Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 2/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 1/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 3/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 2/4)
2020-06-19 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (52)

Nota Editor:

“Penglihatan yang pertama merupakan asas kepada semua penglihatan yang lain. Hal ini kerana matlamat kita ialah satu kingdom, oleh itu Raja dan warga-Nya (bukan pakar nubuat) yang akan mengisytiharkan peperangan ke atas segala yang bertentangan dengan kingdom-Nya. Peristiwa yang akan datang bukan diwahikan untuk membekalkan bahan untuk spekulasi kosong; matlamatnya ialah menggulingkan musuh dan membawa masuk pemerajaan Kristus yang universal.”

“Sungguhpun banyak orang yang mengenali Dia sebagai Jalan dan Hayat, namun hari ini terlalu sedikit orang yang benar-benar mengenali Dia sebagai Kebenaran.”

“Kebenaran, realiti yang mulia ialah: Kristus sudah jayeng, bukannya Dia akan jayeng. Hari ini Tuhan sedang melakukan sesuatu yang telah disempurnakan oleh Kristus. Keperluan kita yang terdesak ialah melihat hakikat ini.”

“Pemberitaan kebenaran yang tanpa cahaya akan menjadi doktrin; pemberitaan yang mempunyai cahaya divin akan menjadi wahi.”

YOHANES—DAN KEBENARAN
(Bahagian 2/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Wahi 1:1 “Wahi Yesus Kristus yang diberi Tuhan kepada-Nya untuk ditunjukkan kepada abdi-abdi-Nya hal-hal yang pasti berlaku segera, dan Dia memberitahukannya melalui tanda-tanda, menyampaikannya melalui malaikat-Nya kepada abdi-Nya Yohanes”

Wahi 3:7 “...Hal-hal ini disabdakan oleh Yang Kudus, Yang benar itu...”

Yoh. 1:17b “Kurnia dan realiti datang menerusi Yesus Kristus.”

Yoh. 8:32 “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”

1 Yoh. 5:20 “Dan kita mengerti bahawa Anak Tuhan telah datang dan memberi kita kefahaman agar kita dapat mengenali Dia yang benar itu; dan kita berada dalam Dia yang benar itu, iaitu dalam Anak-Nya Yesus Kristus. Ini ialah Tuhan benar dan hayat abadi.”

Hamba-Nya Yohanes (samb.)

Dalam Kejadian, saya melihat seekor ular. Apakah kesudahan ular ini? Saya melihat satu laknat. Apakah kesudahan laknat ini? Saya melihat maut dan dosa. Apakah kesudahannya? Saya melihat manusia dilarang ke pohon hayat. Apakah akibat perkara ini? Saya melihat permulaan hal-hal ini, namun apakah pengakhirannya? Apakah pula kesudahan saya? Tuhan dalam kurnia telah mempunyai satu permulaan pada saya, namun apakah yang akan terjadi sekiranya penyelamatan berakhir sekarang? Buku Wahi bertujuan menjawab semua soalan ini dengan memperkenalkan kepada saya Yesus sebagai Yang hidup selama-lamanya; Dia ialah Permulaan dan Penamat. 

Buku Wahi merupakan wahi dan penyingkapan tentang Yesus Kristus. Buku ini mengalihkan tirai dan mewahikan Persona-Nya. Tujuan Wahi terutamanya bukan untuk mencahayai kita berkenaan peristiwa yang akan datang—antikristus, kepulihbangkitan Empayar Rom yang akan datang, kerapturan, kingdom milenium, atau takdir muktamad Syaitan. Cara Yohanes menyembuhkan penyakit kita bukan dengan berbicara tentang pelbagai meterai dan trompet, bukan juga menjawab persoalan sama ada kerapturan itu “separa” atau “seluruh”. Sesungguhnya buku ini bukan untuk memuaskan spekulasi minda kita, tetapi untuk memenuhi keperluan rohani kita dengan mewahikan Kristus sendiri secara penuh, agar kita dapat mengenali-Nya.

