Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 1/4)
DIASINGKAN DARIPADA WADAH KAYU DAN WADAH TANAH
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 2/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 1/4)
2020-06-18 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (51)

Nota Editor:

“Bebannya [Yohanes] berkaitan dengan hayat abadi dan hubungan kamu yang wajar dengan hayat abadi ini...Wahi yang diamanatkan kepada Yohanes bertujuan membawa orang kembali kepada rancangan asal, iaitu membawa mereka agar mempunyai sentuhan yang segar terhadap Tuan hayat yang telah bangkit itu.”

“Dalam seluruh Injil ini, kamu menemukan penekanan berganda ini, iaitu penekanan kebenaran dari satu segi dan penekanan kurnia dari segi yang lain. Kebenaran akan sentiasa menuntut, manakala kurnia akan sentiasa tersedia untuk memenuhi tuntutan itu.”

“Akan tetapi, apabila sampai ke Surat-surat Yohanes, kamu mendapati perkara selanjutnya. Kamu kurang mendengar tentang kurnia dan kebenaran, kerana surat-surat ini ditulis pada masa kemudian, dan pada masa itu pemulihan yang lebih asas diperlukan. Oleh itu, kamu mendapati bahawa Yohanes merujuk kamu kepada perkara yang jauh ke permulaan. ‘Tuhan ialah cahaya’ (1 Yoh. 1:5). ‘Tuhan ialah kasih’ (1 Yoh. 4:8). Dalam Injil, Kristus datang daripada Bapa untuk diwahikan dalam kalangan manusia sebagai kurnia dan kebenaran, manakala di sini dalam Surat-surat, Kristus wujud bersama dengan Bapa untuk diwahikan kepada manusia sebagai cahaya dan kasih.”

“Cara Yohanes ialah membawa kita kembali ke takhta, bukan menyajikan kita sesuatu yang baru, tetapi membawa semula yang asal itu ke hadapan kita. Dengan kembali semula kepada Sumber, kita akan memulihkan dan memelihara apa yang telah hilang.”

“Semua orang yang membaca buku Wahi akan menyedari bahawa buku ini mewakili pemulihan yang tertinggi. Catatan buku ini sama sekali merupakan songsangan kepada Kejadian. Segala kegagalan dan kerosakan yang masuk pada permulaan kini telah ditangani; segala yang hilang telah dipulihkan; setiap soalan yang bangkit di sana telah dijawab di sini.”

YOHANES—DAN KEBENARAN
(Bahagian 1/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

2 Tim. 2:19 “Bagaimanapun, asas teguh Tuhan tetap berdiri dengan mempunyai meterai ini, Tuan mengenali mereka yang kepunyaan-Nya, dan, Hendaklah setiap orang yang menyebut nama Tuan meninggalkan ketidakadilbenaran”

2 Tim. 2:20-21 “Tetapi di dalam rumah besar, bukan sahaja terdapat wadah emas dan perak, tetapi juga wadah kayu dan tanah; ada yang terhormat, dan ada yang terhina. Oleh itu, jika sesiapa membersihkan dirinya daripada ini, dia akan menjadi wadah yang terhormat, dikuduskan, berguna kepada tuan, dipersiapkan untuk setiap kerja baik.”

Ketika Paulus sudah hampir ke akhir hayatnya, dia menulis sepucuk surat kepada rakan sekerjanya yang muda, Timotius. Kita mungkin berasa sedih apabila mendapati bahawa penulisan terakhir dutus yang terpelihara ini mengandungi satu beban, yakni menanggulangi keadaan kerohanian yang mundur dan tersimpang. Walau bagaimanapun, disebabkan penyimpangan kerohanian sudah bermula sebelum kematian para dutus, maka pekudus hari ini dapat menerima bimbingan daripada Wasiat Baru semasa mereka berada dalam sekitaran yang sama.

