Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Jayeng Atas Maut (Bahagian 4/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 3/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 5/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 4/5)
2020-05-15 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (17)

Nota Editor:

“Kita perlu melihat dengan khusus pada ‘dosa yang membawa maut’ ini agar kita yang menunggu untuk diraptur tahu bagaimana untuk berhati-hati, supaya tubuh daging kita tidak dikorupkan menerusi dosa sedemikian, dan supaya kita tidak kehilangan berkat untuk diraptur hidup-hidup. Biarpun jika Tuan menangguhkan kedatangan-Nya dan kita harus melewati kubur, dengan tidak melakukan dosa ini, kita akan hidup hingga “genap umur” agar kita dapat bekerja untuk Tuan sebelum kita mati.”

“Bible tidak memberitahu kita dengan jelas jenis dosa yang merupakan dosa yang membawa maut, tetapi yang pasti ialah dosa sedemikian wujud. Menurut catatan dalam Bible tentang pengalaman percayawan, kita tahu bahawa dosa ini berbeza-beza mengikut orang. Bagi sesetengah orang, dosa tertentu merupakan dosa yang membawa maut, tetapi bagi yang lain pula, dosa itu mungkin bukan dosa yang membawa maut dan begitu juga sebaliknya. Hal ini disebabkan perbezaan dalam kurnia yang diterima, cahaya yang diperoleh, dan kedudukan yang diambil oleh setiap percayawan.”

“Disebabkan Musa ‘berbicara secara terburu-buru dengan bibirnya’ di tepi air Meriba (Mzm. 106:33), Musa mati di luar Tanah Kanaan. Dia tidak dibenarkan masuk ke tanah itu. Inilah ‘dosa yang membawa maut’ baginya. Harun berbuat dosa yang sama seperti Musa, dan dia juga tidak dapat masuk ke tanah kudus (Bil. 20:24).”

“Untuk jayeng atas maut, kita harus sentiasa jayeng atas dosa kerana maut datang daripada dosa. Jika kita ingin hidup hingga kita genap umur atau hingga Tuan kembali, kita harus berhati-hati supaya tidak berbuat dosa.”

“Hari ini ialah zaman kurnia dan Tuhan penuh dengan kurnia; oleh itu, kita boleh berasa aman. Jangan biarkan Syaitan menuduh kamu, dengan mengatakan kamu telah melakukan dosa ini dan harus mati.”

“Oleh itu, marilah kita datang ke hadapan dengan berani, ke takhta kurnia supaya kita dapat menerima rahmat dan beroleh kurnia sebagai pertolongan yang tepat pada masanya” (Ibr. 4:16).

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB EMPAT

JAYENG ATAS MAUT (Bahagian 4/5)

Bacaan Bible:

Ef. 6:2-3 “‘Hormatilah bapa dan ibumu.’ Inilah perintah pertama yang disertai janji, ‘Supaya kamu sejahtera dan supaya kamu berumur panjang di bumi.’”

1 Yoh. 5:16 “Jika sesiapa melihat dikbangnya melakukan dosa yang tidak membawa maut, haruslah dia meminta dan dia akan memberi hayat kepadanya, iaitu kepada mereka yang melakukan dosa yang tidak membawa maut. Ada dosa yang membawa maut; aku tidak mengatakan bahawa dia harus meminta berkenaan itu.”

Versi Pemulihan, 1 Yohanes 5:16, nota kaki 5:

