Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Kristus Penggunaan “Tuan Yesus”
Agama dan Tradisi Bertentangan dengan Kristus dan Wahi Kristus
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (1) Janji Tuhan
Penggunaan “Tuan Yesus”
2017-05-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Setakat ini, para pembaca mungkin mendapati bahawa dalam semua karangan yang disajikan dalam laman web ini, istilah “Tuan Yesus” selalu digunakan. Mungkin ada orang yang tertanya-tanya mengapa perkataan Inggeris Lord Jesus dipadankan dengan “Tuan Yesus” dan bukannya “Tuhan Yesus”. Kami ingin menyatakan dari mulanya penggunaan “Tuan Yesus” langsung TIDAK merendahkan status Yesus Kristus sebagai Tuhan. Sebaliknya kami mempercayai seratus peratus bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan di atas segala, terpuji buat selama-lamanya (Roma 9:5). Di sini, kami akan memberikan beberapa penjelasan supaya para pembaca memahami sebab kami menggunakan “Tuan” sebagai padanan kata yang lebih menepati makna bagi Lord.

Definisi bahasa asal

Dalam bahasa Yunani, terdapat dua perkataan Yunani yang digunakan untuk merujuk kepada lord atau master, iaitu despostes dan kyrios. Despostes bermakna “tuan dan orang yang memiliki kuasa tertinggi”. Kyrios dalam penggunaan sekular pula membawa maksud “tuan (nama sapaan), tuan punya, tuan abdi atau tuan kepada isteri”. Penggunaan kyrios sebagai nama sapaan ini bersamaan dengan perkataan mister dalam bahasa Inggeris, atau encik dan tuan dalam bahasa Malaysia. Ini menunjukkan bahawa yang disapa itu lebih besar daripada penyapa itu, malah memperlihatkan kesantunan dalam menyapa orang lain. Dalam bahasa Ibrani pula, adon (yang diterjemahkan sebagai kyrios dalam bahasa Yunani) turut merujuk kepada orang yang berkedudukan tinggi atau mister dalam penggunaan sekularnya.

Dalam Wasiat Lama versi bahasa Yunani (Septuagin), kyrios digunakan sebagai terjemahan bagi Yehova, yang merujuk kepada Tuhan sebagai pemilik yang mencipta langit dan bumi (Yes. 37:16). Dalam Wasiat Baru pula, kyrios digunakan untuk merujuk kepada Yesus sebagai tanda hormat, dan juga sebagai tanda pengakuan bahawa Dialah Tuan kita (Flp. 2:11). Oleh itu frasa Yunani Kyrios Iesous sering muncul dalam Wasiat Baru, dan dalam bahasa Inggeris: Lord Jesus.

Padanan bahasa Malaysia

Dalam usaha mencari padanan bagi kyrios, wajarlah kita melihat sama ada terdapat kata dalam bahasa Malaysia yang mendukung konsep yang ingin disampaikan dalam bahasa sumber. Menurut Kamus Dewan, “tuan” bererti: (1) orang tempat menghambakan diri; (2) pemilik atau pengurus perusahaan dan lain-lain; (3) orang lelaki yang dihormati; (4) panggilan bagi orang lelaki yang berpangkat atau yang patut dihormati; (5) kata ganti yang halus bagi orang yang dilawan bercakap.

Memandangkan “tuan” dan kyrios berkongsi bidang makna yang sama, maka “tuan” sesuai dipadankan dengan kyrios.

Bagi padanan untuk depostes pula, perkataan Tuan dapat dijadikan padanan dan ditambah dengan kata penerang yang sesuai mengikut konteks. Sebagai contoh, master of a house dapat diterjemahkan sebagai “tuan rumah”, master to a slave, “tuan abdi”, dan sebagainya.

Asal usul perkataan “Tuan”

Menurut buku yang berjudul Rekonstruksi Fonologi Bahasa Melayu Induk (1995), terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kata tuan berasal daripada kata Tuhan, dengan berlakunya pelenyapan huruf ‘h’. Kedua-dua perkataan ini juga mendukung makna asas yang merujuk kepada sesuatu atau seseorang yang berkuasa dan yang ditakuti dan dihormati. Jika begitu halnya, maka pada asalnya “tuan” bukan sahaja terhad penggunaannya kepada manusia tetapi juga boleh merujuk kepada Tuhan. Dengan itu, “Tuan Yesus” harus menjadi gelaran Yesus dalam kenaikan-Nya ke syurga (Kis. 2:36).

Ketepatan makna

Satu lagi sebab mengapa “Tuan” dan bukannya “Tuhan” dipilih dapat dilihat dari segi padanan perkataan Inggeris, Lord. Jika kita menyeru “Tuhan Yesus”, terjemahan terbalikannya yang literal adalah God Jesus dan bukan Lord Jesus. Hal ini semestinya bukan apa yang kita maksudkan. Lagipun, jika Lord diterjemahkan sebagai “Tuhan”, ayat seperti Yohanes 20:28 “Thomas answered and said to him, My Lord and my God!” akan diterjemahkan sebagai “Tomas menjawab dan berkata kepadanya, Tuhanku dan Tuhanku!” Hal ini tentu akan mengelirukan pembaca berkenaan yang mana satu merujuk kepada Lord dan yang mana satu merujuk kepada God, memandangkan kedua-duanya diterjemahkan sebagai “Tuhan”.

Atas sebab-sebab di atas, kami membuat keputusan untuk menggunakan perkataan “Tuan” sebagai padanan bagi Lord. Laman web ini mementingkan kebenaran berdasarkan Bible. Oleh yang demikian, penggunaan “Tuan” sejajar dengan misi kami untuk mendukung kebenaran dan menyampaikan sabda Bible dengan setepat-tepatnya dan semurni-murninya kepada pembaca tanpa dipengaruhi oleh konsep manusia atau adat resam tradisi. Marilah kita seru dan menyanjung nama ini, “Tuan Yesus! O Tuan Yesus!”

Agama dan Tradisi Bertentangan dengan Kristus dan Wahi Kristus
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (1) Janji Tuhan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)