Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Jayeng Atas Maut (Bahagian 2/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 1/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 3/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 2/5)
2020-05-13 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (15)

Nota Editor:

“Melainkan percayawan jelas bahawa kerjanya sudah selesai dan Tuan Yesus tidak lagi memerlukannya tinggal di bumi, dia tidak harus mati; maknanya, dia harus sentiasa menentang maut...Oleh itu, jika kita belum menyelesaikan kerja yang diberikan kepada kita, kita boleh bertenang dan masih percaya meskipun tubuh kita mungkin sering diancam bahaya. Asalkan kita bekerja dan berjuang bersama dengan Tuan, Dia pasti akan bekerja untuk menelan maut kita dengan hayat-Nya.”

“Tuan Yesus menentang maut. Apabila orang ingin mencampakkan-Nya dari cenuram, ‘Dia berjalan lewat dari tengah-tengah mereka, dan pergi dari situ’(Luk. 4:29-30). Pada masa yang lain ‘Yesus berjalan di Galilea kerana Dia tidak mahu berjalan di Yudea, disebabkan orang Yahudi sedang berikhtiar hendak membunuh-Nya’ (Yoh. 7:1). Pada masa yang lain, orang ramai ‘mengambil batu untuk melempar-Nya, tetapi Yesus menghilang lalu keluar dari bait’ (8:59). Dia berulang kali menentang kematian kerana masa-Nya belum tiba...Kita juga tidak harus mati sebelum masa kita.”

“Sebagaimana kita hidup terhadap Tuan, kita juga mati terhadap Tuan. Oleh itu, kita harus menentang sebarang panggilan maut yang bukan daripada Tuan.”

“Semasa membaca Wasiat Lama, kita melihat bahawa semua bapa leluhur mati ‘genap umurnya’. Apakah maksudnya ‘genap umurnya’? Maksudnya ialah mereka hidup dengan secukupnya semua hari yang ditetapkan Tuhan untuk mereka...Bible memberi kita bilangan yang umum: ‘Jangka hayat kami tujuh puluh tahun, / Atau jika kuat, lapan puluh tahun’ (Mzm. 90:10). Kita tidak bermaksud bahawa setiap orang harus hidup sekurang-kurangnya tujuh puluh tahun; ketentuan Tuhan tidak boleh dilanggar manusia. Akan tetapi, jika kita tidak menerima penanda yang jelas bahawa masa kita adalah lebih singkat daripada ini, maka kita harus mengambil bilangan ini sebagai piawai dan menentang sebarang kematian yang datang lebih awal. Dengan berdiri di atas Sabda Tuhan kita akan melihat bahawa kemenangan adalah milik kita.”

“Berkenaan apa yang telah kita katakan tentang jayeng atas maut, kita tidak semestinya bermaksud bahawa tubuh kita tidak akan mati. Walaupun kita percaya bahawa ‘kita tidak akan tidur semuanya’ (1 Kor. 15:51), tetapi mendakwa bahawa kita tidak akan mati adalah sangat tahayul...Hari-hari kita haruslah cukup lama untuk kita menyelesaikan kerja kita dalam hidup ini. Kemudian, apabila keakhiran tiba, kita boleh meninggal dunia dalam kedamaian melalui kurnia Tuhan.”

“Jayeng atas maut tidak semestinya bermaksud tidak mati, kerana Tuhan mungkin menghendaki sebilangan orang mengatasi maut dalam kebangkitan, seperti Tuan Yesus. Namun demikian, meskipun seseorang percayawan melewati maut, sama seperti Tuan Yesus, dia tidak perlu takut akan maut.”

“Pada mulanya, kita ialah orang yang ‘ditahan dalam pengabdian kerana takut akan maut sepanjang hayat mereka’ (Ibr. 2:15). Akan tetapi, Tuan Yesus telah ‘membebaskan’ kita agar kita tidak perlu lagi takut akannya. Kesakitan, kegelapan, dan kesunyian tidak dapat menakutkan kita. Dutus yang mengalami jayeng atas maut memberitahu kita, ‘Kerana bagi aku...mati adalah keuntungan...ingin meninggal untuk bersama dengan Kristus, kerana ini jauh lebih baik’ (Flp. 1:21, 23). Di sini terpaparnya sikap yang langsung tidak menunjukkan sedikit ketakutan terhadap maut. Inilah kemenangan sejati atas maut.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB EMPAT

JAYENG ATAS MAUT (Bahagian 2/5)

Bacaan Bible:

Flp. 1:20b-21 “Kristus akan diperbesar dalam tubuhku sama ada hidup atau mati. Kerana bagi aku, hidup adalah Kristus dan mati adalah keuntungan.”

