Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Yohanes Mesej 44: Doa Hayat (4)
Mesej 43: Doa Hayat (3)
Mesej 45: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (1)
Mesej 44: Doa Hayat (4)
2022-06-19 | 0 Komen
A- A+ Simpan

DOA HAYAT (4)

Ayat-ayat Bible: Yoh. 17

Kajian-hayat: Mesej 41

Petikan Bacaan:    

KESATUAN DALAM HAYAT DIVIN

Dalam mesej ini, kita akan meneliti ayat-ayat dalam Yohanes 17 yang berkaitan dengan kesatuan. Ayat 11 menunjukkan bahawa kesatuan adalah hal dijaga dalam nama Bapa. Seperti yang telah kita tunjukkan, realiti nama Bapa ialah hayat divin Bapa. Justeru, faktor pertama bagi kesatuan sejati ialah nama Bapa bersama dengan hayat divin Bapa. 

KESATUAN DALAM SABDA KUDUS

Yohanes 17:21 merupakan ayat yang ajaib dan penuh bermisteri. “Supaya mereka semua menjadi satu, seperti mana Engkau, Bapa, berada dalam Aku dan Aku dalam Engkau, supaya mereka juga dapat berada dalam Kita; agar dunia dapat percaya bahawa Engkau telah mengutus Aku.” Kesatuan dalam ayat ini ialah kesatuan dalam Tuhan Tritunggal. Apabila kita semua berada dalam Tuhan Tritunggal, kita mempunyai kesatuan. Bagaimanakah kita berada dalam Tuhan Tritunggal? Kita berada dalam Tuhan Tritunggal hanya melalui kematian dan kebangkitan Kristus. Inilah sebabnya Tuan memberitahu kita dalam bab empat belas bahawa Dia perlu pergi dalam kematian dan datang dalam kebangkitan. Menerusi kematian dan kebangkitan, disipal-disipal-Nya dibawa ke dalam Tuhan Tritunggal. Dalam Tuhan Tritunggal, terdapat kesatuan yang sebenar dan sejati. Kita harus melihat ayat 17 dan 18 bersama dengan ayat 21. Dalam ayat 17, kita mempunyai sabda yang menguduskan. Walaupun kita berada dalam Tuhan Tritunggal, kita mungkin tergelincir daripada Tuhan Tritunggal ke dalam dunia. Oleh itu, kita memerlukan sabda yang menguduskan untuk mengasingkan kita daripada dunia dan membawa kita kembali kepada Tuhan Tritunggal. Oleh yang demikian, faktor kedua bagi kesatuan yang sejati ada dalam Tuhan Tritunggal menerusi pengudusan melalui sabda kudus. 

KESATUAN DALAM KEMULIAAN DIVIN

Faktor ketiga bagi kesatuan didapati dalam ayat 22. “Dan kemuliaan yang Engkau beri kepada-Ku telah Kuberi kepada mereka, supaya mereka dapat menjadi satu, seperti mana Kita adalah satu.” Faktor ketiga bagi kesatuan sejati ialah kemuliaan—berada dalam kemuliaan divin demi ekspresi Tuhan Tritunggal. Memandangkan kemuliaan yang diberi Bapa kepada Anak telah diberi kepada kita oleh Anak, maka kesatuan sejati ada dalam kemuliaan divin. Perhatikan bahawa kemuliaan mempunyai empat aspek: keanakan, hayat Bapa, sifat divin Bapa, dan ekspresi Bapa dalam kepenuhan-Nya. Hasil penambahan empat perkara ini ialah kemuliaan. 

Ayat 23 terus berkata, “Aku dalam mereka, dan Engkau dalam Aku, supaya mereka dapat disempurnakan menjadi satu...” Di sini, kita melihat bahawa hal disempurnakan menjadi satu turut berkait rapat dengan berada dalam Bapa dan dalam Anak. Jika kita memberi perhatian kepada semua ayat ini, kita akan melihat kesatuan yang sebenar. 

