Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Kejadian MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (4)
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (3)
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 1
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (4)
2017-06-12 | 0 Komen
A- A+ Simpan

c) Malaikat dan Demon yang Memberontak Dihakimi

Apabila Tuhan menghakimi Syaitan dan alam semesta yang berada di bawah kuasanya, Tuhan semestinya juga menghakimi malaikat yang menyertainya dan makhluk hidup pada zaman itu yang mengikutnya memberontak. Selepas mereka dihakimi, malaikat yang memberontak menjadi “roh jahat” di udara (Ef. 6:12, nota dalam KJV), dan makhluk hidup menjadi roh tidak berjasad, iaitu demon yang tinggal di dalam air (air digunakan Tuhan untuk menghakimi mereka).

Walaupun Syaitan, malaikat yang memberontak, dan demon telah dihakimi Tuhan, mereka masih bergerak dan bekerja pada hari ini. Hal ini demikian kerana penghakiman ke atas mereka masih belum terlaksana. Satu hari nanti, penghakiman ini akan dilaksanakan sepenuhnya (Wahi 12:12; Mat. 8:29; Luk. 8:31). Pada hari ini, Syaitan masih dapat pergi kepada Tuhan untuk menuduh umat Tuhan (Ayub 1:6-12; 2:1-7; Wahi 12:10). Dia masih berjalan ke sana sini di bumi, “mencari orang untuk dibaham” (1 Ptr. 5:8); dia masih bekerja untuk membutakan orang (2 Kor. 4:4), menipu mereka (2 Kor. 11:14), memenuhi hati mereka (Kis. 5:3), dan mengambil kesempatan terhadap kita (2 Kor. 2:11). Dia masih merupakan “orang gagah itu” yang berpegang pada “barangnya” (Mat. 12:29). Malaikat yang memberontak masih merupakan “pemerintah dunia bagi kegelapan ini” (Ef. 6:12; bd. Dan. 10:20), (sesetengah malaikat jatuh telah dikurung sehinggalah hari penghakiman—2 Ptr. 2:4; Yud. 6) dan demon masih merupakan roh cemar dan roh jahat yang bekerja di bumi (Mat. 12:43-45). Penghakiman ke atas mereka perlu dilaksanakan.

Tuhan telah menghakimi Syaitan dan semua pengikutnya. Akan tetapi, ini tidak bermaksud bahawa Tuhan telah melaksanakan penghakiman-Nya pada saat Dia menjatuhkan penghakiman. Menghakimi dan melaksanakan penghakiman adalah dua perkara yang berlainan. Tuhan telah menghakimi Syaitan dan pengikutnya sebelum Adam dicipta, namun penghakiman ini masih dalam proses pelaksanaan. Pelaksanaan ini tidak akan dijalankan oleh Tuhan sendiri. Tuhan tidak akan berbuat demikian. Tidak ada hakim yang melaksanakan penghakiman dengan sendiri. Dia memerlukan pelaksana.

Siapakah yang akan melaksanakan penghakiman Tuhan ke atas Syaitan dan pengikutnya? Pelaksana-pelaksana ini ialah orang Kristian, gereja, dan percayawan yang jayeng. Mengapakah penghakiman ke atas Syaitan dan pengikutnya masih belum dilaksanakan? Hal ini demikian kerana Tuhan masih menanti-nantikan kebangkitan gereja. Hakim telah menjatuhkan penghakiman-Nya, tetapi Dia sedang menunggu sebilangan pelaksana untuk melaksanakannya. Dalam Wahi 12, kita melihat bahawa para pejayeng akan melaksanakan penghakiman Tuhan ke atas Syaitan. Bukan itu sahaja, dalam kehidupan keluarga kita sehari-hari, setiap kali kita menang, kemenangan kita merupakan pelaksanaan penghakiman ini. Tuhan telah mengisytiharkan penghakiman-Nya ke atas dia yang memberontak. Walau bagaimanapun, penghakiman ini tidak akan dijalankan sehinggalah gereja bangkit untuk melaksanakannya. Sekaranglah masanya untuk kita melaksanakan penghakiman Tuhan ke atas Syaitan.

Hari ini, gereja perlu berdoa untuk “mengikat orang gagah itu”, malah “merampas seluruh harta rumahnya” (Mat. 12:29), menentang segala roh jahat di udara (Ef. 6:12), serta mengusir demon (Mat. 17:21) apabila demon-demon ini bekerja untuk merosakkan orang. Tuhan telah menghakimi demon dan mengurung mereka di dalam air, tetapi Dia memerlukan gereja untuk membawa masuk satu zaman; pada zaman itu, laut akan disingkirkan (Wahi 21:1), dan penghakiman akan dilaksanakan ke atas demon yang sekarang terkurung di dalam laut (Wahi 20:13: yang mati yang ada di dalam laut bukan merujuk kepada manusia, tetapi semestinya merujuk kepada demon).

Semasa Tuan Yesus berada dalam tubuh daging sebagai seorang manusia, Dia mula melaksanakan penghakiman Tuhan. Dia “dimanifeskan supaya Dia dapat membinasakan kerja-kerja iblis” (1 Yoh. 3:8). Tuan memberi disipal-disipal-Nya “kuasa” (autoriti) (Luk. 10:19) untuk mengatasi segala kekuatan musuh. Apabila disipal-disipal mengusir demon, Syaitan jatuh dari langit (Luk. 10:17-20). Menerusi kematian-Nya di atas salib, Dia menghapuskan Iblis (Ibr. 2:14). Dia telah meremukkan kepala ular purba. Kini, sebagai Tubuh-Nya, kita perlu meneruskan pelaksanaan ini dengan menghapuskan ekor ular. Menerusi kerja pelaksanaan gereja, Iblis akan “dicampakkan ke bumi”, dan malaikat-malaikatnya akan “dicampakkan ke bawah bersamanya” (Wahi 12:9). Kemudian dia akan diikat dan dicampakkan ke dalam lubang yang tidak berdasar (Wahi 20:2-3). Akhirnya, dia akan “dicampakkan ke dalam tasik api” (Wahi 20:10). Pada masa itu, penghakiman Tuhan ke atas Syaitan dan pengikut-pengikutnya terlaksana.

MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (3)
MESEJ TIGA: PEMBAIKPULIHAN DAN PENCIPTAAN TUHAN YANG SELANJUTNYA (1) PROSES – 1
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)