Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kajian Hayat Roma Mesej 11: Persepaduan Dengan Kristus
Mesej 10: Kurnia Dalam Kristus Melangkaui Pusaka Dalam Adam
Mesej 12: Pembelengguan Hukum Dalam Tubuh Daging Kita (1)
Mesej 11: Persepaduan Dengan Kristus
2021-04-16 | 0 Komen
A- A+ Simpan

PERSEPADUAN DENGAN KRISTUS 

Ayat-ayat Bible: Roma 5:12-6:23

Kajian-hayat: Mesej 11

Bacaan Bible:

Roma 5:17 Kerana jika, melalui kesalahan satu orang, maut telah meraja menerusi satu orang itu, maka lebih-lebih lagi mereka yang menerima kelimpahan kurnia dan kelimpahan berian keadilbenaran akan meraja dalam hayat menerusi Satu orang, Yesus Kristus. 

Roma 6:5 Jika kita bertumbuh bersama dengan-Nya dalam rupa bentuk kematian-Nya, sesungguhnya kita juga akan berada dalam rupa bentuk kebangkitan-Nya. 

Petikan Bacaan: 

Dalam bacaan hari ini, kita akan melihat berian dalam Kristus dan pusaka dalam Adam yang diwahikan Roma 5:12-21 serta persepaduan kita dengan Kristus yang diwahikan Roma 6. 

Sekarang saya hendak membuat perbandingan yang jelas dan pasti antara segala-gala yang kepunyaan Adam dengan segala-gala yang kepunyaan Kristus dengan menggunakan istilah debit dan kredit yang terdapat dalam perakaunan. Butir pertama pada sebelah debit buku lejar ialah Adam sendiri. Di bawah Adam, butir kedua ialah pelanggaran, atau dalam istilah sinonim, kesalahan atau keingkaran. Butir ketiga dalam ruang debit ialah dosa, yang masuk menerusi pelanggaran Adam. Menurut Roma 5, penghakiman, yakni butir keempat, menyusuli kemasukan dosa. Butir kelima ialah pengutukan. Pengutukan Tuhan menyusuli penghakiman-Nya. Apakah jumlah bagi ruang debit? Jumlahnya ialah maut. 

Dalam akaun alam semesta, kita juga ada ruang kredit. Butir pertama dalam ruang ini ialah Kristus yang berlawanan dengan Adam. Walaupun Kristus berlawanan dengan Adam, kedua-duanya tidak dapat dibandingkan. Kristus jauh melangkaui Adam. Saya tidak peduli akan debit Adam. Saya mempunyai Kristus. Di bawah Kristus terdapat butir kedua dalam ruang kredit, yakni kepatuhan. Kepatuhan Kristus hingga mati di atas salib digelar tindakan adilbenar-Nya. Sebagaimana kepatuhan dan keadilbenaran Kristus berlawanan dengan keingkaran dan pelanggaran Adam, begitu juga kurnia berlawanan dengan dosa. Paulus memberitahu kita bahawa “di mana dosa bertambah banyak, kurnia lebih melimpah-ruah lagi” (5:20). Setakat manakah kurnia melebihi dosa? Saya tidak tahu, bahkan Paulus sendiri hanya mengatakan bahawa kurnia adalah “lebih-lebih lagi”. Jangan risau tentang debit dosa, kerana kredit kurnia jauh lebih banyak lagi (5:17). Kita telah melihat bahawa penghakiman merupakan butir keempat pada ruang debit. Butir yang berlawanan dengan penghakiman ialah berian keadilbenaran (5:17). Selepas berian keadilbenaran, kita mempunyai justifikasi, yang berlawanan dengan pengutukan. Jumlah bagi butir-butir ini ialah hayat. 

Mari kita mengimbangi akaun kita. Kita mempunyai maut sebagai jumlah pada sebelah debit dan hayat sebagai jumlah pada sebelah kredit. Yang mana satukah lebih besar? Sudah tentu jawapannya ialah hayat. Hayat ini merujuk kepada hayat Tuhan yang divin, abadi, tidak tercipta, dan tidak terhad yang menelan maut (zoe, Yoh. 11:25:14:6; Kol. 3:4). 

