Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 1/6)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 4/4)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 2/6)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 1/6)
2020-09-02 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (127)

Nota Editor:

“Lazimnya, orang menyangka bahawa hanya terdapat satu hayat dalam manusia, iaitu hayat manusia yang diperoleh daripada ibu bapa. Namun Bible menunjukkan bahawa lantaran kejatuhan manusia, selain daripada hayat manusia, terdapat juga hayat Syaitan dalam manusia...Tambahan pula,...orang yang percaya kepada Anak Tuhan dan diselamatkan itu bukan sahaja mempunyai hayat manusia yang asal dan mempunyai hayat Syaitan selepas kejatuhan, tetapi juga mempunyai hayat abadi Tuhan.”

“Dengan itu, tiga hayat yang terdapat dalam kita sebagai orang yang diselamatkan, diperoleh menerusi penciptaan, kejatuhan, dan penyelamatan. Daripada tangan Tuhan yang mencipta, kita beroleh hayat manusia yang tercipta. Melewati Adam, kita menjadi jatuh dan beroleh hayat Syaitan yang jatuh. Dengan masuk ke dalam Kristus, kita diselamatkan dan beroleh hayat Tuhan yang tidak tercipta.”

“Menurut wahi dalam Bible, tiga hayat yang berbeza ini, yakni hayat manusia, hayat Syaitan, dan hayat Tuhan, masing­masing masuk ke dalam roh, sukma, dan tubuh manusia—tiga bahagian diri kita. Sewaktu Tuhan membentuk manusia daripada debu tanah, Dia menghembuskan nafas hayat ke dalam dia, dan “manusia menjadi sukma hidup” (Kej. 2:7). Ini bermaksud bahawa hayat manusia yang diperoleh menerusi penciptaan terdapat dalam sukma manusia. Apabila manusia digoda oleh Syaitan dan jatuh, dia memakan buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat, yang menandakan Syaitan, ke dalam tubuhnya. Lantaran itu, hayat Syaitan yang diperoleh manusia menerusi kejatuhan terdapat dalam tubuh manusia. Apabila manusia menerima Tuan Yesus sebagai Penyelamat dan diselamatkan, Roh Tuhan membawa hayat Tuhan bersama dengan-Nya dan masuk ke dalam roh manusia. Maka hayat Tuhan yang diperoleh manusia menerusi penyelamatan terdapat dalam roh manusia. Dengan demikian, seorang yang diselamatkan mempunyai hayat Tuhan dalam rohnya, mempunyai hayat manusia dalam sukmanya, dan mempunyai hayat Syaitan dalam tubuhnya.”

TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM
(Bahagian 1/6)

(Pengetahuan Hayat, Bab 9)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Kej. 2:7 “Yehova Tuhan membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hayat ke dalam hidungnya, dan manusia menjadi sukma hidup.”

Roma 7:20 “Tetapi jika apa yang tidak kuingini, ini aku lakukan, maka bukan lagi aku yang mengerjahasilkannya tetapi dosa yang huni dalam aku.”

Yoh. 3:36 “Dia yang percaya ke dalam Anak mempunyai hayat abadi.”

Sekarang kita melihat butir utama yang kesembilan berkenaan pengetahuan hayat—tiga hayat dan empat hukum. Kebenaran ini amat penting dalam Bible. Jika kita ingin mengenali keadaan hayat rohani dalam kita dengan jelas dan ingin menjalani kehidupan jayeng yang bebas daripada dosa, maka kita perlu mempunyai pemahaman yang menyeluruh terhadap kebenaran asas ini. 

I. TIGA HAYAT 

A. Definisi Tiga Hayat 

Tiga hayat yang disebut di sini ialah tiga hayat yang terdapat dalam orang yang diselamatkan—hayat manusia, hayat Syaitan, dan hayat Tuhan.

