Jika kita tidak mahu melepaskan peluang, kita memerlukan latihan rohani. Kita juga memerlukan kepekaan rohani. Jika kita peka dari segi rohani, kita akan mengesan peluang. Dengan latihan rohani, kita dapat mengecam peluang ketika ia datang. Kita tidak boleh membenarkan peluang berlalu begitu sahaja. Kita tidak harus buta terhadap apa-apa arahan daripada Kepala. Kita tidak harus kebas sedangkan Kepala mempunyai perasaan. Kita harus bersikap terdesak untuk ini. Kita harus merebut apa-apa sahaja peluang yang kita ada. Jika kita tidak mempunyai latihan dan perasaan sebegini, kita akan melepaskan peluang-peluang yang diaturkan Tuan. Hari demi hari, kita akan menjadi orang yang melepaskan peluang.

Pada suatu hari, kita akan berhadapan dengan Tuan. Mungkin kita akan menyesali hal-hal dalam kehidupan kita yang memberi kita kepuasan buat masa sekarang. Kita telah terbelakang daripada kehendak Tuhan. Kita tidaklah setia. Kita telah bertindak secara bodoh. Tuan mungkin meletakkan sepuluh peluang di hadapan kita, tetapi kita tidak menyentuh bahkan satu pun. Celakalah kita apabila kita berdiri di hadapan tempat penghakiman nanti! Kita tidak sedar berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan. Celakalah kita kerana kita telah bertindak menurut tabiat dan telah melepaskan banyak peluang yang diberikan Tuhan kepada kita!

Kita membuat kesilapan yang teruk dan mendatangkan kerugian besar kepada gereja jika kita mengebumikan orang yang bertalenta satu kerana berfikir bahawa mereka tidak berguna dan tidak layak melayan, serta tidak memberi mereka peluang untuk berhasil. Kita harus mengeluarkan modal sebelum kita berpeluang untuk mengaut keuntungan. Jika kita mengebumikan orang yang bertalenta satu, kita tidak memberi peluang untuk berian-berian rohani digunakan dan kita memberhentikan fungsi mereka. Kita tidak akan dapat merebut peluang. Inilah yang dipanggil menggali lubang untuk mengebumikan emas kita. Tindakan ini kebodohan. Saya tidak tahu berapa banyak peluang yang telah kita lepaskan disebabkan ini.

Perasaan saya ialah Tuan dapat melakukan kerja yang sepuluh kali lebih besar daripada yang ada dalam kalangan kita sekarang. Saya tidak mengatakan seribu atau sepuluh ribu kali lebih besar; saya hanya mengatakan sepuluh kali lebih besar. Namun kita tidak dapat melakukannya. Kita tidak merebut peluang. Kita sudah berpuas hati! Kita telah kehilangan dan mengebumikan peluang-peluang. Tidak lama lagi kita tidak akan mempunyai sebarang peluang lagi. Dikbang sekalian, kita harus bangun dari tidur. Kita tidak tahu sebesar mana peluang yang ada di hadapan kita. Mungkin sesuatu kerja itu akan berkembang sejajar dengan kehendak Tuhan. Kita harus membawa anak-anak Tuhan ke dalam jalan yang ditetapkan-Nya. Hari demi hari kita harus mengambil peluang untuk terus maju dan melakukan kerja di hadapan kita.

Kita harus dipenuhi dengan kesedaran bahawa kita perlu menggunakan segala peluang yang diberikan Tuhan. Setiap kali kita harus membuat keputusan yang tepat. Setiap kali kita membuat keputusan, kita tidak harus hanya melihat keadaan sekarang. Sebaliknya kita harus menyemak sama ada keputusan kita berpadanan dengan peluang yang diberikan Tuhan kepada kita atau tidak. Saya berasa jika perasaan kita cukup tajam, kita akan mengetahui hal-hal yang membuat kita menyesal dan hal-hal yang meriangkan kita.

Berbuat hal-hal tertentu bererti melepaskan peluang. Mungkin saya sepatutnya melawat Dikbang Tang pada suatu kali, tetapi saya telah melawat Dikbang Chang. Mungkin saya sepatutnya menguruskan hal tertentu pada pukul lapan, tetapi saya lewat dan pergi pada pukul sembilan. Mungkin saya sepatutnya pergi ke utara pada hari tertentu, tetapi saya pergi ke selatan pula. Akibatnya, saya telah kehilangan banyak peluang dan tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menyesal. Dari segi yang lain, dalam banyak hal saya bersyukur kepada Tuhan. Pada hari tertentu saya nyaris-nyaris membuat kesilapan tetapi Tuan telah memelihara saya agar tidak melakukan kesilapan itu. Pada hari itu saya sepatutnya melawat Dikbang Hsie tetapi saya hampir hendak melawat Dikbang Tu. Walau bagaimanapun, Tuan memelihara saya daripada membuat kesilapan itu, maka tidaklah saya kehilangan peluang itu. Pada hari tertentu, saya sepatutnya ke selatan tetapi saya nyaris pergi ke utara. Namun Tuan memelihara saya agar saya tidak menuju ke utara. Saya tidak menyedari betapa besar kesannya pada saya sewaktu saya berpaling sedikit kepada Tuan pada kali itu. Akan tetapi, saya tahu bahawa Tuhan telah memelihara saya supaya saya merebut peluang itu dan tidak melepaskannya.

Sebelum tibanya hari itu, saya berharap agar kita semua akan belajar menyerahkan diri kita ke dalam tangan Tuan supaya Dia dapat melatih perasaan rohani dan penglihatan rohani kita. Jika kita kekurangan dua perkara ini, kita tidak akan tahu bagaimana menghadapi situasi yang timbul. Kita harus menyerahkan diri kita kepada-Nya setiap hari. Situasi yang kita hadapi setiap hari tidak semestinya peluang. Peluang datang dan pergi mengikut hari; peluang tidaklah malar. Masa itu malar, tetapi peluang tidak. Peluang datang dalam masa. Masa itu berterusan, tetapi peluang datang dan pergi. Oleh itu, kita harus merebut peluang. Kita harus merasakan peluang setiap kali peluang datang dan menggunakannya sebaik mungkin.

Pada masa yang sama, kita harus mempunyai pandangan rohani. Dengan adanya pandangan rohani, kita akan mengesan peluang ketika peluang datang dan merebutnya. Kita haruslah cepat. Jika kita tidak melepaskan peluang setiap kali peluang lalu di hadapan kita satu demi satu, gereja akan mengalami perkembangan yang amat pesat. Perkembangan ini akan jauh melebihi jangkaan kita.