Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Kejadian MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (1)
MESEJ SATU: KEJADIAN — PENERANGAN AM DAN PEMIKIRAN UTAMA (2)
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (2)
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (1)
2017-05-27 | 0 Komen
A- A+ Simpan

2. Pemberontakan dan Pengkorupan Syaitan

Sekarang, kita melihat tentang pemberontakan dan pengkorupan Syaitan. Orang mungkin hairan mengapa kita meneliti subjek ini. Sebelum ini, kita selalu menyentuh tentang penciptaan Tuhan, tetapi tiba-tiba, kita beralih pula kepada pemberontakan Syaitan. Mengapakah demikian? Kita harus melihat perkara ini dengan minda yang waras agar kita mempunyai pemahaman sejelas kristal.

Banyak orang Kristian yang baik beranggapan bahawa Kejadian 1:1 adalah subjek bagi dua bab pertama Kejadian. Mereka diberi ajaran bahawa kedua-dua bab ini merupakan catatan tentang penciptaan Tuhan, dan bab 1 ayat 1 adalah subjek. Akan tetapi, jika ayat 1 merupakan subjek, mengapakah ayat 2 bermula dengan perkataan “tetapi”? Perkataan “tetapi” bermaksud sesuatu perkara sedang berlaku, dan selepas itu berlaku pula perkara yang lain. “Tetapi” ialah kata hubung yang menggabungkan dua perkara: perkara pertama berlalu dan diikuti dengan perkara kedua. Bahkan aspek nahu juga menunjukkan bahawa ayat 1 bukanlah subjek, tetapi hanya sebahagian daripada huraian. Daripada serangkaian kejadian yang berlaku, ayat 1 menghuraikan kejadian yang pertama. “Pada mulanya, Tuhan mencipta langit dan bumi, tetapi…” (Ibr.). Ini bermaksud bahawa selepas penciptaan Tuhan, sesuatu telah berlaku.

“Pada mulanya, Tuhan mencipta langit dan bumi, tetapi bumi telah menjadi ketandusan dan kekosongan.” Dalam buku Kejadian Versi Concordant, ayat ini diterjemahkan begini: “Pada mulanya Tuhan mencipta langit dan bumi. Tetapi bumi telah menjadi keporak-perandaan dan kekosongan.” Keporak-perandaan bererti keadaan kucar-kacir. Bumi telah menjadi keporak-perandaan, iaitu ketandusan dan kekosongan. Jika kamu membina beberapa buah pangsapuri namun tidak ada orang tinggal di situ, maka pangsapuri itu kosong. Justeru, frasa ini boleh diterjemahkan sebagai “keporak-perandaan dan kekosongan” atau “ketandusan dan kekosongan”. Antara ayat 1 dan ayat 2, sesuatu telah berlaku sehingga menyebabkan bumi menjadi ketandusan dan kekosongan.

a. Asal Usul Syaitan

Syaitan ialah malaikat yang dicipta oleh Tuhan sebelum Dia mencipta bumi. Buku Ayub (38:4-7) memberitahu kita bahawa semasa Tuhan meletakkan ukuran bagi asas bumi, anak-anak Tuhan (malaikat-malaikat) bersorak riang. Ini membuktikan bahawa Tuhan mencipta malaikat sebelum Dia mencipta bumi. Dari Yehezkiel 28, kita melihat bahawa Syaitan bukan sahaja salah satu malaikat, tetapi juga ketua malaikat yang tertinggi, iaitu kepala kepada semua malaikat.

Yehezkiel 28 menghuraikan kedudukan Syaitan dalam alam semesta sebelum pemberontakan dan pengkorupannya. Seluruh bab ini seolah-olah berbicara tentang raja Tirus; namun ayat 13 berkata, “Engkau pernah berada di Eden, taman Tuhan.” Jika kita membaca konteks ayat ini, kita dapat melihat bahawa Eden ini bukanlah tempat Adam diletakkan. Eden ini bukan berada di bumi, tetapi berada di syurga-syurga, di gunung kudus Tuhan.

“Setiap batu permata menjadi penutupmu.” Dia ditutupi dengan batu permata. G. H. Pember mengatakan bahawa ini merujuk kepada tempat tinggalnya. Tempat tinggalnya diperbuat daripada batu permata.

“Buatan rebanamu dan serulingmu telah disediakan bersama denganmu pada hari engkau dicipta.” Pada zaman purba, peralatan muzik seperti rebana dan seruling digunakan untuk raja-raja (Dan. 3:5; 6:18). Ini menunjukkan bahawa Syaitan adalah raja; dia memegang kedudukan yang tertinggi dalam alam semesta itu. Atas sebab ini, bahkan Tuan Yesus memanggil dia “pemerintah dunia ini” (Yoh. 12:31). Dutus juga memanggil dia “pemerintah penguasa udara” (Ef. 2:2). Lukas 4:5-6 turut mengesahkan perkara ini: “Kemudian dia membawa-Nya naik dan menunjukkan kepada-Nya semua kingdom di bumi yang berhuni dalam sekelip mata. Dan iblis berkata kepada-Nya, Kepada Engkau akan kuberi segala kuasa ini serta kemuliaannya, kerana kepadaku semua ini telah diserahkan dan aku akan memberinya kepada sesiapa yang kuingini.” Adakah ini dusta? Jika ini dusta, Tuan Yesus pasti sudah menegur Syaitan. Disebabkan Tuan tidak menegurnya, hal ini sememangnya satu kenyataan. Syaitan, yakni Iblis, memberitahu Tuan bahawa semua kingdom di dunia dan segala kemuliaannya telah diserahkan kepadanya. Syaitan juga berkata, “Aku akan memberinya kepada sesiapa yang kuingini.” Bilakah Tuhan menyerahkan segala ini kepada Syaitan? Perkara ini semestinya berlaku sebelum kewujudan Adam, sebelum zaman Adam. Jika kita melihat seluruh wahi dalam Bible, kita menyedari bahawa Tuhan pernah melantik Syaitan untuk menjadi kepala alam semesta itu, dan Tuhan pernah menyerahkan segala yang dicipta di syurga dan di bumi ke dalam tangannya. Oleh itu, dia menjadi “pemerintah dunia ini”. Kedudukan dan pangkatnya begitu tinggi sehinggakan “Mikhael, ketua malaikat itu…tidak berani menghakiminya dengan kata-kata celaan” (Yud. 9). Mikhael adalah salah satu ketua malaikat (Dan. 10:13), namun dia tidak berani menegur Syaitan. Ini membuktikan bahawa pangkat Syaitan semestinya lebih tinggi daripadanya. Dengan demikian, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Syaitan sememangnya ketua malaikat yang tertinggi.