Sebenarnya, Wahi menjawab soalan kita berkenaan diri kita, tetapi cara jawapannya melangkaui imaginasi kita. Hal ini kerana apa yang dipaparkan oleh Yohanes kepada kita pada akhirnya jauh melebihi apa yang kita hilang pada mulanya. Tuhan bermula dengan satu taman dan Dia berakhir dengan satu kota. Dalam Kejadian, Dia mengunjungi manusia yang dicipta-Nya; dalam Wahi, tempat huni-Nya, takhta-Nya, berada di tengah-tengah manusia. Gereja yang dibicarakan oleh Paulus telah menjadi kota kudus yang dibicarakan oleh Yohanes. Inilah kehendak Tuhan yang tidak pernah berubah. Apa yang telah ditetapkan oleh Tuhan pada mulanya pasti akan disempurnakan; dan Wahi menjamin kepada kita bahawa menurut minda-Nya sendiri, Dia telah menyempurnakannya. Maka dari segi esens, Yohanes memaparkan kepada kita apa yang sama seperti dahulu, tidak ada apa-apa yang baru; dia hanya menunjukkan kepada kita bahawa apa yang dihasratkan oleh Tuhan itu akan dilaksanakan-Nya.

Saya mengulang, segala ini dilakukan oleh Yohanes dengan membawa kita kembali kepada Permulaan yang divin. Apakah takdir dunia ini? Apakah hasil daripada perjuangan gereja? Apakah kesudahan saya? Yohanes menegaskan bahawa segala hal mempunyai jawapan dan penggenapannya dalam Tuan Yesus Kristus. Adakah Kristus Permulaan saya? Dia juga Penamat saya. Adakah Dia Alfa saya? Dia juga Omega saya. Kristus ialah jawapan kepada segala soalan saya. Jika saya jelas terlebih dahulu tentang-Nya, saya akan mengetahui semua yang perlu saya ketahui tentang peristiwa yang akan datang. Saya akan mengetahui sebab-musabab berlakunya semua perkara itu dan saya akan melihat bahawa memang wajar berlakunya semua perkara itu. Semua ini merupakan urutan divin yang wajib. Sekiranya seseorang itu tidak pernah melihat visi pertama berkenaan Tuan sendiri, dia tidak layak mengkaji visi seterusnya yang dicatat oleh Yohanes. Visi pertama memberitahu kita siapanya Dia, iaitu Raja segala raja yang bangkit dan menang, dan peristiwa yang menyusul itu merupakan hasil daripada apanya Dia ini. 

Yohanes sendiri juga mempunyai pengalaman yang sama. Dia merupakan disipal yang dikasihi Tuan yang berbaring dalam pangkuan Yesus, namun bahkan dia juga tersungkur dalam debu tanah kerana melihat wahi berkenaan Tuannya yang abadi. Hanya dengan demikian barulah dia dapat beroleh wahi berkenaan “hal-hal yang akan datang”. Penglihatan yang pertama merupakan asas kepada semua penglihatan yang lain. Hal ini kerana matlamat kita ialah satu kingdom, oleh itu Raja dan warga-Nya (bukan pakar nubuat) yang akan mengisytiharkan peperangan ke atas segala yang bertentangan dengan kingdom-Nya. Peristiwa yang akan datang bukan diwahikan untuk membekalkan bahan untuk spekulasi kosong; matlamatnya ialah menggulingkan musuh dan membawa masuk pemerajaan Kristus yang universal.

Oleh itu, dalam Wahi, Tuhan menunjukkan kepada kita satu aspek tentang Anak-Nya yang tidak ditunjukkan kepada kita dalam Injil. Dalam Injil, kita melihat Dia sebagai Penyelamat, tetapi dalam Wahi, Dia ialah Raja; dalam Injil Yohanes, Dia ialah Alfa, dan dalam Wahi, Dia ialah Omega. Yang dahulu memaparkan kasih-Nya, dan yang kemudian memaparkan kemahabesaran-Nya. Di bilik atas di Yerusalem, Yesus mengikat pinggang-Nya untuk melayan; di Patmos, Dia mengikat tali pinggang pada dada-Nya untuk berperang. Dalam Injil, mata-Nya yang lembut-halus mencairkan hati Petrus; dalam Wahi, mata-Nya seperti nyala api. Dalam Injil, suara-Nya lembut, memanggil domba-Nya sendiri dengan nama, dan kata kurnia keluar daripada mulut-Nya; dalam Wahi, suara-Nya dahsyat seperti bunyi banyak air, dan daripada mulut-Nya keluar pedang tajam bermata dua, membunuh musuh-Nya.