Dalam ayat 24, Tuan berkata, “Bapa, berkenaan apa yang telah Engkau beri kepada-Ku, Aku berhasrat agar mereka juga dapat bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Engkau beri kepada-Ku...” Tuan berada dalam kemuliaan divin dan Dia berdoa agar orang yang diberikan Bapa kepada-Nya juga dapat bersama-Nya dalam kemuliaan. Kita perlu meneliti bentuk kala kata kerja dalam ayat ini. Ayat di sini tidak mengatakan bahawa mereka “akan bersama-Ku” atau “mereka akan melihat kemuliaan-Ku”. Menurut konsep yang alamiah dan agamawi, kemuliaan ada pada masa hadapan, pada “masa akan datang yang manis”. Menurut konsep ini, pada “masa akan datang yang manis”, kemuliaan akan bersinar-sinar dan kita semua akan masuk ke dalam sinaran itu dan berada dalam kemuliaan. Akan tetapi, Tuan Yesus bukan menggunakan kala depan, tetapi kala kini, dengan berkata, “Aku berhasrat agar mereka juga dapat bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan-Ku.” Tuan berkata, “juga dapat bersama-Ku” dan “dapat melihat kemuliaan-Ku”. Bersama Tuan dalam kemuliaan dan melihat kemuliaan-Nya bukan untuk “masa akan datang yang manis”; semua ini dapat kita alami hari ini juga. Tuan seolah-olah memberitahu Bapa, “Bapa, Engkau telah memberi-Ku kemuliaan-Mu, keanakan bersama dengan hayat dan sifat divin untuk mengekspresikan diri-Mu dan kepenuhan-Mu. Inilah kemuliaan yang telah Engkau beri kepada-Ku, dan kini Aku berada dalam kemuliaan. Akan tetapi, orang yang telah Engkau beri kepada-Ku belum lagi berada dalam kemuliaan ini.” Bilakah doa ini termakbul? Pertama sekali, doa ini termakbul pada hari kebangkitan; kedua, doa ini termakbul pada hari gereja didirikan. Apabila gereja didirikan, semua disipal dibawa ke dalam kemuliaan yang sama, ke dalam keanakan bersama dengan hayat divin dan sifat divin untuk mengekspresikan Tuhan Bapa dalam Anak dalam segala kepenuhan-Nya. Haleluya, kita semua berada dalam kemuliaan bersama dengan Anak! Anak mempunyai keanakan bersama dengan hayat divin dan sifat divin untuk mengekspresikan Bapa, dan kita juga mempunyai semua ini. Justeru, kini kita berada di tempat Anak berada—dalam kemuliaan.  

KESATUAN BERERTI PEMBINAAN

Kesatuan yang sebenar juga bererti pembinaan. Jangan berfikir bahawa ini merupakan konsep saya atau ini tidak disokong oleh wahi dalam Bible. Tempat saling tinggal yang diwahikan dalam Yohanes 14 ditamsilkan, digambarkan, dan dihuraikan oleh tabernakal. Jika kamu tidak jelas tentang tempat saling tinggal dalam Yohanes 14, kamu perlu balik kepada Keluaran 26 untuk melihat pembentukan dan pembinaan tabernakal. 

Setiap pembaca Bible yang teliti akan tahu bahawa tabernakal bukan sahaja merupakan tempat huni Tuhan tetapi juga tempat huni bagi orang yang melayan Tuhan. Orang yang melayan Tuhan huni dalam tabernakal. Dalam Mazmur, banyak kali pemazmur berdoa agar dia dapat tinggal dalam bait, dalam rumah Tuhan. Misalnya, Mazmur 27:4 berkata, “Seperkara yang telah aku mohon daripada Yehova; itulah yang aku cari: untuk tinggal dalam rumah Yehova sepanjang hayatku, bagi menatap keindahan Yehova, dan bertanya dalam bait-Nya” (Ibr.). Daripada ayat ini, kita dapat melihat bahawa bait atau tabernakal bukan hanya tempat huni Tuhan tetapi juga tempat huni bagi semua orang yang mengasihi Tuhan. Oleh itu, bait dan tabernakal merupakan tamsil bagi tempat saling huni, iaitu tempat kediaman bersama. 

Tabernakal terbentuk daripada empat puluh lapan papan. Hal ini amat bermakna. Memandangkan ini merupakan tamsil, maka kita perlu melihat setiap aspek berkenaannya secara kiasan. Angka empat puluh lapan melambangkan keinsanan dalam kebangkitan. 

Empat puluh lapan papan yang melambangkan keinsanan itu disalut dengan emas (Kel. 26:29). Emas melambangkan kedivinan; ini termasuk sifat divin dan kemuliaan divin. Pada emas yang menyalut itu terdapat gelang-gelang emas, dan dalam gelang-gelang emas terdapat kayu lintang emas yang menggabungkan empat puluh lapan papan itu. Di sini, kita mempunyai kesatuan, yakni kesatuan yang merupakan pembinaan. Oleh yang demikian, kita boleh mengatakan bahawa pembinaan ialah kesatuan.  

Dalam Bible, kesatuan bukan semata-mata soal meletakkan benda-benda bersama. Sekadar meletakkan benda-benda bersama bukanlah kesatuan; itu hanyalah melonggokkan benda. Kesatuan bererti pembinaan bersama. Untuk dibina bersama, kepingan yang banyak bukan sahaja diletakkan bersama tetapi disesuaikan dan dipasang bersama untuk membentuk satu unit. 

Kesatuan ini, pembinaan ini dalam tabernakal sama sekali bergantung pada emas. Jika emas dikeluarkan daripada empat puluh lapan papan itu, maka hilanglah kesatuan, dan empat puluh lapan papan itu akan terpisah. Papan-papan itu sendiri tidak ada faktor penyatupaduan atau elemen penyatupaduan. Elemen penyatupaduan ialah emas. Hanya dalam hayat divin, sifat divin, dan kemuliaan divin, bukan dalam keinsanan, semua “papan” dapat menjadi satu. 



Mesej 43: Doa Hayat (3)
Mesej 45: Hayat Diproses Demi Pelipatgandaan (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)