Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 47: Makna Meraja dalam Hayat
Mesej 45: Diselamatkan Dalam Hayat Daripada Rupa Diri (2)
Mesej 46: Meraja Dalam Hayat Melalui Kurnia
Mesej 47: Makna Meraja dalam Hayat
2021-08-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

MAKNA MERAJA DALAM HAYAT

Ayat-ayat Bible: Roma 7:20-21; 5:21; 5:12; 8:2; 16:20

Kajian-hayat: Mesej 47

Bacaan Bible:

Roma 5:21 Supaya sebagaimana dosa meraja dalam maut, begitu juga kurnia dapat meraja menerusi keadilbenaran membawa kepada hayat abadi menerusi Yesus Kristus, Tuan kita.

 

Petikan Bacaan:

            Hasrat Tuhan dalam mencipta manusia adalah supaya manusia mengekspresikan-Nya menurut imej-Nya dan mewakili-Nya dengan dominion atau kuasa-Nya. Ini bermaksud bahawa Tuhan berhasrat agar manusia menikmati Dia sebagai hayat dan meraja dalam hayat ini. Menurut Kejadian 1, manusia harus meraja atas bumi dan terutamanya atas benda merayap, khususnya atas ular. Kejadian 1:28 mengatakan bahawa Tuhan memerintahkan manusia untuk menakluki bumi, untuk menundukkannya. Menundukkan melibatkan mengalahkan musuh dan merampas harta miliknya. Dengan mengalahkan musuh dan mengambil harta miliknya, kita meraja atasnya. Oleh yang demikian, pada mulanya Tuhan berhasrat agar manusia menjadi raja dalam hayat-Nya atas Syaitan, benda merayap itu.

KURNIA DAN DOSA

            Syaitan dahulunya merupakan musuh Tuhan yang unik. Pada saat tertentu, musuh ini menyuntikkan dirinya sebagai dosa ke dalam manusia dengan cara yang haram dan jahat. Apabila Syaitan menyuntikkan sifat jahatnya ke dalam manusia, Syaitan menjadi dosa. Dosa ialah sesuatu yang berasal daripada Syaitan. Sebenarnya Syaitan sendirilah yang disuntikkan ke dalam manusia dan terjasad dalam manusia.

            Sememangnya berguna untuk melihat perbezaan antara dosa dengan kejahatan yang disebut dalam Roma 7. Dalam 7:20 Paulus berkata, “Tetapi jika apa yang tidak kuingini, ini aku lakukan, maka bukan lagi aku yang mengerjahasilkannya tetapi dosa yang huni dalam aku.” Ada sesuatu yang digelar dosa huni dalam tubuh daging kita. Dalam ayat 21 Paulus berkata, “Jadi, aku mendapati hukum itu ada bersama dengan aku yang bertekad melakukan kebaikan, iaitu kejahatan itu ada padaku.” Dalam ayat 20 Paulus berbicara tentang dosa, tetapi dalam ayat 21, dia berbicara tentang kejahatan.

            Untuk memahami perbezaan antara dosa dengan kejahatan, kita perlu melihat bahawa sebelum penciptaan manusia, Tuhan mempunyai musuh yang unik, iaitu Syaitan, Iblis. Kemudian Tuhan mencipta manusia. Pada masa penciptaan, manusia itu murni, bersih, dan tidak berdosa. Kemudian Syaitan menyuntikkan dirinya ke dalam manusia dan menjadi dosa dalam manusia. Seperti yang telah kita tunjukkan, dosa ialah Syaitan yang terjasad dalam manusia.

            Roma 5:21 berkata, “Supaya sebagaimana dosa meraja dalam maut, begitu juga kurnia dapat meraja menerusi Yesus Kristus, Tuan kita.” Di sini kita melihat perbezaan yang nyata antara pemerajaan dosa dengan pemerajaan kurnia. Terdapat juga perbezaan di sini antara maut dengan hayat. Sebagaimana dosa ialah perjasadan Syaitan, begitu juga kurnia ialah perjasadan Tuhan. Hal ini dibuktikan oleh Yohanes 1:14, yang mengatakan bahawa Sabda itu, yakni Tuhan, telah menjadi tubuh daging, penuh kurnia dan realiti. Oleh itu, kurnia ialah Tuhan terjasad dalam kita. Kurnia ialah Tuhan masuk ke dalam manusia. Sekiranya Tuhan tetap berada di luar manusia, kurnia tidak wujud. Sekalipun Tuhan tidak masuk ke dalam manusia, atribut divin yang lain tetap wujud. Akan tetapi, sekiranya Tuhan tidak terjasad dalam manusia, kurnia tidak wujud.

            Menurut prinsip yang sama, apabila Syaitan terpisah daripada manusia, dosa tidak wujud. Namun sebaik sahaja Syaitan masuk ke dalam kita, dosa wujud dalam diri kita. Oleh itu, dosa ialah Syaitan yang mempunyai hubungan subjektif dengan manusia.

DOSA DAN KEJAHATAN

Sekiranya kita mempunyai pengertian ini, kita akan dapat melihat perbezaan antara dosa dengan kejahatan. Apabila dosa terpendam dalam kita, dosa itu sekadar dosa. Namun setiap kali kita bertekad untuk berbuat baik dengan mematuhi hukum bagi diperkenan Tuhan, dosa terangsang lalu menjadi kejahatan. Kejahatan ialah dosa yang bertindak dalam kita. Setiap kali dosa yang menghuni secara dalaman menjadi aktif, dosa menjadi kejahatan yang hadir bersama dengan kita.

KERJA MUSUH TUHAN

            Dari satu segi, musuh Tuhan, Syaitan, bermaharajalela hari ini sebagai dosa dan kejahatan untuk membawa orang ke dalam maut dan menahan mereka di sana. Ini ialah kerja jahat musuh Tuhan. Syaitan tidak berpuas hati sekadar merangsang kita dalam hal-hal seperti naik marah. Niatnya ialah membawa kita ke dalam maut. Namun Tuhan bekerja sebagai hayat untuk menewaskan dosa, maut, dan Syaitan. Hasil daripada Tuhan mengalahkan tiga mush ini ialah kita meraja dalam hayat.

KEMENANGAN DAN PEMERAJAAN

Dalam Roma bab lima terdapat pengenalan kepada perkara meraja dalam hayat. Seperti yang ditunjukkan oleh ayat 17, kita yang menerima kelimpahan kurnia akan meraja dalam hayat. Bab enam hingga enam belas mentakrifkan bagi kita makna meraja dalam hayat.

Soalan Kajian:

1. Jelaskan perbezaan antara dosa dengan kejahatan.

2. Sila kongsi tentang bagaimana kita dapat meraja dalam hayat atas dosa, maut, dan Syaitan. 

Mesej 45: Diselamatkan Dalam Hayat Daripada Rupa Diri (2)
Mesej 46: Meraja Dalam Hayat Melalui Kurnia
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)