Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 2/2)
KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 1/2)
KESAKSIAN YESUS—KHUSUS DAN BERKONSUMASI (Bahagian 1/3)
KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 2/2)
2020-07-29 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (92)

Nota Editor:

“Saya amat berharap agar kita semua tidak lagi mengikut jalan Kristianiti yang lama, iaitu jalan doktrin. Hari ini, kita mengikut jalan baru pemulihan Tuan, iaitu jalan Roh. Kita mungkin tidak memahami doktrin, namun kita masih dapat menikmati Tuhan setiap hari. Hari ini, yang penting ialah Roh!”

“Jangan terlalu pedulikan perasaan tubuh daging atau pemikiran minda kamu. Kamu harus sedar bahawa perkara yang paling berharga dalam kamu ialah Tuan Yesus yang merupakan Roh itu. Roh Tuan berada dalam roh kamu. Tambahan pula, dua roh ini — roh kamu dan Roh Tuan — berbaur menjadi satu roh.”

“Dikbang dan dikkak yang dikasihi, bermula dari hari ini, saya merayu kepada kamu agar melatih roh setiap hari dengan sedaya upaya. Untuk melatih roh, kamu perlu menyeru, ‘O Tuan Yesus!’ Selain itu, kamu juga harus mendoa-baca. Dari satu segi, kamu menyeru ‘O Tuan Yesus!’, dari segi yang lain, kamu mendoa-baca Sabda...Jika kamu menggunakan roh kamu untuk mendoa-baca Bible, amalan ini jauh lebih berkesan dan lebih kaya daripada mendengar mesej. Melalui amalan ini, kamu akan menerima lebih banyak bekalan berbanding dengan mendengar mesej.”

“Semakin kamu menikmati Tuan dan hidup dalam Roh, semakin kamu berhasrat untuk menjalani kehidupan gereja dan berkoordinasi dengan orang lain demi kesaksian Tubuh. Pada hari-hari terakhir ini, semoga Tuan merahmati kita agar kita semakin berada dalam arus pemulihan-Nya.”

KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 2/2)

(Pemulihan Tuan—Makan, Bab 5)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 6:17 “Tetapi dia yang digabungkan kepada Tuan ialah satu roh.”

2 Tim. 4:22 “Tuan bersama dengan rohmu. Kurnia menyertaimu.” 

Gal. 5:25 “Jika kita hidup melalui Roh, haruslah kita juga bergerak-hidup melalui Roh.”

IV. BUKAN MEMAHAMI DENGAN MINDA TETAPI MENIKMATI DENGAN ROH

Jangan sekali-kali dipengaruhi oleh ajaran Kristianiti yang tradisional. Saya tahu bahawa dalam kalangan orang Kristian, doktrin berkenaan Triniti sangat popular. Banyak orang yang membicarakan Bapa Kudus, Anak Kudus, dan Roh Kudus, serta bagaimana Mereka ini ialah tiga Persona. Maksud saya bukannya tidak ada doktrin yang betul berkenaan Triniti, tetapi jangan kamu sekali-kali cuba menyelidiki kebenaran ini sebagai satu doktrin kerana minda kamu tidak berupaya memahami hal ini dengan sepenuhnya. Selepas persidangan musim panas pada tahun lepas, saya melawat gereja-gereja di banyak tempat. Satu-satunya beban saya ialah menunjukkan kepada orang bahawa mereka tidak dapat memahami Bapa, Anak, dan Roh dengan jelas. Mungkin sesetengah daripada kamu menyangka bahawa kamu sangat jelas berkenaan Tuhan Tritunggal, tetapi biar saya beritahu kamu bahawa kamu tidak akan jelas tentang hal ini. Jangankan Tuhan Tritunggal, berkenaan diri kita pun kita tidak jelas. Jika kamu tidak percaya, biar saya bertanyakan beberapa soalan. Adakah kamu mempunyai sukma? Adakah kamu mempunyai hati? Adakah kamu mempunyai roh? Adakah kamu mempunyai minda? Adakah kamu mempunyai zimah? Kamu mengatakan bahawa kamu mempunyai semua ini. Kalau begitu, sila beritahu saya, di manakah sukma kamu? Di manakah hati kamu, dan berapakah hati yang kamu ada? Di manakah roh kamu? Adakah kamu cuba memahami Tuhan dengan sepenuhnya? Bahkan diri kamu juga tidak dapat kamu fahami sepenuhnya.

