Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 4/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 3/4)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 1/6)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 4/4)
2020-09-01 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (126)

Nota Editor:

“Kejatuhan manusia menyebabkan manusia jatuh dari roh ke sukma, menyebabkan manusia tidak hidup melalui roh tetapi hidup melalui sukma. Penyelamatan Tuhan menyelamatkan manusia daripada sukma kepada roh agar manusia tidak hidup melalui sukma tetapi hidup melalui roh.”

“Bagaimanakah kita dapat diselamatkan daripada sukma? Ini memerlukan wahi dari dua aspek: Satu aspek berkenaan sukma, dan satu aspek lagi berkenaan salib. Kita perlu melihat bahawa sukma tidak berupaya dalam hal-hal Tuhan dan tidak bernilai dalam hal-hal rohani. Tidak kira betapa baik dan kuatnya mana-mana bahagian sukma kita, bahagian itu masih tidak dapat menanggap hal-hal Tuhan atau memahami hal-hal rohani...Kita juga perlu sedar bahawa sukma kita dan segala apa yang kepunyaannya telah dipakukan di atas salib Kristus. Dalam Galatia 2:20, apabila dutus berkata, 'Aku telah disalibkan bersama dengan Kristus', 'aku' yang dirujuknya ialah sukma. Sukma, dalam penilaian Tuhan, hanya layak untuk mati...Wahi dan visi sedemikian membolehkan kita mengutuk sukma, menyangkal sukma, menolak sukma, melarang sukma daripada mengetuai segala hal, dan tidak memberi kedudukan kepada sukma dalam segala hal; sebaliknya, kita mematikan sukma melalui Roh Kudus serta membenarkan Roh Kudus mematikan hayat sukma dan menanggulangi aktiviti sukma melalui salib.”

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA
(Bahagian 4/4)

(Pengetahuan Hayat, Bab 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 2:14-15 “Tetapi manusia sukmawi tidak menerima hal-hal Roh Tuhan, kerana hal-hal ini ialah kejahilan baginya dan dia tidak dapat faham kerana hal-hal ini ditamyizkan secara rohani. Sebaliknya, manusia rohani mentamyizkan segala sesuatu, tetapi dia sendiri tidak ditamyizkan seorang pun.”

III. SEJENIS KEADAAN YANG TIDAK NORMAL

Kita telah melihat bahawa manusia yang jatuh, disebabkan rohnya mati, hanya boleh hidup melalui sukma. Akan tetapi, kita yang telah diselamatkan dan mempunyai roh yang telah dihidupkan dapat hidup melalui roh. Lagipun, Tuhan menyelamatkan kita agar kita dapat kembali kepada roh dan hidup melalui roh. Kejatuhan manusia menyebabkan manusia jatuh dari roh ke sukma, menyebabkan manusia tidak hidup melalui roh tetapi hidup melalui sukma. Penyelamatan Tuhan menyelamatkan manusia daripada sukma kepada roh agar manusia tidak hidup melalui sukma tetapi hidup melalui roh. Namun demikian, banyak orang yang telah diselamatkan masih tidak hidup sedemikian. Sesetengah orang masih kekal berada dalam sukma dan hidup melalui sukma kerana mereka tidak mengetahui perbezaan antara roh dengan sukma serta hal-hal yang berhubung dengannya, dan tidak mengetahui bahawa Tuhan ingin menyelamatkan mereka daripada sukma untuk hidup dalam roh. Walaupun terdapat sesetengah orang yang mengetahui bahawa roh mereka telah dihidupkan, bahawa roh mereka berbeza daripada sukma mereka, dan bahawa Tuhan menghendaki mereka hidup dalam roh, namun disebabkan mereka sudah biasa hidup melalui sukma dan tidak biasa hidup melalui roh serta tidak mengambil berat tentang kehidupan dalam roh, maka mereka tidak hidup dalam roh tetapi masih kekal berada dalam sukma dan hidup melalui sukma. Orang yang tidak mengetahui perbezaan antara roh dengan sukma dan tidak mengetahui bahawa hasrat Tuhan ialah kita diselamatkan daripada sukma untuk hidup dalam roh, beranggapan bahawa hidup melalui minda, emosi, atau tekad dalam sukma adalah wajar dan wajib. Mereka beranggapan bahawa asalkan mereka berwaspada dan tidak bersalah, itu sudah memadai. Akan tetapi, mereka tidak mengetahui bahawa bagi orang Kristian, keadaan ini terlalu teruk. Tuhan bukan sekadar ingin menyelamatkan kita daripada keadaan bersalah kepada keadaan tidak bersalah, malah Dia ingin menyelamatkan kita daripada sukma kepada roh. Dia bukan sekadar menghendaki kita menjalani kehidupan yang tidak bersalah, malah menghendaki kita menjalani kehidupan yang rohani, iaitu kehidupan rohani yang tidak bersalah—menjalani kehidupan tidak bersalah yang bukan melalui sukma tetapi melalui roh. Namun, disebabkan kejahilan, banyak orang Kristian masih hidup melalui sukma, malah berusaha dan bergelut melalui hayat sukma untuk menjadi orang yang tidak bersalah. Walaupun roh mereka telah dihidupkan, tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka harus menggunakan roh dan hidup melalui roh. Mereka hanya menggunakan kekuatan sukma untuk menjadikan diri mereka orang yang sempurna yang menjalani sejenis kehidupan yang memuaskan. Pandangan dan penilaian mereka terhadap perkara serta kegemaran dan kecenderungan mereka, semuanya berada dalam sukma, bukan dalam roh. Sungguhpun mereka orang Kristian yang bertertib dan mempunyai gerak-laku yang tanpa tuduhan, namun mereka masih hidup dalam sukma, bukan dalam roh. Biarpun fikiran mereka bersih, emosi mereka wajar, dan keputusan mereka tepat, namun mereka tetap sukmawi, tidak rohani. Bagi orang Kristian, keadaan mereka itu tidak normal. Mereka menjalani kehidupan orang Kristian yang tidak normal. Meskipun mereka boleh berjaya, tetapi mereka hanya memuaskan diri sendiri. Kadangkala, ada orang yang benar-benar berpuas hati dengan kejayaan mereka (kejayaan yang memang diragui); tetapi mereka tidak dapat diperkenan Tuhan kerana Tuhan menghendaki manusia diselamatkan daripada sukma dan hidup melalui roh.

