Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 69: Berada Dalam Roh Untuk Mengalami Kerja Roh itu
Mesej 68: Tuhan Mengutuk Dosa Dalam Tubuh Daging Supaya Kita Dapat Berada dalam Roh
Mesej 69: Berada Dalam Roh Untuk Mengalami Kerja Roh itu
2021-11-28 | 0 Komen
A- A+ Simpan

BERADA DALAM ROH UNTUK MENGALAMI KERJA ROH ITU

Ayat-ayat Bible: Roma 8:4-16, 23, 26-27

Kajian-hayat: Mesej 69

Bacaan Bible: 

Roma 8:9 Tetapi kamu bukan dalam tubuh daging, sebaliknya dalam roh, jika sesungguhnya Roh Tuhan huni dalam kamu. Namun, jika sesiapa tidak mempunyai Roh Kristus, dia bukan kepunyaan-Nya. 

Petikan Bacaan: 

MENGISYTIHARKAN BAHAWA KITA BERADA DALAM ROH 

Menurut ayat 9, kita berada dalam roh disebabkan Roh Tuhan huni dalam kita. Kini kita dapat kekal berada dalam keadaan ini dengan mengisytiharkan hakikat bahawa kita berada dalam roh. Jika kita mengingat kembali bagaimana kita diselamatkan, ini akan membantu kita memahami perihal berada dalam roh seperti yang disebut dalam ayat 9. Semasa kita mendengar pemberitaan injil, kita bersetuju dan mengakunya. Setelah seseorang mendengar pemberitaan injil, dia hanya perlu mengungkapkan “Amen” yang kuat dan berkata, “Syukur kepada-Mu, Tuan Yesus.” Barang siapa yang mempunyai hati untuk menerima, mengaku apa yang telah diberitakan kepadanya menerusi pemberitaan injil pasti akan diselamatkan. 

TERSIMPANG DARIPADA ROH

Tuhan memilih kita, mempratakdirkan kita, dan menanda asing kita dalam keabadian. Kemudian pada suatu hari, Anak Tuhan datang untuk menyempurnakan segala-gala demi penyelamatan kita. Dia telah melalui proses inkarnasi, kehidupan insani, penyaliban, dan kebangkitan, serta telah menjadi Roh beri-hayat. Apabila kamu mendengar pemberitaan berita baik dan mengakunya, Roh beri-hayat ini masuk ke dalam kamu dan mula huni dalam roh kamu. Kini tinggallah sahaja dalam roh. Jangan buat apa-apa yang akan menyebabkan kamu keluar dari roh. Sebaliknya, isytiharkanlah sahaja bahawa kamu berada dalam roh. Beritakanlah hakikat yang ajaib ini: “Injil merupakan suatu pemberitaan, dan aku telah mengakunya. Kini Roh Tuhan huni dalamku, dan aku berada dalam roh.” Jika kita mengisytiharkan hal ini dalam iktikad, tidak ada apa-apa yang dapat mengalahkan kita. Sebaliknya, segala-gala akan berada di bawah kaki kita. Inilah berita baik, injil Kristus, dan injil Tuhan. Betapa ajaibnya! 

Mereka yang sudah lama menjadi orang Kristian mungkin masih ada kenangan tentang kekalahan dan kegagalan mereka. Mereka mungkin tertanya-tanya tentang hal ini dan hal itu. Kita perlu melupakan segala hal ini dan mengisytiharkan bahawa kita berada dalam roh. Jangan berkata, “Bagaimana pula dengan masalahku di tempat kerja atau di rumah?” Sebaliknya, berkatalah, “Aku berada dalam roh.” Perkataan “dalam” yang kecil ini amat bermakna. Menurut 8:1, sekarang tidak ada pengutukan terhadap mereka yang berada dalam Kristus.  

Semasa saya masih seorang Kristian muda yang mencari Tuan, saya membeli banyak buku berkenaan subjek seperti bagaimana berdoa, bagaimana menjadi kudus, dan bagaimana mengatasi dosa. Namun demikian, akhirnya saya mendapati bahawa buku-buku ini tidak dapat membantu saya. Saya tidak sepatutnya membaca buku berkenaan bagaimana melakukan hal ini atau hal itu; sebaliknya lebih baik saya membaca dan mendoa-baca Roma 8 satu ayat demi satu ayat. Ini akan memenuhi kamu dengan kenikmatan. Kamu perlu memberi perhatian yang khusus kepada ayat 9, bertumpu pada perkataan “dalam roh”. 

KERJA ROH YANG HUNI SECARA DALAMAN

Sekarang mari kita pertimbangkan selanjutnya pelbagai aspek kerja berberkat daripada Roh itu dalam Roma 8. Pertama-tama, Roh itu ialah Roh yang huni secara dalaman (ay. 9, 11). Mempunyai Roh itu menghuni kita secara dalaman merupakan hal yang agung. Fungsi kedua Roh itu ialah memberi hayat. Semasa Roh itu menghuni kita secara dalaman, Dia bukan tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya, Dia aktif menyalurkan hayat ke dalam kita. Fungsi ketiga Roh itu didapati dalam ayat 13: “Kerana jika kamu hidup menurut tubuh daging, kamu mesti mati, tetapi jika melalui Roh itu kamu mematikan amalan-amalan tubuh, kamu akan hidup.” Dari segi positif, Roh itu memberi hayat; dari segi negatif, Dia membunuh dan menyingkirkan segala hal negatif dalam kita. 

