Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Kejadian MESEJ SATU: KEJADIAN — PENERANGAN AM DAN PEMIKIRAN UTAMA (2)
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (1)
MESEJ SATU: KEJADIAN — PENERANGAN AM DAN PEMIKIRAN UTAMA (2)
2017-04-30 | 0 Komen
A- A+ Simpan

WAHI UTAMA DALAM BIBLE

Hayat merupakan perkara utama yang diwahikan dalam Bible. Hayat ialah fokus seluruh Bible. Namun begitu, apa itu hayat, atau siapakah hayat? Jawapannya terdapat dalam kata-kata Tuan Yesus. Dia berkata, “Akulah hayat,” dan “Aku datang supaya kamu beroleh hayat.” Bible mewahikan Kristus sebagai hayat. Setiap kali kita datang kepada Bible, kita harus sedar bahawa kita sedang menghubungi Kristus sebagai hayat kita.

Seluruh Bible ialah buku hayat, dan hayat ini memang bukan yang lain melainkan Persona Kristus Yesus sendiri yang divin dan hidup, yang merupakan bahagian kita. Semasa kita datang kepada Bible, kita harus datang untuk menghubungi-Nya. Kita tidak harus mengulangi sejarah orang Yahudi yang amat mendukacitakan; mereka menyelidik Kitab kerana mereka fikir bahawa dalamnya terdapat hayat, namun mereka tidak sudi datang kepada Tuan Yesus (Yoh. 5:39-40). Kita tidak harus menghubungi Bible tanpa menghubungi Tuan. Setiap kali kita membuka Bible, kita harus berkata, “Tuan Yesus, Engkau harus berada di sini. Buku ini bukan sekadar sebuah buku tetapi wahi Engkau. Aku tidak mahu membaca buku ini tanpa menghubungi-Mu. Aku tidak mahu mendengar sesuatu daripada buku ini tanpa mendengar-Mu. Aku tidak mahu membaca buku ini tanpa melihat-Mu. Aku ingin melihat wajah-Mu. Aku ingin melihat siapa Engkau daripada halaman bercetak ini. O Tuan Yesus, cahayailah Sabda-Mu dan urapilah setiap baris ayat supaya aku dapat menyentuh-Mu.” Kita memerlukan roh sedemikian untuk menghubungi Sabda hidup ini.

Setelah manusia dicipta, dia diletakkan di hadapan dua pohon di taman Eden: satu ialah pohon hayat dan satu lagi ialah pohon pengetahuan. Jika manusia makan pohon hayat, dia akan menerima hayat divin Tuhan yang dilambangkan oleh pohon hayat. Akan tetapi, manusia digoda dan mengambil pohon pengetahuan yang menandakan sumber lain selain daripada Tuhan, iaitu Syaitan. Hal ini mengakibatkan maut. Prinsipnya juga sama semasa kita menghubungi Bible. Kita mungkin menganggap Bible sebagai buku hayat dengan menghubunginya menggunakan roh kita, serta berdoa kepada Tuan supaya kita dapat menerima Dia sebagai hayat menerusi Sabda-Nya; namun, kita mungkin juga menjadikan Bible sebagai sebuah buku pengetahuan dengan menghubunginya menggunakan minda kita sahaja, serta berusaha mendapat pengetahuan yang hanya berupa huruf. Ini akan membawa maut kepada kita, dan bukannya hayat. Dua Korintus 3:6 memberi amaran kepada kita, yakni “huruf itu [kitab yang hanya berupa huruf] membunuh, tetapi Roh itu memberi hayat”. Kita tidak harus menjadikan Bible sekadar buku huruf kerana hal ini akan membunuh kita. Kita seharusnya menerima Bible dengan menghubungi Tuan Roh supaya Bible dapat menjadi Roh dan hayat kepada kita.

FUNGSI-FUNGSI BIBLE YANG LAIN

Bukan itu sahaja, sesetengah ayat memberitahu kita bahawa Bible mempunyai banyak fungsi lain. Bible menjadikan kita arif agar kita dapat beroleh penyelamatan (2 Tim. 3:15). Bible mempunyai fungsi seperti biji benih, yakni fungsi untuk menghasil. Menerusi Sabda Bible, kita dapat dilahirkan semula, dilahirukan (1 Ptr. 1:23). Selepas kelahiran baru, Sabda Bible menjadi susu dan makanan kita supaya kita dikhasiati untuk bertumbuh dalam Tuan (1 Ptr. 2:2; Mat. 4:4). Oleh yang demikian, kita harus makan Sabda (Yer. 15:16), iaitu menerima Sabda ke dalam kita dengan melatih roh kita semasa membaca Sabda.

Selain itu, Bible dapat memberi kita ajaran terbaik dan menyempurnakan manusia kepunyaan Tuhan (Roma 15:4; 2 Tim. 3:16-17). Jika kita kepunyaan Tuan dan hendak menjadi sempurna, kita tentu dapat disempurnakan menerusi Sabda divin-Nya.

WASIAT LAMA

Bible terdiri daripada dua Wasiat, iaitu Wasiat Lama dan Wasiat Baru. Wasiat Lama khususnya bernubuat tentang Kristus, yakni menubuatkan Kristus yang akan datang, menerusi kata-kata yang jelas, bayangan, tamsil, dan banyak tanda yang lain.

Dalam Lukas 24, Tuan Yesus memberitahu kita sebanyak dua kali bahawa Wasiat Lama menulis berkenaan-Nya (ay. 27, 44). Wasiat Lama dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama: Musa (yang bererti hukum), para penyabda, dan mazmur. Tuan mengatakan bahawa dalam setiap bahagian Wasiat Lama, terdapat sesuatu yang tertulis berkenaan-Nya. Dalam Yohanes 5:39, Tuan juga mengatakan bahawa kitab Wasiat Lama bersaksi tentang-Nya. Dalam Ibrani 10:7, Dia berkata, “Dalam gulungan kitab itu [iaitu Wasiat Lama], ada tertulis tentang Aku.” Justeru, Wasiat Lama merupakan catatan yang bernubuat khususnya tentang Kristus yang menjadi segala-gala kepada umat Tuhan.

MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)