Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Berkenaan Persembahan Kewangan
Menghitung Hari Kita (Bahagian 2/2)
Diselamatkan Daripada Mamon
Berkenaan Persembahan Kewangan
2020-05-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (30)

Nota Editor:

“Pujian yang kurang baik dalam perhimpunan pemecahan roti adalah disebabkan pemberian dan persembahan yang kurang baik. Semasa kita memberikan persembahan, kita harus melakukannya sehingga kita ‘terasa’, ertinya kita harus memberikan persembahan sehingga kita benar-benar merasai kita kerugian sesuatu. Persembahan sedemikian merupakan suatu korban.”

“Bible meletakkan Tuhan dan mamon bersama-sama. Ini membuktikan bahawa jika hati manusia tidak disentuh Tuhan, hatinya akan disentuh wang. Apabila Tuhan ingin menguji hati manusia terhadap-Nya, perkara yang paling jelas adalah dalam hal pemberian.”

BERKENAAN PERSEMBAHAN KEWANGAN

(Nota Editor: Mesej ini disampaikan oleh Dikbang Nee  sebelum Suatu Perhimpunan Pemecahan Roti)

Tarikh: 23 (bulan tidak diketahui) 1938
Tempat: Shanghai 

(CWWN SET 2, JIL 43, BAB 85)

**Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Ibr. 13:15-16 “Oleh itu, menerusi-Nya marilah kita sentiasa mempersembahkan korban pujian kepada Tuhan, iaitu buah daripada bibir yang mengakui nama-Nya. Tetapi janganlah lupa berbuat baik dan berkongsi dengan orang lain, kerana korban-korban sedemikian diperkenan Tuhan.”

1 Kor. 16:1-3 “Sekarang berkenaan pengumpulan untuk para pekudus, sebagaimana aku telah memesan gereja-gereja Galatia, hendaklah kamu turut berbuat demikian. Pada hari pertama dalam seminggu, hendaklah setiap orang daripada kamu, berdasarkan apa jua kemakmuran yang diperolehnya, mengasingkan sesuatu untuk disimpan agar pengumpulan tidak dilakukan apabila aku datang. Dan ketika aku sampai, sesiapa sahaja yang kamu uji luluskan akan aku utus berserta surat untuk membawa berian kamu ke Yerusalem.”

KORBAN PUJIAN DAN KORBAN PERSEMBAHAN

Kebanyakan masanya saya tidak berada di Shanghai, dan menurut kata-kata daripada beberapa orang dikbang dan dikkak, saya mendengar bahawa keadaan perhimpunan pemecahan roti di sini kurang elok. Saya sendiri juga mempunyai perasaan yang sama. Sudah tentu terdapat banyak sebab atas keadaan ini, dan sebab-sebab ini mungkin agak rumit. Namun begitu, saya berfikir bahawa antara sebab yang mempengaruhi keadaan perhimpunan pemecahan roti, yang paling utama adalah dalam Ibrani 13:15-16: “Oleh itu, menerusi-Nya marilah kita sentiasa mempersembahkan korban pujian kepada Tuhan, iaitu buah daripada bibir yang mengakui nama-Nya. Tetapi janganlah lupa berbuat baik dan berkongsi dengan orang lain, kerana korban-korban sedemikian diperkenan Tuhan.” Dua jenis korban disebut di sini. Satu ialah pujian, dan satu lagi ialah berbuat baik dan berkongsi dengan orang lain. korban ialah sesuatu yang menyebabkan kita kerugian sementara Tuhan beroleh sesuatu. Korban pujian bererti pujian dipersembahkan kepada Tuhan dengan kesan kita mengalami kerugian. Korban berkongsi dengan orang lain bererti kita mengalami kerugian dalam pemberian kita agar Tuhan beroleh sesuatu.

