Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian ORGAN UNTUK MENERIMA MAKANAN—ROH
PEMULIHAN TUAN—MAKAN (Bahagian 2/2)
CARA MAKAN—MENYERU NAMA TUAN
ORGAN UNTUK MENERIMA MAKANAN—ROH
2020-07-24 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (87)

Nota Editor:

“Di mata Tuhan, terdapat tiga perkara utama dalam alam semesta: langit, bumi, dan manusia...Dalam kamu ada roh dan roh kamu sama penting dengan langit dan bumi. Tuhan memerlukan langit dan bumi, tetapi Dia lebih memerlukan roh kamu. Jika kita melihat betapa pentingnya roh manusia, kita betul-betul akan berlonjakan!”

 “Walaupun manusia jatuh dan rohnya dipengaruhi oleh sukmanya, namun Tuhan seolah-olah telah menggariskan sempadan dan memberitahu Syaitan, ‘Jangan lebihi garis ini...’ Oleh itu, bila-bila sahaja kamu berpaling kepada roh kamu, kamu keluar dari lingkungan Syaitan. Jika kamu tidak berpaling kepada roh dan masih berada dalam minda, kamu akan masuk ke dalam kingdom Syaitan dan berada di bawah kawalan Syaitan. Lantaran itu, kita harus belajar berpaling kepada roh.”

“Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis doa. Jenis pertama ialah berdoa dengan menggunakan kewarasan atau minda. Ujaran doa kamu mungkin betul, tetapi doa kamu tidak berkesan kerana kamu berdoa dengan organ yang salah...Jika seseorang sudi menyeru, ‘O Tuan,’ Roh akan datang, dan dia dapat menyentuh Tuhan. Oleh itu, jenis doa kedua ialah berdoa dengan roh. Kita semua harus berlatih untuk menguatkan roh kita.”

“Tuan berkata, ‘Roh itulah yang memberi hayat...kata­-kata yang Aku bicarakan kepadamu ialah roh dan ialah hayat’ (Yoh. 6:63). Oleh itu, kita tidak boleh menerima sabda Bible dengan minda kita; kita harus menghubungi sabda Bible dengan roh kita. Sabda ialah roh, dan kita menghubungi sabda dengan roh kita. Apabila kita berdoa dengan roh kita dan membaca dengan roh kita, kita menyerap dan menerima Tuan dengan kayanya ke dalam roh kita.”

ORGAN UNTUK MENERIMA MAKANAN—ROH 

(Pemulihan Tuan—Makan, Bab 2)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Za. 12:1 “Beban sabda Yehova berkenaan Israel. Demikianlah pengisytiharan Yehova yang merentangkan langit dan meletakkan asas bumi dan membentuk roh manusia dalamnya.”

Yoh. 4:24 “Tuhan ialah Roh, dan mereka yang menyembah-Nya harus menyembah dalam roh dan ketulusikhlasan.”

Yoh. 6:63 “Roh itulah yang memberi hayat; daging tidak bermanfaat apa-apa; kata-kata yang Aku bicarakan kepadamu ialah roh dan ialah hayat.”

I. TIGA PERKARA UTAMA DALAM ALAM SEMESTA

Zakharia 12:1 menunjukkan kepada kita bahawa di mata Tuhan, terdapat tiga perkara utama dalam alam semesta: langit, bumi, dan manusia. Dalam alam semesta ini, Tuhan memberi perhatian kepada langit, Tuhan memberi perhatian kepada bumi, dan Tuhan juga memberi perhatian kepada roh manusia. Oleh itu, jangan pandang ringan terhadap diri kamu. Dalam kamu ada roh dan roh kamu sama penting dengan langit dan bumi. Tuhan memerlukan langit dan bumi, tetapi Dia lebih memerlukan roh kamu. Jika kita melihat betapa pentingnya roh manusia, kita betul-betul akan berlonjakan!

Mengapakah Tuhan menganggap roh manusia sama penting dengan langit dan bumi? Hal ini kerana roh manusia ialah wadah untuk berisikan Tuhan. Langit adalah untuk bumi; tanpa langit, bumi tidak mungkin dapat wujud. Segala sesuatu di bumi, seperti cahaya matahari dan air hujan, datang daripada langit. Bumi pula adalah untuk manusia. Segala sesuatu yang terhasil daripada bumi, seperti hasil tanaman, air, dan vitamin, sesuai untuk memenuhi keperluan manusia demi kewujudan manusia. Akan tetapi, perkara yang paling berharga dalam manusia ialah roh. Roh manusia adalah untuk Tuhan; roh manusia adalah untuk berisikan Tuhan. Langit adalah untuk bumi, bumi adalah untuk manusia, dan manusia adalah untuk Tuhan.

