Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN (Bahagian 3/5)
PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN (Bahagian 2/5)
PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN (Bahagian 4/5)
PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN (Bahagian 3/5)
2020-08-18 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (112)

Nota Editor:

“Kelahiruan bukan sahaja menyebabkan kita beroleh hati baru, tetapi juga menyebabkan kita beroleh roh baru...Roh baru bermaksud roh lama kita yang mati itu telah diperbarui dan dihidupkan.”

“Ketika Tuhan melahirukan kita, Dia bekerja dari dua segi untuk memperbarui roh lama kita dan menjadikannya roh baru. Dari satu segi, Dia menggunakan darah Tuan untuk membasuh kecemaran roh kita supaya roh kita menjadi bersih. Dari segi yang lain, Dia menggunakan Roh-Nya untuk meletakkan hayat-Nya ke dalam roh kita supaya roh kita mempunyai elemen-Nya. Dengan demikian, Dia memperbarui roh lama kita dan menjadikannya roh baru.”

“Setelah mempunyai hati baru, kita dapat mengingini Tuhan dan mengasihi Tuhan, dan setelah mempunyai roh baru, kita dapat menghubungi Tuhan dan menyentuh Tuhan. Hati baru kita membolehkan kita mempunyai kesukaan dan kecenderungan baru, perasaan dan minat baru terhadap Tuhan dan hal-hal Tuhan. Roh baru kita pula membolehkan kita mempunyai perhubungan dan pemahaman baru, keupayaan dan fungsi rohani yang baru terhadap Tuhan dan hal-hal Tuhan.”

PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN
(Bahagian 3/5)

(Pengetahuan Hayat, Bab 4)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yeh. 36:26 “Aku juga akan memberi kamu hati baru, dan Aku akan meletakkan roh baru dalammu; Aku akan menyingkirkan hati batu daripada tubuh dagingmu, dan Aku akan memberi kamu hati daging.”

IV. ROH BARU

Setelah Yehezkiel 36:26 mengatakan bahawa Tuhan memberi kita hati baru, ayat ini seterusnya mengatakan bahawa Tuhan juga meletakkan roh baru dalam kita. Oleh itu, kelahiruan bukan sahaja menyebabkan kita beroleh hati baru, tetapi juga menyebabkan kita beroleh roh baru.

Apakah itu roh baru? Roh baru bermaksud roh lama kita yang mati itu telah diperbarui dan dihidupkan. Sebagaimana hati baru ialah hati lama yang diperbarui, begitu juga roh baru ialah roh lama yang diperbarui. Apabila hati lama diperbarui, ia dijadikan lembut; sedangkan apabila roh lama diperbarui, ia dijadikan hidup. Ini kerana masalah hati lama kita ialah kekerasan, manakala masalah roh lama kita ialah kematian. Oleh itu, ketika Tuhan melahirukan kita, sebagaimana Dia memperbarui hati lama kita yang keras itu dengan melembutkannya agar menjadi hati baru, begitu juga Dia memperbarui roh lama kita yang mati itu dengan menghidupkannya agar menjadi roh baru.

Pada asalnya, roh manusia yang dicipta itu organ untuk manusia menghubungi Tuhan. Manusia bersekutu dengan Tuhan dan berhubung dengan Tuhan menerusi dan melalui rohnya. Kemudian, disebabkan kejatuhan manusia, rohnya dirosakkan oleh Syaitan dan kecemaran dosa. Lantaran itu, roh manusia kehilangan fungsinya terhadap Tuhan dan menjadi roh yang mati. Oleh sebab roh menjadi mati, maka roh menjadi lama. Sewaktu kita dilahirukan, disebabkan darah Tuan Yesus membasuh kecemaran yang dialami roh kita, maka Roh Tuhan meletakkan hayat Tuhan, iaitu elemen Tuhan, ke dalam roh kita dan menghidupkan roh kita (lihat Kol. 2:13). Dengan cara ini, roh lama kita yang mati itu diperbarui dan menjadi roh baru yang hidup.

Pada asalnya, roh kita merupakan ciptaan lama yang tidak mempunyai elemen Tuhan di dalamnya. Kemudian, roh kita bukan sahaja tidak mempunyai elemen Tuhan, malah dicemari selanjutnya oleh Syaitan dan dosa, dengan itu roh kita menjadi lama. Terdapat dua sebab mengapa semua benda menjadi sebahagian daripada ciptaan lama. Sebab pertama ialah benda itu tidak mempunyai elemen Tuhan di dalamnya sewaktu dicipta; sebab kedua ialah benda itu dicemari dan dikorup oleh Syaitan dan dosa. Lantaran dua sebab ini jugalah roh kita menjadi roh lama. Oleh yang demikian, ketika Tuhan melahirukan kita, Dia bekerja dari dua segi untuk memperbarui roh lama kita dan menjadikannya roh baru. Dari satu segi, Dia menggunakan darah Tuan untuk membasuh kecemaran roh kita supaya roh kita menjadi bersih. Dari segi yang lain, Dia menggunakan Roh-Nya untuk meletakkan hayat-Nya ke dalam roh kita supaya roh kita mempunyai elemen-Nya. Dengan demikian, Dia memperbarui roh lama kita dan menjadikannya roh baru. Dia memperbarui roh lama kita dan menjadikannya roh baru bermaksud Dia meletakkan roh baru ke dalam kita. 

