Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian PERASAAN ROH DAN MENGENALI ROH (Bahagian 1/4)
PERSEKUTUAN HAYAT
PERASAAN ROH DAN MENGENALI ROH (Bahagian 2/4)
PERASAAN ROH DAN MENGENALI ROH (Bahagian 1/4)
2020-08-25 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (119)

Nota Editor:

“Semasa membicarakan roh, dutus menggunakan empat perkara: hayat, hukum, damai sejahtera, dan maut. Kesemuanya berkait rapat dengan roh secara positif dan negatif. Jika kita memahami empat perkara ini secara menyeluruh, kita dengan jelas dapat mengenali roh yang berkait rapat dengan perkara-perkara ini. Keempat-empat perkara ini mengandungi jenis perasaan yang tertentu...Perasaan bagi perkara-perkara ini membolehkan kita menyentuh perasaan roh dan dengan itu mengenali roh. Oleh itu, kita harus meluangkan sedikit masa untuk melihat perasaan bagi keempat-empat perkara ini.”

PERASAAN ROH DAN MENGENALI ROH
(Bahagian 1/4)

(Pengetahuan Hayat, Bab 7)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 8:2 “Kerana hukum Roh hayat telah membebaskan aku dalam Kristus Yesus daripada hukum dosa dan maut.”

Roma 8:6 “Kerana minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut, tetapi minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera.”

Sekarang kita akan melihat butir utama yang ketujuh, iaitu perasaan roh dan mengenali roh. Oleh sebab setiap pengalaman hayat berlaku dalam roh, maka mengenali roh ialah persoalan asas dalam pengalaman hayat.

Apakah sebenarnya soal tentang roh? Bagaimanakah kita dapat mengenali roh? Bagaimanakah kita dapat menyentuh roh? Saya mengaku bahawa soalan-soalan begini tidak mudah dijawab. Menjelaskan apa itu roh agaklah susah. Berbicara tentang tubuh pula sangat senang kerana kita dapat melihat dan menyentuhnya. Berbicara tentang sukma juga tidak susah kerana walaupun sukma itu abstrak, kita masih dapat merasakannya dan mengenalinya melalui fungsi dan tindakannya, seperti berfikir, membuat pertimbangan, berazam, membuat keputusan, serta bersenang hati, marah, berdukacita, dan bergembira. Hanya apabila kita berbicara tentang roh, ini benar-benar susah. Jangankan berbicara tentang roh, memahami roh pun bukanlah mudah. Walau bagaimanapun, kita masih akan cuba membicarakannya.

Roma 8 memperkatakan roh. Dalam Bible, memang sukar hendak mencari satu bahagian yang begitu jelas mengatakan keadaan kita dalam roh seperti di sini. Oleh itu, jika kita ingin mengenali roh, kita harus memberi perhatian kepada bahagian ayat ini. 

I. Empat Perkara

Semasa membicarakan roh, dutus menggunakan empat perkara:

A. Hayat

Dalam ayat 2 dia berkata, “Roh hayat.” Maksudnya adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa Roh yang dibicarakannya di sini ialah Roh hayat, Roh yang berkaitan dengan hayat, mengandungi hayat, dan kepunyaan hayat. Kemudian dalam ayat 6 dia berkata, “Minda diletakkan pada roh ialah hayat.” Ini bermaksud bahawa hayat ialah buah daripada roh, dan roh ialah asal hayat; oleh itu, menyentuh roh bererti menyentuh hayat. Hayat dan roh saling berkaitan, maka kita boleh mengenali roh melalui hayat. Walaupun roh sukar dikenali, namun hayat agak mudah difahami.

B. Hukum

Dalam ayat 2, dutus bukan sahaja berbicara tentang “Roh hayat”, malah juga berbicara tentang “hukum Roh hayat”. Ini memberitahu kita bahawa Roh yang dibicarakannya di sini adalah kepunyaan hayat dan juga mempunyai hukumnya. Oleh itu, ketika dia berbicara tentang Roh, dia berbicara tentang hayat dan dia juga berbicara tentang hukum. Dia menghubungkan ketiga-tiga ini — hayat, Roh, dan hukum — bersama. Hayat dan Roh tidak dapat diasingkan; hukum dan Roh juga tidak dapat dibahagikan. Hayat ialah isi kandungan dan hasil Roh, manakala hukum ialah fungsi dan tindakan Roh. Dengan menghubungi hayat, kita menyentuh roh; dengan merasakan hukum, kita juga merasakan roh. Walaupun roh sukar ditanggap, namun hukum tidak sukar dicari. Oleh itu, melalui hukum, kita boleh menemui roh.

C. Damai Sejahtera

Dalam ayat 6, dutus berkata, “Minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera.” Ini bermaksud bahawa hasil daripada meletakkan minda pada roh bukanlah hayat sahaja, tetapi juga damai sejahtera. Oleh itu, hayat ialah buah daripada roh, dan damai sejahtera jugalah buah daripada roh. Apabila kita menyentuh roh, kita menyentuh hayat, dan demikian juga kita menyentuh damai sejahtera. Sebagaimana hayat dapat membuat kita memahami roh, begitu juga damai sejahtera dapat membuat kita merealisasikan roh.

