Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Menghitung Hari Kita (Bahagian 2/2)
Menghitung Hari Kita (Bahagian 1/2)
Berkenaan Persembahan Kewangan
Menghitung Hari Kita (Bahagian 2/2)
2020-05-27 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (29)

Nota Editor:

“Seorang dikkak yang lanjut usia pernah berkata, ‘Setiap hari dalam hidup seorang Kristian harus dihitung sebagai satu hari. Inilah cara untuk mendapat ganjaran kita.’ Betapa kasihannya, kadangkala sepuluh hari dicampur bersama pun tidak cukup satu hari! Dikbang dan dikkak, alangkah baiknya jika kita dapat menjalani kehidupan Kristian kita dengan hemat. Jika kita menghabiskan hari kita dengan jahil, memberontak menentang Tuhan, berbuat dosa, dan bergerak-hidup menurut kehendak sendiri, maka di mata Tuan hari kita adalah sia-sia dan masa kita dihabiskan tanpa makna. Betapa bazirnya!”

“Dikbang dan dikkak, berapakah tahun kamu dapat hidup di dunia ini? Tujuh puluh tahun? Lapan puluh tahun? Betapa pendeknya hidup kamu! Dalam tempoh yang pendek ini, kamu perlu menolak tahun-tahun sebelum kamu diselamatkan. Berapakah tahun yang masih ada? Dikbang dan dikkak, tahukah kamu berapa tahun lagi kamu akan hidup di dunia ini? Kamu telah hidup selama enam puluh tahun. Mungkin Tuhan akan berkata, ‘Hidup kamu di hadapan-Ku kurang daripada sepuluh tahun.’ Mungkin kamu sudah hidup lima puluh tahun, tetapi Tuhan berkata, ‘Di mata-Ku, kamu sudah hidup beberapa hari sahaja.’ Kasihan sungguh jika semua hari kamu telah dibazirkan.”

“Kamu mungkin berkata, ‘Oh, peluang saya terlepas. Hari saya yang terbaik telah dimakan oleh belalang juta, dan hari yang sudah hilang tidak akan kembali lagi. Apakah yang boleh saya lakukan?’ Syukur kepada Tuan bahawa Dia akan memulihkan hari yang telah dimakan oleh belalang juta. Sekiranya kamu telah membazirkan hari kamu, sepuluh tahun mungkin bersamaan dengan satu hari. Akan tetapi, jika kamu menebus masa, maka satu hari mungkin bersamaan dengan seribu hari. Daud berkata, ‘Kerana satu hari di halaman-halaman-Mu lebih baik daripada seribu hari di tempat lain’ (Mzm. 84:10).”

MENGHITUNG HARI KITA (Bahagian 2/2)

(CWWN SET 2, JIL 38, BAB 45)

**Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yoel 2:25 “Dan Aku akan memulihkan kepadamu tahun-tahun / Yang dimakan belalang juta, / Belalang penjilat, belalang penghapus, dan belalang pengerip, / Yakni angkatan tentera besar-Ku / Yang Aku utus ke kalanganmu.”

Mzm. 84:10a “Kerana satu hari di halaman-halaman-Mu lebih baik daripada seribu hari di tempat lain.”

EMPAT

Kisah Abraham juga menunjukkan kepada kita bahawa dalam sepanjang hidupnya, sesetengah tahun diambil kira dan sesetengah tahun pula tidak diambil kira. Menurut Kisah Para Dutus 7:2-3, semasa Abraham berada di Mesopotamia (iaitu di Ur), Tuhan muncul kepadanya dan berkata, “Keluarlah dari tanah kamu dan daripada sanak saudaramu, dan datanglah ke tanah yang akan Aku tunjukkan kepadamu.” Apakah yang dilakukannya? Dia tidak akan ada kedamaian jika dia tidak patuh; namun dia tidak rela patuh dengan sepenuhnya. Akhirnya, dia patuh separuh sahaja. Tuhan memberitahu dia agar keluar daripada sanak saudaranya, tetapi dia membawa sanak saudaranya bersama-sama. Dia tidak pergi berseorangan tetapi dia membawa anak saudaranya Lot dan bapanya Terah bersama dengannya. Kehendak asal Tuhan ialah dia terus pergi ke Kanaan. Namun dia tiba di Haran lalu tinggal di situ (Kej. 11:31). Inilah keadaan seorang Kristian yang tidak mutlak. Sesetengah orang Kristian bukan dingin sama sekali; mereka masih mempunyai sedikit haba dalam mereka. Namun mereka tidak panas. Inilah keadaan Abraham. Dia meninggalkan Ur-Kasdim, tetapi dia tidak masuk ke dalam Kanaan. Dia seperti seorang Kristian di pertengahan jalan. 

