Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Amalan Hayat Membaca Bible Rahsia Membaca Bible (1)
Sabda Tuhan adalah untuk Dimakan
Rahsia Membaca Bible (2)—Hati Perlu Terbuka
Rahsia Membaca Bible (1)
2016-10-19 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Sering kali apabila membincangkan tajuk membaca Bible, banyak orang akan memberi perhatian kepada cara yang berkesan untuk membaca Bible. Pendekatan ini sudah salah dari mulanya. Seseorang yang ingin mengkaji Bible harus pertama-tamanya mengenali apa itu Bible dan sifat Bible yang sebenar. Dia juga perlu memenuhi dua syarat yang asas. Syarat pertama ialah orangnya haruslah betul, dan syarat kedua ialah dia harus mempunyai cara yang betul. Oleh itu, yang terdahulu ialah orangnya harus betul, barulah cara yang betul dapat bermanfaat kepadanya. Seseorang haruslah betul sebelum dia dapat menggunakan cara yang betul untuk membaca Bible. Marilah kita meninjau sedikit tentang sifat Bible dan ciri seorang yang dapat membaca Bible dengan baik.

“Kata-kata yang Aku bicarakan kepadamu ialah roh”

Dalam Yohanes 6:63, Tuan Yesus berkata, “Kata-kata yang Aku bicarakan kepadamu ialah roh.” Kata-kata Bible bukan sahaja huruf tetapi roh. Kita juga perlu ingat akan sabda Tuan Yesus dalam Yohanes 4:24: “Tuhan ialah Roh, dan mereka yang menyembah-Nya harus menyembah dalam roh.” Di sini Tuan menunjukkan satu prinsip yang asas: Tuhan ialah Roh, dan manusia hanya dapat menyentuh-Nya dengan menggunakan rohnya. Tuhan ialah Roh, dan kita hanya dapat menyembah-Nya dengan roh kita; kita tidak dapat menyembah-Nya dengan apa-apa selain roh. Tuhan ialah Roh, dan kita tidak dapat menyembah-Nya dengan minda, emosi, atau tekad kita. Kolose 2:23 membicarakan “penyembahan buatan sendiri”; maksudnya ialah menyembah dengan tekad. Penyembahan sebegini adalah salah kerana Tuhan ialah Roh, dan disebabkan Tuhan ialah Roh, orang yang menyembah-Nya harus menyembah dalam roh. Yohanes 6 mengatakan bahawa kata-kata Tuan ialah roh. Di sini prinsip asasnya juga sama. Memandangkan kata-kata Tuan ialah roh, maka kita harus membacanya dalam roh. Dengan kata lain, kita hanya dapat menyentuh hal-hal rohani dengan roh.

Roh manusia yang dilahirukan

Bible bukan sahaja buku yang penuh dengan perkataan atau huruf yang tercetak pada kepingan kertas. Sifat Bible yang sebenar ialah roh. Atas sebab ini, sesiapa yang membaca buku ini mesti datang kepadanya dengan menggunakan rohnya dan membacanya dengan menggunakan roh. Roh yang kita sebut di sini merujuk kepada roh kepunyaan orang yang telah dilahirukan. Kita menggelar roh ini sebagai “roh yang dilahirukan”.

Katakan seseorang telah memasang lampu elektrik di rumahnya. Dia ingin menyambungkan lampu itu dengan sumber elektrik, tetapi bahan-bahan yang ada padanya hanyalah kayu, buluh, dan kain; dia tidak ada dawai tembaga. Walaupun tenaga elektrik sedia ada di loji jana kuasa elektrik, namun tenaga itu tidak dapat menerangi lampu itu. Tidak kira betapa banyaknya kain, buluh, dan kayu yang dimilikinya, dia masih tidak dapat menyalurkan arus elektrik kepada lampu. Seorang lagi mungkin tidak mempunyai sebarang kain, buluh, atau kayu, tetapi dia mempunyai sedikit dawai. Dengan dawai yang sedikit itu, dia dapat menerangi lampu kerana dawai mengalirkan arus elektrik. Dengan cara yang sama, seseorang harus mempunyai roh yang dilahirukan, barulah dia dapat menyentuh Tuhan. Dia harus mempunyai roh yang dilahirukan, barulah dia dapat menyentuh sabda Tuhan.

Sabda Tuhan adalah untuk Dimakan
Rahsia Membaca Bible (2)—Hati Perlu Terbuka
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)