhan masuk ke dalam roh kita dan berbaur dengan roh kita agar menjadi Roh hayat. Dalam hayat bagi Roh hayat ini terkandung satu hukum, iaitu hukum Roh hayat atau hukum hayat. 

Oleh itu, kita harus melihat dengan jelas bahawa sewaktu kita diselamatkan, Tuhan bukan meletakkan hukum kebaikan dalam kita; sebaliknya, Dia meletakkan hukum hayat dalam kita. Matlamat Tuhan dalam kita ialah hayat, bukan kebaikan. Sewaktu Tuhan menyelamatkan kita, Dia meletakkan hukum hayat dalam kita. Hukum kebaikan bukan diberi menerusi penyelamatan Tuhan, tetapi menerusi penciptaan-Nya. Unsur berbuat baik yang terdapat dalam kita ini sudah wujud pada asalnya. Namun sewaktu Tuhan menyelamatkan kita, Dia meletakkan hayat-Nya dalam kita. Dalam hayat ini terkandung satu hukum hayat, iaitu hukum Roh hayat. Hukum ini diperoleh pada masa kita diselamatkan dan berasal daripada penyelamatan hayat Tuhan. 

Oleh yang demikian, berkenaan asal bagi empat hukum ini, kita boleh mengatakan bahawa hukum Tuhan berasal daripada Tuhan, maka kepunyaan Tuhan; hukum kebaikan dalam minda berasal daripada hayat manusia, maka kepunyaan manusia; hukum dosa dalam anggota-anggota berasal daripada hayat Syaitan, maka kepunyaan Syaitan; dan hukum Roh hayat berasal daripada Roh hayat, maka kepunyaan roh. (bersambung...)

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 2/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 4/6)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)