Tidaklah memadai bagi kita mengenali Yesus sebagai Anak Domba Tuhan dan sebagai Penyelamat dunia; kita harus juga mengenali Dia sebagai Kristus Tuhan, Raja Tuhan, Hakim Tuhan. Apabila kita melihat Dia sebagai Penyelamat, kita berkata, “Sungguh memikat hati!” lalu bersandar pada pangkuan-Nya. Apabila kita melihat Dia sebagai Pemerintah, kita berkata, “Sungguh menggerunkan!” lalu tersungkur di depan kaki-Nya. Perasaan yang pertama ialah bersyukur, manakala perasaan yang kedua ialah menyembah. Oleh itu, sekarang apabila seseorang melihat Kristus sebagai Raja, hampir boleh dikatakan bahawa dia telah melihat Kristus “yang satu lagi” dan mengalami penyelamatan “yang satu lagi”. Sekarang kita melihat Dia sebagai Saksi yang setia dan benar, Penjamin yang divin; Dia akan bersaksi dan menjamin bahawa meskipun tujuan Tuhan mungkin terhalang, namun tujuan Tuhan akhirnya akan tersempurna juga.

Dia Ialah Yang Benar Itu

Ketika mengkaji Wahi, kita perlu berhati-hati untuk mengelakkan daripada menjelaskan apa yang kita baca itu secara melampau dari segi rohani. Langit baru dan bumi baru yang dibicarakan oleh Yohanes adalah benar, bukan imaginasi; Yerusalem Baru yang dibicarakan oleh Yohanes juga benar, sama seperti Tuan yang bangkit adalah benar. Merohanikan hal-hal yang divin sehingga menjadi tidak nyata merupakan cara penyelesaian yang sewenang-wenang oleh orang yang tidak mempunyai realiti. Saya takut bahawa banyak rakan yang dikasihi hanya mengumpulkan kebenaran yang rohani dan bersifat nubuat untuk membina satu dunia khayalan bagi diri mereka. Berbuat demikian bererti lari daripada realiti, seperti keadaan sesetengah orang yang kita sebut sebelum ini. Mereka amat berhasrat untuk hidup dalam suasana rohani Efesus tetapi mengelak daripada berdepan dengan cabaran praktikal dalam Satu Korintus. Akan tetapi, sila ingat bahawa inilah khayalan yang menipu Laodikia, sehinggakan mereka mempercayai dusta.

Tanda kematangan rohani sentiasa ialah hal-hal divin menjadi benar bagi kita kerana Kristus adalah benar bagi kita. Kita melihat Dia sebagai hayat yang benar, kekudusan yang benar—sesungguhnya, Dialah “kebenaran”. Saya menggunakan “kebenaran” di sini dalam erti kata yang amat berbeza daripada apa yang saya bicarakan sebelum ini tentang “kebenaran yang bersifat nubuat”. Banyak orang terkeliru akan kebenaran dan doktrin, tetapi kedua-duanya tidak sama. Doktrin ialah apa yang dikatakan di bumi tentang kebenaran abadi. Perkataan “kebenaran” dalam bahasa Cina ialah chen-li (lebih kurang bermakna “realiti-doktrin”) tetapi makna bahasa Yunani sebenarnya ialah chen tanpa li, iaitu “realiti” tanpa “doktrin”. Dalam Yesus yang berkata, “Kamu akan mengenali kebenaran” (Yoh. 8:32) itu sendiri terjasad segala yang benar (Wahi 3:7; bd. 1 Yoh. 5:20), dan inilah pengetahuan yang harus kita ada terhadap-Nya.

Kebenaran “ada dalam Yesus” (Ef. 4:21), dan sama seperti kurnia, kebenaran “datang menerusi Yesus Kristus” (Yoh. 1:17). Kita mengalu-galukan kurnia-Nya; namun adakah kita mengenali kebenaran-Nya? Dia menyerahkan diri-Nya di atas salib; dalam tindakan yang bersejarah ini, kurnia telah datang kepada kita. Demikian juga, sudah tentu kebenaran berkait rapat dengan Persona dan kerja-Nya, dan bukan sekadar sesuatu yang diujarkan menerusi pemberitaan-Nya. Oleh itu, sekiranya kurnia mencapai kita sekarang, maka kebenaran juga pastinya mencapai kita dan mendakap kita, kerana kita kini digabungkan dengan-Nya dengan percaya kepada kerja yang telah disempurnakan-Nya.

Sungguhpun banyak orang yang mengenali Dia sebagai Jalan dan Hayat, namun hari ini terlalu sedikit orang yang benar-benar mengenali Dia sebagai Kebenaran. Keadaan ini merupakan suatu kekurangan yang serius kerana kita telah mengatakan bahawa kebenaran ialah realiti. Sebelum Dia dan di luar Dia, tidak ada realiti. Jika kita rela, kita dapat memasuki kebenaran, kerana kerja yang disempurnakan-Nya merupakan perkara yang paling benar di dunia bagi kita hari ini. Disebabkan apa yang telah dilakukan-Nya, apanya kita di hadapan Tuhan menjadi realiti kita.

