Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 2/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 1/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 3/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 2/4)
2020-08-30 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (124)

Nota Editor:

“Sifat sukma tidak sepadan dengan hal-hal Roh Tuhan, maka sukma tidak mahu dan tidak menerima hal-hal Tuhan. Tambahan pula, sukma tidak berkeupayaan untuk memahami hal-hal Tuhan. Oleh itu, terhadap hal-hal Roh Tuhan, seorang yang hidup melalui sukma dan bersifat sukmawi tidak ada perasaan, tidak berminat, dan tidak berhasrat; dan dia juga tidak mencarinya, tidak menerimanya, malah tidak dapat memahaminya.”

“Seorang dikbang atau dikkak yang hidup melalui sukma mungkin sangat baik, berkelakuan tertib, dan berakhlak mulia, tetapi dia pasti tidak dapat memahami hal-hal rohani, malahan tidak mendahagakan hal-hal rohani...Mereka sangat berhati-hati dalam tingkah laku mereka, dan kelakuan mereka boleh dikatakan tidak ada cacat cela, namun terhadap hal-hal rohani, mereka tidak mempunyai pemahaman langsung dan juga tidak berhasrat menuntutnya. Mereka menilai diri mereka dan orang lain menurut standard moral manusia, baik dan jahat, betul dan salah. Dalam segala hal, mereka kekurangan perasaan dan pandangan dalaman Roh Tuhan.”

“Atas sebab ini, Tuhan perlu menyelamatkan kita daripada sukma agar kita tidak hidup melalui sukma. Dengan itu, Dia dapat menjadikan kita mendambakan, memahami, dan menerima hal-hal Roh-Nya.”

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA
(Bahagian 2/4)

(Pengetahuan Hayat, Bab 8)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 2:14-15 “Tetapi manusia sukmawi tidak menerima hal-hal Roh Tuhan, kerana hal-hal ini ialah kejahilan baginya dan dia tidak dapat faham kerana hal-hal ini ditamyizkan secara rohani. Sebaliknya, manusia rohani mentamyizkan segala sesuatu, tetapi dia sendiri tidak ditamyizkan seorang pun.”

B. Ketidakupayaan Sukma dalam Hal-hal Rohani

Satu Korintus 2:14 berkata, “manusia sukmawi tidak menerima hal-hal Roh Tuhan...dan dia tidak dapat faham.” Kata-kata ini berbicara dengan jelas dan menyeluruh tentang keadaan sukma terhadap hal-hal Roh Tuhan. Sukma “tidak menerima” hal-hal Roh Tuhan dan “tidak dapat faham”. Sukma tidak mengingini dan juga tidak menerima hal-hal Roh Tuhan; biarpun sukma hendak menerimanya, sukma tidak dapat menerimanya kerana sukma tidak dapat mengetahui atau memahaminya. Sifat sukma tidak sepadan dengan hal-hal Roh Tuhan, maka sukma tidak mahu dan tidak menerima hal-hal Tuhan. Tambahan pula, sukma tidak berkeupayaan untuk memahami hal-hal Tuhan. Oleh itu, terhadap hal-hal Roh Tuhan, seorang yang hidup melalui sukma dan bersifat sukmawi tidak ada perasaan, tidak berminat, dan tidak berhasrat; dan dia juga tidak mencarinya, tidak menerimanya, malah tidak dapat memahaminya. Atas sebab ini, Tuhan perlu menyelamatkan kita daripada sukma agar kita tidak hidup melalui sukma. Dengan itu, Dia dapat menjadikan kita mendambakan, memahami, dan menerima hal-hal Roh-Nya.

