Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 3/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 2/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 4/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 3/4)
2020-08-31 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (125)

Nota Editor:

“Manusia sukmawi selalunya digelar oleh orang sebagai ‘orang baik’. Dia biasanya tidak ada cacat cela di mata orang. Akal yang waras selalunya mengundang pujian untuk orang yang bertindak melaluinya. Emosi yang sederhana selalunya menerima perkenan untuk orang yang hidup dalamnya. Tekad yang teguh juga mendapat sanjungan untuk orang yang berperilaku dalamnya. Akan tetapi, orang yang hidup dalam semua ini biarpun bukan hidup dalam dosa, tetapi dia juga bukan hidup dalam roh.”

“Walaupun manusia rohani juga mempunyai sukma, dan meskipun minda, emosi, dan tekad dalam sukma mereka mungkin lebih kuat dan lebih kaya daripada manusia sukmawi yang umum, namun mereka tidak hidup melalui bahagian-bahagian sukma ini dan juga tidak hidup dalamnya. Mereka hidup melalui roh dan dalam roh, dan mereka membenarkan roh menjadi tuan dan sumber bagi tindakan dan tingkah laku mereka...Sukma dalam mereka pula mengambil kedudukan patuh.”

“Apabila mereka menghadapi suatu perkara, mereka tidak terlebih dahulu menggunakan minda, emosi, atau tekad dalam sukma untuk menghubungi dan menanganinya; sebaliknya mereka terlebih dahulu menggunakan roh untuk menyentuh dan merasainya, terlebih dahulu mencari perasaan Tuan dalam roh terhadap perkara yang dihadapi mereka. Setelah mereka menyentuh perasaan Tuan dalam roh mereka, mereka menggunakan minda dalam sukma untuk memahami perasaan dalam roh, kemudian menggunakan emosi dalam sukma untuk mengungkapkannya, dan menggunakan tekad dalam sukma untuk melaksanakannya.”

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA
(Bahagian 3/4)

(Pengetahuan Hayat, Bab 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 2:14-15 “Tetapi manusia sukmawi tidak menerima hal-hal Roh Tuhan, kerana hal-hal ini ialah kejahilan baginya dan dia tidak dapat faham kerana hal-hal ini ditamyizkan secara rohani. Sebaliknya, manusia rohani mentamyizkan segala sesuatu, tetapi dia sendiri tidak ditamyizkan seorang pun.”

II. MANUSIA SUKMAWI DAN MANUSIA ROHANI

A. Manusia Sukmawi

Tidak kira sama ada seseorang itu berada dalam minda, emosi, atau tekad, dia berada dalam sukma. Tidak kira sama ada seseorang itu hidup dalam minda, emosi, atau tekad, dia hidup dalam sukma. Tidak kira sama ada seseorang itu hidup melalui minda, emosi, atau tekad, dia hidup melalui sukma. Oleh itu, kita mudah sekali menilai sama ada seseorang itu sukmawi atau tidak. Kita hanya perlu melihat sama ada dia bertindak melalui minda, emosi atau tekad, dan sama ada dia hidup dalam minda, emosi, atau tekad. Selagi dia bertindak atau berkelakuan melalui mana-mana satu daripada tiga bahagian ini, atau selagi dia hidup dalam mana-mana satu daripada tiga bahagian ini, dia seorang manusia sukmawi.

Manusia sukmawi selalunya digelar oleh orang sebagai “orang baik”. Dia biasanya tidak ada cacat cela di mata orang. Akal yang waras selalunya mengundang pujian untuk orang yang bertindak melaluinya. Emosi yang sederhana selalunya menerima perkenan untuk orang yang hidup dalamnya. Tekad yang teguh juga mendapat sanjungan untuk orang yang berperilaku dalamnya. Akan tetapi, orang yang hidup dalam semua ini biarpun bukan hidup dalam dosa, tetapi dia juga bukan hidup dalam roh. Sungguhpun dia seolah-olah tidak berdosa dan tidak bersalah di hadapan manusia, tetapi rohnya tersekat dan pemahaman rohaninya lembam di hadapan Tuhan.