Selepas bapanya Terah mati, Tuhan memanggil Abraham sekali lagi (12:1). Kali ini, Tuhan memanggil dia dari Haran. Kehendak Tuhan tidak tergoyah. Setelah Dia membuat keputusan untuk melakukan sesuatu, Dia pasti akan menyempurnakannya. Tuhan menghendaki Abraham pergi ke Kanaan, dan persinggahan Abraham di Haran tidak mengubah kehendak-Nya sama sekali. Pada kali pertama Tuhan memanggil Abraham, dia hanya patuh separuh. Oleh itu, Tuhan memanggil dia untuk kali kedua. Apabila Abraham patuh kepada Tuhan dengan meninggalkan Haran, dengan serta-merta Bible menunjukkan bahawa dia berumur tujuh puluh lima tahun pada masa itu (12:4). Umurnya di Ur tidak dicatat, dan umurnya di Haran juga tidak dicatat. Akan tetapi, pada saat dia meninggalkan Haran dan pergi ke Kanaan, Bible menunjukkan bahawa umurnya ialah tujuh puluh lima tahun. Ini menunjukkan kepada kita satu permulaan baru dalam hayatnya. Masa yang dihabiskan Abraham di Haran, masa dia berlengah-lengah di pertengahan jalan, adalah masa yang terbazir; Tuhan tidak mengingati masa itu. Dikbang dan dikkak, apabila kita mengimbas kembali masa lalu, kita mendapati bahawa banyak masa kita telah hilang! Kita harus ingat bahawa Tuhan tidak memberi perhatian kepada hari di Haran. Sering kali, kita bergerak-hidup menurut kehendak sendiri. Kita menjadi malas dan mencari keselesaan diri; kita berlengah-lengah di pertengahan jalan. Inilah hari di Haran dan hari yang tidak akan diambil kira. Untuk menerima berkat daripada Tuhan, Abraham harus meninggalkan Haran. Pada tahun dia berumur tujuh puluh lima tahun dia meninggalkan Haran. Pada masa itulah Bible mencatat umurnya dan pada masa itulah Tuhan menganggap bahawa tahun itu wajar dicatat. Tuhan mengingini manusia patuh kepada-Nya secara mutlak!

Bukan pada kali ini sahaja Abraham membazirkan tahun-tahunnya, malah dia juga menderitai kerugian dalam peristiwa memperanakkan seorang anak lelaki. Tuhan berjanji kepada Abraham bahawa dia akan mempunyai seorang anak lelaki. Namun dia menerima cadangan isterinya dan mengahwini Hagar yang merupakan gundiknya. Dia telah melakukan dosa memandai-mandai di mata Tuhan. Kemudian, Hagar melahirkan seorang anak lelaki. Walau bagaimanapun, anak ini dilahirkan daripada daya tubuh daging dan bukannya berlandaskan janji Tuhan. Pada akhir Kejadian 16, dicatatkan bahawa dia berumur lapan puluh enam tahun, tetapi pada permulaan bab tujuh belas, dikatakan bahawa dia berumur sembilan puluh sembilan tahun, dan antara dua bahagian ini, tiga belas tahun sudah hilang. Dalam tiga belas tahun ini, tidak ada catatan berkenaan apa yang dilakukannya. Kita tidak melihat bahawa dia membina mazbah, dan Tuhan tidak muncul kepadanya untuk satu kali pun. Dia tidak menerima sebarang wahi atau janji baru. Hari-hari itu adalah hari yang kosong dan sia-sia. Hari-hari itu adalah masa Ismael membesar. Kita harus ingat bahawa tempoh masa Abraham ini adalah masa yang terbuang dan hilang. Dikbang dan dikkak, adakah kita menerima pengalaman baru, cahaya baru, dan mesej baru dalam beberapa tahun ini? Adakah sesiapa yang diselamatkan menerusi tangan kita dalam beberapa tahun ini? Adakah sesiapa yang menerima bantuan kita dalam beberapa tahun ini? Adakah kita mengenali Tuhan dengan lebih mendalam dalam beberapa tahun ini? Adakah kita mempunyai jaminan yang lebih kukuh terhadap janji-janji-Nya? Adakah kita memperbarui persembahan kita kepada Tuhan? Jika kita tidak ada satu pun daripada pengalaman ini, maka hari kita adalah hari yang terbazir. Seorang dikkak yang lanjut usia pernah berkata, “Setiap hari dalam hidup seorang Kristian harus dihitung sebagai satu hari. Inilah cara untuk mendapat ganjaran kita.” Betapa kasihannya, kadangkala sepuluh hari dicampur bersama pun tidak cukup satu hari! Dikbang dan dikkak, alangkah baiknya jika kita dapat menjalani kehidupan Kristian kita dengan hemat. Jika kita menghabiskan hari kita dengan jahil, memberontak menentang Tuhan, berbuat dosa, dan bergerak-hidup menurut kehendak sendiri, maka di mata Tuan hari kita adalah sia-sia dan masa kita dihabiskan tanpa makna. Betapa bazirnya!