Berkenaan dosa yang membawa maut, pengajar Bible mempunyai pentafsiran yang berbeza-beza...Dalam persekutuan hayat divin, terdapat penanggulangan daripada pemerintahan Tuhan menurut keadaan rohani setiap anak-Nya. Dalam penanggulangan daripada pemerintahan Tuhan, sesetengah anak-Nya mungkin ditakdirkan mati secara fizikal pada zaman ini kerana dosa tertentu, dan sesetengah pula mungkin ditakdirkan mati secara fizikal kerana dosa-dosa lain. Keadaan ini sama seperti keadaan Ananias dan isterinya Safira yang ditanggulangi dengan kematian fizikal kerana mereka telah berdusta kepada Roh Kudus (Kis. 5:1-11), dan sama seperti keadaan percayawan Korintus yang ditanggulangi dengan penghakiman yang sama kerana mereka tidak membezapastikan Tubuh (1 Kor. 11:29-30). Ini ditamsilkan oleh penanggulangan Tuhan terhadap orang Israel di gurun tandus (1 Kor. 10:5-11). Semua orang Israel, kecuali Kaleb dan Yosua, telah dihakimi Tuhan dengan kematian fizikal kerana dosa-dosa tertentu. Penanggulangan daripada pemerintahan Tuhan amat dahsyat. Miriam, Harun, malah Musa juga tidak dikecualikan daripada penanggulangan seperti ini akibat daripada kegagalan yang tertentu (Bil. 12:1-15; 20:1, 12, 22-29; Ul. 1:37; 3:26-27; 32:48-52). Hukuman daripada penanggulangan pemerintahan Tuhan terhadap anak-anak-Nya sama sekali tidak berkaitan dengan kebinasaan kekal; hal ini merupakan penanggulangan mengikut kala zaman menurut pemerintahan divin, iaitu penanggulangan yang berkaitan dengan persekutuan kita dengan Tuhan dan dengan satu sama lain. Sama ada sesuatu dosa itu membawa maut atau tidak bergantung pada penghakiman Tuhan menurut kedudukan dan keadaan percayawan yang berbuat dosa itu dalam rumah Tuhan. Walau bagaimanapun, bagi anak-anak Tuhan berbuat dosa merupakan perkara yang serius. Ini mungkin dihakimi Tuhan dengan kematian fizikal pada zaman ini! Dutus tidak mengatakan bahawa kita harus meminta berkenaan itu, yakni suatu dosa yang membawa maut. 

DOSA YANG MEMBAWA MAUT

Bible memberitahu kita bahawa terdapat sejenis dosa yang dipanggil “dosa yang membawa maut” (1 Yoh. 5:16) yang mungkin dilakukan percayawan. “Maut” di sini bukanlah kematian rohani kerana hayat abadi Tuhan tidak akan mati; juga tidak merujuk kepada “kematian kedua” kerana domba Tuan tidak akan binasa. “Maut” di sini ialah kematian fizikal. 

Kita perlu melihat dengan khusus pada “dosa yang membawa maut” ini agar kita yang menunggu untuk diraptur tahu bagaimana untuk berhati-hati, supaya tubuh daging kita tidak dikorupkan menerusi dosa sedemikian, dan supaya kita tidak kehilangan berkat untuk diraptur hidup-hidup. Biarpun jika Tuan menangguhkan kedatangan-Nya dan kita harus melewati kubur, dengan tidak melakukan dosa ini, kita akan hidup hingga “genap umur” agar kita dapat bekerja untuk Tuan sebelum kita mati. Disebabkan kelalaian sesetengah anak Tuhan, mereka mengalami jangka hayat mereka di bumi disingkatkan, dengan itu kehilangan mahkota mereka. Banyak pekerja mungkin masih lagi bekerja untuk Tuan pada hari ini sekiranya mereka memberi perhatian terhadap perkara ini. 

Bible tidak memberitahu kita dengan jelas jenis dosa yang merupakan dosa yang membawa maut, tetapi yang pasti ialah dosa sedemikian wujud. Menurut catatan dalam Bible tentang pengalaman percayawan, kita tahu bahawa dosa ini berbeza-beza mengikut orang. Bagi sesetengah orang, dosa tertentu merupakan dosa yang membawa maut, tetapi bagi yang lain pula, dosa itu mungkin bukan dosa yang membawa maut dan begitu juga sebaliknya. Hal ini disebabkan perbezaan dalam kurnia yang diterima, cahaya yang diperoleh, dan kedudukan yang diambil oleh setiap percayawan. 

Walaupun Bible tidak mengatakan apa jenisnya dosa ini, kita tahu bahawa setiap orang yang mati kerana berbuat dosa telah melakukan “dosa yang membawa maut”. Bani Israel melakukan dosa sedemikian di Kadesh (Num. 13:25—14:12). Walaupun mereka telah menguji Tuan sepuluh kali sebelum itu (14:22), Dia masih bertoleransi. Akan tetapi pada kali ini, walaupun Dia mengampuni mereka atas dosa mereka yang enggan memasuki Kanaan, Dia menyebabkan tubuh mereka rebah di gurun tandus (ay. 32).