Dalam waktu ketika banyak orang kehilangan iktikad dan harapan, serta menurunkan standard Kristian, orang mudah menjadi terkeliru. Kita tergoda untuk berkata, Sedangkan iktikad anak-anak Tuhan juga boleh berubah-ubah, apa lagi yang tidak boleh berubah? Tuan sendiri memang tidak pernah berubah; tetapi sementara kita dapat menengadah dan memuji-Nya, kita masih terganggu ketika memandang sekitaran. Oleh itu, Roh itu menerusi Paulus menunjukkan kepada kita satu perkara lain yang tidak berubah. “Bagaimanapun, asas teguh Tuhan tetap berdiri dengan mempunyai meterai ini, Tuan mengenali mereka yang kepunyaan-Nya, dan, Hendaklah setiap orang yang menyebut nama Tuan meninggalkan ketidakadilbenaran” (2 Tim. 2:19).

Orang mungkin meninggal Tuan; Figelus dan Hermogenes, Himeneus dan Filetus, bahkan semua yang berada di Asia mungkin tidak setia terhadap Tuan. Apabila seorang demi seorang daripada mereka berpaling, kita mula melihat ke sekeliling dan tertanya-tanya siapa lagi yang boleh diharap. Akan tetapi, Tuan mengenali mereka yang kepunyaan-Nya: Itulah meterai pertama yang terukir di atas asas yang teguh ini. Kita mungkin silap; Tuhan tidak pernah silap. Kita harus mengaku di hadapan-Nya bahawa kita mungkin salah anggar namun Dia memerhatikan semua hati. Kita menilai seseorang itu terlalu tinggi kerana Tuhan secara berahmat menggunakan mereka; sebenarnya, Tuhan juga menggunakan kita, tetapi Tuhan tahu bahawa kita memerlukan rahmat-Nya! Hendaklah kita berwaspada agar tidak menganggap bahawa kita mengenali sifat manusia. Hanya Tuhan yang mengenali manusia. Orang mungkin mengecewakan kita, namun siapakah antara kita yang tidak pernah mengecewakan Tuan?

Oleh itu, meterai atau ukiran ini mempunyai satu lagi aspek, iaitu perintah kepada mereka yang “menyeru Tuan daripada hati yang murni” (ay. 22), Perintah ini ialah mereka yang menyebut nama Tuan harus meninggalkan ketidakadilbenaran. Asas Tuhan yang tidak bergoyah memberitahu kita perintah ini. Apabila kita melihat keadaan kerohanian yang runtuh di sekeliling kita, kita harus menyemak diri sendiri. Mereka yang kepunyaan Tuan itu harus menjadi orang yang dikuduskan. Ayat-ayat yang menyusul akan menghuraikan butir ini. Ayat-ayat itu berbicara tentang sebuah rumah besar yang mengandungi wadah emas dan perak, wadah kayu dan tanah, sesuai untuk pelbagai tugas. Manusia adalah seperti wadah-wadah ini, tetapi ayat-ayat ini menasihati kita agar melayakkan diri untuk menjadi wadah yang terhormat. 

Apakah yang dimaksudkan dengan “rumah besar” ini berserta wadah-wadah yang ditakdirkan menjadi terhormat atau terhina? Apakah implikasi nilai moral di sebalik kata-kata ini? Dalam Satu Timotius, gereja Tuhan ialah rumah Tuhan (3:15); namun di sini saya percaya bahawa Paulus bukan merujuk kepada rumah Tuhan, tetapi merujuk kepada penampilan luaran Kristianiti. “Gereja bagi Tuhan yang hidup” pasti tidak akan menjadi runtuhan; ia pasti tidak akan jatuh menjadi “rumah besar” yang penuh dengan campur aduk. Akan tetapi, malangnya kesaksian luaran gereja mungkin akan roboh pada bila-bila masa. 