Pujian yang kurang baik dalam perhimpunan pemecahan roti adalah disebabkan pemberian dan persembahan yang kurang baik. Semasa kita memberikan persembahan, kita harus melakukannya sehingga kita “terasa”, ertinya kita harus memberikan persembahan sehingga kita benar-benar merasai kita kerugian sesuatu. Persembahan sedemikian merupakan suatu korban. Apabila kita berbuat sedemikian, kita juga dapat mempersembahkan korban pujian. Sekiranya kita memberikan persembahan secara semberono, pujian kita pastilah kurang baik. Jika kita tidak ada korban pemberian, kita juga tidak ada korban pujian. Dutus memberitahu kita bahawa kita harus mempersembahkan korban pujian kepada Tuhan. Seterusnya dia menyebut tentang korban pemberian. Perkataan “tetapi” dalam ayat 16 menunjukkan bahawa ada sesuatu yang menyusul. Selain korban pujian, terdapat sesuatu yang lain. Frasa “janganlah lupa” menunjukkan manusia paling pelupa. Janganlah lupa akan apa? Janganlah lupa berbuat baik dan berkongsi dengan orang lain. Kemudian dutus memberi penjelasan, “Kerana korban-korban sedemikian diperkenan Tuhan.” Dutus menganggap berbuat baik dan berkongsi dengan orang lain sebagai suatu korban, malah korban yang diperkenan Tuhan.

Pujian dan persembahan umpama dua belah kaki. Sekiranya sebelah kaki lebih pendek, maka jangan haraplah seseorang dapat berjalan dengan baik. Pujian dan persembahan juga umpama sepasang sayap. Jika kurang sebelah sayap, burung itu tidak dapat terbang. Sungguhpun burung itu memiliki sebelah sayap, tetapi sebelah sayap itu tidak berguna kerana sebelah sayap sahaja tidak dapat terbang. Oleh itu, semasa kita datang ke perhimpunan, kita mungkin akan mendapati sesetengah orang yang cetek. Mereka dapat memberi sepatah dua kata pujian, namun pujian mereka tidaklah baik. 

DI MANA HARTAMU, DI SITULAH HATIMU JUGA

Tuhan kita Tuhan yang kaya. Dia tidak memerlukan wang manusia. Lembu-lembu di atas ribuan bukit dan domba-domba di atas laksaan bukit semua kepunyaan-Nya. Semua emas dan perak ialah milik-Nya. Mengapakah Dia masih menuntut wang daripada manusia? Hal ini kerana di mana adanya wang manusia, di situlah hati manusia juga (Mat. 6:21). Wang bersifat material dan sangat bumiah. Akan tetapi, Bible meletakkan Tuhan dan mamon bersama-sama. Ini membuktikan bahawa jika hati manusia tidak disentuh Tuhan, hatinya akan disentuh wang. Apabila Tuhan ingin menguji hati manusia terhadap-Nya, perkara yang paling jelas adalah dalam hal pemberian.

Saya mula bekerja untuk Tuan enam belas tahun dahulu pada tahun 1922. Sungguhpun saya tidak boleh mengatakan bahawa kerja itu sempurna, tetapi segala kekurangan telah ditutup di bawah darah adi. Saya kadangkala memberikan sepersepuluh, kadangkala dua persepuluh, dan kadangkala lima persepuluh daripada apa yang saya terima. Disebabkan jumlah wang yang saya terima dan masanya tidak tetap, jadi saya berasa agak susah. Walau bagaimanapun, semakin saya “terasa” semasa saya memberikan persembahan, semakin lantangnya kesyukuran dan pujian saya. Banyak dikbang dan dikkak dapat bersaksi tentang pengalaman ini. Saya memandang ringan akan orang yang hidup melalui iktikad tetapi hanya tahu menerima namun tidak sudi memberi. Kadang-kadang cara terbaik untuk menguji seseorang adalah dengan melihat persembahannya. Seseorang yang bekerja untuk Tuhan sekurang-kurangnya harus mempersembahkan sepersepuluh, kerana Bible menunjukkan kepada kita bahawa bahkan orang Lewi juga harus mempersembahkan sepersepuluh kepada Tuhan seperti orang Israel yang lain (Bil. 18:25-29). Jika seseorang pekerja hanya ingin menerima daripada orang lain dan memandang berat akan wang, saya menasihati dia lebih baik jangan jadi penginjil. Sebaliknya, dia pergi ke dunia untuk melakukan kerja yang dapat menjana wang.