Sekarang saya akan membaca beberapa petikan Bible yang akan membingungkan kamu. Yesaya 9:6 berkata, “Kerana seorang bayi telah dilahirkan bagi kita, / Seorang Anak telah diberikan kepada kita;...dan nama-Nya akan dipanggil...Tuhan Perkasa, / Bapa Abadi.” Dia ialah seorang bayi, seorang anak, namun nama-Nya dipanggil Tuhan Perkasa, Bapa Abadi. Sila beritahu saya, adakah Dia Anak atau Bapa? Dia Anak dan juga Bapa. Hal ini betul-betul membingungkan kita. Dahulu, saya menyangka saya sangat jelas berkenaan Tuhan Tritunggal, iaitu Bapa Kudus, Anak Kudus, dan Roh Kudus, tetapi selepas saya membaca Yesaya 9:6 berulang kali, saya menjadi bingung.

Mari kita baca Yohanes 1:1: “Pada mulanya ada Sabda, dan Sabda itu bersama-sama dengan Tuhan, dan Sabda ialah Tuhan.” Mula-mula, ayat ini mengatakan bahawa “Sabda itu bersama-sama dengan Tuhan”; maksudnya ada dua yang hadir kerana frasa “bersama-sama dengan”. Akan tetapi, ayat ini berkata lagi, “Sabda ialah Tuhan”; maksudnya ada satu sahaja. Kalau begitu, adakah Sabda dan Tuhan dua atau satu? Ayat ini juga membingungkan kita.

Sekarang mari kita baca 2 Korintus 3:17: “Dan Tuan ialah Roh itu; di mana sahaja Roh Tuan....” Rangkap pertama mengatakan Tuan ialah Roh itu, maka Tuan dan Roh itu adalah satu. Akan tetapi, rangkap kedua mengatakan Roh Tuan, jelas menunjukkan bahawa Tuan dan Roh adalah dua entiti. Sila beritahu saya, adakah Tuan dan Roh satu atau dua? Ayat ini juga membingungkan kita.

Oleh itu, jangan kamu mengharapkan pemahaman yang jelas berkenaan Tuhan dan persona Tuan Yesus kita. Jika kamu fikir kamu jelas, kamu akan menghadapi masalah. Lebih baik kamu kurang jelas berkenaan hal ini. Keadaan ini sama seperti kamu tidak dapat menjelaskan hati, sukma, roh, minda, emosi, tekad, dan zimah kamu dengan sepenuhnya. Kamu tidak dapat menjelaskan hal-hal ini seperti memotong tauhu menjadi ketulan yang kemas. Tuhan Tritunggal ialah satu misteri. Jangan cuba memahami perkara ini menurut pemahaman kamu. Jangan sangka bahawa Bapa Kudus ialah satu persona, Anak Kudus ialah satu persona, dan Roh Kudus ialah satu lagi persona. Jika kamu membuat huraian sedemikian, kamu akan menjadikan Tuhan Tritunggal itu tiga persona yang berasingan. Akibatnya, kamu menghasilkan heresi.

Tuhan telah mencipta segala sesuatu; Dia telah menjadi seorang manusia; Dia juga telah mati di atas salib. “Dia” ini, sama ada Dia Bapa, Anak, atau Roh, kini ialah Roh beri-hayat; Dia secara mutlaknya adalah Roh. Saya berkata demikian menurut Bible dan menurut pengalaman.

