Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Kristus Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (4) Makanan di Tanah Itu — Gandum dan Barli
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (3) Air di Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (5) Makanan di Tanah Itu — Pohon Anggur dan Pohon Ara
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (4) Makanan di Tanah Itu — Gandum dan Barli
2018-04-23 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Kita telah meninjau keluasan dan ketinggian tanah permai, serta melihat bahawa air di tanah itu sangat kaya, iaitu terdapatnya sumber air, pancuran air, dan aliran air. Makanan selalunya seiring dengan minuman. Oleh itu, dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan meninjau makanan di tanah itu. Sekiranya kita meneliti ayat-ayat dalam Ulangan 8:8-9, kita akan kagum tentang kelimpahan, bekalan, kepelbagaian dan kekayaan makanan yang terdapat di tanah itu. Ayat-ayat itu berbunyi, “Tanah yang mempunyai gandum dan barli dan pohon anggur dan pohon ara dan pohon delima; tanah yang mempunyai pohon zaitun yang mengeluarkan minyak dan mempunyai madu; tanah tempat engkau akan makan roti tanpa kekurangan.” Di sini Kristus digambarkan sebagai dua jenis bijirin, empat jenis pohon, dan madu. Marilah kita mempertimbangkan makna setiap jenis makanan.

GANDUM

Ayat Bible yang mengaitkan gandum dengan Yesus Kristus didapati dalam Yohanes 12:24, yang berkata, “Sesungguh-sungguhnya Aku berkata kepada kamu, Melainkan biji gandum itu jatuh ke dalam tanah dan mati, gandum itu tetap sebiji, tetapi jika mati, gandum itu menghasilkan banyak buah.” Gandum mewakili Kristus yang berinkarnasi. Kristus ialah Tuhan yang berinkarnasi menjadi seorang manusia untuk jatuh ke tanah, mati, dan dikebumikan. Tuan Yesus menyamakan diri-Nya dengan sebiji gandum yang jatuh ke tanah, iaitu melalui kematian dan masuk ke dalam kebangkitan demi menghasilkan banyak buah (pelipatgandaan hayat divin). Oleh itu, gandum menandakan Kristus yang terbatas dalam inkarnasi, yang sanggup mati dan dikebumikan.

BARLI

Bagaimana pula dengan barli? Antara tanaman di tanah permai, barli ialah bijirin yang masak dahulu. Antara semua bijirin, barli ialah yang pertama. Oleh itu, amat sesuai sekali bahawa barli mewakili Kristus yang bangkit! Tambahan pula, Tuhan mengarahkan umat-Nya Imamat 23:10, “Berbicaralah kepada bani Israel, dan berkatalah kepada mereka, Apabila kamu sampai ke tanah yang akan Aku berikan kepadamu, dan menuai hasilnya, kamu harus membawa berkas buah sulung tuaianmu kepada hentar.” Makna rohani ayat ini ditafsirkan dalam 1 Korintus 15:20: “Tetapi sekarang Kristus telah dibangkitkan daripada yang mati; Dia buah sulung daripada mereka yang sudah tidur.” Oleh itu, barli ialah gambaran Kristus sebagai Yang pertama keluar daripada maut dalam kebangkitan.

MENGALAMI KRISTUS SEBAGAI GANDUM DAN BARLI

Secara ringkasnya, gandum menandakan Kristus yang berinkarnasi, mati, dan dikebumikan, manakala barli menandakan Kristus yang bangkit. Setelah kita melihat makna gandum dan barli, bagaimanakah kita mengalami Kristus? Di bawah ketentuan Tuan, kita mungkin mendapati diri kita dalam situasi yang dibatasi dan tertekan. Masa beginilah kita dapat mengalami Tuan sebagai gandum. Apabila kita menghubungi Tuan dalam situasi yang terbatas dan tertekan, Dia umpama sebiji gandum bagi kita. Sebaik sahaja kita menghubungi-Nya, kita berasa betul-betul puas dengan situasi dan pengehadan yang dialami. Oh, hayat yang berada dalam kita itu Kristus sendiri yang merupakan biji gandum. Hayat ini hayat seorang tukang kayu yang kecil, Dia yang berinkarnasi, Dia yang terbatas. Kita perlu mempunyai sentuhan yang hidup dengan Kristus; kita dapat berkata, “O Tuan, Engkaulah Tuhan yang tidak terbatas, tetapi Engkau sanggup menjadi seorang manusia yang terbatas. Dalam Engkau ada suatu kudrat yang dapat menghadapi sebarang jenis pengehadan.” Dengan itu, kita akan mengalami Kristus sebagai gandum.