D. Maut

Dalam ayat 6, sebelum dutus berkata, “Minda diletakkan pada roh ialah hayat dan damai sejahtera,” dia berkata, “Minda diletakkan pada tubuh daging ialah maut.” Di sini, dia menggunakan sesuatu yang negatif untuk menonjolkan yang positif. Tubuh daging dan roh adalah bertentangan, begitu juga dengan maut dan hayat. Hayat ialah buah daripada roh dan berasal daripada roh. Maut ialah buah daripada tubuh daging dan berasal daripada tubuh daging. Hayat menyebabkan kita mengenali perkara yang berasal daripada roh, dengan itu membolehkan kita mengenali roh dari segi positif. Maut pula menyebabkan kita mengenali perkara yang berasal daripada tubuh daging, dengan itu menyingkapkan roh dari segi negatif. Oleh itu, sebagaimana hayat membolehkan kita mengenali roh dari segi positif, begitu juga maut membolehkan kita memahami roh dari segi negatif. Untuk mengenali roh, kita perlu mengenali hayat, dan begitu juga kita perlu memahami lawan bagi hayat, iaitu maut.

Oleh yang demikian, menurut apa yang dikatakan oleh dutus berkenaan empat perkara ini — hayat, hukum, damai sejahtera, dan maut — kesemuanya berkait rapat dengan roh secara positif dan negatif. Jika kita memahami empat perkara ini secara menyeluruh, kita dengan jelas dapat mengenali roh yang berkait rapat dengan perkara-perkara ini. Keempat-empat perkara ini mengandungi jenis perasaan yang tertentu.

II. Perasaan

Melainkan hayat tumbuhan yang terendah, setiap hayat pasti mempunyai perasaan. Semakin tingginya hayat itu, semakin kaya perasaannya. Hayat bagi Roh hayat yang dibicarakan di sini ialah hayat Tuhan sendiri, iaitu hayat yang tertinggi, maka hayat ini tentu paling kaya perasaannya. Hayat dalam kita ini menjadikan kita penuh perasaan rohani, dan membolehkan kita merasakan roh dan hal-hal roh.

Walaupun hukum bagi objek yang tidak mempunyai perasaan itu bukan kepunyaan alam perasaan, namun hukum bagi hayat yang mempunyai perasaan itu kepunyaan alam perasaan. Misalnya, jika saya memukul seorang dikbang, dia segera berasa sakit; jika saya menghulurkan tangan saya ke arah matanya, kelopak matanya akan segera berkelip. Dia bereaksi secara ini kerana dalam tubuhnya terdapat hukum hayat yang mendesak dia bertindak sedemikian. Pada ketika saya memukulnya, dia berasa sakit — ini satu hukum. Pada ketika saya menghulurkan tangan ke arahnya, matanya berkelip — ini juga satu hukum. Meskipun semua ini hukum, namun jika kamu menanya dia apakah ini, dia akan mengatakan bahawa ini soal perasaan. Oleh itu, hal ini membuktikan bahawa hukum bagi hayat yang mempunyai perasaan adalah kepunyaan alam perasaan. Oleh sebab hayat bagi Roh hayat ialah hayat Tuhan yang kaya dengan perasaan, maka sudah tentu hukum Roh hayat juga penuh dengan perasaan.

Damai sejahtera yang dibicarakan di sini sudah tentu merupakan damai sejahtera dalam batin kita. Damai sejahtera batiniah sama sekali merupakan soal perasaan. Mustahil kita mempunyai damai sejahtera di dalam tetapi tidak merasakannya. Oleh itu, damai sejahtera yang dibicarakan di sini jugalah satu soal perasaan.

Bukan ini sahaja, bahkan maut yang dibicarakan di sini juga satu soal perasaan. Maut menyebabkan manusia kehilangan perasaan. Setelah seseorang mati, dia tidak ada perasaan lagi. Oleh itu, apabila seseorang tidak ada perasaan, ini membuktikan bahawa maut berfungsi di dalamnya; biarpun dia tidak mati sepenuhnya, dia sudah hampir mati.

Walau bagaimanapun, dalam hal-hal rohani, maut bukan sahaja menyebabkan kita kehilangan perasaan hayat, malah menyebabkan kita mempunyai perasaan maut. Apabila kita meletakkan minda pada tubuh daging, maut menjadi aktif dalam kita. Dari satu segi, maut menyebabkan kita kehilangan perasaan hayat di dalam dan dari segi yang lain, maut menyebabkan kita mempunyai perasaan tidak tenang, susah hati, murung, tertekan, gelap, dan kosong. Perasaan tidak tenang, susah hati, murung, tertekan, gelap, dan kosong seperti ini ialah perasaan maut dan menyebabkan kita merasakan maut. 

Oleh yang demikian, hayat, hukum, damai sejahtera, dan maut — keempat-empat ini mempunyai perasaan. Perasaan bagi perkara-perkara ini membolehkan kita menyentuh perasaan roh dan dengan itu mengenali roh. Oleh itu, kita harus meluangkan sedikit masa untuk melihat perasaan bagi keempat-empat perkara ini. (bersambung...)

PERSEKUTUAN HAYAT
PERASAAN ROH DAN MENGENALI ROH (Bahagian 2/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)