Saya masih ingat ketika saya masih muda, semasa saya berdoa, saya tidak tahu sama ada saya harus memanggil Tuhan sebagai Bapa atau Tuan. Semakin saya berdoa, semakin saya berasa bahawa Tuan ialah Bapa, dan Bapa juga ialah Tuan. Hal ini sememangnya begitu. Kamu tidak dapat membezakan Kedua-duanya dengan jelas. Kamu boleh berdoa, “O Bapa di syurga!”, “O Tuan!”, atau “O Tuhan!” Kadangkala kamu boleh berdoa, “O Tuan Yesus!” Berapakah persona yang ada sebenarnya? Saya tidak tahu, tetapi saya tahu Dialah Bapa, Dialah Tuhan, Dialah Tuan, Dialah Roh, dan Dialah Yesus. Haleluya! Kadangkala kamu perlu menyeru, “O Tuan!”; pada masa lain, kamu perlu menyeru, “O Bapa!”; dan ada kalanya kamu boleh menyeru, “O Tuan Yesus!” Oleh itu, jangan cuba memahami hal ini kerana kamu tidak dapat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, sama ada kamu jelas atau tidak, yang pasti kita dapat mengalami-Nya. “O Tuan Yesus!” “O Tuhan Bapa!” “Abba Bapa!” “O Tuhan!” Semasa kamu menyeru sedemikian, kamu akan berasa manis di dalam.

Tuhan kita ialah satu misteri. Kita memang tidak dapat memahami-Nya dengan minda kita; kita juga tidak dapat menjelaskan-Nya dengan tepat menggunakan kata-kata manusia. Minda kita terhad. Saya pernah menguji orang dengan soalan ini: Betulkah bahawa kita semua berada di atas bumi, dan bumi berada di bawah kaki kita? Kamu menjawab ya. Kalau begitu, jika kamu bertanya kepada orang yang tinggal di hemisfera bumi yang bertentangan dengan kita, mereka juga akan mengatakan bahawa bumi berada di bawah kaki mereka. Jadi siapakah yang berada di atas dan siapakah yang berada di bawah? Oleh itu, jangan terlalu yakin pada minda kamu. Minda kamu ini terhad. Jangan juga terlalu pedulikan perasaan kamu; perasaan kamu lebih-lebih lagi tidak boleh dipercayai. Kamu hanya perlu menikmati Tuhan dengan mudah.

Saya amat berharap agar kita semua tidak lagi mengikut jalan Kristianiti yang lama, iaitu jalan doktrin. Hari ini, kita mengikut jalan baru pemulihan Tuan, iaitu jalan Roh. Kita mungkin tidak memahami doktrin, namun kita masih dapat menikmati Tuhan setiap hari. Hari ini, yang penting ialah Roh! Adam terakhir telah menjadi Roh beri-hayat. Tuan ialah Roh itu. Di mana sahaja Roh Tuan, di situlah kebebasan. Hari ini, kita sedang ditransform menjadi imej Tuan, dan kita ditransform daripada Tuan Roh. Bukan itu sahaja, hari ini Roh Tuan huni dalam roh kita. Tuan bersama rohmu. Oleh itu, saya dan Tuan menjadi satu roh. Jangan terlalu pedulikan perasaan tubuh daging atau pemikiran minda kamu. Kamu harus sedar bahawa perkara yang paling berharga dalam kamu ialah Tuan Yesus yang merupakan Roh itu. Roh Tuan berada dalam roh kamu. Tambahan pula, dua roh ini — roh kamu dan Roh Tuan — berbaur menjadi satu roh.