Ayat 14: “Engkaulah kerub yang diurapi yang menutupi Tabut.” Syaitan ialah “kerub yang diurapi yang menutupi Tabut”. Ayat ini mungkin bermaksud bahawa dia menutupi (bd. Kel. 25:20) tabut Tuhan yang berada di syurga (Wahi 11:19). “Sesungguhnya, Aku menempatkan engkau.” Tuhan sememangnya berbuat demikian. Tuhan mengurapi dan melantik ketua malaikat itu untuk menutupi tabut-Nya. Yehezkiel memberitahu kita bahawa kerub-kerub memikul kemuliaan Tuhan (9:3; 10:18), dan mereka sangat dekat dengan takhta Tuhan (10:1; 1:26). Ini menunjukkan bahawa sebelum pemberontakan Syaitan, semasa dia masih lagi kerub yang diurapi, kerub yang menutupi tabut Tuhan, dia sudah pasti amat dekat dengan Tuhan dan memikul kemuliaan Tuhan. Yehezkiel juga memberitahu kita bahawa kerub-kerub ialah empat makhluk hidup yang mempunyai fungsi khas terhadap Tuhan (10:20). Selain itu, empat makhluk hidup dalam Yehezkiel adalah serupa dengan empat makhluk hidup dalam Wahi (Yeh. 1:10, bd. Wahi 4:7); dalam kalangan makhluk ciptaan, mereka memimpin yang lain untuk menyembah Tuhan. Hal ini mewahikan bahawa Syaitan yang wujud hari ini, yakni dia yang merupakan seteru Tuhan dan asalnya kerub yang diurapi, semestinya pernah dilantik khas oleh Tuhan untuk menjadi kepala dalam kalangan makhluk ciptaan-Nya dan memikul kemuliaan-Nya serta memimpin mereka menyembah-Nya. Ini barangkali menunjukkan bahawa ketua malaikat yang diurapi itu juga mempunyai kehentaran. Dia mungkin pernah menjadi hentar agung dalam hal penyembahan Tuhan secara universal.

“Engkau berada di atas gunung kudus Tuhan.” Tempat ini pastinya di syurga-syurga. “Engkau berjalan naik turun di tengah-tengah batu berapi.” Dalam Keluaran 24:10, 17, Musa, Harun, dan banyak yang lain pernah melihat batu-batu permata yang memikul kemuliaan Tuhan, yang kelihatan seperti api yang membakar, di bawah takhta Tuhan. Batu-batu itu semestinya batu berapi. Dengan demikian, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kerub yang diurapi itu juga mempunyai hak keistimewaan untuk bergerak dalam alam yang terdapat kemuliaan Tuhan.

Selain Yehezkiel 28, Yesaya 14:12 juga membantu kita melihat asal usul Syaitan. Ayat ini memberitahu kita bahawa Syaitan ialah “Bintang Siang [gelaran bagi Lucifer menurut bahasa Ibrani], anak fajar.” Sebagaimana bintang siang adalah pemimpin dalam kalangan bintang, maka Syaitan semestinya juga kepala kepada semua malaikat. Gelaran “anak fajar” menunjukkan bahawa dia wujud sejak awal lagi, yakni sejak fajar alam semesta. Oleh itu, bermula dari masa terawal alam semesta, Syaitan merupakan kepala kepada semua malaikat; dia terang bagaikan bintang siang.

Asal usul Syaitan sungguh mengagumkan. Dia ialah kerub yang diurapi Tuhan, dia paling dekat dengan Tuhan, dan dia mempunyai kedudukan yang tertinggi dalam penciptaan Tuhan. Dia bukan sahaja mempunyai kemaharajaan, tetapi juga kehentaran, iaitu kedudukan yang kita, orang yang ditebus Tuhan, miliki buat selama-lamanya (Wahi 5:9-10; 20:4-6). Akan tetapi, apabila dia memberontak menentang Tuhan, dia dilucutkan daripada kedudukan dan jawatannya. Kini Tuhan telah memilih kita menjadi hentar-Nya dan raja-Nya untuk mengambil alih kedudukan dan jawatan Syaitan agar dia dipermalukan dan Tuhan dimuliakan.

MESEJ SATU: KEJADIAN — PENERANGAN AM DAN PEMIKIRAN UTAMA (2)
MESEJ DUA: PEMBERONTAKAN DAN PENGKORUPAN SYAITAN (2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)