Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Jayeng Atas Maut (Bahagian 1/5)
Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 4/4)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 2/5)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 1/5)
2020-05-12 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (14)

Nota Editor:

Sebelum kita terus membaca bab terakhir ini tentang “Jayeng atas Maut” yang bermula hari ini, saya ingin mengesyorkan pembaca agar sekali lagi membaca sambil berdoa nota editor dalam “Bacaan Harian untuk Para Pekudus (1)”, kerana ini amat membantu percayawan dalam pemahaman dan persediaannya tentang bagaimana berperilaku dalam gereja Tuhan, berhubungan dengan keadaan terkini pandemik Covid-19 yang sukar ini. 

“Terdapat tiga cara untuk percayawan jayeng atas maut: (1) dengan percaya bahawa mereka tidak akan mati selagi kerja mereka belum selesai; (2) dengan percaya bahawa sengat maut telah dihapuskan, maka meskipun mereka mati, tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan; dan (3) dengan percaya bahawa mereka akan diselamatkan sepenuhnya daripada maut kerana Tuan akan datang lagi dan kerapturan akan berlaku. Mari kita melihat hal ini satu demi satu. [Nota: Perinciannya terdapat dalam terbitan yang berikutnya, bukan dalam bacaan hari ini.]”

“Hasrat Tuhan adalah untuk memimpin anak-anak-Nya ke dalam pengalaman jayeng atas maut. Jayeng atas dosa, diri, dunia, dan Syaitan sangat penting; tetapi kemenangan kita masih tidak lengkap jika kita gagal untuk jayeng atas maut. Jika kita ingin mempunyai kemenangan yang lengkap, kita harus jayeng atas “maut, musuh yang terakhir” (1 Kor. 15:26). Kita masih meninggalkan satu musuh yang tidak dikalahkan jika kita tidak mengalami jayeng atas maut.”

“Maut sudah berada dalam kita, dan maut ini beransur-ansur dan terus-menerus memakan kita. Perpisahan daripada tubuh fizikal kita pada akhirnya hanyalah kerja maut pada kemuncaknya. Maut boleh menyerang roh kita untuk menjadikannya kekurangan hayat dan kudrat; ia boleh menyerang sukma kita untuk menjadikannya keliru dan tiada perasaan, fikiran, dan pendapat; atau ia boleh menyerang tubuh kita untuk menjadikannya lemah dan sakit.”

“Disebabkan percayawan hari ini terlalu menekankan perkara dosa, mereka lupa akan masalah maut. Jayeng atas dosa itu penting, tetapi kita tidak harus mengabaikan jayeng atas maut—kedua-dua ini saling melengkapi.”

“Kita harus melihat dengan jelas hubungan antara dosa dengan maut. Kristus mati untuk menyelamatkan kita bukan sahaja daripada dosa tetapi juga daripada maut. Tuhan memanggil kita untuk jayeng atas kedua-duanya. Sebagai pendosa, kita asalnya mati dalam dosa, dan dosa serta maut meraja (sebagai raja) dalam kita. Disebabkan Tuan Yesus mati untuk kita, dosa kita dan maut telah ditelan oleh kematian-Nya.”

“Kita harus jayeng atas maut sama seperti kita jayeng atas dosa.”

“Sebagaimana matlamat percayawan ialah dibebaskan daripada dosa, begitu juga matlamatnya haruslah dibebaskan daripada maut.”

TUBUH

(CWWN SET 1, JIL 14, BAHAGIAN 10)

** Hakcipta GBC

BAB EMPAT

JAYENG ATAS MAUT (Bahagian 1/5)

Bacaan Bible:

Ibr. 2:14-15 “Oleh itu, memandangkan anak-anak telah berbahagian dalam darah dan daging, Dia sendiri juga dengan cara yang sama, berbahagian dalam darah dan daging supaya menerusi kematian, Dia dapat menghapuskan dia yang mempunyai kuasa maut, iaitu iblis, dan dapat membebaskan mereka yang ditahan dalam pengabdian kerana takut akan maut sepanjang hayat mereka.”

1 Kor. 15:54 “Apabila yang korup ini memakai yang tidak korup dan yang akan mati ini memakai yang tidak akan mati, maka sabda yang tertulis akan digenapi, ‘Maut telah ditelan sehingga mencapai kemenangan.’”