 DISEPADUKAN DENGAN KRISTUS DALAM KEMATIAN DAN KEBANGKITAN-NYA

Dalam Roma 6:3 Paulus berkata, “Tidak tahukah kamu bahawa kita semua yang telah dibaptis ke dalam Kristus Yesus telah pun dibaptis ke dalam kematian-Nya?” Walaupun kita dilahirkan dalam orang pertama, Adam, namun kita telah dibaptiskan ke dalam orang kedua, Kristus. Makna baptisan ialah meletakkan orang ke dalam Kristus. Ini bukan ritual atau upacara. Baptisan merupakan suatu tindakan yang dalamnya kita meletakkan anggota-anggota Adam ke dalam kematian, dengan itu memindahkan mereka keluar daripada Adam ke dalam Kristus. Walaupun kita dilahirkan dalam Adam, namun melalui baptisan kita telah disepadukan dengan Kristus dalam kematian dan kebangkitan-Nya. 

    Ketika kita dibaptis ke dalam Kristus, dari satu segi kita dimatikan; dari segi yang lain kita mula bertumbuh. Hal ini amat menyerupai menyemai benih ke dalam tanah. Pada lahiriahnya benih itu disemai; sebenarnya ia mula bertumbuh. Dengan dibaptis ke dalam Kristus, kita semua telah bertumbuh bersama dengan Kristus dalam rupa bentuk kematian-Nya. Kita juga bertumbuh bersama-Nya dalam rupa bentuk kebangkitan-Nya, yakni dalam kebaruan hayat kebangkitan-Nya. Kita dikebumikan bersama dengan-Nya dalam baptisan dan kini kita sedang bertumbuh bersama dengan-Nya dalam kebangkitan-Nya. 

MENGETAHUI DAN MENGIRA

Kita perlu melihat hakikat bahawa kita telah disalibkan dan dibangkitkan bersama dengan-Nya. Berdasarkan penglihatan ini, kita harus membuat kerja perakaunan kita. Dari satu segi, kita harus mengira diri sendiri mati terhadap dosa; dari segi yang lain, kita harus mengira diri kita hidup terhadap Tuhan. 

BEKERJASAMA DENGAN MENOLAK DAN MEMPERSEMBAHKAN DIRI

Apabila kita mengira diri sendiri mati terhadap dosa dan hidup terhadap Tuhan, kita perlu mempersembahkan anggota-anggota kita sebagai “senjata keadilbenaran kepada Tuhan” (6:13). Jika kita mempersembahkan diri kita kepada Tuhan sebagai abdi dan anggota-anggota kita sebagai senjata keadilbenaran, kita akan dikuduskan secara spontan. Ini bermaksud bahawa kita menyebelahi Kristus yang bangkit yang huni dalam kita sebagai hayat. Kita berdiri bersama dengan hayat abadi ini. Dengan cara ini, kita memberi hayat abadi peluang untuk bekerja dalam kita, mengasingkan kita daripada segala hal yang umum, dan menguduskan kita. Hasil daripada persembahan ini ialah pengudusan. Inilah urutan pengalaman kita: Kita melihat, kita mengira, kita mempersembahkan diri kepada Tuhan, kita menolak dosa, dan kita bekerjasama dengan Tuhan. 

Soalan-soalan Kajian: 

1. Sila lukis dua lajur, ruang debit dan ruang kredit, untuk Adam dan Kristus. Bentangkan “berian dalam Kristus melangkaui pusaka dalam Adam". (Sila rujuk KH Roma, Mesej 11, m.s. 137-142)

2. Memandangkan kita semua dilahirkan dalam Adam, bagaimanakah kita boleh mengatakan bahawa kita kini berada dalam Kristus? (Sila rujuk KH Roma, Mesej 11, m.s. 142-144)


Mesej 10: Kurnia Dalam Kristus Melangkaui Pusaka Dalam Adam
Mesej 12: Pembelengguan Hukum Dalam Tubuh Daging Kita (1)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)