Disebabkan Musa “berbicara secara terburu-buru dengan bibirnya” di tepi air Meriba (Mzm. 106:33), Musa mati di luar Tanah Kanaan. Dia tidak dibenarkan masuk ke tanah itu. Inilah “dosa yang membawa maut” baginya. Harun berbuat dosa yang sama seperti Musa, dan dia juga tidak dapat masuk ke tanah kudus (Bil. 20:24). Manusia Tuhan yang berjalan dari Yehuda ke Betel itu juga melakukan dosa yang membawa maut kerana dia tidak mematuhi perintah Tuhan berkenaan makan (1 Raja 13:21-22). Dalam Wasiat Baru, Ananias dan Safira dihukum mati kerana mereka juga melakukan dosa yang membawa maut; mereka menyimpan sebahagian daripada hasil jualan tanah mereka dan berdusta kepada Roh Kudus (Kis. 5). Percayawan di Korintus yang memiliki ibu tirinya itu juga melakukan dosa yang membawa maut; oleh itu, dutus mengatakan bahawa dia akan “menyerahkan orang sebegini kepada Syaitan agar tubuh dagingnya dibinasakan” (1 Kor. 5:5). Banyak percayawan di Korintus tidur kerana mereka “bersalah terhadap tubuh dan darah Tuan” (11:27, 30). Mereka juga melakukan dosa yang membawa maut. 

Untuk jayeng atas maut, kita harus sentiasa jayeng atas dosa kerana maut datang daripada dosa. Jika kita ingin hidup hingga kita genap umur atau hingga Tuan kembali, kita harus berhati-hati supaya tidak berbuat dosa. Banyak percayawan yang tidak berhati-hati dalam hal ini meninggal sebelum masa mereka. Ini tidak bermaksud bahawa mereka melakukan sesuatu dosa yang menakutkan; dosa yang kita bicarakan di sini tidak sama untuk setiap orang. Pekendakan orang Korintus dianggap dosa yang membawa maut, tetapi kata-kata secara terburu-buru yang diucapkan Musa juga dianggap dosa yang membawa maut, kerana kita diberitahu bahawa Musa “lembut-halus, melebihi sesiapa pun di muka bumi” (Bil. 12:3). Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan sebarang dosa. 

Hari ini ialah zaman kurnia dan Tuhan penuh dengan kurnia; oleh itu, kita boleh berasa aman. Jangan biarkan Syaitan menuduh kamu, dengan mengatakan kamu telah melakukan dosa ini dan harus mati. Walaupun Bible tidak memberitahu kita untuk berdoa bagi orang lain yang melakukan dosa ini, tetapi Tuhan akan mengampuni kita jika kita memeriksa diri sendiri dan bertaubat. Banyak orang percaya bahawa orang yang dicatat dalam 2 Korintus 2:6-7 ialah dia yang memiliki ibu tirinya. Satu Korintus 11:30-32 juga memberitahu kita bahawa walaupun kita mungkin melakukan dosa yang membawa maut, kita masih boleh dibebaskan jika kita rela menghakimi diri kita. Oleh itu, kita tidak harus bertoleransi terhadap sebarang dosa agar dosa itu tidak menjadi dosa yang membawa maut. Tubuh daging kita mungkin lemah, tetapi kita tidak harus kehilangan hati yang menghakimi diri. Kita harus menghakimi dosa kita sendiri dan sedikit pun tidak bertoleransi dengannya. Dalam hidup ini, kita mustahil dapat mencapai kesempurnaan yang tanpa dosa, tetapi mengaku dengan kerap dan bergantung pada kurnia Tuhan itu sesuatu yang tidak boleh kurang. Tuhan masih mengampuni kita. Mereka yang ingin jayeng atas maut harus memberi lebih banyak perhatian terhadap perkara ini. “Dia menunjukkan kepada mereka kerja mereka / Dan pelanggaran mereka, bahawa mereka telah bertindak secara bongkak. / Dia juga membuka telinga mereka kepada pengajaran / Dan memerintahkan supaya mereka berpaling daripada kesalahan. / Jika mereka mendengar dan melayan-Nya, / Mereka akan menghabiskan hari-hari mereka dalam kemakmuran / Dan tahun-tahun mereka dalam kesenangan. / Tetapi jika mereka tidak mendengar, mereka akan meninggal dunia di bawah pedang / Dan mati tanpa berpengetahuan. / Tetapi orang yang cemar hatinya menyimpan kemarahan; / Mereka tidak berseru meminta tolong ketika Dia membelenggu mereka. / Mereka mati sewaktu muda, / Dan hayat mereka berakhir dalam kalangan orang yang paling kotor” (Ayub 36:9-14).

AJARAN DALAM AMSAL

Amsal ialah sebuah buku yang memberi perhatian kepada gerak-hidup harian percayawan. Buku ini mengajar tentang bagaimana mereka dapat memelihara hayat mereka. Marilah kita meneliti buku ini agar kita tahu bagaimana jayeng atas maut. 