II. MANUSIA MEMPUNYAI ROH

Manusia mempunyai roh. Banyak orang, termasuk juga orang Kristian, tidak tahu bahawa manusia mempunyai roh. Kita harus memberi perhatian kepada roh manusia. Kamu tidak boleh makan nasi dengan menggunakan mata, telinga, atau hidung kamu; kamu harus makan dengan mulut kamu. Mulut ialah organ untuk menerima makanan. Semasa Tuhan mencipta manusia, Dia mencipta suatu organ untuk menerima makanan—mulut. Dia mencipta mulut dengan ajaib sekali supaya manusia dapat makan: bibir untuk menghisap, gigi untuk mengisar, lidah untuk menolak, dan air liur untuk bercampur gaul; semua ini adalah untuk makan. Tuan Yesus mengatakan bahawa Dia ialah roti hayat. Kata-kata ini bermaksud bahawa Tuhan ialah makanan kita. Kalau begitu, organ manakah yang kita gunakan untuk makan Tuan? Roh! Roh manusia ialah organ untuk kita makan Tuan. Tuhan mencipta roh untuk kita agar kita dapat makan-Nya, menikmati-Nya, dan menerima-Nya ke dalam kita. Haleluya! Kita mempunyai perut dalam kita untuk berisikan makanan fizikal dan roh dalam kita untuk berisikan makanan rohani, iaitu Tuhan sendiri!

III. APA ITU ROH

Apa itu roh? Di manakah roh? Adalah sukar bagi kita menerangkannya. Bahkan hati kita pun sukar kita ketahui. Berapakah hati yang kita ada? Kita mempunyai satu hati dari segi biologi dan satu hati dari segi psikologi. Bukan sahaja Tuhan merupakan suatu misteri, malah kamu dan saya juga suatu misteri. Semakin bernilainya sesuatu benda, semakin penuh misteri benda itu. Contohnya, arus elektrik, hayat, dan tenaga atom tidak dapat dilihat, tetapi benda-benda ini adalah benar. Benda yang paling bermisteri dalam kita ialah roh. 

Apakah itu roh sebenarnya? Minda kita sukar memahaminya; kita hanya dapat mengenali roh melalui pengalaman. Kerap kali apabila minda kita berjaya menaakul sesuatu perkara, dan tekad kita juga bersetuju dengan perkara itu, maka perkara itu menjadi sesuatu yang munasabah. Akan tetapi, masih ada sesuatu yang mengganggu kita di bahagian dalaman kita. Perkara yang mengganggu kita itu adalah sesuatu yang penuh misteri, yang tidak dapat kita jelaskan; itulah kisah berkenaan roh. Kita mengambil satu contoh lagi: Semasa seseorang itu miskin, dia hanya merasakan keperluan untuk pakaian, makanan, dan perlindungan, dan dia berikhtiar untuk mencari rezeki. Selepas dia menjadi kaya-raya dan memiliki semua keperluan hidup, dia mula memerlukan rekreasi dan hiburan, seperti muzik dan sukan. Namun selepas semua keperluan ini turut dipenuhi, dia masih berasa bahawa bahagian dalamannya kekosongan. Kemudian, pada suatu hari dia menyeru, “O Tuan Yesus!” Maka pada saat itu barulah dia berasa puas di dalamnya. Keperluan yang paling dalam ini bukanlah fizikal atau psikologi, tetapi rohani. Hanya Tuhan yang dapat memuaskan keperluan ini. Keperluan ini membuktikan bahawa kita mempunyai roh dalam kita. 

