Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Menghitung Hari Kita (Bahagian 1/2)
Mengurus Kewangan (Bahagian 3/3)
Menghitung Hari Kita (Bahagian 2/2)
Menghitung Hari Kita (Bahagian 1/2)
2020-05-26 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (28)

Nota Editor:

“Hari rohani kita dihitung mengikut keadaan kita di hadapan Tuhan. Apabila kita jauh daripada Tuhan dan mati dalam dosa, hari kita tidak dihitung di mata Tuhan. Akan tetapi, apabila kita bertaubat, berpaling kepada Tuhan, dan bersekutu dengan-Nya, hari rohani kita bermula.”

“Dikbang dan dikkak, berapa lamakah sejarah rohani kamu? Sesetengah daripada kamu sudah lanjut usia; mungkin kamu sudah berumur lima puluh tahun atau enam puluh tahun. Namun demikian, dari segi rohani, kamu hanya berumur satu tahun atau satu bulan. Umur rohani kamu mula dihitung pada hari kamu dilahirukan dan diselamatkan...Selepas kamu percaya kepada Tuan, satu tahun tidak semestinya dihitung sebagai satu tahun. Mungkin kamu sudah menjadi seorang Kristian selama lima tahun, tetapi di mata Tuhan kamu tidak semestinya seorang Kristian yang berumur lima tahun.”

“Orang Israel milik Tuhan; mereka sudah diselamatkan dari Mesir. Bila-bila sahaja mereka ditakluki oleh musuh dan menjadi hamba serta dibelenggu dan tidak dapat melayan Tuhan secara bebas, hari mereka tidak diambil kira. Apabila mereka melayan sesuatu selain daripada Tuhan, hari mereka hilang dan tidak diambil kira di mata Tuhan. Dikbang dan dikkak, kita harus mempertimbangkan bilangan hari yang dapat diambil kira di hadapan Tuhan sejak kita diselamatkan. Mungkin kita sudah percaya kepada Tuan selama lapan atau sepuluh tahun. Berapakah hari dalam tempoh tahun ini kita hidup secara jahil? Berapakah hari dalam masa lampau telah ditolak? Terlalu banyak hari kita yang terbazir! Saya ragu-ragu sama ada hari yang boleh diambil kira di hadapan Tuhan mencapai satu tahun atau tidak apabila ditambah...‘Berapa banyak hari yang telah saya bazirkan? Berapa banyak hari yang boleh diambil kira?’ Setiap hari yang tidak hidup dalam persekutuan dengan Tuhan merupakan hari yang tidak diambil kira. Oleh itu, dikbang dan dikkak, kita semua harus menebus masa.”

MENGHITUNG HARI KITA (Bahagian 1/2)

(CWWN SET 2, JIL 38, BAB 45)

**Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Mzm. 90:12 “Maka ajarlah kami menghitung hari-hari kami / Agar kami beroleh hati yang arif.”

Ef. 5:16-17 “Tebuslah masa, kerana hari adalah jahat. Oleh itu, jangan menjadi jahil; sebaliknya, fahami apa itu kehendak Tuan.”

Dalam Mazmur, Musa berdoa kepada Tuhan, “Ajarlah kami menghitung hari-hari kami / Agar kami beroleh hati yang arif.” Jika hari kita dihitung menurut kalendar, maka satu hari ialah satu hari dan satu tahun ialah satu tahun; ini mudah dihitung. Namun begitu, jika kita menghitung menurut pandangan Tuhan, maka sesetengah tahun dan hari akan diambil kira, manakala sesetengah tahun dan hari yang lain tidak akan diambil kira. Masa kita di bumi terhad. Bagaimanakah kita dapat diperkenan Tuhan dalam tahun dan hari yang begitu terhad? Bagaimanakah satu hari dapat dihitung sebagai satu hari dan satu tahun dapat dihitung sebagai satu tahun? Inilah subjek yang ingin kita perhatikan.