Sekarang bagaimanakah kita membezakan wadah-wadah ini? Kita segera memerhatikan bahawa hanya bahan wadah yang dinyatakan, bukan fungsi wadah. Ciri ini sejajar dengan pembinaan rumah Tuhan yang kita sebut sebelum ini. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa yang diambil kira bukan kebergunaan wadah tetapi kualiti bahan wadah. Dari segi praktikal, kegunaan wadah emas dan perak adalah kurang berbanding dengan perabot kayu atau periuk tanah, namun di sini Tuhan bukan berbincang dengan kita kegunaan wadah-wadah itu. Dia sedang menghakimi nilai kekal wadah-wadah itu kepada diri-Nya. Pada waktu kejatuhan, Tuhan memandang berat akan nilai intrinsik wadah dan bukan kegunaannya. Beberapa tahil emas mungkin bersamaan dengan nilai semua bangku kayu dalam satu dewan! Dari segi rohani, dua orang yang berlainan mungkin mengucapkan kata-kata yang serupa, namun kudrat bukan bergantung pada kata-kata mereka, tetapi pada siapanya mereka. Bileam dan Yesaya kedua-duanya berbicara tentang kingdom, namun apabila kita ada keperluan peribadi, kita tahu kepada siapa harus kita cari.

Pada hari-hari ketika nilai semakin menurun, apakah yang kita hargai: kayu dan tanah yang berupa kepintaran manusia dan sumber duniawi, atau emas dan perak yang berasal daripada sumber divin dan penebusan menerusi salib? Banyak perkara dalam Kristianiti hari ini telah menjadi terlalu murah, sedangkan tidak ada jalan pintas untuk beroleh nilai rohani. Menginjil, berdoa, membuat kesaksian, semua ini nampaknya tidak susah, namun untuk menjadi bernilai, harga masa bertahun-tahun dan harga darah perlu dibayar, dan disiplin Tuhan yang bersifat penanggulangan juga perlu dialami. “Wadah terhormat” ialah orang yang menunggu Roh itu mengajarnya, dan yang tidak malu untuk mengaku dia tidak tahu. Ini kerana hari itu akan tiba apabila ciri-ciri sebenar sesuatu perkara akan diuji. Pada waktu penyimpangan dan kekeliruan, memberitakan sabda mempunyai sedikit nilai sahaja, melainkan manusia melihat Tuhan dalamnya. Pada waktu sedemikian, orang dapat mengetahui sama ada pembicara itu benar-benar diperoleh Tuhan menerusi apa yang dibicarakannya. Apa yang tidak pernah menyentuh dia secara mendalam juga tidak ada kudrat untuk menyentuh orang lain pada hari itu.

Walaupun idea “wadah” ini membuat orang terfikir tentang dibentuk menjadi sesuatu, namun 2 Timotius memberi petunjuk bahawa dalam sekitaran tertentu, kita harus membiarkan Tuhan bertanggungjawab atas takdir wadah itu, sebaliknya kita hanya perlu berprihatin terhadap kualiti wadah. “Oleh itu, jika sesiapa membersihkan dirinya daripada ini, dia akan menjadi wadah yang terhormat” (2:21).

Hamba-Nya Yohanes

Perbincangan ini akhirnya membawa kita kepada disipal yang dikasihi Tuan itu. Dari segi masa, penulisannya secara umum menyusuli penulisan Paulus. Oleh itu, seperti yang telah kami sebut, sumbangannya yang paling menonjol kepada wahi Wasiat Baru ialah penekanan terhadap pemulihan. Ketika hayat dalaman gereja dicerobohi hal-hal luaran, Yohanes tampil untuk mengingatkan orang agar mementingkan kualiti divin yang sebenar. Seperti yang pernah kami sebut juga, butir ini digambarkan dalam catatan Bible sewaktu Yesus mula-mula menemui Yohanes. Pada masa itu, Yohanes bersama dengan saudaranya Yakobus, “berada di dalam perahu mereka sedang menampal jala”—membaiki kerosakan yang disebabkan jerih lelah semalam.