IV. DUA JENIS DOA

Sekarang kita berbicara tentang doa. Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis doa. Jenis pertama ialah berdoa dengan menggunakan kewarasan atau minda. Ujaran doa kamu mungkin betul, tetapi doa kamu tidak berkesan kerana kamu berdoa dengan organ yang salah. Jika kamu meminta seorang profesor psikologi untuk berdoa, dia mungkin banyak berdoa tetapi masih berlegar-legar dalam mindanya; akhirnya dia mungkin berdoa sehinggakan Tuhan pun hilang. Hal ini kerana minda manusia tidak dapat menghubungi Tuhan, seperti sebatang kayu tidak dapat menghubungi arus elektrik. Jika seseorang sudi menyeru, “O Tuan,” Roh akan datang, dan dia dapat menyentuh Tuhan. Oleh itu, jenis doa kedua ialah berdoa dengan roh. Kita semua harus berlatih untuk menguatkan roh kita. 

Kristianiti mengajar orang berdoa kepada Tuhan yang objektif, iaitu Tuhan yang berada tinggi di atas takhta, dengan merayu kepada-Nya agar mengasihani mereka dan berbuat sesuatu untuk mereka. Doa ini adalah doa yang agamawi yang terhasil daripada ajaran agamawi, dan doa sebegini sama sekali berada dalam minda. Doa yang sebenar bererti berdoa dengan roh kamu untuk menghubungi Tuan yang subjektif yang berada dalam kamu, iaitu Tuan yang bersama dengan roh kamu. Pada hari ini, Dia bukan sahaja berada tinggi di atas takhta, tetapi Dia juga secara rendahnya huni dalam roh kamu. Oleh itu, apabila kamu berdoa, kamu bukan sahaja meminta sesuatu daripada-Nya, tetapi kamu juga harus menghubungi-Nya. Jenis doa yang menghubungi-Nya ini bukanlah doa yang menggunakan minda tetapi doa yang menggunakan roh. 

Tuan mengatakan bahawa Dia ialah roti hayat dan kita perlu memakan-Nya. Bagaimanakah kita memakan-Nya? Kita memakan-Nya bukan dengan memikirkan-Nya dalam minda kita tetapi dengan menyeru “O Tuan!” menggunakan roh kita. Andai kata suami atau isteri kamu, ataupun dikbang dan dikkak menyakitkan hati kamu dan membuat kamu marah. Hal ini merangsang minda kamu untuk asyik berfikir, “Memang tidak patut! Tergamak dia berbuat demikian terhadap saya!” Pada masa ini, seluruh diri kamu dikuasai oleh minda kamu, dan meskipun kamu berdoa, tetapi kamu masih tidak dapat menyentuh Tuan. Oleh itu, kita harus belajar menghubungi Tuan dengan menggunakan roh kita. Tuan ialah Roh. Untuk menghubungi Dia yang merupakan Roh, kita harus menggunakan roh kita. Dia sebagai Roh berada dalam roh kita. Roh-Nya dan roh kita saling bersekutu dan saling berbaur. 

V. ROH BERBEZA DARIPADA MINDA DAN EMOSI

Dikbang dan dikkak, kita memang mempunyai roh dalam kita. Roh kita berbeza daripada minda, emosi, dan hati kita. Bible tidak mengarahkan kita untuk bergerak-hidup menurut hati; sebaliknya, Bible mengarahkan kita untuk bergerak-hidup menurut roh. Kita perlu mengikut roh, bergerak-hidup menurut roh. 

Saya sentiasa memberitahu orang bahawa kamu mungkin mengasihi seseorang pada hari ini tetapi pada hari kemudian kamu mungkin membencinya. Orang yang kamu benci lazimnya orang yang pernah kamu kasihi. Tanpa perkahwinan, tidak akan ada perceraian. Mengapakah kasih boleh berubah menjadi benci? Sebabnya ialah kasih ini berasal daripada emosi, atau paling banyak pun kasih ini berasal daripada hati. Hati merupakan sesuatu yang tidak begitu boleh dipercayai; hati berubah lebih cepat daripada cuaca di Taipei. Oleh itu, semua isteri perlu tahu bahawa tidak ada suami yang boleh dipercayai, dan semua suami juga perlu tahu bahawa tidak ada isteri yang benar-benar lembut-halus. Dia mungkin lembut-halus pada saat ini, tetapi pada saat seterusnya dia mungkin naik berang. Ini membuktikan bahawa hati manusia tidak boleh dipercayai; hati manusia sering berubah. Akan tetapi, puji Tuan, terdapat suatu perkara yang tidak berubah, iaitu roh kita. Jika kamu mengasihi seseorang dengan roh kamu, kasih kamu tidak akan berubah. Sama ada dia mengasihi kamu atau tidak, kamu masih mengasihinya. Sama ada dia baik atau tidak, kamu tetap mengasihinya.