Keempat, ayat 14 berbicara tentang fungsi Roh itu dalam memimpin: “Kerana sebanyak mana yang dipimpin Roh Tuhan, inilah para anak Tuhan.” Roh yang huni secara dalaman memimpin kita, dan pimpinan-Nya begitu manis. Roma 8:15 memberi kita fungsi kelima Roh itu: “Kamu bukannya menerima roh pengabdian yang membawa kamu ke dalam ketakutan sekali lagi, tetapi kamu telah menerima roh keanakan yang dalamnya kita berseru, Abba, Bapa!” Roh itu berseru, “Abba, Bapa,” dengan cara yang amat manis. Sebaik sahaja kita berseru, “Abba Bapa,” kita merasakan kemanisan dan pelipuran. Menurut ayat 16, Roh itu bersaksi bersama dengan roh kita. Oleh itu, Dialah Roh yang bersaksi. Terdapat Seorang yang hidup, yakni Roh yang huni secara dalaman, yang bersaksi dalam kita bahawa kitalah anak-anak Tuhan. 

Ketujuh, menurut ayat 26, Roh itu berfungsi dengan turut serta membantu kita dalam kelemahan kita. Jika kita tidak lemah, maka Roh itu tidak akan turut serta membantu kita. Akan tetapi, disebabkan kita lemah, Dia menjadi rakan kita untuk membantu kita dalam kelemahan kita dan memikul kelemahan kita. Inilah berkat ajaib yang tidak terperi oleh kata-kata manusia dengan sepenuhnya. Kelapan, ayat 27 berbicara tentang doa-pinta Roh itu: “Tetapi Dia yang menyelidiki hati mengetahui apa minda Roh itu, kerana Dia berdoa-pinta untuk para pekudus menurut Tuhan.” Dia bukan sahaja telah membaurkan diri-Nya dengan roh kita, tetapi Dia juga telah membaurkan minda-Nya dengan hati kita. Tuhan menyelidiki hati kita untuk mengetahui minda Roh itu. Hal ini bermaksud bahawa minda Roh itu bersatu dengan hati kita. 

Kekal berada dalam roh bukan hal yang remeh. Apabila kita tinggal dalam roh, kita menikmati Roh itu huni secara dalaman, memberi hayat, membunuh, memimpin, berseru, bersaksi, turut serta membantu dalam kelemahan kita, dan berdoa-pinta. Hal ini bukan sekadar ajaran, tetapi merupakan suatu penyingkapan dan juga pengisytiharan hakikat demi kenikmatan kita. 

Soalan-soalan Kajian: 

1. Huraikan kerja roh yang huni secara dalaman. 

2. Kongsikan bagaimana anda mengalami kerja roh yang huni secara dalaman dengan mengungkapkan “Amen” dan “Syukur kepada-Mu, Tuan Yesus.”



 Paulus memulakan bab lapan dengan kata berkenaan pengutukan: "Jadi sekarang, tidak ada pengutukan terhadap mereka yang berada dalam Kristus Yesus." Sekali lagi saya ingin mengatakan bahawa pengutukan di sini bersifat dalaman. Di sini penulis dapat memuji dan mengisytiharkan bahawa tidak ada lagi pengutukan terhadap mereka yang berada dalam Kristus Yesus. Ketika ada yang membaca ayat ini, mereka mungkin berkata, "Saya berada dalam Kristus Yesus. Namun kenapa saya tidak mempunyai sorakan kemenangan sebegini? Sebaliknya, saya masih mengeluh dan merintih." Sebabnya ialah pada hakikatnya dan secara praktikalnya kita mungkin berada dalam 7:24 dan bukan dalam 8:1.

        Kita perlu memperhatikan kala bagi 8:1. Ayat ini dalam kala kini, bukan dalam kala depan. Paulus tidak berkata, "Tidak akan ada pengutukan"; dia berkata bahawa sekarang tidak ada pengutukan. Ketika masalah timbul, kita harus ingat akan butir ini dan mengisytiharkan, "Jadi sekarang, tidak ada pengutukan." Kita perlu mengisytiharkan sabda Tuhan kepada musuh, kepada demon. Ke mana sahaja kita pergi, kita harus mengisytiharkan sabda Tuhan. Secara khususnya, kita harus mengisytiharkan bahawa tidak ada pengutukan terhadap mereka yang berada dalam Kristus. Syaitan akan berbohong kepada kita dan mengatakan bahawa kita dikalahkan, walaupun kita berada dalam Kristus. Jangan terima dusta in, dan jangan percaya. Sebaliknya, isytiharkanlah sabda Tuhan. Isytiharkan bahawa sekarang tidak ada pengutukan terhadap mereka yang berada dalam Kristus.

