Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 46: Meraja Dalam Hayat Melalui Kurnia
Mesej 47: Makna Meraja dalam Hayat
Mesej 48: Meraja Dalam Hayat Dalam Maut
Mesej 46: Meraja Dalam Hayat Melalui Kurnia
2021-08-21 | 0 Komen
A- A+ Simpan

MERAJA DALAM HAYAT MELALUI KURNIA

Ayat-ayat Bible: Roma 5:17, 21 

Kajian-hayat: Mesej 46


Bacaan Bible: 

Roma 5:17 Kerana jika, melalui kesalahan satu orang, maut telah meraja menerusi satu orang itu, maka lebih-lebih lagi mereka yang menerima kelimpahan kurnia dan kelimpahan berian keadilbenaran akan meraja dalam hayat menerusi Satu orang, Yesus Kristus. 

Roma 5:21 Supaya sebagaimana dosa meraja dalam maut, begitu juga kurnia dapat meraja menerusi keadilbenaran membawa kepada hayat abadi menerusi Yesus Kristus, Tuan kita. 


Petikan Bacaan: 

KESINAMBUNGAN INJIL YOHANES

Sebelum kita mengkaji selanjutnya perihal meraja dalam hayat, kita perlu mempertimbangkan hubungan antara Injil Yohanes dengan buku Roma. Buku Roma ialah kesinambungan Injil Yohanes. Dalam Injil Yohanes bab satu, terdapat hayat dan kurnia. Yohanes 8 berbicara tentang sesetengah hal yang negatif seperti dosa dan maut. Di samping itu, dalam ayat 34, Tuan mengungkapkan kata berkenaan menjadi abdi dosa. Dalam ayat 36, Tuan berbicara tentang hal dibebaskan. 

Semua hal ini juga didapati dalam Roma; di situ kebenaran berkenaan hal-hal ini berkembang dengan selanjutnya. Penggunaan perkataan “meraja” dalam Roma untuk menerangkan kurnia dan hayat menunjukkan perkembangan yang penting bagi apa yang telah diliputi dalam Injil Yohanes. Meskipun Injil Yohanes kaya lagi dalam dan juga berbicara tentang kelimpahan hayat, namun Injil ini tidak berkata apa-apa tentang kurnia meraja atau hayat meraja. 

Roma 5 memberitahu kita bahawa kurnia meraja dan orang yang menerima kelimpahan kurnia dapat meraja dalam hayat. Oleh sebab kurnia meraja sehingga membawa kepada hayat abadi, maka kita juga dapat meraja dalam hayat. Meraja bererti menjadi raja, menundukkan sesuatu, dan memerintahnya. Meraja juga bererti mempunyai dominion atau kingdom. Kehidupan Kristian kita hari ini tidak seharusnya kehidupan yang menang dan jayeng semata-mata, tetapi harus juga kehidupan yang rajani, kehidupan yang meraja. Saban hari kita dapat menjadi raja. 


MEMERINTAH TIGA MUSUH YANG UTAMA

       Sebagai raja yang meraja dalam hayat, kita harus menundukkan musuh dan memerintah mereka. Jangan anggap isteri atau suami kamu sebagai musuh yang perlu kamu perintah. Menurut Injil Yohanes dan juga buku Roma, musuh kita yang utama ialah dosa, maut, dan Syaitan. 


TUHAN DIDISPENKAN KE DALAM KITA UNTUK MENJADI BAHAGIAN KITA

Kurnia ialah Tuhan sendiri yang diberi kepada kita dalam Kristus dan didispenkan ke dalam roh kita untuk menjadi bahagian kita. Jika kita mempunyai pengertian yang menyeluruh terhadap Bible, kita akan menyedari bahawa Tuhan tidak berhasrat untuk memberi kita apa-apa yang lain selain diri-Nya. Satu-satunya bahagian kita ialah Tuhan sendiri, dan kurnia ialah Tuhan menjadi bahagian kita untuk kita ambil bahagian, alami, dan nikmati. 