Hal ini mempunyai makna yang besar terhadap pengalaman kita yang praktikal. Saya selalu menghadapi kesulitan dari segi teori, iaitu apabila saya membandingkan apanya saya di hadapan Tuhan dengan apanya saya sekarang, saya sering mendapati banyak perbezaan. Apa yang telah dilakukan oleh kerja Kristus pada saya ialah satu perkara, tetapi apa yang saya alami di bumi seolah-olah kerap bercanggah dengan kebenaran. Bagaimanakah saya menangani percanggahan ini? Bagaimanakah saya harus menjalani kehidupan supaya tingkah laku saya di sini sejajar dengan kebenaran yang saya kenali di sana?

Saya harus melihat bahawa apanya saya dalam-Nya menerusi kerja Kristus ialah perkara yang benar. Inilah asas bagi semua pengalaman Kristian saya yang benar. Apanya saya dengan berada dalam Kristus ialah kebenaran abadi. Satu-satunya kesilapan saya ialah tinggal dalam perasaan dan pengalaman saya, pergelutan dan kegagalan saya, keraguan dan harapan saya, serta tidak menetapkan iktikad saya pada “Dia yang benar itu”. 

Segala-galanya berpusatkan Dia. Pada pusat Bible kita melihat Kristus di atas salib. Kematian-Nya merangkumi kita, dan apabila Dia bangkit, kita juga bangkit bersama dengan-Nya, dan menjadi anggota Tubuh-Nya. Yohanes mewahikan kepada kita apanya Dia pada hari ini. Puji Tuhan, kenaikan-Nya ke syurga dan kemuliaan-Nya turut menjadi milik kita! Namun dari manakah kita mendapat pengesahan tentang hal-hal ini? Bukan daripada perasaan kita, tetapi daripada realiti Persona-Nya dan kerja-Nya. Apa yang telah dilakukan oleh Kristus merupakan tempat rehat bagi iktikad kita. Yang “membebaskan kita” bukan perasaan kita, bahkan bukan pengetahuan kita, tetapi kebenaran. Yohanes 8:32 menunjukkan bahawa melainkan kita melihat hal-hal ini, kita kekal diperabdikan. Namun disebabkan kerja Kristus adalah benar, dan disebabkan apanya kita dalam-Nya ialah kebenaran, maka asalkan kita menemukan realiti-realiti ini, kebenaran akan membuka jalan kepada kita agar kita tidak dibelenggu lagi. Inilah sifat kebenaran.

Inilah nilai besar bagi wahi baru tentang Yesus yang dibawa Yohanes kepada kita. Sekadar melihat dari tahap manusia—contohnya dari sudut pandangan seorang banduan Rom di Pulau Patmos—kemenangan Kristus nampaknya seperti hal yang paling tidak benar. Sebagaimana pada masa itu, demikian juga pada hari ini. Jika kita melihat kerajaan, masyarakat, Kristianiti luaran, kita melihat belenggu, penindasan, dan kekecewaan, tetapi bukan kebebasan. Maka kita berdoa dan meminta kemenangan. Berbuat demikian seolah-olah menyebabkan kemenangan di Kalvari menjadi suatu pembohongan. Kebenaran, realiti yang mulia ialah: Kristus sudah jayeng, bukannya Dia akan jayeng. Hari ini Tuhan sedang melakukan sesuatu yang telah disempurnakan oleh Kristus. Keperluan kita yang terdesak ialah melihat hakikat ini.

“Utuslah cahaya-Mu dan kebenaran-Mu” (Mzm. 43:3). Kedua-dua ini berkaitan. Kebenaran disempurnakan dalam Kristus, tetapi cahaya Tuhan diperlukan dalam hati kita untuk menyinari kebenaran. Semua pengalaman rohani datang daripada pencahayaan divin ke atas kebenaran abadi. Pemberitaan kebenaran yang tanpa cahaya akan menjadi doktrin; pemberitaan yang mempunyai cahaya divin akan menjadi wahi. Oleh itu, adakalanya kebenaran yang mencapai kita ialah wahi, dan adakalanya ialah doktrin. Akan tetapi, kebenaran, iaitu realiti abadi, pertama-tamanya ialah Kristus sendiri, kemudian merupakan apanya kita dalam Tuhan, menurut apa yang telah dilakukan-Nya pada kita melalui kurnia-Nya. (bersambung...)

YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 1/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 3/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)