Pernah pada suatu kali, saya bertemu dengan seorang rakan sekerja di suatu tempat. Kelakuannya sangat baik, tetapi dia terlalu hidup dalam minda atau otak, maka susah bagi dia memahami atau mengerti hal-hal rohani. Setiap kali saya berbicara dengannya tentang hal melayan Tuhan, saya agak takut untuk melihat biji matanya yang bergerak. Ketika saya berbicara, dia akan mendengar sehingga dia hampir mendapat maksud saya, tetapi sebaik sahaja biji matanya bergerak, dia keliru lagi. Apabila biji matanya bergerak, ini bermaksud bahawa mindanya sedang membuat pertimbangan. Dia hanya menggunakan mindanya untuk membuat pertimbangan tetapi tidak menggunakan rohnya untuk menyentuh hal-hal Tuhan. Oleh itu, amat susah bagi dia mengerti dan menanggap-faham hal-hal rohani.

Lazimnya, fikiran merupakan masalah dan halangan kepada dikbang dalam hal-hal rohani. Banyak dikbang selalu menggunakan fikiran untuk menanggulangi hal-hal rohani. Mereka menyangka bahawa mereka dapat memahami hal-hal rohani dengan menggunakan minda mereka. Mereka tidak mengetahui bahawa minda, sebagai satu bahagian daripada sukma, tidak dapat memahami roh. Seorang yang hidup dalam minda bererti dia hidup dalam sukma, dan dia pasti menjadi seorang manusia sukmawi yang tidak mempunyai pemahaman dan pengertian terhadap hal-hal rohani.

Sebagaimana minda ialah masalah kepada dikbang dalam hal-hal rohani, begitu juga emosi ialah halangan kepada dikkak. Banyak dikkak tidak dapat memahami atau mengerti hal-hal rohani kerana mereka penuh emosi. Dalam gereja-gereja di banyak tempat, saya pernah melihat banyak dikkak yang sangat baik—bersungguh hati, berbelas kasihan, berwaspada dalam tingkah-laku, dan berkelakuan wajar—namun mereka kekurangan perasaan dalam hal-hal rohani dan hampir tidak dapat memahaminya. Ini kerana mereka terlalu hidup dalam emosi dan terlalu bertindak mengikut emosi. Emosi nampaknya bukan dosa, tetapi emosi menyebabkan mereka tidak dapat hidup dalam roh, tidak dapat menyentuh hal-hal Tuhan dengan roh, tidak dapat mempunyai kecelikan rohani, dan tidak dapat memahami hal-hal rohani. Emosi ialah perangkap mereka yang menyebabkan mereka terus berada dalam lingkungan sukma, hidup melalui sukma, dan menjadi manusia sukmawi.

Bagi banyak dikbang, tekad juga merupakan satu masalah dan halangan dalam pemahaman mereka terhadap hal-hal rohani. Malahan sesetengah dikkak juga mempunyai masalah ini. Mereka terlalu menilai dan memutuskan perkara dengan tekad mereka sehinggakan tanpa disedari mereka hidup dalam sukma dan tidak dapat mempunyai perasaan atau pemahaman rohani dalam hal-hal rohani.