VI. BERPALING KEPADA ROH KITA UNTUK KELUAR DARI LINGKUNGAN SYAITAN

Roh kita dicipta Tuhan secara unik dan khas buat kita. Saya ingin memberitahu kamu suatu perkara; meskipun hal ini tidak disebut secara terang-terang dalam Bible, namun kita dapat mengalami perkara ini. Perkara ini ialah: Walaupun manusia jatuh dan rohnya dipengaruhi oleh sukmanya, namun Tuhan seolah-olah telah menggariskan sempadan dan memberitahu Syaitan, “Jangan lebihi garis ini. Kamu dapat masuk ke dalam tubuh manusia dan juga menguasai sukma manusia, tetapi kamu tidak dapat masuk ke dalam roh manusia. Kamu hanya boleh sampai setakat ini.” Oleh itu, bila-bila sahaja kamu berpaling kepada roh kamu, kamu keluar dari lingkungan Syaitan. Jika kamu tidak berpaling kepada roh dan masih berada dalam minda, kamu akan masuk ke dalam kingdom Syaitan dan berada di bawah kawalan Syaitan. Lantaran itu, kita harus belajar berpaling kepada roh. Tidak kira apa sahaja yang diberitahukan orang kepada saya, saya tidak mahu memikirkannya. Tidak kira betapa banyak orang cuba merangsang kemarahan saya, tidak kira macam mana orang mengusik saya, saya tetap berpaling kepada roh. Haleluya, selagi kamu kekal berada dalam roh kamu, Syaitan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap kamu!

Tambahan pula, semasa kamu berada dalam roh kamu, kamu bersekutu dengan Tuhan. Semasa kamu menghubungi Tuan dengan sedemikian, Dia akan lebih banyak mengalir ke dalam kamu untuk menjadi bekalan kamu. Dengan cara ini, kamu makan dan menikmati Tuan. 

VII. DUA CARA UNTUK MEMBACA BIBLE

Sekarang kita akan berbicara tentang membaca Bible. Kita semua tahu bahawa ada dua cara untuk membaca Bible. Cara pertama ialah membaca dengan minda kita; ini cara yang lazim. Akibatnya, semakin kita membaca, semakin kita mati. Semakin kita membaca, semakin kita berasa kering, kosong, dan murung. Kalau begitu, apakah cara yang betul untuk membaca Bible? Caranya ialah cara kedua, iaitu mendoa-baca dengan roh kita. Setiap kali kamu membaca satu ayat, kamu menyeru, “O Tuan!” Apabila kamu membaca sambil menyeru Tuan, kamu menerima sabda Bible secara keseluruhan. 

Tuan berkata, “Roh itulah yang memberi hayat...kata­-kata yang Aku bicarakan kepadamu ialah roh dan ialah hayat” (Yoh. 6:63). Oleh itu, kita tidak boleh menerima sabda Bible dengan minda kita; kita harus menghubungi sabda Bible dengan roh kita. Sabda ialah roh, dan kita menghubungi sabda dengan roh kita. Apabila kita berdoa dengan roh kita dan membaca dengan roh kita, kita menyerap dan menerima Tuan dengan kayanya ke dalam roh kita. 

Semasa kita dilahirukan, Tuan melahirukan roh kita, menukarkan roh lama kita dengan roh baru. Mulai saat itu, Roh Tuan berada dalam roh kita, iaitu dua roh menjadi satu roh dan bersaksi bersama-sama. Pada hari ini, roh dalam kita ini ­ialah roh yang berbaur, iaitu roh yang ajaib, roh yang kaya.

Kamu hanya perlu belajar berpaling kepada roh kamu dan melatih roh kamu secara spontan saat demi saat. Dengan demikian, kamu akan menyentuh Tuan sendiri. Hasilnya, kamu akan menikmati kekayaan Tuan. Haleluya! Kamu mempunyai roh! Latihlah roh kamu!

PEMULIHAN TUAN—MAKAN (Bahagian 2/2)
CARA MAKAN—MENYERU NAMA TUAN
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
Sing yuan pada 2020-07-24
Tuhan memerlukan langit dan bumi, tetapi Dia lebih memerlukan roh kamu.