DUA RAJA

       Dalam Roma 5, dosa dan juga kurnia dipersonifikasikan. Seperti yang ditunjukkan oleh ayat 21, sama ada dosa ataupun kurnia akan meraja; kurnia meraja dari segi positif dan dosa pula meraja dari segi negatif. Dosa ialah perjasadan sifat jahat Syaitan dalam tubuh daging kita, manakala kurnia ialah Tuhan dalam Kristus terjasad dalam roh kita. Oleh yang demikian, kita mempunyai dua raja — dosa dan kurnia — dalam kita. Dalam tubuh daging kita, kita mempunyai raja dosa, manakala dalam roh kita, kita mempunyai raja kurnia. Dalam kita, suatu pertempuran yang sengit antara dua raja ini sedang berlangsung. 


MENERIMA KELIMPAHAN KURNIA

       Kamu mungkin ingin sekali mengetahui bagaimana kamu dapat mempunyai kelimpahan kurnia. Satu-satunya jalan untuk beroleh kelimpahan kurnia ialah menerimanya. Semasa kita menerima, kita tidak perlu berjerih lelah atau membayar harga. Kita menerima sahaja. Injil Yohanes dan buku Roma berbicara tentang menerima kurnia. Kita telah melihat bahawa Yohanes 1:16 mengatakan bahawa daripada kepenuhan-Nya, kita telah menerima kurnia atas kurnia. Dalam Roma 5:17, Paulus berbicara tentang kita menerima kelimpahan kurnia. Hanya apabila kita dipenuhi kurnia, barulah kita dapat mengalami kurnia meraja. Apabila kurnia dapat memenuhi kita, kurnia melimpah-ruah dalam kita dan kemudian meraja dalam kita. Kurnia yang meraja sentiasa menyusuli kurnia yang melimpah-ruah. 

       Apabila kurnia meraja, maka dosa, maut, dan Syaitan ditundukkan dan berada di bawah kaki kita, dan kita menjadi raja dalam kurnia. Semasa kurnia meraja dalam kita, kita meraja dalam hayat. 


MEMBUKA DIRI UNTUK DIPENUHI

       Dalam hal ini, doktrin, ajaran, dan teguran semuanya tidak berguna. Dari satu segi, bahkan doa kita tidak berkesan untuk membolehkan kita meraja dalam hayat melalui kurnia. Satu-satunya perkara yang berkesan ialah datang kepada sumber divin dan membuka diri kita daripada kedalaman diri kita untuk dipenuhi Tuhan yang merupakan kurnia. Jika kita ingin dipenuhi, kita harus meminta Tuan menghapuskan semua penebat dan halangan. Kita perlu berdoa, “Tuan, aku rela semua halangan dihapuskan. Aku ingin membuka diriku secara langsung kepada-Mu. Tuan, penuhilah aku secara sepenuhnya dengan diri-Mu sebagai kurnia.” Apabila kamu menerima kurnia dengan cara ini, kamu akan dipenuhi kurnia dan akhirnya kurnia akan melimpah keluar dari dalam kamu. Kemudian kamu akan meraja dalam hayat melalui kurnia untuk jayeng atas dosa, maut, dan Syaitan. Dalam pengalaman kamu, ketiga-tiga musuh ini akan ditundukkan dengan sepenuhnya. 

       Jika kita datang kepada sumber syurgawi dan membuka diri secara menyeluruh untuk dipenuhi kurnia, kita akan meraja untuk jayeng atas dosa, maut, dan Syaitan dalam hayat. Inilah keperluan kita hari ini dalam kehidupan gereja. 


Soalan Kajian: 

1. Jelaskan tentang dua raja dalam kita — kurnia dan dosa. 

2. Satu-satunya jalan untuk beroleh kelimpahan kurnia ialah menerimanya. Huraikan kenyataan ini serta hubungan perkara ini dengan hal meraja dalam hayat. 

 


Mesej 47: Makna Meraja dalam Hayat
Mesej 48: Meraja Dalam Hayat Dalam Maut
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)