Sudah tentu Yohanes seorang “nelayan” seperti Petrus, dan dalam lingkungannya, dia juga seorang “pembina” seperti Paulus. Kita melihat pada permulaan Kisah Para Dutus, dia mengambil bahagian sepenuhnya dalam pemberitaan dan persekutuan pada peringkat awal. Sama seperti Paulus, dia juga dapat menulis dengan kuasa “kepada gereja” (3 Yoh. 9). Akan tetapi, apabila dilihat dalam konteks Wasiat Baru secara keseluruhan, ciri penulisan Yohanes yang paling menonjol pasti ialah ministrinya yang khusus ini, iaitu membawa hal-hal kembali kepada asalnya atau kepada keadaan asal yang dihasratkan Tuhan.

Seperti yang kita semua tahu, injil Yohanes ialah injil yang terakhir dalam empat Injil. Surat-surat Yohanes juga ialah surat terakhir; dan Wahi Yohanes terletak akhir sekali dalam seluruh Bible. Semua penulisannya ialah “yang terakhir”. Kamu boleh menemui fakta ini di banyak tempat dalam Injil Yohanes. Yohanes tidak banyak menyentuh kerja Tuan, seperti yang dipaparkan dalam Markus. Yohanes juga jarang-jarang sekali membicarakan perintah Tuhan, seperti yang dibentangkan oleh Matius dalam Ajaran di atas Gunung. Yohanes tidak menyebut tentang apa yang harus kamu lakukan jika orang mengambil jubah kamu, atau ketika kamu ditindas jiran kamu, kamu harus berjalan satu atau dua batu dengannya. Itu bukan beban utamanya. Bebannya berkaitan dengan hayat abadi dan hubungan kamu yang wajar dengan hayat abadi ini. Kata-kata Yohanes mengimplikasikan bahawa jika kamu kembali kepada hayat abadi, segala yang lain akan menyusul. Dalam aspek ini, dia juga agak berbeza daripada Lukas. Dia tidak mementingkan perkara luaran dan sementara—seperti tarikh dan salasilah, biarpun semua itu membawa kita balik kepada Adam. Seluruh bebannya ialah kita harus masuk ke dalam “hayat” di sebalik semua perkara ini. Segala-gala di sini sekarang berada dalam keadaan kopak-kapik. Oleh itu, kembalilah kepada Hayat yang “turun dari syurga”, dan asalkan kamu kembali ke sana, Petrus dan segala yang dipertahankannya itu akan terpelihara, dan begitu juga dengan Paulus. Dalam erti kata tertentu, Yohanes tidak memaparkan apa yang baru. Dia tidak membawa kita maju ke depan, kerana Tuhan sudah menyentuh titik tertinggi. Wahi yang diamanatkan kepada Yohanes bertujuan membawa orang kembali kepada rancangan asal, iaitu membawa mereka agar mempunyai sentuhan yang segar terhadap Tuan hayat yang telah bangkit itu.

Apabila kamu membaca seluruh Injil Yohanes, kamu akan mempunyai tanggapan yang dalam bahawa bab pertama ialah kunci untuk memahami semua bab yang seterusnya. Dalam bab pertama, kita menemukan kurnia dan kebenaran, iaitu dua aliran yang mengalir daripada Kristus. “Hukum diberikan menerusi Musa; kurnia dan realiti datang menerusi Yesus Kristus” (1:17). Dalam seluruh Injil ini, kamu menemukan penekanan berganda ini, iaitu penekanan kebenaran dari satu segi dan penekanan kurnia dari segi yang lain. Kebenaran akan sentiasa menuntut, manakala kurnia akan sentiasa tersedia untuk memenuhi tuntutan itu. Dalam kejadian yang tercatat dalam bab 8 berkenaan perempuan yang ditangkap ketika berzina, kebenaran terpancar. Yesus tidak berkata kepada perempuan itu, “Tiada masalah; kamu tidak berbuat dosa.” Tuan tidak memberitahu orang Yahudi bahawa perbuatan perempuan itu tidak serius dan bahawa Dia tidak prihatin akan hal ini. Tidak, Tuan berkata, “Dia yang tanpa dosa dalam kalangan kamu, biarlah dia yang pertama melemparnya dengan batu” (8:7). Kebenaran berada di situ: Perempuan itu telah berbuat dosa, dan menurut hukum dia harus direjam; tetapi kurnia juga berada di situ, kerana setelah semua orang keluar, Tuan berpaling dan berkata kepadanya, “Aku juga tidak mengutuk kamu.” Dalam seluruh Injil Yohanes, kamu dapat melihat bahawa kebenaran sentiasa berpadanan dengan kurnia dengan cara ini.