Ada orang yang memberitahu saya bahawa persembahan dikkak adalah lebih banyak daripada dikbang. Hal ini merupakan suatu kegagalan pada pihak pekerja. Tajuk lain senang dibicarakan, melainkan tajuk pemberian ini sukar dibicarakan. Namun malam ini saya terpaksa membicarakannya di sini. Sememangnya sudah bertahun-tahun saya ingin membicarakan perkara ini tetapi saya tidak mendapat peluang yang sesuai. Malam ini saya ingin merebut peluang ini untuk berkata sesuatu kerana tidak lama lagi saya akan pergi ke tempat lain. Bible mencatat bahawa ada dikbang yang mencuri wang, manakala ada dikkak pula yang mempersembahkan wang (Luk. 8:3; Yoh. 12:6). Hal ini memang satu keaiban bagi dikbang.

TIDAK MEMBERI MERUPAKAN SUATU KETIDAKADILBENARAN

Biar saya bercakap dengan mudah sedikit: Jika kita tidak memberi, itulah ketidakadilbenaran. Hal ini kerana sewa bangunan, elektrik, air dan sebagainya memerlukan wang. Jika kamu tidak memberikan persembahan, maka kamu tidak melaksanakan kewajipan kamu, sedangkan orang lain pula yang membayar untuk kamu duduk di sini. Hal ini merupakan ketidakadilbenaran, dan ketidakadilbenaran merupakan dosa. Jangan ingat bahawa dengan berada dalam kalangan orang, orang lain tidak akan tahu. Tuhan tahu.

MENGASINGKAN SEBAHAGIAN DARIPADA KEMAKMURAN YANG DIPEROLEH

Banyak orang tahu tentang perhimpunan dalam Kisah 20:7, tetapi banyak yang lupa akan pemberian dalam 1 Korintus 16. Pada masa itu, Paulus meminta percayawan di Korintus agar memberikan persembahan kerana pekudus di Yerusalem mengalami kekurangan. Sekarang kita tidak menghantar wang ke Yerusalem, namun di tempat kita juga terdapat pekudus yang serba kekurangan. Satu Korintus 16:2 berkata, “hendaklah setiap orang.” Ini bermaksud apa yang dikatakan di sini merupakan suatu ketetapan dan suatu perintah. Paulus berkata, “Pada hari pertama dalam seminggu, hendaklah setiap orang daripada kamu, berdasarkan apa jua kemakmuran yang diperolehnya, mengasingkan sesuatu untuk disimpan.” Ini bermaksud bahawa kita harus mengasingkan terlebih dahulu sebahagian daripada kemakmuran yang kita peroleh. Dalam jumlah pendapatan kita, kita harus mengasingkan sebahagian yang tidak boleh disentuh. Setiap kali kita menerima pendapatan, kita harus mengasingkan sebahagian untuk dipersembahkan.

LEBIH BERBERKAT UNTUK MEMBERI DARIPADA MENERIMA

Syukur kepada Tuan bahawa sungguhpun kita ada kekurangan, namun kita masih dapat mengambil sebahagian daripada apa yang kita ada itu untuk membantu orang lain. Kita harus setia dalam pemberian kita, barulah kita akan diberkati Tuhan. Kita harus membiarkan wang ringgit kita sentiasa mengalir dan aktif, bukannya menjadi tertakung seperti Laut Mati, supaya Tuhan dapat menggunakan wang kita untuk bekerja. Tuan sendiri berkata, “Lebih berberkat untuk memberi daripada menerima” (Kis. 20:35). Jika kita mematuhi sabda Tuan dengan setia, kita pasti akan membawa masuk berkat yang besar.

Menghitung Hari Kita (Bahagian 2/2)
Diselamatkan Daripada Mamon
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)