1 Kor. 15:26 “Maut, iaitu musuh terakhir, sedang dimusnahkan.”

Pengalaman jayeng atas maut bukan sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan pekudus. Melalui darah anak domba, orang Israel diselamatkan daripada tangan malaikat yang membunuh anak sulung orang Mesir. Daud diselamatkan daripada cakaran singa dan beruang dan juga daripada tangan Goliat. Elisa pernah melemparkan sedikit tepung ke dalam periuk untuk menghilangkan racun yang membunuh (2 Raja 4:38-41). Sadrakh, Mesakh, dan Abednego tidak tercedera dalam relau api yang membakar (Dan. 3:16-27). Daniel melihat Tuhan menutup mulut singa ketika dia dicampakkan ke dalam gua (6:21-23). Paulus pernah mengebas seekor ular ke dalam api tanpa dicederakan (Kis. 28:3-5). Henokh dan Elia diraptur ke syurga tanpa merasa kematian—contoh yang lebih unggul untuk kes jayeng atas maut.

Hasrat Tuhan adalah untuk memimpin anak-anak-Nya ke dalam pengalaman jayeng atas maut. Jayeng atas dosa, diri, dunia, dan Syaitan sangat penting; tetapi kemenangan kita masih tidak lengkap jika kita gagal untuk jayeng atas maut. Jika kita ingin mempunyai kemenangan yang lengkap, kita harus jayeng atas “maut, musuh yang terakhir” (1 Kor. 15:26). Kita masih meninggalkan satu musuh yang tidak dikalahkan jika kita tidak mengalami jayeng atas maut. 

Terdapat maut dalam dunia semula jadi, maut dalam kita, dan maut yang berasal daripada Syaitan. Bumi berada di bawah laknat, dan setiap makhluk berada di bawah laknat ini. Jika kita ingin hidup dengan kemenangan sepanjang masa di dunia ini, kita harus jayeng atas maut di dunia ini. Tambahan pula, maut ada dalam tubuh kita. Pada hari kita dilahirkan, maut sudah beroperasi dalam kita. Siapakah antara kita, selepas dilahirkan, yang tidak menuju ke kubur? Kita tidak harus memikirkan maut hanya sebagai “pintu gerbang”; kita harus tahu bahawa kematian itu satu proses. Maut sudah berada dalam kita, dan maut ini beransur-ansur dan terus-menerus memakan kita. Perpisahan daripada tubuh fizikal kita pada akhirnya hanyalah kerja maut pada kemuncaknya. Maut boleh menyerang roh kita untuk menjadikannya kekurangan hayat dan kudrat; ia boleh menyerang sukma kita untuk menjadikannya keliru dan tiada perasaan, fikiran, dan pendapat; atau ia boleh menyerang tubuh kita untuk menjadikannya lemah dan sakit. 

Roma 5 berkata bahawa “maut meraja” (ay. 17a). Ini bukan sahaja maut; ini ialah pemerajaan maut. Pemerajaan maut ini wujud dalam roh, sukma dan tubuh. Walaupun tubuh kita belum lagi mati, maut sudah meraja dalamnya. Walaupun kuasa maut belum mencapai kemuncaknya, namun ia sudah meraja dan meluaskan wilayahnya ke seluruh tubuh. Pelbagai penyakit yang kita hidapi dalam tubuh kita menunjukkan begitu banyak kuasa maut berada dalam kita. Semua ini membawa kita ke penghujung hayat kita. 

Selain pemerajaan maut ini, terdapat juga pemerajaan hayat (ay. 17b). Dutus mengatakan bahawa barang siapa yang menerima berian keadilbenaran melalui Yesus Kristus “akan meraja dalam hayat”, yakni suatu pemerajaan yang jauh mengatasi kuasa operasi maut. Disebabkan percayawan hari ini terlalu menekankan perkara dosa, mereka lupa akan masalah maut. Jayeng atas dosa itu penting, tetapi kita tidak harus mengabaikan jayeng atas maut—kedua-dua ini saling melengkapi. Roma 5 hingga 8 merupakan bahagian yang paling jelas membicarakan perkara jayeng atas dosa, tetapi petikan ini memberi penekanan yang sama tentang jayeng atas maut: “upah dosa ialah maut” (6:23). Dutus menekankan bukan sahaja dosa itu sendiri tetapi juga akibat dosa. Dia bukan sahaja menunjukkan bahawa keadilbenaran berlawanan dengan dosa tetapi juga bahawa hayat berlawanan dengan maut. Banyak percayawan memberi perhatian terhadap jayeng atas pelbagai manifestasi dosa dalam kehidupan dan perwatakan harian mereka, namun mereka mengabaikan jayeng atas maut yang merupakan akibat dosa. Akan tetapi, dalam bab-bab ini, Tuhan tidak banyak bersabda menerusi dutus tentang pelbagai manifestasi dosa dalam kehidupan harian; sebaliknya Dia banyak menekankan akibat dosa—maut. 