Memandangkan Tuhan telah memberi kita hati baru sewaktu kita dilahirukan, mengapakah Dia masih meletakkan roh baru ke dalam kita? Ini kerana hati hanya dapat mengingini Tuhan dan mengasihi Tuhan tetapi tidak dapat menghubungi Tuhan atau menyentuh Tuhan. Oleh itu, tidaklah memadai bagi Tuhan memberi kita hati baru sahaja; Dia juga perlu meletakkan roh baru dalam kita. Jika Tuhan hanya memberi kita hati baru, maka Dia hanya dapat membuat kita mengingini-Nya dan mengasihi-Nya; Dia tidak dapat membolehkan kita menghubungi-Nya. Oleh sebab itu, Dia perlu meletakkan roh baru dalam kita agar kita dapat menghubungi-Nya dan bersekutu dengan-Nya.

Sebelum ini, kita telah menyebut bahawa hati ialah organ kita yang mempunyai kecenderungan dan kasih terhadap sesuatu. Oleh yang demikian, fungsi hati terhadap Tuhan ialah cenderung kepada-Nya dan mengasihi-Nya. Bible mengatakan bahawa hati merindukan Tuhan, dan hati dahaga akan Tuhan (Mzm. 42:1-2). Hati dapat merindukan Tuhan dan dahaga akan Tuhan tetapi tidak dapat menghubungi atau menyentuh Tuhan. Hati hanya mempunyai fungsi mengasihi Tuhan dan mendahagai Tuhan tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk menghubungi Tuhan atau menyentuh Tuhan. Apa yang dapat menghubungi Tuhan bukanlah hati tetapi roh. Hati hanyalah untuk kita mengasihi Tuhan tetapi roh adalah untuk kita menghubungi Tuhan dan bersekutu dengan Tuhan. 

Katakan saya ada sebatang pen yang bagus. Hati saya amat menyukai pen itu tetapi hati saya tidak dapat menyentuhnya atau mengambilnya kerana hati saya tidak mempunyai keupayaan sebegini. Hanya tangan saya yang dapat berbuat demikian. Tangan menggambarkan roh. Walaupun hati kita mengasihi Tuhan dan mendahagai-Nya tetapi hati kita tidak dapat menghubungi Tuhan atau bersekutu dengan-Nya. Hanya roh kita yang dapat berbuat demikian. Oleh itu, sewaktu kita dilahirukan, Tuhan bukan sahaja memberi kita hati baru, Dia juga meletakkan roh baru ke dalam kita.

Setelah mempunyai hati baru, kita dapat mengingini Tuhan dan mengasihi Tuhan, dan setelah mempunyai roh baru, kita dapat menghubungi Tuhan dan menyentuh Tuhan. Hati baru kita membolehkan kita mempunyai kesukaan dan kecenderungan baru, perasaan dan minat baru terhadap Tuhan dan hal-hal Tuhan. Roh baru kita pula membolehkan kita mempunyai perhubungan dan pemahaman baru, keupayaan dan fungsi rohani yang baru terhadap Tuhan dan hal-hal Tuhan. Dahulunya kita tidak mengasihi Tuhan dan juga tidak menyukai hal-hal rohani Tuhan; lagipun, kita tidak dapat menghubungi Tuhan atau memahami hal-hal rohani Tuhan (1 Kor. 2:14). Sekarang kita mempunyai hati baru dan roh baru, maka kita bukan sahaja dapat mengasihi Tuhan dan hal-hal Tuhan, tetapi kita juga dapat menghubungi Tuhan serta memahami Tuhan dan hal-hal Tuhan. Dahulunya, terhadap Tuhan dan hal-hal Tuhan, kita tidak mempunyai perasaan dan minat, malah kita lemah dan tidak mempunyai apa-apa keupayaan. Namun sekarang, dengan adanya hati baru dan roh baru, kita bukan sahaja mempunyai perasaan dan minat terhadap Tuhan dan hal-hal Tuhan, tetapi kita juga kuat dalam hal menghubungi Tuhan serta memahami Tuhan dan hal-hal Tuhan. Dengan itu, sebaik sahaja hati kita mengasihi Tuhan, roh kita pun menyentuh Tuhan; sebaik sahaja hati kita menyukai hal-hal Tuhan, roh kita pun memahami hal-hal Tuhan. Inilah tujuan Tuhan memberi kita roh baru selain daripada hati baru. (bersambung...)

PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN (Bahagian 2/5)
PEROLEHAN MENERUSI KELAHIRUAN (Bahagian 4/5)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Nikos Ling pada 2020-08-18
Tuan Yesus, terima kasih memberikan kita hati baru dan roh baru. Hati baru yang mengingini-Mu, mengasihi-Mu. Roh baru yang berhubung dengan Kamu dan memahami kehendak-Mu. Dalam kehidupan kami, berikan kami kudrat agar kami sentiasa mengunakan hati baru dan roh baru dalam setiap situasi.