Mengapakah Bible mencatatkan bahawa umur Abraham ialah sembilan puluh sembilan tahun? Hal ini kerana dia telah disunatkan pada tahun itu. Setahun selepas dia disunatkan, dia memperanakkan Ishak. Makna penyunatan ialah penyingkiran tubuh daging. Jika kita bergerak-hidup menurut tubuh daging, tahun-tahun kita terbazir. Semoga mulai hari ini, kita menyingkirkan segala sesuatu yang milik daging dan mempersembahkan diri kita sepenuhnya di atas mazbah, agar kita tidak membazirkan masa kita lagi. Kita tidak harus menunggu lima puluh tahun untuk mendapati bahawa kita telah membazirkan empat puluh sembilan tahun. Kita perlu menghitung berapa hari yang telah kita bazirkan secara jahil dan berapa hari yang masih tinggal. Jika kita menantikan kedatangan Tuan setiap hari, kita akan memberi perhatian kepada cara kita menghabiskan hari kita. 

LIMA

Tuan membicarakan satu ibarat dalam Matius 20 berkenaan seorang tuan rumah yang mengupah pekerja-pekerja untuk kebun anggurnya. Di sini, kita perlu memberi perhatian kepada dua perkataan, iaitu “berdiri lepak”. Tuan rumah itu, “kira-kira jam ketiga, dia keluar dan nampak orang lain yang berdiri lepak di pasar, maka kepada mereka dia berkata, Kamu juga pergi ke kebun anggur” (ay. 3-4). “Kemudian kira-kira jam kesebelas, dia keluar dan mendapati orang lain yang berdiri, dan dia berkata kepada mereka, Mengapa kamu berdiri lepak di sini sepanjang hari?...Kamu juga pergi ke kebun anggur” (ay. 6-7). Ibarat ini menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan tidak mahu kita berdiri lepak; Dia mahu kita bekerja. Ibarat ini juga memberitahu kita bahawa Tuhan mempunyai lingkungan kerja yang ditetapkan-Nya — kebun anggur. Kita mungkin mengatakan bahawa kita sangat sibuk dan kita tidak ada sedikit masa lapang pun. Akan tetapi, adakah kita sibuk di tempat yang betul? Jika kita tidak bekerja di kebun anggur, apakah bezanya hal ini daripada berdiri lepak? Jika kita tidak hidup dalam kehendak Tuhan, tidak kira berapa banyak kerja yang kita lakukan, kita masih berdiri lepak di mata Tuhan. Kita mungkin amat sibuk dengan kerja rohani kita, tetapi Tuhan mungkin berkata, “Mengapa kamu begitu lapang? Kerja di luar kebun bukanlah kerja-Ku.” Walaupun kita amat sibuk, di mata Tuhan, kita sangat lapang. Satu-satunya kerja yang diujiluluskan Tuhan ialah kerja di kebun anggur. Kerja di kebun anggur ialah kerja yang benar-benar datang daripada Tuhan dan untuk Tuhan. Jika kerja kita di luar kehendak Tuhan, maka hari kita adalah hari yang berdiri lepak di mata Tuhan. Tuan rumah itu memberitahu orang yang berdiri pada jam kesebelas, “Mengapa kamu berdiri lepak di sini sepanjang hari?” Sepanjang hari bermakna sepanjang hidup manusia. Dikbang dan dikkak, bagaimana dengan kita? Adakah kita berdiri lepak, atau kita bekerja di kebun anggur? Jangan salah faham. Saya tidak mengatakan bahawa kita perlu menghentikan pekerjaan kita dan menjadi seorang penginjil. Yang paling penting ialah kita jelas tentang kedudukan kita dan mengetahui bahawa kita berdiri pada kehendak Tuhan dalam apa sahaja yang kita lakukan. Bekerja di kebun anggur bermakna bekerja menurut kehendak Tuhan. Terdapat pelbagai jenis kerja di kebun anggur. Ada yang menggali tanah, ada yang menyemai benih, dan ada yang memangkas. Asalkan apa yang kita lakukan adalah untuk kebun anggur, apa sahaja yang kita lakukan adalah bagus. Jangan kita menganggap bahawa kita harus bekerja seperti orang tertentu atau melakukan kerja tertentu, barulah itu dikira sebagai kerja Tuhan. Bukan, kerja Tuhan bukanlah begitu. Asalkan hari kita diluangkan di kebun anggur, hari itu diambil kira. 