“Anakku, jangan lupa akan pengajaranku, / Tetapi hendaklah hatimu mematuhi perintahku; / Kerana semua ini akan menambah kepadamu / Kelanjutan hari-hari dan tahun-tahun hayat dan damai sejahtera” (3:1-2).

“Itulah yang akan menyembuhkan tubuhmu / Dan menyegarkan tulangmu” (3:8).

“Hendaklah hatimu berpegang teguh pada kata-kataku; / Patuhilah perintahku dan engkau akan hidup” (4:4).

“Anakku, dengar dan terimalah kata-kataku, / Dan tahun hayatmu akan menjadi banyak” (4:10).

“Berpeganglah pada tunjuk ajar; jangan lepaskannya; / Jagalah dia, kerana dialah hayatmu” (4:13).

“Kerana semua ini [kata-kataku] menjadi hayat kepada orang yang menemuinya, / Dan penyembuhan kepada seluruh tubuh mereka” (4:22).

“Jagalah hatimu dengan segala kewaspadaan, / Kerana daripadanya keluarlah hasil hayat” (4:23).

“Orang yang berzina dengan perempuan itu tidak berakal budi; / Dia yang melakukannya membinasakan sukmanya sendiri” (6:32).

“Kerana barang siapa yang menemui aku [kearifan] itu menemui hayat, / Dan akan disenangi Yehova” (8:35).

“Kerana melalui aku [kearifan] hari-harimu akan dilipatgandakan, / Dan tahun-tahunmu akan ditambahkan” (9:11).

“Tetapi keadilbenaran melepaskan orang daripada maut” (10:2).

“Bertakwa kepada Yehova melanjutkan umur, / Tetapi tahun-tahun orang durjana akan disingkatkan” (10:27).

“Di jalan keadilbenaran terdapat hayat, / Dan di laluannya tidak ada maut” (12:28).

“Bertakwa kepada Yehova itu sumber hayat, / Agar orang dapat berpaling daripada jerat maut” (14:27).

“Hati yang tenteram itu hayat bagi tubuh, / Tetapi iri hati itu kereputan bagi tulang” (14:30).

“Bagi orang arif, jalan hayat menuju ke atas, / Supaya dia menjauhi Sheol di bawah” (15:24).

“Sesiapa yang tidak mengendahkan tunjuk ajar itu menghina sukmanya sendiri” (15:32).

“Dalam cahaya wajah raja ada hayat” (16:15).

“Sesiapa yang menjaga jalannya memelihara sukmanya” (16:17).

“Sesiapa yang mematuhi perintah memelihara sukmanya; / Sesiapa yang mengalpakan jalannya akan mati” (19:16).

“Bertakwa kepada Yehova membawa kepada hayat” (19:23).

“Mendapatkan harta dengan lidah dusta itu / Wap yang melenyap, suatu jerat maut” (21:6).

“Orang yang menyimpang dari jalan pengertian / Akan berehat dalam perhimpunan arwah” (21:16).

“Sesiapa yang mengejar keadilbenaran dan keihsanan / Menemukan hayat” (21:21).

Apabila Roh Kudus Tuhan memimpin kita untuk jayeng atas maut, kita akan menemui makna yang baru dalam ayat-ayat ini. Kita sudah biasa berfikir bahawa hayat itu sekadar suatu istilah. Namun selepas menerima pencahayaan, kita akan tahu bahawa jika kita memenuhi tuntutan Tuhan, hayat tubuh fizikal kita benar-benar akan dilanjutkan. Oleh itu kita harus memberi perhatian kepada ayat-ayat di atas. Jika kita tidak mengikuti ajarannya, kita akan melihat hayat kita seolah-olah bocor secara beransur-ansur. Contohnya, janji Tuhan berkata, “Hormatilah bapa dan ibumu...supaya kamu sejahtera dan supaya kamu berumur panjang di bumi” (Ef. 6:2-3). Jika kita ingkar, kita akan melihat hari-hari kita disingkatkan oleh dosa-dosa. Tuhan mahu kita patuh pada Sabda-Nya, menerima kearifan, mengejar keadilbenaran, dan memelihara hati kita. (Minda hati sangat berhubung kait dengan hayat.) Dengan cara ini, kita tidak akan kehilangan hayat. Jika kita ingin mendapatkan hayat, kita harus patuh. (bersambung...)

Jayeng Atas Maut (Bahagian 3/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 5/5)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)