Kita harus jelas tentang ketidakupayaan sukma dalam hal-hal rohani dan memandang berat akan perkara ini. Sukma tidak menerima hal-hal Roh Tuhan dan tidak dapat memahaminya. Seorang dikbang atau dikkak yang hidup melalui sukma mungkin sangat baik, berkelakuan tertib, dan berakhlak mulia, tetapi dia pasti tidak dapat memahami hal-hal rohani, malahan tidak mendahagakan hal-hal rohani. Saya pernah menemui banyak dikbang dan dikkak yang sedemikian. Mereka sangat berhati-hati dalam tingkah laku mereka, dan kelakuan mereka boleh dikatakan tidak ada cacat cela, namun terhadap hal-hal rohani, mereka tidak mempunyai pemahaman langsung dan juga tidak berhasrat menuntutnya. Mereka menilai diri mereka dan orang lain menurut standard moral manusia, baik dan jahat, betul dan salah. Dalam segala hal, mereka kekurangan perasaan dan pandangan dalaman Roh Tuhan. Mereka mungkin mempunyai minda yang waras dan akal budi yang kuat, namun roh mereka tidak terang dan perasaan roh mereka tidak sensitif. Kamu boleh menggelar mereka sebagai orang Kristian yang baik, tetapi kamu tidak dapat menggelar mereka sebagai orang Kristian yang rohani. Berkenaan kelakuan mereka, mereka betul-betul baik. Mereka tahu bagaimana bertingkah laku dan bagaimana mengendalikan hal-hal; mereka pandai dan pintar, tekun dan teliti. Akan tetapi, sebaik sahaja mereka menyentuh hal-hal Roh Tuhan, mereka bingung. Mereka seolah-olah kayu atau batu yang langsung tidak mempunyai perasaan atau pemahaman. Lagipun, hati mereka sentiasa dingin terhadap hal-hal rohani. Mereka bukan sahaja lembam dalam pemahaman, tetapi juga malas dalam penuntutan.

Oleh yang demikian, orang Kristian yang baik tidak semestinya orang Kristian yang rohani. Orang Kristian yang rohani bukan sekadar baik dalam kelakuan, malah juga hidup dalam roh, mempunyai perasaan roh, memahami hal-hal rohani, mengenali jalan Tuhan dari dalam, dan mempunyai kecelikan rohani. Kebaikan dan kerohanian amatlah berbeza. Banyak dikbang dan dikkak adalah baik tetapi tidak rohani; mereka baik tetapi tidak hidup dalam roh. Pada diri mereka, kamu menemui kebaikan tetapi tidak menemui roh, kamu melihat akhlak manusia yang mulia tetapi tidak menghidu rasa Tuhan. Dari satu sudut pandangan yang tertentu, mereka seolah-olah tidak bersifat tubuh daging, namun mereka jelas bersifat sukmawi. Meskipun mereka tidak mengumbar dalam tubuh daging, namun mereka juga tidak hidup dalam roh; meskipun mereka tidak hidup dalam dosa-dosa, namun mereka hidup dalam diri mereka; meskipun mereka tidak bersetuju dengan hal-hal yang berdosa, namun mereka juga tidak mendahagakan hal-hal rohani; meskipun mereka tidak berbuat dosa menurut tubuh daging, namun mereka hidup melalui diri, iaitu sukma. Sukma ialah sumber hayat mereka dan juga sarana kehidupan mereka. Mereka ialah orang yang sukmawi, hidup dalam sukma dan melalui sukma. Oleh itu, mereka tidak mendambakan hal-hal rohani dan juga tidak dapat memahaminya.

C. Isi Kandungan Sukma

Sukma ialah personaliti kita, ego kita; oleh itu, sukma ialah diri kita. Mengikut analisis, apa yang terangkum dalam sukma ialah minda, emosi, dan tekad — tiga bahagian ini. Minda ialah organ pemikiran manusia, yakni apa yang biasa kita katakan sebagai otak, (dari segi fisiologi, itu otak, dan dari segi psikologi, itu minda), dan merupakan bahagian utama dalam sukma. Pemikiran, penaakulan, pertimbangan, dan peringatan manusia, semuanya merupakan fungsi minda dalam sukma. Selepas kejatuhan, kebanyakan manusia, terutamanya manusia hari ini, hidup dalam minda dan dikawal oleh pemikiran minda. Sebagaimana minda manusia berfikir, begitulah manusia berkelakuan. Tindakan manusia biasanya terikat pada fikiran manusia. Jarang-jarang ada orang yang tidak hidup dalam fikirannya. Oleh yang demikian, pada hari ini, sesiapa yang ingin melakukan apa pun, dia akan mula dengan mempengaruhi fikiran orang untuk memperoleh minda orang. Hari ini, terdapat begitu banyak teori, aliran fikiran, dan cara pendidikan yang semuanya hanya bertujuan mempengaruhi fikiran manusia untuk memperoleh minda manusia. Jika kamu dapat memperoleh minda seseorang melalui fikirannya, maka kamu dapat memperoleh dia. Ini kerana manusia hidup dalam minda, iaitu otak, dan dikawal oleh fikiran minda. 