Akan tetapi, apabila sampai ke Surat-surat Yohanes, kamu mendapati perkara selanjutnya. Kamu kurang mendengar tentang kurnia dan kebenaran, kerana surat-surat ini ditulis pada masa kemudian, dan pada masa itu pemulihan yang lebih asas diperlukan. Oleh itu, kamu mendapati bahawa Yohanes merujuk kamu kepada perkara yang jauh ke permulaan. “Tuhan ialah cahaya” (1 Yoh. 1:5). “Tuhan ialah kasih” (1 Yoh. 4:8). Dalam Injil, Kristus datang daripada Bapa untuk diwahikan dalam kalangan manusia sebagai kurnia dan kebenaran, manakala di sini dalam Surat-surat, Kristus wujud bersama dengan Bapa untuk diwahikan kepada manusia sebagai cahaya dan kasih. Kebenaran dalam Injil telah menjadi cahaya dalam Surat-surat. Kurnia dalam Injil telah menjadi kasih dalam Surat-surat. Mengapakah begini? Hal ini demikian kerana apabila cahaya dalam Tuhan ditransmisikan ke dalam manusia, cahaya itu menjadi kebenaran; apabila kasih dalam Tuhan dibawa kepada manusia, kasih itu menjadi kurnia. Kasih kembali kepada Tuhan, tetapi kurnia masih berada di sini. Segala-gala yang berada dalam Tuhan ialah cahaya dan kasih, tetapi apabila sampai kepada manusia, ia menjadi kebenaran dan kurnia. Kurnia selalu disalahgunakan, kebenaran selalu disalahkendalikan; manusia salah menerapkan kurnia dan kebenaran pada diri mereka. Namun Tuhan ialah cahaya dan Tuhan ialah kasih; hal-hal ini langsung tidak tercapai manusia dan tidak dapat disentuhnya, jadi hal-hal ini tidak akan disalahkendalikan. Oleh itu, cara Yohanes ialah membawa kita kembali ke takhta, bukan menyajikan kita sesuatu yang baru, tetapi membawa semula yang asal itu ke hadapan kita. Dengan kembali semula kepada Sumber, kita akan memulihkan dan memelihara apa yang telah hilang.

Apabila kita sampai kepada buku terakhir dalam Bible (dalam erti kata tertentu juga buku yang terpenting), yakni buku Wahi, kita melihat dutus mengaplikasikan prinsip ini dengan sepenuhnya; kita melihat bahawa penekanannya di sini khususnya pada Tuan Yesus sebagai “Yang benar itu” (Wahi 3:7). Saya berfikir semua orang yang membaca buku Wahi akan menyedari bahawa buku ini mewakili pemulihan yang tertinggi. Catatan buku ini sama sekali merupakan songsangan kepada Kejadian. Segala kegagalan dan kerosakan yang masuk pada permulaan kini telah ditangani; segala yang hilang telah dipulihkan; setiap soalan yang bangkit di sana telah dijawab di sini. (bersambung...)

DIASINGKAN DARIPADA WADAH KAYU DAN WADAH TANAH
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 2/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)