Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 46: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (2)
Mesej 45: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (1)
Mesej 47: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (3)
Mesej 46: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (2)
2022-06-26 | 0 Komen
A- A+ Simpan

HAYAT DIPROSES DEMI PELIPATGANDAAN (2)

Ayat-ayat Bible: Yoh. 19:31-37

Kajian-hayat: Mesej 43

Petikan Bacaan:     

MENGALIRKAN DARAH DAN AIR  

Tidak Ada Satu pun daripada Tulang-Nya yang Dipatahkan

Setiap aspek kematian Tuan adalah berdasarkan kedaulatan Tuhan. Di bawah pengaturan Tuhan yang berdaulat, tidak ada satu pun daripada tulang Tuan yang dipatahkan (19:31-33, 36). Orang Yahudi tidak mahu tubuh ditinggalkan di atas salib pada hari Sabat, lalu mereka meminta Pilatus agar kaki orang yang disalibkan itu dipatahkan. Oleh itu, perajurit-perajurit mematahkan kaki kedua-dua pencuri yang disalibkan bersama dengan Tuan. Akan tetapi, setibanya mereka di hadapan Yesus, mereka melihat bahawa Dia sudah mati. Memandangkan Tuan sudah mati, maka mereka tidak perlu mematahkan tulang-Nya. Dalam erti kata tertentu, ini menunjukkan bahawa Tuan Yesus bukan dimatikan melalui tangan manusia tetapi Dia mati dengan sendiri. Walaupun Dia disalibkan, Dia mati dengan sendiri; ini menggenapi sabda yang dibicarakan-Nya dalam 10:17 dan 18, “Aku menyerahkan nyawa-Ku supaya Aku dapat mengambilnya semula. Tidak ada seorang pun yang mengambilnya daripada-Ku tetapi Aku sendiri yang menyerahkannya. Aku berkuasa menyerahkannya, dan Aku berkuasa mengambilnya semula.” Pada lahiriahnya, Yesus dibunuh; sebenarnya, Dia menyerahkan hayat psuche-Nya, iaitu hayat sukma-Nya, dan mati. Dua penjenayah itu dibunuh, tetapi Yesus bukan dibunuh. Sebaliknya, Dia menyerahkan hayat psuche-Nya demi menebus kita. Oleh sebab Dia sudah mati, maka perajurit-perajurit tidak mematahkan kaki-Nya. Ini menggenapi secara berdaulat nubuat yang berkata, “Tidak ada tulang-Nya yang akan dipatahkan” (19:36).    

Rusuk-Nya Ditikam

Mengalirkan Darah untuk Penebusan

Darah yang mengalir keluar daripada rusuk Tuan adalah untuk penebusan (Ibr. 9:22; 1 Ptr. 1:18-19; Roma 3:25). Ibrani 9:22 berkata, “Tanpa penumpahan darah, tidak akan ada pengampunan.” Darah di sini menandakan kematian Kristus dari aspek penebusan (Yoh. 1:29). Darah yang mengalir keluar untuk penebusan kita ditamsilkan oleh darah anak domba Paskah (Kel. 12:7). Seperti yang ditunjukkan dalam Zakharia 13:1, darah penebusan ini membentuk mata air untuk membasuh dosa. Haleluya untuk mata air yang sedemikian! Mata air ini bukan untuk diminum tetapi untuk membasuh. Darah yang mengalir keluar juga adalah untuk membeli gereja (Kis. 20:28). Darah yang membentuk mata air yang membasuh dosa merupakan harga untuk membeli gereja. 

Mengalirkan Air untuk Menyalurkan Hayat

Air yang mengalir keluar daripada rusuk Kristus menandakan kematian-Nya dari aspek penyaluran hayat (12:24). Air adalah untuk menyalurkan hayat (4:14; Wahi 22:1). Sebagaimana yang telah kita tunjukkan, ini ditamsilkan oleh air yang mengalir keluar dari batu yang dipukul (Kel. 17:6; 1 Kor. 10:4). Air ini menjadi “mata air hayat” (Mzm. 36:9). Darah membentuk mata air untuk membasuh, manakala air pula membentuk mata air untuk diminum. Darah adalah untuk membeli gereja, manakala air yang menandakan hayat abadi adalah untuk menghasilkan gereja. Seperti yang telah kita lihat, ini ditamsilkan oleh Hawa yang terhasil daripada tulang rusuk yang diambil keluar daripada Adam. 

Dari segi negatif, kematian Kristus menghapuskan dosa-dosa kita; dari segi positif pula, kematian Kristus menyalurkan hayat divin ke dalam kita. Hari ini, apabila kita percaya kepada-Nya, dosa-dosa kita dihapuskan melalui kematian-Nya yang menebus, dan hayat abadi disalurkan ke dalam kita melalui kematian-Nya yang menyalurkan hayat. 

Kematian Tuan dari aspek penyaluran hayat adalah lebih ajaib daripada aspek penebusan. Penebusan adalah amat baik, mengagumkan, dan ajaib, seakan-akan tidak ada apa-apa yang dapat melangkauinya. Akan tetapi, penyaluran hayat jauh mengatasi penebusan. Jika kita ditebus tanpa dilahirkan semula, keadaan kita masih lagi kasihan. Tujuan Tuhan ialah penebusan diikuti dengan penyaluran hayat. Penebusan adalah untuk hal ini, yakni menyediakan jalan bagi kita menerima hayat divin. Air harus menyusuli darah. Kita telah melihat bahawa darah menandakan kematian Kristus dari aspek penebusan dan air menandakan aspek penyaluran hayat. Darah adalah untuk penebusan, membentuk mata air yang membolehkan kita dibersihkan; air pula adalah untuk kelahiruan, membentuk mata air bagi air hidup yang dapat kita minum pada bila-bila masa. Di luar, kita telah dibasuh; di dalam, kita dipenuhi dengan hayat divin ini. Kini, kita adalah hidup dan juga bersih, dan kita semua dapat bersorak, “Haleluya! Saya sudah ditebus dan juga dilahirkan semula!” 

Mesej 45: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (1)
Mesej 47: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)