SATU

Terdapat dua susur galur dalam Kejadian 4 dan 5. Bab empat ialah susur galur Kain, manakala bab lima ialah susur galur Set. Cara dua susur galur ini dicatat adalah berbeza. Susur galur Kain amat mudah; dalam susur galur ini tidak tercatat umur Kain dan keturunannya. Susur galur Set pula lebih terperinci; susur galur ini memberitahu kita umur setiap orang apabila orang itu memperanakkan zuriat dan juga bilangan tahun dia hidup. Dalam susur galur ini tercatat umur generasi demi generasi. Berdasarkan fakta bahawa satu susur galur adalah mudah dan yang satu lagi terperinci, kita dapat menelusur prinsip Tuhan menghitung hari kita. Susur galur Kain adalah mudah kerana dia bersalah terhadap Tuhan dan jauh daripada Tuhan; dia tidak bersekutu dengan Tuhan. Susur galur Set adalah terperinci kerana Set menggantikan Habel dan diperkenan Tuhan; dia bersekutu dengan Tuhan. Justeru, hari rohani kita dihitung mengikut keadaan kita di hadapan Tuhan. Apabila kita jauh daripada Tuhan dan mati dalam dosa, hari kita tidak dihitung di mata Tuhan. Akan tetapi, apabila kita bertaubat, berpaling kepada Tuhan, dan bersekutu dengan-Nya, hari rohani kita bermula. 

Apabila orang Israel meninggalkan Mesir, Tuhan mengarahkan mereka dengan berkata, “Bulan ini akan menjadi permulaan semua bulan bagimu; bulan ini akan menjadi bulan pertama dalam setahun bagimu” (Kel. 12:2). Bulan pertama ialah permulaan setahun dan titik permulaan pengiraan. Dalam bulan ini, orang Israel menyembelih anak domba Paskah, meninggalkan Mesir, dan bebas daripada belenggu Firaun. Justeru, Tuhan mengarahkan mereka memanggil bulan ini sebagai bulan pertama. Mulai bulan ini, orang Israel mempunyai permulaan baru di hadapan Tuhan. 

Dikbang dan dikkak, berapa lamakah sejarah rohani kamu? Sesetengah daripada kamu sudah lanjut usia; mungkin kamu sudah berumur lima puluh tahun atau enam puluh tahun. Namun demikian, dari segi rohani, kamu hanya berumur satu tahun atau satu bulan. Umur rohani kamu mula dihitung pada hari kamu dilahirukan dan diselamatkan. Hari kamu menerima penyelamatan Tuan ialah hari permulaan sejarah rohani kamu. Sebelum hari itu, tidak ada tahun rohani yang dihitung di hadapan Tuan. Malah selepas kamu percaya kepada Tuan, satu tahun tidak semestinya dihitung sebagai satu tahun. Mungkin kamu sudah menjadi seorang Kristian selama lima tahun, tetapi di mata Tuhan kamu tidak semestinya seorang Kristian yang berumur lima tahun. Dengan kata lain, selepas kamu menjadi seorang Kristian, sesetengah hari dan tahun tidak diambil kira pada pandangan Tuhan. Kita dapat melihat daripada Bible bahawa sesetengah tahun dilangkaui kerana Tuhan menganggap masa itu sia-sia sahaja, iaitu tahun-tahun yang tidak boleh diambil kira. Dia juga mencatatkan sesetengah tahun dalam Bible sebagai amaran kepada kita. Kita akan mempertimbangkan petikan-petikan berikut dan melihat iktibar-iktibar yang harus kita pelajari. 