Emosi dalam sukma ialah organ manusia yang mempunyai perasaan sayang, marah, sedih, dan girang. Manusia menyayang, membenci, bergirang, bersedih, teruja atau bermurung; kesemua ini fungsi emosi dalam sukma manusia. Terdapat banyak orang yang terlalu mengikut emosi. Mereka penuh emosi dan mudah dirangsang. Mereka sentiasa menghadapi hal dengan emosi mereka. Orang sebegini biasanya sangat susah dipujuk kalau kamu berhujah dengan mereka menggunakan fikiran, tetapi kamu dapat menggerakkan emosi mereka dengan mudah sekali. Mereka tidak mudah dipujuk dalam minda, tetapi mereka sangat mudah terharu dalam emosi.

Tekad dalam sukma ialah organ manusia untuk membuat keputusan. Manusia membuat keputusan, membuat ketetapan, menilai, memilih, menerima, dan menolak—semua ini fungsi tekad dalam sukma manusia. Sesetengah orang berada dalam minda, sesetengah orang berada dalam emosi, dan sesetengah orang pula berada dalam tekad. Sebagaimana orang yang berada dalam minda atau emosi hidup dalam minda atau emosi mereka, begitu juga orang yang berada dalam tekad hidup dalam tekad mereka. Sebagaimana minda atau emosi masing-masing merupakan bahagian yang paling kuat bagi orang yang hidup dalamnya, begitu juga dengan tekad. Orang yang berada dalam tekad semestinya sangat kuat dalam keputusannya. Sebaik sahaja dia membuat keputusan, kamu tidak dapat mengubah dia. Kamu berhujah dengan dia, tetapi dia tidak menghiraukan hujah; kamu merayu kepada dia dengan emosi, tetapi dia tidak mengendahkan emosi. Dia seorang yang bertindak dengan tekad dan berada dalam tekad.

Apa yang terdapat dalam sukma ialah tiga bahagian ini—minda, emosi, dan tekad. Ketiga-tiga bahagian ini wujud serentak dalam setiap manusia. Setiap manusia mempunyai fikiran, emosi, dan tekad. Walau bagaimanapun, ada orang yang cenderung kepada minda, ada orang yang penuh emosi, dan ada orang yang kuat dalam tekad.

Sesetengah orang sangat waras dalam pemikiran mereka. Tidak kira bagaimana kamu cuba menggerakkan mereka dengan emosi, kamu tidak akan berjaya. Kalau kamu ingin memperoleh mereka, maka kamu perlu menggunakan hujah. Ini kerana mereka hidup dalam minda atau otak, dan merupakan orang yang berakal budi.

Sesetengah orang terutamanya penuh emosi; mereka seolah-olah tidak berotak dan tidak berfikiran, tetapi hanya beremosi. Orang seperti ini selalu mencelarukan perkara dengan emosi mereka. Kalau kamu berhujah dengan mereka, mereka biasanya tidak hirau dan tidak faham, serta tidak tergerak dalam hati mereka. Kalau kamu menggunakan emosi pada mereka, kamu sangat senang menyentuh batin mereka. Bagi mereka, seribu atau sepuluh ribu hujah pun tidak sekuat satu atau dua titis air mata. Kadangkala, tidak kira bagaimana kamu berhujah dengan mereka, kamu tidak dapat memujuk mereka; namun jika kamu hanya menitiskan sedikit air mata, kamu dapat memperoleh mereka. Mereka hanya mengendahkan emosi dan tidak mempedulikan alasan. Ini kerana mereka bukan berakal budi tetapi bersifat emosi.

Sesetengah orang pula terutamanya kuat dalam tekad. Mereka mempunyai cadangan atau idea dalam segala hal, dan sebaik sahaja mereka membuat keputusan, mereka sangat teguh dan tidak mudah berubah. Orang sedemikian biasanya agak stabil dan selalunya degil, tidak menghiraukan emosi ataupun hujah. Dengan tekad mereka yang tegar, mereka mengemukakan idea dan membentuk rancangan dalam segala hal. Kamu berhujah dengan mereka, namun mereka tidak memahaminya. Kamu menggunakan emosi pada mereka, namun mereka tidak tergerak. Ini kerana mereka bukan berakal budi dan juga bukan berada dalam emosi, tetapi berada dalam tekad. (bersambung...)

PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 1/4)
PERBEZAAN ANTARA ROH DENGAN SUKMA (Bahagian 3/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)