Dikbang dan dikkak, mungkin kamu telah diselamatkan selama tiga atau lima tahun, atau mungkin kamu telah diselamatkan selama sepuluh atau dua puluh tahun. Berapa banyakkah masa yang telah kamu habiskan untuk Tuan? Memang benar bahawa kamu telah melakukan banyak hal. Akan tetapi, untuk siapakah kamu melakukan kerja-kerja ini? Selagi kamu pasti bahawa kamu bekerja menurut kehendak Tuhan, apa sahaja yang kamu lakukan adalah baik. Tuhan tidak bermaksud bahawa setiap orang Kristian menghentikan pekerjaan untuk menjadi seorang penginjil. Mungkin ada orang yang mempersembahkan dirinya khusus untuk melakukan kerja penginjilan, namun itu bukan kehendak Tuhan. Persoalannya adalah berkenaan hati kamu dan bagaimana hati kamu terhadap kehendak Tuhan. Justeru, persembahan diri amat diperlukan. Sejak kamu diselamatkan sampai sekarang, jika hati kamu bukan untuk Tuhan, maka hidup kamu adalah berdiri lepak. 

ENAM

Paulus menulis kepada orang Korintus dengan berkata, “Dan aku, dikbang-dikbang, dahulu tidak dapat berbicara kepada kamu seperti kepada manusia rohani, tetapi seperti kepada yang milik daging, seperti kepada bayi dalam Kristus. Aku memberi kamu susu untuk diminum, bukan makanan pejal, kerana kamu belum dapat menerimanya. Malah sekarang pun kamu belum dapat lagi” (1 Kor. 3:1-2). Setakat yang saya tahu, sejak Paulus menginjil di Korintus untuk kali pertama hingga dia menulis buku 1 Korintus, tempohnya hanya beberapa tahun. Akan tetapi, Paulus berasa bahawa percayawan di Korintus tidak bertumbuh. Dia tidak mengatakan bahawa mereka baru menjadi orang Kristian selama beberapa tahun sahaja, maka maklumlah bahawa mereka belum matang. Maksud Paulus ialah mereka seharusnya sudah matang, namun mereka tidak bertumbuh dan telah membazirkan hari mereka. Mereka seharusnya cukup kuat untuk makan makanan pejal, tetapi mereka telah membazirkan hari mereka dan masih bayi yang milik daging. Mereka seharusnya mempunyai pengalaman dalam hal patuh kepada Tuan, bersandar kepada Tuan, dan mengambil jalan Tuan, serta dapat memimpin orang lain. Akan tetapi, mereka masih tidak tahu hal-hal ini. Mereka telah menjadi orang Kristian untuk beberapa tahun, tetapi mereka masih bayi, dan Paulus berasa bahawa hal ini tidak patut berlaku. Dikbang dan dikkak, jika kamu berfikir bahawa kamu harus menjadi seorang bayi kerana kamu hanya diselamatkan untuk beberapa tahun, kamu salah. Berapakah tahun yang kamu ada dalam seumur hidup kamu? Berapakah tahun kamu boleh menjadi seorang Kristian? Jika kamu sudah menjadi seorang percayawan selama lapan atau sepuluh tahun dan masih sama seperti masa kamu dilahirukan—milik daging dan kebudak-budakan—kamu telah membazirkan banyak masa.

Dikbang dan dikkak, berapakah tahun kamu dapat hidup di dunia ini? Tujuh puluh tahun? Lapan puluh tahun? Betapa pendeknya hidup kamu! Dalam tempoh yang pendek ini, kamu perlu menolak tahun-tahun sebelum kamu diselamatkan. Berapakah tahun yang masih ada? Dikbang dan dikkak, tahukah kamu berapa tahun lagi kamu akan hidup di dunia ini? Kamu telah hidup selama enam puluh tahun. Mungkin Tuhan akan berkata, “Hidup kamu di hadapan-Ku kurang daripada sepuluh tahun.” Mungkin kamu sudah hidup lima puluh tahun, tetapi Tuhan berkata, “Di mata-Ku, kamu sudah hidup beberapa hari sahaja.” Kasihan sungguh jika semua hari kamu telah dibazirkan. 