Roma 14:7-8 “Kerana tidak seorang pun daripada kita hidup terhadap diri sendiri, dan tidak seorang pun mati terhadap diri sendiri; kerana jika kita hidup, kita hidup terhadap Tuan, dan jika kita mati, kita mati terhadap Tuan. Oleh itu, sama ada kita hidup atau mati, kita kepunyaan Tuan.”

MATI SELEPAS SELESAINYA KERJA KITA

Melainkan percayawan jelas bahawa kerjanya sudah selesai dan Tuan Yesus tidak lagi memerlukannya tinggal di bumi, dia tidak harus mati; maknanya, dia harus sentiasa menentang maut. Sekiranya gejala-gejala maut telah beransur-ansur muncul pada tubuhnya, percayawan harus menyangkal gejala ini dan menolak untuk mati. Dia harus percaya bahawa Tuan akan menjayakan penentangannya kerana Dia masih mempunyai kerja untuknya. Oleh itu, jika kita belum menyelesaikan kerja yang diberikan kepada kita, kita boleh bertenang dan masih percaya meskipun tubuh kita mungkin sering diancam bahaya. Asalkan kita bekerja dan berjuang bersama dengan Tuan, Dia pasti akan bekerja untuk menelan maut kita dengan hayat-Nya. 

Tuan Yesus menentang maut. Apabila orang ingin mencampakkan-Nya dari cenuram, “Dia berjalan lewat dari tengah-tengah mereka, dan pergi dari situ” (Luk. 4:29-30). Pada masa yang lain “Yesus berjalan di Galilea kerana Dia tidak mahu berjalan di Yudea, disebabkan orang Yahudi sedang berikhtiar hendak membunuh-Nya” (Yoh. 7:1). Pada masa yang lain, orang ramai “mengambil batu untuk melempar-Nya, tetapi Yesus menghilang lalu keluar dari bait” (8:59). Dia berulang kali menentang kematian kerana masa-Nya belum tiba. Dia tahu bahawa ada masa khusus untuk Mesias dilenyapkan; Dia tidak boleh mati sebelum masa yang ditetapkan Tuhan, Dia juga tidak boleh mati di tempat lain selain Golgota. Kita juga tidak harus mati sebelum masa kita. 

Dutus Paulus juga mempunyai banyak pengalaman menentang maut. Kuasa kegelapan mahu dia mati sebelum masanya, tetapi dia mengatasinya satu demi satu. Pernah sekali ketika dipenjarakan dan berada dalam bahaya, dia berkata, “Tetapi seandainya aku hidup secara jasmaniah, jika ini buah bagi kerjaku, maka aku tidak tahu apa yang harus aku pilih. Tetapi aku terdesak antara kedua-dua ini, ingin meninggal untuk bersama dengan Kristus, kerana ini jauh lebih baik; tetapi menetap secara jasmaniah adalah lebih diperlukan demi kamu. Dan oleh sebab aku yakin akan hal ini, maka aku tahu bahawa aku akan menetap dan terus bersama dengan kamu” (Flp. 1:22-25). Dia tidak takut mati; disebabkan kerjanya belum selesai, Dia yakin dalam Tuhan, mengetahui bahawa dia tidak akan mati. Inilah kejayengannya atas maut. Selepas itu, apabila dia tahu bahawa dia telah “memperjuangkan perjuangan yang baik... menamatkan perlumbaan...memelihara kepercayaan,” dia menyimpulkan “masa pemergianku sudah tiba” (2 Tim. 4:6-7). Selagi kita tahu bahawa kita belum menamatkan perlumbaan kita, kita tidak harus mati. 

Bukan sahaja Paulus seperti ini; Petrus juga sama. Dia tahu bila dia akan meninggal dunia. “Mengetahui bahawa penanggalan tabernakalku sudah hampir, sebagaimana yang juga dinyatakan Tuan Yesus Kristus kita kepadaku” (2 Ptr. 1:14). Adalah salah jika kita memikirkan bahawa ajal kita sudah hampir hanya kerana keadaan sekitaran kita atau kesihatan kita, tanpa tanda-tanda yang jelas daripada Tuan. Sebagaimana kita hidup terhadap Tuan, kita juga mati terhadap Tuan. Oleh itu, kita harus menentang sebarang panggilan maut yang bukan daripada Tuan. 