BAGAIMANA TUHAN MENGANGGULANGI DOSA

Laungan kemenangan Paulus dalam 8:1 tidak sia-sia. Dia mempunyai asas, kedudukan yang pasti, untuk membuat penyataan seperti itu. "Kerana apa yang tidak dapat dilakukan hukum, disebabkan hukum lemah menerusi tubuh daging, Tuhan, dengan mengutus Anak-Nya sendiri dalam rupa bentuk tubuh daging dosa dan berkenaan dosa, mengutuk dosa dalam tubuh daging." Menurut ayat ini, Tuhan mengutus Anak-Nya sendiri bukan sahaja dalam rupa bentuk tubuh daging dosa, tetapi Dia juga mengutus-Nya berkenaan dosa.

Ayat ini memberitahu kita bahawa Tuhan mengutuk dosa. Dia mengutuk musuh yang menipu kita, berperang dengan kita, mengalahkan kita, menawan kita, dan membunuh kita. Di manakah Tuhan mengutuk dosa ini? Dia mengutuknya dalam tubuh daging. Sekarang kita mesti mengajukan satu lagi soalan: Di dalam tubuh daging siapakah Tuhan mengutuk dosa? Jawapannya ialah Tuhan mengutuk dosa dalam tubuh daging Yesus Kristus, Dia yang diutus dalam rupa bentuk tubuh daging dosa. Dalam tubuh daging ini, Tuhan mengutuk dosa. Ketika manusia Yesus disalibkan dalam tubuh daging, itulah masa Tuan mengutuk dosa dalam tubuh daging. Oleh itu, dalam tubuh daging Yesus Kristus dan menerusi kematian-Nya yang serba merangkumi, Tuhan mengutuk dosa. Menurut ayat-ayat ini, Tuhan mengutuk dosa dalam tubuh daging supaya "tuntutan adilbenar hukum dapat digenapi dalam kita yang tidak bergerak-hidup menurut tubuh daging tetapi menurut roh".

DUA DUNIA, DUA ALAM

Dalam alam semesta terdapat dua dunia, dua alam, yakni dunia rohani dan fizikal. Dalam dunia rohani ini ada demon, roh jahat, dan banyak perkara negatif yang mengganggu kita. Paulus mempunyai wahi tentang dunia rohani. Dalam Kolose 2:14 dan 15, dia menunjukkan bahawa ketika Tuan Yesus disalibkan, kuasa-kuasa jahat berikhtiar hendak menahan-Nya, mengekang-Nya, dalam maut. Ketika Dia naik ke syurga, Dia melucutkan kuasa jahat dan menawan mereka. Tujuan saya menyebut hal ini ialah menunjukkan bahawa kehidupan orang Kristian bukan hanya berkaitan dengan dunia fizikal, tetapi juga melibatkan dunia rohani.

Masalah kita dalam kehidupan Kristian terutamanya bukan berkaitan dengan dunia fizikal, tetapi dengan dunia rohani. Sebenarnya, bahkan dosa bukan masalah fizikal. Sebaliknya, dosa merupakan perkara dalam alam rohani dan wujud dalam alam rohani. Oleh itu, jika kita ingin mengatasi dosa, kita memerlukan kuasa rohani, kekuatan rohani. Kekuatan mental, yang sebenarnya berkaitan dengan dunia fizikal, tidak dapat membebaskan kita daripada kuasa dosa. Dosa kepunyaan alam rohani, dan dosa hanya dapat diatasi melalui kuasa rohani. Berkenaan kuasa rohani ini, Roma 8 sangat penting.

BERGERAK-HIDUP MENURUT ROH

        Kita mempunyai tubuh daging, dan kita juga mempunyai roh. Kita perlu mempertimbangkan sama ada kita hidup dalam tubuh daging, yakni dalam dunia fizikal atau dalam roh, yakni dalam dunia rohani. Adakah kita bergerak-hidup menurut tubuh daging atau menurut roh? Dalam 8:3 kita melihat bahawa berkenaan dosa, Tuhan telah melakukan satu perkara besar: Menurut inkarnasi Anak Tuhan, Tuhan menanggulangi masalah dosa, mengutuk dosa dalam tubuh daging. Tujuan-Nya mengutuk dosa adalah supaya tuntutan adilbenar hukum Tuhan dapat digenapi dalam kita, bukan melalui usaha kita untuk mematuhi hukum, tetapi melalui gerak-hidup kita menurut roh. Oleh itu, kita bukan pematuh hukum; kita orang yang bergerak-hidup menurut roh. 

Soalan-soalan Kajian: 

1. Huraikan bagaimana Tuhan menanggulangi dosa. 

2. Kongsikan dengan teman rohani, pengalaman anda bergerak-hidup menurut roh. 

Mesej 68: Tuhan Mengutuk Dosa Dalam Tubuh Daging Supaya Kita Dapat Berada dalam Roh
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)