DUA

Berapakah tahun dari masa orang Israel meninggalkan Mesir hingga masa membina bait Salomo? Kisah Para Dutus 13:18-22 berkata, “Kira-kira empat puluh tahun..., Dia mendukung mereka seperti pengasuh di gurun tandus. Setelah Dia menggulingkan tujuh bangsa di tanah Kanaan, Dia mengagihkan tanah itu kepada mereka sebagai warisan. Selepas hal-hal ini, kira-kira empat ratus lima puluh tahun..., Dia memberi mereka hakim-hakim hinggalah penyabda Samuel. Kemudian mereka meminta seorang raja; Tuhan memberi mereka Saul anak Kish, seorang daripada suku Benyamin untuk memerintah selama empat puluh tahun. Sesudah menyingkirkan Saul, Tuhan membangunkan Daud sebagai raja untuk mereka.” (Daud menjadi raja selama empat puluh tahun—2 Sam. 5:4). Oleh yang demikian, berapakah tahun dari masa meninggalkan Mesir hingga awal tahun keempat Raja Salomo membina bait? Bilangan tahunnya adalah empat puluh tahun tambah empat ratus lima puluh tahun tambah empat puluh tahun tambah empat puluh tahun, iaitu bersamaan dengan lima ratus tujuh puluh tahun. Lima ratus tujuh puluh tahun tambah tiga tahun lagi sebelum pembinaan bait ialah lima ratus tujuh puluh tiga tahun. Namun 1 Raja-raja 6:1 berkata, “Kemudian pada tahun keempat ratus lapan puluh, selepas bani Israel keluar meninggalkan tanah Mesir, pada tahun keempat pemerintahannya atas Israel, pada bulan Ziw (ini ialah bulan kedua), Salomo mula membina rumah Yehova.” Ayat ini mengatakan empat ratus lapan puluh tahun dan bukannya lima ratus tujuh puluh tiga tahun — perbezaannya ialah sembilan puluh tiga tahun! Mengapakah terdapat perbezaan yang begitu besar? Adakah Kisah Para Dutus yang salah atau 1 Raja-raja yang salah? Tidak, kedua-dua catatan itu betul. Terdapat satu prinsip rohani yang terlibat dalam percanggahan antara dua bilangan tahun ini. Dalam Kisah Para Dutus, catatan empat puluh tahun di gurun tandus adalah betul, catatan empat puluh tahun pemerintahan Saul adalah betul, dan catatan empat puluh tahun Daud juga adalah betul. Bait dibina pada tahun keempat pemerintahan Salomo; justeru, menambahkan tiga tahun sebelum Salomo membina bait kepada tempoh itu adalah betul. Percanggahan itu berlaku dalam tempoh empat ratus lima puluh tahun. Satu Raja-raja kekurangan sembilan puluh tiga tahun berbanding dengan Kisah Para Dutus. Ke manakah sembilan puluh tiga tahun itu pergi? Apabila kita mengkaji Hakim-hakim, kita menemui satu fakta: Dalam jangka masa itu, orang Israel ditindas beberapa kali oleh bangsa yang beragama asing. Mari kita melihat bilangan tahun mereka di bawah penindasan.

Hakim-hakim 3:8 berkata, “Maka membaralah kemurkaan Yehova terhadap orang Israel, dan Dia menjual mereka ke dalam tangan Kusyan-Risyataim Raja Mesopotamia. Dan bani Israel melayan Kusyan-Risyataim selama lapan tahun.” Inilah penindasan pertama yang dideritai orang Israel selama lapan tahun. Ayat 14 berkata, “Dan bani Israel melayan Eglon Raja Moab selama lapan belas tahun.” Inilah penindasan kedua yang dideritai orang Israel selama lapan belas tahun. Hakim-hakim 4:2-3 berkata, “Dan Yehova menjual mereka ke dalam tangan Yabin Raja Kanaan yang memerintah di Hazor. Dan ketua angkatan tenteranya ialah Sisera yang tinggal di Haroset-Hagoyim. Dan bani Israel berseru kepada Yehova disebabkan dia mempunyai sembilan ratus kereta besi, dan dia menindas bani Israel dengan keras selama dua puluh tahun.” Inilah penindasan ketiga yang dideritai orang Israel selama dua puluh tahun. Hakim-hakim 6:1 berkata, “Kemudian, bani Israel melakukan apa yang jahat di mata Yehova, dan Yehova menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Midian selama tujuh tahun.” Inilah penindasan keempat yang dideritai orang Israel selama tujuh tahun. Hakim-hakim 13:1 berkata, “Kemudian, bani Israel sekali lagi melakukan apa yang jahat di mata Yehova, dan Yehova menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Filistin selama empat puluh tahun.” Inilah penindasan kelima yang dideritai orang Israel; mereka melayan orang Filistin selama empat puluh tahun. Berapakah jumlah tahun dalam kelima-lima penindasan oleh bangsa yang beragama asing? Semuanya lapan tahun tambah lapan belas tahun tambah dua puluh tahun tambah tujuh tahun tambah empat puluh tahun. Berapakah jumlahnya? Tepat-tepat sembilan puluh tiga tahun, tidak lebih dan tidak kurang. Sekarang kita faham akan percanggahan antara catatan dalam 1 Raja-raja dan Kisah Para Dutus. Dalam Kisah Para Dutus, Paulus berbicara tentang sejarah; oleh itu, dia memasukkan sembilan puluh tiga tahun itu. Satu Raja-raja pula menekankan keadaan orang Israel di hadapan Tuan, maka sembilan puluh tiga tahun tidak dihitung. Inilah sebabnya catatan 1 Raja-raja mengatakan empat ratus lapan puluh tahun. 

