Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Gereja “Siapakah yang aku ada di syurga melainkan Engkau? Dan selain Engkau, tidak ada apa-apa yang aku ingini di bumi.”
GEREJA—Misteri Tersembunyi dalam Ekonomi Abadi Tuhan
“Siapakah yang aku ada di syurga melainkan Engkau? Dan selain Engkau, tidak ada apa-apa yang aku ingini di bumi.”
2020-07-14 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Mazmur 73:16-17 "Apabila aku memikirkan hal ini untuk memahaminya, hal ini suatu kesulitan di mataku, sehinggalah aku masuk ke dalam rumah kudus Tuhan; barulah aku memperhatikan kesudahan mereka."

Semasa kita datang bersama-sama, tujuan kita mungkin ialah berdoa, menyembah, melayan, mendengar mesej, diajar, dinasihati, diperkuat, dilipurkan, dan digalakkan. Inilah pemahaman kita. Sebenarnya, terdapat begitu banyak perkara yang menakjubkan di bawah permukaan perhimpunan kita. Tanpa disedari, kita memperoleh banyak kebaikan dan manfaat dengan berbahagian dalam perhimpunan. (CWWL, 1982, jil. 1, “Experiencing Christ as the Offerings for the Church Meetings”, m.s. 488)

Dalam Mazmur 73:17 hingga 28 kita melihat bahawa pemazmur menemui penyelesaian dalam rumah kudus Tuhan.…Pertamanya, rumah kudus Tuhan, kediaman-Nya, adalah dalam roh kita. Kedua, rumah kudus Tuhan ialah gereja. Oleh itu, untuk masuk ke dalam rumah kudus Tuhan, kita perlu berpaling kepada roh kita dan menghadiri perhimpunan gereja. Sebaik sahaja kita berada dalam rumah kudus—dalam roh dan dalam gereja—kita akan mempunyai pandangan lain, suatu persepsi yang khusus, tentang situasi orang durjana. (Life-study of the Psalms, m.s. 354)

Terdapat satu cara sahaja untuk menyelaraskan Mazmur 1 dan 73, dan perkara ini dibentangkan kepada kita dalam Mazmur 73:17.…Rumah kudus Tuhan ialah tempat kita memperoleh wahi yang kita perlukan. Rumah kudus di sini pastinya menandakan tempat huni Tuhan. Roh kita hari ini ialah tempat huni Tuhan. Lebih-lebih lagi, gereja-gereja lokal ialah tempat huni Tuhan. Oleh itu, kita harus berpaling kepada roh kita, dan kita harus berpaling kepada gereja lokal, kemudian kita akan menjadi jelas. Roh kita dan gereja lokal ialah tempat kita menerima wahi divin, tempat kita memperoleh penjelasan kepada segala masalah kita.

Apakah yang diperhatikan oleh [pemazmur]? Ayat 25 berkata, “Siapakah yang aku ada di syurga melainkan Engkau? / Dan selain Engkau, tidak ada apa-apa yang aku ingini di bumi.” Dia menyedari bahawa Tuhan sedang bekerja untuk merampas segala benda materialnya agar dia dapat menikmati Tuhan dengan sepenuhnya. Inilah wahi. Mengapakah orang durjana menjadi makmur dan kekayaan mereka bertambah secara berterusan? Hal ini kerana Tuhan telah meninggalkan mereka; Dia membiarkan mereka mengikuti jalan sendiri. Mereka tidak ada kena-mengena dengan kenikmatan terhadap Tuhan. Akan tetapi, hasrat Tuhan terhadap pekudus yang mencari ialah mengalihkan segala berkat material dan semua kenikmatan fizikal agar mereka dapat mencari segala-galanya dalam Tuhan. Tidak ada apa-apa di syurga atau di bumi yang dapat menjadi kenikmatan mereka melainkan Tuhan sendiri. Melalui pengalaman pemazmur seperti yang tercatat dalam bahagian pertama Mazmur 73, akhirnya dia dapat menyatakan, “Siapakah yang aku ada di syurga melainkan Engkau? / Dan selain Engkau, tidak ada apa-apa yang aku ingini di bumi.” Dia menerima wahi. Dia tahu mengapa Tuhan tidak membenarkan pekudus menjadi makmur seperti orang duniawi. Tuhan berhasrat agar tidak ada apa-apa yang harus mengalihkan kita daripada kenikmatan yang mutlak terhadap-Nya. Akhirnya, ini bukan satu perkara mematuhi hukum semata-mata, tetapi perkara mencari Tuhan secara mutlak. Ini bukan perkara berbuat baik atau jahat, betul atau salah—jika kamu prihatin tentang perkara itu, kamu masih diduduki oleh pohon pengetahuan baik dan jahat. Ini ialah perkara mencari Tuhan, memperoleh Tuhan, memiliki Tuhan. Ini ialah perkara mengalami Tuhan ke tahap kamu juga dapat mengatakan, “Siapakah yang aku ada di syurga melainkan Engkau? / Dan selain Engkau, tidak ada apa-apa yang aku ingini di bumi.” Dengan kata lain, “Aku tidak mempedulikan apa-apa kecuali pohon hayat; aku tidak mempedulikan apa-apa melainkan Tuhan sendiri.” Ini ialah Mazmur 73. Apabila pemazmur masuk ke dalam rumah kudus Tuhan, dia menerima wahi ini dan mengambil Tuhan sendiri sebagai segala-galanya. Bagaimanakah kita juga dapat mempunyai pengalaman seperti pemazmur dalam ayat-ayat ini? Kita harus berada dalam roh dan berada dalam gereja lokal, rumah kudus Tuhan. Hanya melalui mazmur ini, kita dapat melihat perbezaan antara Buku Ketiga dengan Buku Pertama. Di sini terdapat suatu kemajuan yang amat besar. Ini bukan perihal mematuhi hukum atau perihal betul atau salah, tetapi perihal memperoleh Tuhan dan mengambil Tuhan sebagai segala-gala. (CWWL, 1969, jil. 3, “Christ and the Church Revealed and Typified in the Psalms”, m.s. 113-114)

GEREJA—Misteri Tersembunyi dalam Ekonomi Abadi Tuhan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)