Kita harus melihat dengan jelas hubungan antara dosa dengan maut. Kristus mati untuk menyelamatkan kita bukan sahaja daripada dosa tetapi juga daripada maut. Tuhan memanggil kita untuk jayeng atas kedua-duanya. Sebagai pendosa, kita asalnya mati dalam dosa, dan dosa serta maut meraja (sebagai raja) dalam kita. Disebabkan Tuan Yesus mati untuk kita, dosa kita dan maut telah ditelan oleh kematian-Nya. Maut pada asalnya merupakan raja dalam kita. Bagaimanapun, disebabkan kita telah dibaptis ke dalam kematian-Nya, kita bukan sahaja mati terhadap dosa; kita juga dapat menerima hayat dan hidup terhadap Tuhan (6:11). Kita digabungkan kepada Kristus; oleh itu, sebagaimana “maut tidak lagi mempertuani Dia” (ay. 9), begitu juga maut tidak lagi dapat mengikat kita (ay. 14). Penyelamatan Kristus menggantikan dosa dan keadilbenaran dengan hayat. Jika kita membaca petikan Bible ini dengan teliti, kita akan melihat bahawa ini merupakan butiran utama dutus. Jika kita menerima hanya separuh, pastinya kita tidak akan lengkap. Apabila dutus berbicara tentang kelengkapan penyelamatan Tuan Yesus, dia berkata, “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut” (8:2). Kita mungkin mempunyai banyak pengalaman tentang jayeng atas dosa, tetapi berapa banyakkah pengalaman kita terhadap jayeng atas maut? 

Oleh sebab hayat Tuhan yang tidak tercipta itu telah masuk ke dalam roh kita ketika kita percaya kepada Tuan dan dilahirukan, maka kita mempunyai sedikit pengalaman tentang jayeng atas maut. Namun adakah sekadar ini sahaja pengalaman yang kita miliki? Setakat manakah hayat dapat jayeng atas maut? Yang pasti, kebanyakan percayawan hari ini belum mengalami jayeng atas maut ke tahap yang disediakan Tuhan. Kita harus mengaku bahawa maut beroperasi dalam kita lebih kuat daripada hayat. Oleh itu, kita harus menumpukan perhatian yang sama kepada kedua-dua dosa dan maut, seperti yang dilakukan Tuhan. Kita harus jayeng atas maut sama seperti kita jayeng atas dosa. 

Oleh sebab Kristus telah jayeng atas maut, para percayawan tidak perlu lagi berasa bahawa mereka harus mati, walaupun mereka mungkin masih akan mati. Begitu juga, oleh sebab Kristus telah mengutuk dosa dalam tubuh daging, percayawan tidak lagi mesti berbuat dosa, walaupun mereka mungkin masih lagi berbuat dosa. Sebagaimana matlamat percayawan ialah dibebaskan daripada dosa, begitu juga matlamatnya haruslah dibebaskan daripada maut. Seseorang percayawan harus faham bahawa disebabkan kematian dan kebangkitan Kristus, hubungannya dengan kematian adalah sama dengan hubungannya dengan dosa. Dia telah jayeng atas kedua-dua ini dalam Kristus; oleh itu, Tuhan sekarang memanggil dia untuk jayeng atas kedua-dua ini dalam pengalamannya. Kita biasanya menyangka bahawa Kristus telah jayeng atas maut untuk kita, jadi kita tidak perlu berbuat apa-apa. Namun sekiranya inilah keadaannya, kita tidak dapat menyatakan kemenangan Kristus dalam pengalaman kita. Sudah tentu tanpa Golgota, kita tidak mempunyai tapak untuk kemenangan. Akan tetapi, mengambil sikap pasif dengan membiarkan hal itu sebegitu sahaja bukanlah cara untuk jayeng. Kita tidak jayeng atas dosa dengan cara ini; kita juga tidak jayeng atas maut dengan cara ini. Tuhan berhasrat agar kita mengambil perkara jayeng atas maut ini sebagai suatu realiti, iaitu melalui kematian Kristus, kita jayeng atas maut dalam kita secara praktikal. Kita telah jayeng atas banyak godaan, tubuh daging, dunia, dan Syaitan; sekarang kita harus bangkit untuk mengalahkan kuasa maut. 

Memandangkan kita harus menentang maut sama seperti kita menentang dosa, maka sikap kita terhadap maut harus sama sekali berubah. Disebabkan maut merupakan warisan umum untuk semua manusia yang jatuh, kita biasanya cenderung untuk tunduk terhadapnya. Percayawan belum belajar menentang maut. Semua manusia cenderung menuju ke kubur. Walaupun kita tahu bahawa kedatangan kedua Tuan sangat dekat dan tidak semua akan mati kerana ada yang akan diraptur, namun dalam pengalaman harian kebanyakan daripada kita masih menunggu maut. Apabila keadilbenaran Tuhan beroperasi dalam kita, dengan spontan kita membenci dosa; namun demikian, kita belum membenarkan hayat Tuhan bekerja dalam kita sehingga kita juga membenci maut. 