Sesetengah orang yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang perbezaan antara roh dengan sukma serta hasrat Tuhan terhadap kita agar kita diselamatkan daripada sukma dan hidup dalam roh, namun mereka masih hidup melalui sukma; maka mereka juga menjalani kehidupan orang Kristian yang tidak normal. Walaupun mereka mengetahui bahawa roh mereka telah dihidupkan tetapi mereka tidak hidup melalui roh. Walaupun mereka mengetahui bahawa Tuhan menghendaki mereka diselamatkan daripada sukma dan hidup dalam roh tetapi mereka masih kekal berada dalam sukma dan hidup melalui sukma. Walaupun mereka mengetahui bahawa manusia harus menghubungi Tuhan dalam roh tetapi mereka masih menggunakan sukma untuk menyentuh hal-hal Tuhan. Mereka mengetahui bahawa mereka mempunyai roh tetapi mereka tidak menggunakan roh. Mereka mengetahui bahawa mereka harus hidup melalui roh tetapi mereka tidak hidup dalam roh. Mereka mudah menggunakan sukma, mudah menggunakan minda, emosi, atau tekad dalam sukma, dan tidak biasa menggunakan roh; maka mereka mengabaikan kehidupan melalui roh. Setiap kali berlakunya hal, mereka selalu menggunakan minda, emosi, atau tekad terlebih dahulu untuk menanggulangi hal itu; mereka bukan menggunakan roh terlebih dahulu untuk menghubungi hal itu. Paling-paling pun mereka hanya dapat menjadi seorang Kristian yang baik dan tidak bersalah (ini memang diragui); mereka tidak dapat menjadi seorang Kristian yang rohani. Mereka hanya dapat memuaskan diri mereka tetapi tidak dapat diperkenan Tuhan. Mereka hanya dapat dipuji manusia tetapi tidak dapat menerima pujian Tuhan. Mereka masih memerlukan penyelamatan Tuhan—bukan penyelamatan daripada dosa tetapi penyelamatan daripada sukma; bukan penyelamatan daripada tubuh daging cemar yang dikutuk manusia tetapi penyelamatan daripada sukma bersih yang dipuji manusia. Kalau tidak, mereka masih merupakan orang asing dan orang luar terhadap hal-hal Roh Tuhan.