Lazimnya, orang menyangka bahawa hanya terdapat satu hayat dalam manusia, iaitu hayat manusia yang diperoleh daripada ibu bapa. Namun Bible menunjukkan bahawa lantaran kejatuhan manusia, selain daripada hayat manusia, terdapat juga hayat Syaitan dalam manusia. Oleh itu, Roma 7:18, 20 mengatakan bahawa “dalam” manusia, iaitu “dalam tubuh daging” manusia, “Dosa” menghuni. “Dosa” di sini merujuk kepada hayat Syaitan. Menurut Galatia 5:17, “tubuh daging” yang mengandungi hayat Syaitan ini kekal berada dalam manusia selepas dia diselamatkan, dan sentiasa “menafsu menentang Roh itu”. Oleh itu, selepas seseorang diselamatkan, dalamnya masih terdapat hayat Syaitan.

Tambahan pula, Yohanes 3:36 berkata, “Dia yang percaya ke dalam Anak mempunyai hayat abadi.” Satu Yohanes 5:12 juga berkata, “Orang yang mempunyai Anak mempunyai hayat,” iaitu hayat Tuhan. Ini menunjukkan bahawa orang yang percaya kepada Anak Tuhan dan diselamatkan itu bukan sahaja mempunyai hayat manusia yang asal dan mempunyai hayat Syaitan selepas kejatuhan, tetapi juga mempunyai hayat abadi Tuhan.

B. Asal Tiga Hayat 

Bible mengatakan bahawa sewaktu Tuhan mencipta Adam, Dia menghembuskan nafas hayat ke dalam hidungnya; dengan itu, Adam beroleh hayat manusia yang tercipta. Kemudian Tuhan meletakkan manusia di Taman Eden di hadapan dua pohon, iaitu pohon hayat dan pohon pengetahuan baik dan jahat. Menurut wahi yang diberi kemudian dalam Bible, pohon hayat menandakan Tuhan, pohon pengetahuan baik dan jahat pula menandakan Syaitan, dan Adam mewakili umat manusia. Oleh yang demikian, pada hari itu di Taman Eden—iaitu dalam alam semesta—terbentuklah suatu situasi yang melibatkan tiga pihak, iaitu manusia, Tuhan, dan Syaitan. 

Syaitan ialah lawan Tuhan, dan tumpuan pergelutannya dengan Tuhan ialah manusia. Syaitan dan Tuhan menghendaki manusia. Tuhan ingin memperoleh manusia demi menyempurnakan kehendak-Nya, sedangkan Syaitan juga ingin memperoleh manusia untuk menggenapi niatnya yang jahat. Cara Syaitan dan Tuhan memperoleh manusia ialah menerusi hayat. Hasrat Tuhan ialah manusia memakan buah daripada pohon hayat supaya manusia memperoleh hayat-Nya yang tidak tercipta dan disatukan dengan-Nya. Namun begitu, Syaitan menggoda manusia agar memakan buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat, dan dengan itu menyebabkan manusia memperoleh hayatnya yang jatuh dan bergaul dengannya. 

Pada hari itu, disebabkan Adam ditipu oleh Syaitan, dia memakan buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat. Mulai masa itu, hayat Syaitan masuk ke dalam manusia dan menyebabkan manusia menjadi korup. Dengan demikian, selain daripada hayat terciptanya yang asal, manusia juga memperoleh hayat Syaitan yang jatuh.

Pada masa Wasiat Baru, Tuhan meletakkan hayat-Nya dalam Anak-Nya untuk dinyatakan dalam kalangan manusia supaya manusia beroleh hayat-Nya dengan mempercayai Anak-Nya dan menerima-Nya. Oleh yang demikian, selain daripada hayat manusia asal kita yang tercipta dan hayat Syaitan yang diperoleh menerusi kejatuhan, kita juga beroleh hayat Tuhan.

Dengan itu, tiga hayat yang terdapat dalam kita sebagai orang yang diselamatkan, diperoleh menerusi penciptaan, kejatuhan, dan penyelamatan. Daripada tangan Tuhan yang mencipta, kita beroleh hayat manusia yang tercipta. Melewati Adam, kita menjadi jatuh dan beroleh hayat Syaitan yang jatuh. Dengan masuk ke dalam Kristus, kita diselamatkan dan beroleh hayat Tuhan yang tidak tercipta. 