V. PERLU MELATIH ROH DALAM KEHIDUPAN HARIAN

Sekurang-kurangnya sebelas atau dua belas tahun yang lepas di sini di Taipei, saya telah pun berbicara berkenaan Roh. Namun hingga hari ini, saya masih belum puas membicarakannya. Walaupun banyak yang saya bicarakan, tetapi saya bimbang bahawa dalam kehidupan harian, dikbang dan dikkak masih terlalu sedikit hidup dalam roh. Kamu semua tahu bahawa pertengkaran suami isteri di rumah ialah perkara biasa. Mengapakah mereka bertengkar? Mereka bertengkar kerana mereka tidak berada dalam roh, sebaliknya berada dalam sukma. Selagi kamu hidup dalam sukma, kamu akan bertengkar. Jika setiap orang hidup dalam roh dari pagi hingga petang, maka kita tidak akan bertengkar. Orang yang bertengkar adalah orang sukmawi dan orang yang berada dalam minda mereka.

Masalah hari ini ialah kita hanya mengetahui doktrin, tetapi kurang berlatih. Bahkan kebenaran berkenaan Roh juga kita jadikan sebagai doktrin; kita tidak mempunyai realiti Roh, pengalaman Roh, dan latihan roh. Oleh itu, Bible berkata, “Jika kita hidup melalui Roh, haruslah kita juga bergerak-hidup melalui Roh” (Gal. 5:25). Kamu perlu berbicara dalam Roh, dan kamu juga perlu bergerak-hidup dalam Roh. Apa jua yang kamu lakukan, kamu harus melakukannya dalam Roh.

Dikbang dan dikkak yang dikasihi, bermula dari hari ini, saya merayu kepada kamu agar melatih roh setiap hari dengan sedaya upaya. Untuk melatih roh, kamu perlu menyeru, “O Tuan Yesus!” Selain itu, kamu juga harus mendoa-baca. Dari satu segi, kamu menyeru “O Tuan Yesus!”, dari segi yang lain, kamu mendoa-baca Sabda. Jika kamu menyentuh Roh setiap hari, kamu pasti akan dipenuhi Roh. Pada masa itu, Bible bukanlah buku untuk kamu fahami; sebaliknya Bible menjadi buku yang hidup dan terang. Semasa membaca Bible, kamu mengecap kemanisan Sabda dan kamu menerima bekalan Tuan. Demikianlah cara yang sebenar kita makan Tuan.

Hari ini, Tuan ialah Roh itu. Selain itu, Dia ialah Sabda, dan Dia berada dalam sabda-Nya. Roh kamu perlu buka kepada Tuan dan kepada Bible. Jika kamu menggunakan roh kamu untuk mendoa-baca Bible, amalan ini jauh lebih berkesan dan lebih kaya daripada mendengar mesej. Melalui amalan ini, kamu akan menerima lebih banyak bekalan berbanding dengan mendengar mesej. Kamu akan mengalami Tuan yang merupakan Roh itu, dan kamu juga akan mengalami Tuan dalam sabda-Nya. Hasilnya, kamu dipuaskan sepenuhnya dengan menikmati-Nya. Segala masalah kamu akan lenyap, kematian kamu akan ditelan, kegelapan kamu juga akan lesap, dan kelemahan kamu akan bertukar menjadi kekuatan. Hasilnya, kamu akan bergabung dengan Tuan secara praktikal dalam kehidupan harian kamu.

Tambahan pula, pada masa itu kamu sudah tentu hidup dalam Tubuh kerana hayat Roh ini bersifat korporat, bukan bersifat individu. Semakin kamu menikmati Tuan dan hidup dalam Roh, semakin kamu berhasrat untuk menjalani kehidupan gereja dan berkoordinasi dengan orang lain demi kesaksian Tubuh. Pada hari-hari terakhir ini, semoga Tuan merahmati kita agar kita semakin berada dalam arus pemulihan-Nya. 

KEPERLUAN MELATIH ROH SECARA PRAKTIKAL (Bahagian 1/2)
KESAKSIAN YESUS—KHUSUS DAN BERKONSUMASI (Bahagian 1/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)