Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 3/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 2/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 4/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 3/4)
2020-06-20 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (53)

Nota Editor:

“Kemajuan orang Kristian bukan soal mencapai standard tertentu yang abstrak, atau berusaha mencapai matlamat yang jauh. Kemajuan orang Kristian sama sekali soal melihat standard Tuhan.”

“Banyak orang Kristian hanya melihat rupa luaran Kristianiti—hakikat yang menyedihkan namun benar. Mereka masih belum melihat realiti dalaman, dan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang sifat esensnya. Hari ini terdapat begitu banyak benda luaran berpaut pada Kristianiti, maka tidak hairanlah orang sukar membezapastikan apa yang sebenar-benarnya berasal daripada Tuhan. Walau bagaimanapun, kepercayaan orang Kristian bukannya terdiri daripada hal-hal luaran, tetapi ‘Kebenaran’.”

“Mata kita perlu diurap untuk melihat. Hanya melalui bimbingan Roh kebenaran, barulah kita dapat masuk ke dalam kebenaran baptisan dan perjamuan malam Tuan. Apabila kita masuk ke dalam kebenaran itu, tidak ada lagi ‘doktrin’, hanya realiti yang wujud. Barangkali bagi golongan Reformis yang ekstrem, kata-kata yang kita bicarakan amat mengejutkan, sama seperti kata-kata yang dibicarakan dalam agama Roman Katolik, namun kita telah melihat apa yang tidak pernah dilihat agama Roman Katolik. Bagi orang yang telah melihat ‘Muktamad itu’, doktrin dan tamsil digantikan oleh visi berkenaan Dia. Pada masa itulah terdapatnya kebenaran (realiti).”

YOHANES—DAN KEBENARAN
(Bahagian 3/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 10)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yoh. 16:13a “Tetapi apabila Dia, iaitu Roh realiti, datang, Dia akan membimbing kamu ke dalam segala realiti.”

Ibr. 13:8 “Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin mahupun hari ini, bahkan buat selama-lamanya.”

Kristus dan Masa

Realiti rohani mempunyai satu ciri yang ketara, iaitu realiti rohani tidak mempunyai tanda masa. Sebaik sahaja kamu menyentuh realiti, faktor masa lesap. Kita boleh mengambil contoh nubuat. Dari sudut pandangan manusia ada perkara nubuat, namun dari sudut pandangan divin, perkara ini tidak wujud. Memang kita ada terbaca, “Engkaulah Anak-Ku; hari ini Aku telah memperanakkan Engkau”, tetapi bagi Tuhan “hari ini” merujuk kepada setiap masa. Tuan kita mengatakan bahawa Dia ialah Yang Pertama dan Yang Terakhir; Dialah Alfa dan Omega. Namun sila ingat, Dia ialah kedua-duanya pada masa yang sama. Dia bukan Yang Pertama pada suatu masa ini dan Yang Terakhir pada masa yang lain; Dia ialah Yang Pertama dan Yang Terakhir secara serentak. Dia juga bukan Alfa buat seketika dahulu, kemudian baru menjadi Omega; Dia ialah Alfa dan Omega dari keabadian hingga keabadian. Dia senantiasa Yang Pertama dan Yang Terakhir; Dia senantiasa Alfa dan Omega. Sudah tentu dalam mata manusia, Dia bukan Omega sehingga Dia dimanifestasikan sebagai Omega, namun dalam mata Tuhan, Dia ialah Omega buat sekarang juga. Bagi manusia, masa lampau dan masa hadapan adalah terpisah dan berlainan; bagi Tuhan, kedua-duanya sama. Bagi saya, “aku” kelmarin berbeza daripada “aku” pada hari ini, dan “aku” pada keesokan hari juga berbeza; namun Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin mahupun hari ini, bahkan buat selama-lamanya. Dialah “AKU ADALAH” yang abadi.

Atas sebab ini, pengetahuan terhadap Tuhan amat berharga bagi kita. Tuan kita berkata kepada Nikodemus, “Tidak ada orang yang pernah naik ke syurga, melainkan Dia yang telah turun dari syurga, iaitu Anak Manusia yang berada di syurga” (Yoh. 3:13). Perhatikan bahawa dua kedudukan ini wujud serentak dalam Kristus. Pada-Nya tidak ada perubahan masa atau tempat. Dia berada di sana dan di sini secara serentak. Berkenaan Tuhan, ada tercatat bahawa Dia “Bapa segala cahaya; pada-Nya, tidak ada perubahan atau bayangan yang diwujudkan daripada pemutaran” (Yak. 1:17). Dia adalah sedemikian dalam diri-Nya; Dia juga sedemikian dalam Kristus-Nya; puji nama Tuhan, Dia juga sedemikian dalam gereja-Nya!