TUJUH

Dikbang dan dikkak, hati saya sakit apabila saya memikirkan hari yang telah kamu bazirkan pada masa lampau. Namun demikian, syukur kepada Tuhan bahawa Dia telah memberi kamu satu pelipuran, iaitu kata-kata dalam Yoel 2:25. Tahun-tahun yang telah dimakan oleh belalang juta akan dipulihkan kepada kamu. Syukur kepada Tuhan bahawa Dia ada jalan. Mungkin kamu sudah berumur enam puluh tahun dan telah membazirkan tiga puluh hingga empat puluh tahun. Kamu mungkin berkata, “Oh, peluang saya terlepas. Hari saya yang terbaik telah dimakan oleh belalang juta, dan hari yang sudah hilang tidak akan kembali lagi. Apakah yang boleh saya lakukan?” Syukur kepada Tuan bahawa Dia akan memulihkan hari yang telah dimakan oleh belalang juta. Sekiranya kamu telah membazirkan hari kamu, sepuluh tahun mungkin bersamaan dengan satu hari. Akan tetapi, jika kamu menebus masa, maka satu hari mungkin bersamaan dengan seribu hari. Daud berkata, “Kerana satu hari di halaman-halaman-Mu lebih baik daripada seribu hari di tempat lain” (Mzm. 84:10). Hari di syurga bukan dihitung mengikut kitar dua puluh empat jam. Tuhan mempunyai cara yang lain untuk menghitung hari. Jika pelayanan kita adalah menurut kehendak Tuhan, maka satu hari akan bersamaan dengan banyak hari. 

Pada masa dahulu, terdapat seorang pemuda yang terjerumus ke dalam dosa dan sudah sakit tenat disebabkan batuk kering. Seorang hamba Tuhan yang lanjut usia pergi kepadanya dan menginjil bahawa Yesus telah menanggung segala dosanya. Dia menasihati pemuda itu agar bertaubat, mengakui dosa-dosanya, dan menerima Tuan Yesus sebagai Penyelamatnya. Mula-mula, pemuda itu berfikir bahawa perkara ini tidak mudah. Dia ragu-ragu sama ada dia, seorang pendosa yang sedemikian dapat diampuni atau tidak. Walau bagaimanapun, akhirnya dia menerima Tuan dan telah diselamatkan. Dia penuh dengan kegirangan dan damai sejahtera. Beberapa hari kemudian, hamba Tuhan yang lanjut usia itu pergi berjumpa dengannya sekali lagi dan mendapati dia penuh dengan kedukaan dan kesedihan, lalu dia bertanya, “Mengapakah kamu begini? Jangan biarkan iblis itu memperdaya kamu!” Dia menjawab, “Bukan, saya tahu bahawa dosa-dosa saya telah diampunkan.” Hamba yang lanjut usia itu bertanya, “Jadi, mengapa kamu masih berduka?” Dia menjawab dengan sedih, “Hari saya di dunia ini sudah hampir tamat. Apabila saya berdiri di hadapan Tuan, apakah yang patut saya beri kepada-Nya? Tangan saya kosong! Bagaimanakah saya dapat pergi kepada Tuan dengan tangan yang kosong?” Dia sedih atas hal ini. Orang tua itu berkata kepadanya, “Dikbang, tidak apa! Gunakan kata-kata kamu ini sebagai subjek dan menulis sebuah kidung berkenaannya. Mungkin ada orang yang akan tersentuh oleh kidung ini dan pergi menginjil lalu memperoleh orang lain. Dengan demikian, ganjaran itu akan menjadi milik kamu.” Kidung yang ditulisnya itu ialah sebuah kidung yang terkemuka, “Bolehkah ku tangan kosong? Berjumpa Dia demikian?” (Kidung, #668). Banyak orang tersentuh oleh kidung ini dan bersungguh hati untuk kerja Tuan. Walaupun pemuda ini kehilangan banyak tahunnya dalam seumur hidupnya, dia mempunyai satu hasrat hati untuk Tuan pada penghujung hayatnya, dan Tuan telah menggenapi hasrat hatinya. 

Dikbang dan dikkak, mari kita semua menghitung hari kita! Semoga hari yang kita hilang dapat dikembalikan kepada kita, dan semoga setiap hari dalam hidup kita bersamaan dengan seribu hari. Semoga kita mengorak setiap langkah kita dalam cahaya kehendak Tuhan!

Menghitung Hari Kita (Bahagian 1/2)
Berkenaan Persembahan Kewangan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)