C. Lokasi Tiga Hayat 

Menurut wahi dalam Bible, tiga hayat yang berbeza ini, yakni hayat manusia, hayat Syaitan, dan hayat Tuhan, masing­masing masuk ke dalam roh, sukma, dan tubuh manusia — tiga bahagian diri kita. Sewaktu Tuhan membentuk manusia daripada debu tanah, Dia menghembuskan nafas hayat ke dalam dia, dan “manusia menjadi sukma hidup” (Kej. 2:7). Ini bermaksud bahawa hayat manusia yang diperoleh menerusi penciptaan terdapat dalam sukma manusia. Apabila manusia digoda oleh Syaitan dan jatuh, dia memakan buah daripada pohon pengetahuan baik dan jahat, yang menandakan Syaitan, ke dalam tubuhnya. Lantaran itu, hayat Syaitan yang diperoleh manusia menerusi kejatuhan terdapat dalam tubuh manusia. Apabila manusia menerima Tuan Yesus sebagai Penyelamat dan diselamatkan, Roh Tuhan membawa hayat Tuhan bersama dengan-Nya dan masuk ke dalam roh manusia. Maka hayat Tuhan yang diperoleh manusia menerusi penyelamatan terdapat dalam roh manusia. Dengan demikian, seorang yang diselamatkan mempunyai hayat Tuhan dalam rohnya, mempunyai hayat manusia dalam sukmanya, dan mempunyai hayat Syaitan dalam tubuhnya. 

Untuk lebih memahami tiga bahagian bagi lokasi tiga hayat ini, kita akan menggunakan sedikit masa untuk membincangkan perasaan bagi tiga bahagian ini. Tubuh, iaitu bahagian fizikal kita yang paling luar, dapat dilihat dan dapat disentuh; bahagian ini termasuk semua anggota tubuh kita dan mempunyai lima deria, iaitu penglihatan, pendengaran, penghiduan, rasa, dan sentuhan, untuk menghubungi dunia fizikal. Oleh itu, deria tubuh ini boleh digelar sebagai deria duniawi atau deria fizikal.

Roh ialah bahagian kita yang paling dalam; roh termasuk zimah, intuisi, dan persekutuan. Zimah ialah organ untuk membezakan betul dan salah; menurut prinsip betul dan salah, zimah menyebabkan kita merasakan apa yang betul dan diperkenan di mata Tuhan serta apa yang salah dan ditolak di mata Tuhan. Intuisi membolehkan kita merasakan maksud Tuhan secara langsung tanpa memerlukan apa-apa yang lain sebagai sarana. Bahagian persekutuan pula membolehkan kita berkomunikasi dan bersekutu dengan Tuhan. Meskipun bahagian persekutuan inilah yang membolehkan kita berhubung dengan Tuhan, namun bahagian yang membolehkan kita merasakan Tuhan dan hal-hal rohani, iaitu menghubungi dunia rohani, ialah zimah dan intuisi. Perasaan dua bahagian ini ialah deria dalam roh, maka perasaan ini boleh digelar sebagai deria rohani atau deria Tuhan.

Sukma yang terletak di antara roh dengan tubuh ialah bahagian psikologi dalam kita dan merangkumi minda, emosi, dan tekad. Minda ialah organ untuk berfikir dan membuat pertimbangan; emosi ialah organ yang mempunyai perasaan seronok, marah, sedih, dan riang; dan tekad ialah organ untuk membuahkan pendapat dan membuat keputusan. Walaupun sukma terdiri daripada tiga bahagian ini, tetapi hanya dua bahagian—minda dan emosi—yang mempunyai deria. Deria minda berdasarkan kerasionalan, manakala deria emosi berdasarkan suka dan tidak suka. Dua deria dalam sukma kita ini membolehkan kita merasakan bahagian psikologi manusia, iaitu ego atau diri manusia, dan menghubungi dunia psikologi; oleh itu, dua deria ini boleh digelar sebagai deria psikologi atau kesedaran diri. Lazimnya apabila kita mengatakan “kesedaran manusia”, kita merujuk kepada perasaan suka dan tidak suka dalam emosi sukma. Meskipun perasaan ini boleh dipengaruhi oleh minda dalam sukma, lima deria dalam tubuh, dan zimah dalam roh, atau bahkan dipengaruhi sedikit oleh intuisi dalam roh, yang berlaku pada seorang manusia rohani, namun “kesedaran manusia” terutamanya terbentuk daripada perasaan suka dan tidak suka dalam emosi sukma. (bersambung...)

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 4/4)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 2/6)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)