Jika seseorang berada dalam mana-mana bahagian sukma, dia akan sangat mudah bertindak dengan bahagian itu dan hidup dalam bahagian itu. Setiap kali seseorang yang berada dalam minda menemui masalah, dia dengan spontan akan memikirkan hal itu berulang kali dan mempertimbangkannya dari pelbagai sudut. Seseorang yang penuh emosi akan secara tidak sedar menekankan emosi sewaktu berurusan dengan orang lain dan membuat kerja. Seseorang yang bertekad kuat pula sangat mudah bersandar pada tekadnya sewaktu berhadapan dengan orang dan perkara, lalu membuat ketetapan yang teguh dan keputusan yang tidak dapat diubah. Apabila seseorang itu secara mudah dan spontan hidup dalam salah satu bahagian sukma, dia semestinya kepunyaan bahagian itu. Seandainya kamu melihat seseorang yang dengan semula jadi memikirkan, mempertimbangkan, menilai, dan mengukur setiap perkara, maka kamu boleh memutuskan bahawa dia pasti seorang yang bertindak mengikut akal budi; maka seorang yang berada dalam minda. Katakan seseorang mudah terangsang ketika menghadapi perkara, cepat bersenyum dan cepat menangis, sekejap gembira dan sekejap murung, maka kamu boleh mengetahui bahawa dia pasti seorang yang penuh emosi; maka dia seorang yang berada dalam emosi. Jika setiap kali kamu menghadapi sesuatu perkara, kamu merancang dan membuat keputusan tanpa sebarang usaha, dan tekad kamu keluar menangani perkara itu dan berfungsi tanpa perlu melatih guna tekad secara sengaja, maka tanpa diragui kamu pasti seorang yang kuat dalam tekad; maka kamu seorang yang berada dalam tekad. Kalau mana-mana bahagian sukma seseorang itu kuat atau kaya, maka setiap kali dia menghadapi suatu perkara, bahagian itulah yang biasanya akan tampil untuk menangani perkara itu. Sekiranya salah satu bahagian dalam sukma seseorang menjadi yang pertama untuk menangani sesuatu perkara, itulah buktinya bahawa dia berada dalam bahagian itu dan itu juga bukti bahawa dia orang sukmawi.

B. Manusia Rohani

Sekiranya kita dapat mengenali jenis manusia yang sukmawi, maka tidaklah sukar bagi kita mengetahui jenis manusia yang rohani. Memandangkan manusia sukmawi hidup melalui minda, emosi, atau tekad, maka manusia rohani pasti seorang yang tidak hidup melalui semua ini. Oleh sebab manusia sukmawi hidup melalui sukma dan tidak hidup melalui roh, maka manusia rohani semestinya hidup dalam roh dan tidak hidup dalam sukma. Walaupun manusia rohani juga mempunyai sukma, dan meskipun minda, emosi, dan tekad dalam sukma mereka mungkin lebih kuat dan lebih kaya daripada manusia sukmawi yang umum, namun mereka tidak hidup melalui bahagian-bahagian sukma ini dan juga tidak hidup dalamnya. Mereka hidup melalui roh dan dalam roh, dan mereka membenarkan roh menjadi tuan dan sumber bagi tindakan dan tingkah laku mereka. Roh menduduki tempat pertama dalam mereka, merupakan sumber tingkah laku mereka dan titik tolak tindakan mereka. Sukma dalam mereka pula mengambil kedudukan patuh. Sungguhpun minda, emosi, dan tekad dalam sukma mereka juga berfungsi, tetapi semua ini tertakluk di bawah kawalan roh dan dikawal oleh roh. Walaupun mereka juga menggunakan minda, emosi, atau tekad, namun mereka selalu mengikut perasaan roh semasa menggunakan organ-organ sukma ini. Mereka tidak seperti manusia sukmawi yang membenarkan sukma menjadi tuan dalam segala hal, membenarkan minda, emosi, atau tekad dalam sukma tampil untuk memimpin dan berfungsi. Mereka menyangkal tempat pertama sukma dan menolak pimpinan daripada minda, emosi, atau tekad. Sebaliknya mereka membenarkan roh menjadi tuan dalam mereka untuk mengawal seluruh diri mereka agar mereka mengikut perasaan roh. Apabila mereka menghadapi suatu perkara, mereka tidak terlebih dahulu menggunakan minda, emosi, atau tekad dalam sukma untuk menghubungi dan menanganinya; sebaliknya mereka terlebih dahulu menggunakan roh untuk menyentuh dan merasainya, terlebih dahulu mencari perasaan Tuan dalam roh terhadap perkara yang dihadapi mereka. Setelah mereka menyentuh perasaan Tuan dalam roh mereka, mereka menggunakan minda dalam sukma untuk memahami perasaan dalam roh, kemudian menggunakan emosi dalam sukma untuk mengungkapkannya, dan menggunakan tekad dalam sukma untuk melaksanakannya. Meskipun mereka menggunakan organ-organ sukma, tetapi mereka bukan sukmawi dan tidak hidup melalui hayat sukma. Mereka adalah rohani dan hidup melalui hayat rohani, sedangkan sukma hanyalah organ yang digunakan oleh mereka. (bersambung...)

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 2/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)