Semasa membaca Wasiat Lama, kita melihat bahawa semua bapa leluhur mati dengan “genap umurnya”. Apakah maksudnya “genap umurnya”? Maksudnya ialah mereka hidup dengan secukupnya, yakni semua hari yang ditetapkan Tuhan untuk mereka. Tuhan telah memperuntukkan bilangan tahun yang khusus (Yos. 21) untuk setiap kita. Jika kita tidak hidup hingga saat itu, maka kita tidak jayeng atas maut. Namun bagaimana kita tahu berapakah tahun yang telah ditetapkan Tuhan untuk kita? Bible memberi kita bilangan yang umum: “Jangka hayat kami tujuh puluh tahun, / Atau jika kuat, lapan puluh tahun” (Mzm. 90:10). Kita tidak bermaksud bahawa setiap orang harus hidup sekurang-kurangnya tujuh puluh tahun; ketentuan Tuhan tidak boleh dilanggar manusia. Akan tetapi, jika kita tidak menerima penanda yang jelas bahawa masa kita adalah lebih singkat daripada ini, maka kita harus mengambil bilangan ini sebagai piawai dan menentang sebarang kematian yang datang lebih awal. Dengan berdiri di atas Sabda Tuhan kita akan melihat bahawa kemenangan adalah milik kita. 

MATI TANPA KETAKUTAN

Berkenaan apa yang telah kita katakan tentang jayeng atas maut, kita tidak semestinya bermaksud bahawa tubuh kita tidak akan mati. Walaupun kita percaya bahawa “kita tidak akan tidur semuanya” (1 Kor. 15:51), tetapi mendakwa bahawa kita tidak akan mati adalah sangat tahayul. Disebabkan Bible mengambil tujuh puluh sebagai piawaian umum bagi kehidupan manusia, kita boleh berharap untuk hidup sehingga masa itu jika kita mempunyai iktikad. Tetapi kita tidak harus sekali-kali memikirkan bahawa kita ini tidak fana kerana kita mempunyai Tuan Yesus sebagai hayat. Tambahan pula, kita tahu bahawa Tuhan selalu membuat pengecualian; ada yang mati sebelum tujuh puluh tahun. Iktikad kita hanya boleh meminta Tuhan agar kita tidak mati sebelum kerja kita selesai. Sama ada kita hidup dengan singkat atau panjang, kita tidak harus menjadi seperti pendosa, yang binasa malah sebelum mencapai separuh daripada hari-hari mereka. Hari-hari kita haruslah cukup lama untuk kita menyelesaikan kerja kita dalam hidup ini. Kemudian, apabila keakhiran tiba, kita boleh meninggal dunia dalam kedamaian melalui kurnia Tuhan, dengan cara semula jadi seperti tembikai masak yang jatuh. Ayub menggambarkan kematian jenis ini seperti “berkas bijirin yang dibawa naik pada musimnya” (5:26).

Jayeng atas maut tidak semestinya bermaksud tidak mati, kerana Tuhan mungkin menghendaki sebilangan orang mengatasi maut dalam kebangkitan, seperti Tuan Yesus. Namun demikian, meskipun seseorang percayawan melewati maut, sama seperti Tuan Yesus, dia tidak perlu takut akan maut. Seseorang percayawan yang bergelut untuk jayeng atas maut kerana dia takut atau benci akan kematian sudah pun dikalahkan. Bagaimanakah dia dapat berharap untuk jayeng? Tuan mungkin memilih untuk menyelamatkan kita sepenuhnya dengan meraptur kita hidup-hidup ke syurga; tetapi kita tidak harus meminta Tuan untuk datang segera kerana kita takut akan maut. Perasaan takut sedemikian merupakan tanda bahawa kita sudah pun dikalahkan oleh kematian. Sekalipun kita mati, pengalaman maut hanya seperti berjalan dari satu bilik ke bilik yang lain. Tidak perlu ada apa-apa kesakitan, keresahan, atau ketakutan yang dahsyat. 

Pada mulanya, kita ialah orang yang “ditahan dalam pengabdian kerana takut akan maut sepanjang hayat mereka” (Ibr. 2:15). Akan tetapi, Tuan Yesus telah “membebaskan” kita agar kita tidak perlu lagi takut akannya. Kesakitan, kegelapan, dan kesunyian tidak dapat menakutkan kita. Dutus yang mengalami jayeng atas maut memberitahu kita, “Kerana bagi aku...mati adalah keuntungan...ingin meninggal untuk bersama dengan Kristus, kerana ini jauh lebih baik” (Flp. 1:21, 23). Di sini terpaparnya sikap yang langsung tidak menunjukkan sedikit ketakutan terhadap maut. Inilah kemenangan sejati atas maut. (bersambung...)

Jayeng Atas Maut (Bahagian 1/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 3/5)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)