Pernahkah kamu menjumpai gereja yang dihuraikan oleh Paulus dalam Efesus 1:18? Dia mengatakan tentang “kekayaan kemuliaan bagi warisan-Nya dalam pekudus”. Atau pernahkah kamu melihat gereja yang digambarkan dalam 1 Korintus 6:11, iaitu gereja yang “telah dibasuh...telah dikuduskan...telah dijustifikasikan dalam nama Tuan Yesus Kristus dan dalam Roh Tuhan kita”? Kamu mungkin berkata, “Oh, itu memerikan kedudukan gereja.” Tidak, ayat itu memerikan realiti gereja. Dalam penulisan Paulus kepada orang di Rom, dia lebih berani berbanding dengan sesetengah penterjemah karyanya. Dia menggunakan ungkapan “pekudus yang dipanggil” atau “pekudus melalui panggilan”; namun sesetengah penterjemah berasa penterjemahan secara literal terlalu besar risikonya, jadi untuk bersesuaian dengan konsep mereka tentang hal-hal rohani, mereka mengalihbahasakannya menjadi “dipanggil untuk menjadi pekudus”. Jika kita sekadar dipanggil “untuk menjadi” pekudus, berapa lamakah kita perlu “menjadi” sebelum kita betul-betul merupakan pekudus? Puji Tuhan, kita ialah pekudus!

Ungkapan yang diterjemahkan “kita ialah hasil kerja-Nya” (Ef. 2:10) lebih baik diterjemahkan sebagai: “Kita ialah mahakarya-Nya”. Gereja ialah karya terunggul yang dihasilkan Tuhan. Gereja tidak boleh ditambahbaikkan lagi. Apabila kita mengamati persekitaran dan melihat keruntuhan di merata tempat, kita mungkin tertanya-tanya, “Apakah yang akan terjadi kepada gereja?” Biar saya beritahu kamu, gereja tidak “akan menjadi” apa-apa; gereja sudah mencapai matlamatnya. Kita tidak meninjau ke hadapan untuk mencari matlamatnya; kita menoleh ke belakang. Tuhan sudah mencapai matlamat-Nya dalam Kristus sebelum pengasasan dunia, dan kita maju bersama dengan-Nya berdasarkan apa yang sudah disempurnakan. Semasa kita bergerak maju berdasarkan hakikat abadi ini, kita akan menyaksikan hakikat ini dimanifestasikan secara berperingkat.

Kemajuan orang Kristian bukan soal mencapai standard tertentu yang abstrak, atau berusaha mencapai matlamat yang jauh. Kemajuan orang Kristian sama sekali soal melihat standard Tuhan. Kamu maju dari segi rohani dengan menyedari apa sebenarnya kamu, bukan dengan cuba menjadi apa yang kamu harapkan. Tidak kira betapa berhempas pulasnya kamu, matlamat itu tidak akan kesampaian. Hanya apabila kamu melihat bahawa kamu telah mati, barulah kamu mati. Hanya apabila kamu melihat bahawa kamu sudah bangkit, barulah kamu bangkit. Hanya apabila kamu melihat bahawa kamu adalah kudus, barulah kamu menjadi kudus. Melihat hakikat yang tersempurna menentukan jalan untuk merealisasikan hakikat itu. Matlamat dicapai dengan melihat, bukan dengan berhasrat atau bekerja. Cuma ada satu kemungkinan untuk kita maju dari segi rohani: Kita perlu menyedari kebenaran sebagaimana Tuhan melihatnya; ini termasuk kebenaran tentang Kristus, kebenaran tentang kita sendiri dalam Kristus, dan kebenaran tentang gereja, yakni Tubuh Kristus.

Dalam Roma 8:30, Paulus memberitahu kita bahawa mereka yang dipratakdirkan-Nya juga dipanggil-Nya, bahawa mereka yang dipanggil-Nya juga dijustifikasikan-Nya, dan mereka yang dijustifikasikan-Nya juga dimuliakan-Nya. Oleh itu, menurut Sabda Tuhan, semua orang yang dipanggil sudah dimuliakan. Matlamat sudah tercapai. Gereja sudah masuk ke dalam kemuliaan!