Dalam buku Injil, orang ramai menyambut Yesus sebagai Raja Israel, dengan mengharapkan Dia akan datang untuk memulihkan bangsa mereka. Namun Tuan Yesus tidak berminat dalam kedudukan duniawi. Dia sedar bahawa perubahan politik secara luaran tidak dapat memenuhi keperluan dalaman manusia yang sebenar. Keperluan manusia yang sebenar ialah hayat divin. Oleh itu, Tuan tahu bahawa Dia harus menjadi sebiji gandum yang mati untuk membebaskan hayat divin yang tersembunyi dalam-Nya dan bangkit untuk menyalurkan dan melipatgandakan hayat divin itu. Puji Dia sebagai biji gandum!

Kematian dalam Tuan selalunya diikuti dengan kebangkitan. Kubur bukanlah pengakhiran Tuan. Dia telah bangkit! Barli menyusuli gandum! Gandum ialah lembah maut, tetapi barli ialah gunung kebangkitan. Bila-bila masa kita mengalami Kristus sebagai gandum, memang terjamin bahawa pengalaman terhadap Kristus sebagai barli akan menyusul.

Sebenarnya, untuk mengalami Kristus sebagai biji gandum, iaitu Yesus yang terbatas, kita harus mengaplikasikan Dia sebagai barli, iaitu Kristus yang bangkit. Dengan mengalami Kristus dalam kebangkitan-Nya yang memperkudratkan, barulah kita berupaya mengalami Dia sebagai Yesus yang terbatas dalam inkarnasi dan kematian-Nya. Kristus mengalami kematian dahulu dan kebangkitan kemudian, tetapi urutan pengalaman kita adalah songsang. Menurut Paulus, kita perlu “mengenali-Nya dan kudrat kebangkitan-Nya” terlebih dahulu, kemudian mengalami “persekutuan penderitaan-Nya, dengan dikonform kepada kematian-Nya” (Flp. 3:10). Apabila kita diperkuat dan dibekali dengan hayat kebangkitan Kristus, barulah kita berupaya mengalami salib-Nya.

Sebagai contoh, untuk menghidup keluar hayat Yesus, kita harus dibatasi. Akan tetapi, tenaga apakah yang membolehkan kita dibatasi? Kekuatan yang membolehkan kita dibatasi semestinya sangat besar. Naik marah adalah mudah tetapi kesabaran memerlukan kekuatan. Meradang adalah mudah tetapi kesabarderitaan memerlukan tenaga dari syurga. Kudrat yang membolehkan kita dibatasi ialah kudrat kebangkitan-Nya. Kita memerlukan Kristus yang bangkit itu hidup dalam kita untuk memperkudratkan kita supaya kita mempunyai sedikit kesabaran. Mengaplikasikan Kristus yang bangkit itu sebagai kesabaran bererti mengalami Kristus sebagai barli. Oh, hayat kebangkitan itu begitu kuat, tidak terbatas, dan tidak dapat habis digunakan! Kita harus sedar bahawa sebagai percayawan, kita memiliki Kristus sebagai hayat kebangkitan kita dalam kita. Kita boleh mengaplikasikan Dia pada setiap situasi. Cubalah kita melatih untuk mengalami dan Kristus sebagai gandum dan barli dalam kehidupan kita.

Lebih banyak huraian dan penjelasan boleh didapati dalam buku Kristus Almuhit oleh Witness Lee.

Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (3) Air di Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (5) Makanan di Tanah Itu — Pohon Anggur dan Pohon Ara
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)