Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Pengetahuan & Pengalaman Hayat Pohon Hayat—Menghasilkan Hayat yang Bergantung pada Tuhan
Kehidupan yang Cetek Tidak Berakar
Membongkar Tipu Helah Syaitan dan Berdiri Menentangnya
Pohon Hayat—Menghasilkan Hayat yang Bergantung pada Tuhan
2017-07-25 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Pohon hayat menghasilkan hayat yang bergantung pada Tuhan. Pohon hayat pertama sekali menandakan Tuhan sebagai hayat kepada manusia. Jika manusia menerima pohon hayat, ini akan menghasilkan hayat yang bergantung pada Tuhan dalam manusia.

Hayat sentiasa menghasilkan kebergantungan pada sesuatu. Kamu tidak dapat tamat atau berhenti daripada apa-apa perkara hayat. Misalnya makan ialah perkara kebergantungan. Kamu tidak dapat mengatakan bahawa disebabkan kamu telah makan makanan yang terbaik dan kamu telah makan lebih daripada yang secukupnya, maka kamu tidak perlu makan lagi. Sudah tentu perkara minum dan bernafas juga merupakan perkara kebergantungan; kita tidak akan tamat atau berhenti daripada semua ini.

Menerima Tuhan sebagai hayat kita menghasilkan hayat yang bergantung pada-Nya. Namun pengetahuan menghasilkan kemerdekaan. Jika seseorang itu pergi ke kolej dan memperoleh ijazah, dia tidak memerlukan kolej itu lagi. Apabila seseorang mengetahui apa yang diketahui pensyarahnya, dia tidak lagi perlu bergantung pada pensyarahnya. Akan tetapi, katakan kamu mengambil pensyarah kamu sebagai hayat kamu; maka kamu sama sekali tidak akan merdeka daripadanya. Jika kamu mengambil dia sebagai pengetahuan kamu, kamu dapat merdeka daripadanya. Akan tetapi, jika kamu mengambil dia sebagai hayat, kamu tidak dapat merdeka daripadanya. Kamu akan bergantung padanya sepanjang masa.

Tuhan bukan pengetahuan kepada kita. Tuhan ialah hayat kepada kita. Kita mengambil Dia sebagai hayat kita, dan hayat divin ini serta-merta menghasilkan sejenis kebergantungan dalam kita. Kita perlu bergantung pada-Nya sepanjang masa. Dia pohon anggur dan kita ranting-ranting. Ranting-ranting perlu tinggal dalam pohon anggur (Yoh. 15:5). Terpisah daripada pohon anggur, ranting-ranting menjadi mati. Hayat pohon anggur ini menghasilkan sejenis hayat kebergantungan dalam semua ranting. Semua ranting bergantung pada hayat pohon anggur.

Hayat yang bergantung pada Tuhan ini juga dilihat dalam hal Abraham mengikut Tuan. Ibrani 11:8 berkata, “Melalui iktikad, ketika dipanggil, Abraham patuh dan bertolak ke tempat yang akan diterimanya sebagai warisan, dan dia bertolak, tanpa mengetahui ke mana dia harus pergi.” Tuan tidak memberitahu Abraham ke mana dia harus pergi. Tuhan tidak memberi peta jalan kepada Abraham. Sebaik sahaja seorang pemandu mendapat peta jalan daripada seseorang, dia tidak lagi memerlukan orang itu. Oleh sebab dia mempunyai peta jalan, dia tidak perlu lagi bergantung pada orang yang memberi peta jalan. Akan tetapi, jika seseorang itu menawarkan dirinya, iaitu kehadirannya, bukannya peta jalan, maka kamu tidak dapat merdeka daripadanya. Kamu perlu mengambil dia sebagai peta kamu, bergantung padanya sepanjang masa. Itulah keadaan Abraham yang sebenar. Abraham melatih iktikadnya, menaruh keyakinan kepada Tuhan untuk pimpinan semasa-Nya, mengambil hadirat Tuhan sebagai peta untuk perjalanannya. Dengan demikian, Abraham bergantung pada Tuhan.

Tuhan kemuliaan menampakkan diri kepada Abraham (Kis. 7:2), dan penampakan diri-Nya itu menyebabkan Abraham menjalani kehidupan yang sentiasa bergantung pada Tuhan. Oleh itu, menerima pohon hayat ke dalam kita menyebabkan kita sentiasa bergantung pada hayat itu, iaitu hayat daripada pohon hayat. Ini sama seperti ranting-ranting pohon anggur yang sentiasa bergantung pada pohon anggur, iaitu hayat pohon anggur.

Hayat bukan perkara kemerdekaan tetapi perkara kebergantungan. Sesetengah orang mungkin datang ke gereja, belajar sesuatu, kemudian hendak pergi melakukan sesuatu, menggunakan apa yang dipelajari mereka. Mereka mungkin mengambil pengetahuan yang diperoleh mereka dan menjadi merdeka, tetapi apa yang dilakukan oleh mereka tidak akan ada hayat. Kita perlu menjadi orang yang bergantung pada pohon hayat, iaitu Tuhan sendiri sebagai hayat kita.

Kehidupan yang Cetek Tidak Berakar
Membongkar Tipu Helah Syaitan dan Berdiri Menentangnya
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)