“Oh, tapi ini terlalu sukar!” serumu. “Sudah pasti gereja memerlukan pembasuhan! Sila baca Efesus 5, dan terangkan kepada saya bagaimana kamu menjelaskan penyataan bahawa gereja dibersihkan dengan pembasuhan air dalam sabda.” Baik sekali, namun sila perhatikan konteks petikan itu terlebih dahulu. Efesus 5 memberitahu kita bagaimana sepasang suami isteri harus berperilaku. Suami perlu mengasih, manakala isteri perlu tunduk. Soalnya bukan bagaimana kamu dapat menjadi suami atau isteri, tetapi bagaimana kamu harus hidup sebagai seorang suami atau isteri. Bukannya kamu harus mengasihi untuk menjadi suami atau kamu harus tunduk untuk menjadi isteri; sebaliknya sebagai seorang suami kamu harus mengasih, dan sebagai seorang isteri kamu harus tunduk. Teras isu ini bukan melakukan sesuatu untuk menjadi sesuatu, tetapi melakukan sesuatu kerana apanya kamu.

Sekarang, tidakkah prinsip yang sama diterapkan pada gereja? Pekudus yang dipanggil keluar tidak dibasuh untuk menjadi gereja; mereka dibasuh kerana mereka ialah gereja. Itulah sebabnya saya mengusulkan di atas bahawa Paulus telah melangkaui soal dosa dalam petikan ini. Tujuan pembasuhan mungkin adalah untuk mengekalkan kesegaran dengan menyingkirkan kecemaran dan debu dunia, sama seperti implikasi kata-kata Tuan dalam Yohanes 13:10. Saya rasa itulah yang dimaksudkan dalam petikan ini. Gereja telah dibasuh (1 Kor. 6:11), oleh itu pembasuhan yang disebut di sini adalah untuk mengekalkan gereja dalam keadaan segar. Suami berperilaku sebagai suami kerana dia seorang suami; isteri berperilaku sebagai isteri kerana dia seorang isteri; gereja dibasuh kerana dia telah dibasuh. Gereja telah mencapai standard, jadi di sini gereja dibantu untuk hidup sejajar dengan standard itu. Apa yang bukan gereja tidak akan menjadi gereja sekalipun dibasuh berkali-kali. 

Dalam bab sebelum ini, kita telah mengatakan bahawa buku Roma menyampaikan seluruh kisah penebusan, dan tahap yang terakhir ialah “ini juga dimuliakan-Nya” (8:30). Buku Efesus pula sengaja melangkaui masa dan masuk ke dalam keabadian yang lampau dan yang akan datang, serta mengambil kepenuhan abadi sebagai titik permulaan. Hal ini kerana realiti muktamad senantiasa dipaparkan di hadapan Tuhan, dan Tuhan berbicara tentang gereja-Nya dalam cahaya realiti itu. Faktor masa dalam Bible ialah masalah terbesar bagi minda manusia, namun masalah ini lenyap sebaik sahaja hati kita dicahayai untuk mengetahui kemuliaan bagi warisan-Nya dalam pekudus. Tuhan melihat gereja adalah sama sekali murni, sama sekali sempurna. Mengenali kemuliaan muktamad dalam syurga pada hari ini akan memastikan kita hidup dalam kudrat kemuliaan itu di bumi. 

Warganegara di Syurga

Banyak orang Kristian hanya melihat rupa luaran Kristianiti—hakikat yang menyedihkan namun benar. Mereka masih belum melihat realiti dalaman, dan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang sifat esensnya. Hari ini terdapat begitu banyak benda luaran berpaut pada Kristianiti, maka tidak hairanlah orang sukar membezapastikan apa yang sebenar-benarnya berasal daripada Tuhan. Walau bagaimanapun, kepercayaan orang Kristian bukannya terdiri daripada hal-hal luaran, tetapi “Kebenaran”.

Di sini, Injil Yohanes dapat membantu kita dengan membentangkan kepada kita Roh Kudus sebagai Roh kebenaran, dan menjamin bahawa Dia akan membimbing kita ke dalam segala kebenaran. Butir ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam bab terakhir buku ini. Namun daripada penyataan ini kita sudah tentu boleh menyimpulkan bahawa apa-apa yang datang kepada kita tanpa tunjuk ajar dan pencahayaan Roh Kudus bukan kebenaran. Apa yang kita peroleh melalui pemikiran dan kajian, melalui penglihatan mata dan pendengaran telinga, semuanya di luar lingkungan kebenaran abadi, semuanya tidak benar dari segi rohani. 