Untuk jayeng atas maut, percayawan harus mengubah sikapnya daripada tunduk kepada menentang. Melainkan seseorang percayawan tidak melepaskan dirinya daripada sifat pasif sedemikian, dia tidak akan dapat jayeng atas maut sebaliknya akan terus diganggu olehnya sehingga akhirnya tergolong dalam kalangan mereka yang mati sebelum waktunya. Kebanyakan percayawan membuat kesilapan dengan menyangka bahawa sifat pasif itu ialah iktikad. Mereka berfikir bahawa mereka telah menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. Jika mereka tidak perlu mati, Dia pasti akan menyelamatkan mereka daripadanya; jika mereka harus mati, tidak ada apa-apa yang dapat menghalang Tuhan daripada membiarkan mereka mati. Dalam segala hal, mereka hanya akur kepada kehendak Tuhan untuk dilaksanakan. Sikap sedemikian kelihatannya baik, tetapi adakah ini iktikad? Ini hanyalah sikap pasif yang malas. Apabila kita tidak tahu akan kehendak Tuhan, kita harus berkata, seperti yang dilakukan Tuan, “Bukan sebagaimana yang Aku kehendaki, tetapi sebagaimana yang Engkau kehendaki” (Mat. 26:39). Ini tidak bermakna bahawa kita tidak perlu berseru kepada Tuhan secara khusus, untuk memberitahukan permintaan kita kepada Dia. Kita tidak harus secara pasif menyerahkan diri kepada kematian; Tuhan ingin kita bekerja bersama secara aktif dengan kehendak-Nya. Melainkan kita tahu dengan pasti bahawa Tuhan ingin kita mati, kita tidak harus dengan pasif membiarkan maut menindas kita. Sebaliknya, kita harus secara aktif bekerja bersama dengan kehendak Tuhan untuk menentang dan menolaknya. 

Sedangkan kita tidak bersikap pasif terhadap dosa, mengapa pula kita harus bersikap pasif terhadap maut? Bible menganggap maut sebagai musuh kita (1 Kor. 15:26). Oleh itu, kita harus nekad untuk memeranginya dan mengatasinya. Oleh sebab Tuan Yesus telah bersemuka dengan maut dan jayeng atas maut bagi kita, Dia mahu setiap daripada kita jayeng atasnya dalam hidup kita sekarang. Kita tidak harus meminta Tuhan memberi kita kekuatan untuk menanggung daya maut; sebaliknya, kita harus meminta kekuatan untuk jayeng atas kuasa maut.

Disebabkan maut datang daripada dosa, penyelamatan kita daripada maut adalah berdasarkan hakikat bahawa Tuan Yesus telah mati untuk kita dan menyelamatkan kita daripada dosa. Penebusan Tuan Yesus berkait rapat dengan maut. Ibrani 2:14-15 berkata, “Oleh itu, memandangkan anak-anak telah berbahagian dalam darah dan daging, Dia sendiri juga dengan cara yang sama, berbahagian dalam darah dan daging supaya menerusi kematian, Dia dapat menghapuskan dia yang mempunyai kuasa maut, iaitu iblis, dan dapat membebaskan mereka yang ditahan dalam pengabdian kerana takut akan maut sepanjang hayat mereka.” Salib ialah asas untuk jayeng atas maut. 

Syaitan mempunyai kuasa maut. Dia memegang kuasa ini kerana dia mempunyai dosa sebagai asasnya: “Oleh itu, sebagaimana menerusi satu orang, dosa telah masuk ke dalam dunia, dan menerusi dosa, maut datang; maka maut diturunkan kepada semua manusia kerana semua telah berbuat dosa” (Roma 5:12). Akan tetapi, Tuan Yesus sendiri telah masuk ke alam maut dan menerusi penebusan-Nya menghapuskan sengat maut—dosa—agar Syaitan kehilangan kuasanya. Menerusi kematian Kristus, dosa bukan sahaja telah kehilangan keberkesanannya, tetapi maut juga telah kehilangan kuasanya. Oleh itu, sekarang kita harus menembusi kuasa maut melalui kematian Kristus dan menerapkan segala yang telah disempurnakan di Golgota agar seluruh diri kita dapat diselamatkan daripada kepungan maut. 

Terdapat tiga cara untuk percayawan jayeng atas maut: (1) dengan percaya bahawa mereka tidak akan mati selagi kerja mereka belum selesai; (2) dengan percaya bahawa sengat maut telah dihapuskan, maka meskipun mereka mati, tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan; dan (3) dengan percaya bahawa mereka akan diselamatkan sepenuhnya daripada maut kerana Tuan akan datang lagi dan kerapturan akan berlaku. Mari kita melihat hal ini satu demi satu. (bersambung...)

Tuhan Menjadi Hayat Tubuh (Bahagian 4/4)
Jayeng Atas Maut (Bahagian 2/5)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)