IV. JALAN UNTUK DISELAMATKAN DARIPADA SUKMA

Bagaimanakah kita dapat diselamatkan daripada sukma? Ini memerlukan wahi dari dua aspek: Satu aspek berkenaan sukma, dan satu aspek lagi berkenaan salib. Kita perlu melihat bahawa sukma tidak berupaya dalam hal-hal Tuhan dan tidak bernilai dalam hal-hal rohani. Tidak kira betapa baik dan kuatnya mana-mana bahagian sukma kita, bahagian itu masih tidak dapat menanggap hal-hal Tuhan atau memahami hal-hal rohani. Tidak kira betapa bersihnya minda kita, betapa wajarnya emosi kita, dan betapa tepatnya tekad kita, semua ini tidak dapat menjadikan kita rohani. Kita juga perlu sedar bahawa sukma kita dan segala apa yang kepunyaannya telah dipakukan di atas salib Kristus. Dalam Galatia 2:20, apabila dutus berkata, “Aku telah disalibkan bersama dengan Kristus”, “aku” yang dirujuknya ialah sukma. Sukma, dalam penilaian Tuhan, hanya layak untuk mati. Dan sukma kita telah dibereskan Tuhan melalui salib Kristus. Justeru, kita tidak harus menghargai hal-hal dalam sukma kita; sebaliknya, kita hanya harus mengaku bahawa sukma kita patut mati, layak mati, dan sudah mati. Wahi dan visi sedemikian membolehkan kita mengutuk sukma, menyangkal sukma, menolak sukma, melarang sukma daripada mengetuai segala hal, dan tidak memberi kedudukan kepada sukma dalam segala hal; sebaliknya, kita mematikan sukma melalui Roh Kudus serta membenarkan Roh Kudus mematikan hayat sukma dan menanggulangi aktiviti sukma melalui salib.

Kita perlu melihat bahawa sukma sungguh tidak berupaya di hadapan Tuhan, sungguh tidak dapat mengerti hal-hal Tuhan dan tidak dapat diperkenan Tuhan. Kita juga perlu melihat bagaimana Tuhan menilai sukma dan bagaimana Tuhan menanggulangi sukma, dengan itu barulah kita dapat menyangkal sukma, menolak sukma, dan diselamatkan daripada sukma. Sehubungan itu, kita harus memohon kepada Tuan agar membolehkan kita bukan sahaja mengenali ketidakupayaan sukma, tetapi juga mengenali penanggulangan salib terhadap sukma; dengan itu, dalam segala hal kita akan belajar menolak sukma dan tidak hidup melalui sukma. Orang yang berada dalam minda harus menolak kerasionalannya dalam segala hal rohani; dia harus dengan sepenuhnya mengetepikan fungsi-fungsi seperti berfikir dan bertimbang, lalu berpaling kepada roh dengan menggunakan roh untuk menyentuh perasaan Tuhan. Semasa dia membaca Bible, berdoa atau membicarakan hal-hal rohani, dia harus menolak fikiran, imaginasi, teori, dan kajiannya tetapi mengikut perasaan dalam rohnya dengan rapat, serta maju dalam persekutuan Tuhan. Orang yang penuh emosi harus menolak emosinya dalam segala hal dan tidak membenarkan emosinya memimpin dan mengarah, tetapi membenarkan Roh Kudus menanggulangi emosinya; dengan demikian dia dapat memahami maksud Tuhan dalam roh. Dia harus takut akan emosinya seperti takut akan dosa, dan hidup dalam roh dengan takut dan gementar, tidak dikawal atau dipengaruhi oleh emosinya. Orang yang berada dalam tekad harus melihat tekadnya sebagai musuh Tuhan dalam hal-hal Tuhan, sebagai seteru roh; dengan demikian dia akan mengutuk, menolak, dan menyangkal tekadnya. Dia harus membenarkan Roh Kudus menghancurkan tekadnya dengan salib supaya dia tidak hidup di hadapan Tuhan melalui tekadnya yang teguh tetapi hidup melalui perasaan dalam rohnya. Tidak kira kita berada dalam mana-mana bahagian sukma, kita harus mengutuk dan menolaknya. Sama ada minda, emosi, atau tekad kita, semuanya perlu dihancurkan dan ditanggulangi. Dalam segala hal Tuhan, kita harus menolak pimpinan minda, emosi, dan tekad. Sebaliknya, kita harus membenarkan roh menduduki tempat pertama untuk memerintah, mengawal, dan menggunakan minda, emosi, dan tekad kita. Dengan cara ini, kita dapat diselamatkan daripada sukma. Dari satu segi, kita dapat menggunakan semua organ dalam sukma melalui roh kita, dan dari segi yang lain, kita tidak akan hidup melalui sukma; justeru kita tidak akan bersifat sukmawi tetapi bersifat rohani.

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 3/4)
TIGA HAYAT DAN EMPAT HUKUM (Bahagian 1/6)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)