Bahawa sembilan puluh tiga tahun ini tidak dihitung membawa makna yang besar. Tahun-tahun ini adalah tahun-tahun yang hilang. Bila-bila masa orang Israel kehilangan kebebasan mereka, melayan bangsa yang beragama asing, dan tidak mempunyai hakim, masa mereka itu tidak dihitung. Orang Israel milik Tuhan; mereka sudah diselamatkan dari Mesir. Bila-bila sahaja mereka ditakluki oleh musuh dan menjadi hamba serta dibelenggu dan tidak dapat melayan Tuhan secara bebas, hari mereka tidak diambil kira. Apabila mereka melayan sesuatu selain daripada Tuhan, hari mereka hilang dan tidak diambil kira di mata Tuhan. Dikbang dan dikkak, kita harus mempertimbangkan bilangan hari yang dapat diambil kira di hadapan Tuhan sejak kita diselamatkan. Mungkin kita sudah percaya kepada Tuan selama lapan atau sepuluh tahun. Berapakah hari dalam tempoh tahun ini kita hidup secara jahil? Berapakah hari dalam masa lampau telah ditolak? Terlalu banyak hari kita yang terbazir! Saya ragu-ragu sama ada hari yang boleh diambil kira di hadapan Tuhan mencapai satu tahun atau tidak apabila ditambah. Kita harus menyedari bahawa hari kita hidup menurut hasrat orang, hari kita hidup terpisah daripada Tuhan, dan hari kegagalan dan kemerosotan tidak diambil kira di mata Tuhan. Kita sudah menjadi orang Kristian sekian lama. Mari kita menanya diri kita, “Berapa banyak hari yang telah saya bazirkan? Berapa banyak hari yang boleh diambil kira?” Setiap hari yang tidak hidup dalam persekutuan dengan Tuhan merupakan hari yang tidak diambil kira. Oleh itu, dikbang dan dikkak, kita semua harus menebus masa.

TIGA

Kita tidak harus berfikir bahawa hari yang telah kita hilang itu tidak banyak dan merupakan masa yang tidak penting. Jika kita mempertimbangkan perjalanan yang diambil orang Israel di gurun tandus, kita akan sedar betapa seriusnya hal membazirkan hari kita. Tiga bulan selepas orang Israel keluar dari Mesir, mereka tiba di Sinai (Kel. 19:1). Mereka tinggal di sana selama sepuluh bulan. Pada hari kedua puluh dalam bulan kedua pada tahun kedua, mereka meninggalkan Sinai dan menjelajah ke arah tanah yang dijanjikan Tuhan kepada mereka sebagai warisan mereka (Bil. 10:11-12). Ulangan 1:2 berkata, “Jauhnya sebelas hari perjalanan dari Gunung Horeb ke Kadesh-Barnea melalui jalan yang menuju ke Gunung Seir.” Kadesh-Barnea terletak di sempadan tanah Kanaan. Perjalanan dari Gunung Sinai ke Kanaan hanya mengambil masa sebelas hari. Namun setelah mereka tiba di Kadesh-Barnea, mereka tidak dapat masuk ke dalam Kanaan disebabkan ketidakpercayaan mereka. Selepas ini, mereka berkelana di gurun tandus selama tiga puluh lapan tahun sebelum keturunan mereka akhirnya masuk ke dalam Kanaan. Sesungguhnya, ini satu lencongan yang terlalu besar! Mereka bukan mengambil masa tiga atau lima tahun, tetapi tiga puluh lapan tahun. Mereka menghabiskan tiga puluh lapan tahun dalam perjalanan ke Kanaan yang hanya perlu mengambil masa dua tahun! Dalam perjalanan rohani kita, tidak terkira banyaknya hari yang terbazir. Sesetengah masalah dapat dibereskan dalam tiga hingga lima hari, namun masalah-masalah ini tetap tidak terselesai pada sesetengah orang selepas tiga hingga lima tahun. Mereka sama seperti orang Israel yang menjelajah berkeliling di gurun tandus dan membazirkan banyak masa. Ini kerugian yang besar. Kita tidak harus menganggapnya sebagai hal yang tidak penting. (bersambung…)

Mengurus Kewangan (Bahagian 3/3)
Menghitung Hari Kita (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)