Minda manusia telah menerima sesetengah pandangan yang jauh berbeza dan ekstrem terhadap hal-hal divin. Contohnya, agama Roman Katolik cuba menjelaskan hal-hal divin dengan menggunakan upacara atau memberi erti kebendaan. Mereka mementingkan air baptisan dan menganggap air itu memiliki kudrat pelahiruan. Mereka mengatakan bahawa unsur-unsur fizikal dalam perjamuan malam Tuan dapat berubah secara mukjizat menjadi tubuh jasmani dan darah Kristus; di sinilah lahirnya doktrin transubstansiasi. Selaras dengan pemikiran ini, agama Roman Katolik menegaskan bahawa bentuk luaran gereja yang difahaminya itu merupakan satu-satunya gereja yang benar. Bertentangan dengan pandangan ini, pada satu penghujung lagi yang ekstrem ialah golongan intelek. Mereka berasa bingung apabila mendapati bahawa hasil yang diperhatikan tidak serasi dengan hakikat pandangan ini. Oleh itu, mereka cuba menggulingkan pandangan ini dan memperkembangkan pandangan Reformis. Mereka membezakan upacara baptisan luaran dengan realiti dalaman, dan mereka juga melihat roti dan cawan dalam perjamuan malam Tuan sebagai suatu simbol perwakilan atau tamsil sahaja. Mereka menyelesaikan persoalan gereja dengan berhujah tentang kewujudan gereja yang benar dan yang palsu, gereja yang bersifat syurgawi dan bersifat bumiah, serta kononnya ada “gereja dalam gereja”.

Biar saya bertanya kepada kamu: Adakah mana-mana satu pandangan ekstrem ini memberi penjelasan yang munasabah terhadap penyataan yang tersurat dalam Bible? Sabda tidak menyebut tentang gereja yang benar dan yang palsu, dan juga tidak menyebut simbol perwakilan atau tamsil, sebaliknya hanya menggariskan fakta. Paulus berkata, “Oleh itu, kita telah dikebumikan bersama dengan-Nya menerusi baptisan ke dalam kematian-Nya” (Roma 6:4; Kol. 2:12). Bagi Paulus tidak ada soal baptisan yang tidak meliputi mati dan bangkit bersama dengan Kristus. Dia langsung tidak mempunyai pemikiran bahawa seseorang Kristian boleh mengalami baptisan pada tarikh tertentu, kemudian masuk ke dalam pengalaman mati dan bangkit bersama dengan Kristus pada tarikh kemudian. Begitu juga berkenaan cawan. Tuan kita berkata, “Inilah darah-Ku”. Dari satu segi, kata-kata ini melebihi sekadar makna simbol. Namun dari segi lain, semasa menyebut tentang darah-Nya, Dia juga menyebut “buah pohon anggur” hampir serentak; ini menafikan pemikiran transubstansiasi. Cawan itu darah-Nya, tetapi cawan itu tetap secawan wain. Dalam perkara ini tidak ada “perwakilan” dan “yang benar”, tamsil dan anti-tamsil, tetapi hanya ada satu realiti divin.

Mata kita perlu diurap untuk melihat. Hanya melalui bimbingan Roh kebenaran, barulah kita dapat masuk ke dalam kebenaran baptisan dan perjamuan malam Tuan. Apabila kita masuk ke dalam kebenaran itu, tidak ada lagi “doktrin”, hanya realiti yang wujud. Barangkali bagi golongan Reformis yang ekstrem, kata-kata yang kita bicarakan amat mengejutkan, sama seperti kata-kata yang dibicarakan dalam agama Roman Katolik, namun kita telah melihat apa yang tidak pernah dilihat agama Roman Katolik. Bagi orang yang telah melihat “Muktamad itu”, doktrin dan tamsil digantikan oleh visi berkenaan Dia. Pada masa itulah terdapatnya kebenaran (realiti). (bersambung...)

YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 2/4)
YOHANES—DAN KEBENARAN (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
SBW5119 Ricky Chai pada 2020-06-22
Roh realiti ada dalam para percayawan, Dia membimbing kita kepada realiti hidup. Gerakhidup kita seharusnya dibimbing Roh Tuan Yesus Kiristus dengan menyerahkan diri kepada Nya sepanjang Hari.