Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian Menebus Masa (Bahagian 1/2)
Gereja Tuhan Berdoa Supaya Kehendak Tuhan Terlaksana Di Bumi Sebagaimana Di Syurga
Menebus Masa (Bahagian 2/2)
Menebus Masa (Bahagian 1/2)
2020-05-18 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (20)

Nota Editor:

Dua bacaan harian yang berikut untuk para pekudus adalah daripada sebuah mesej yang disampaikan oleh Db. Watchman Nee di Shanghai pada 13 Januari 1931. Mesej-mesej ini adalah serupa dari segi isi kandungan dan bebannya dengan sebuah mesej lagi yang dibicarakannya yang bertajuk “Merebut Peluang”. Kedua-dua mesej ini saling mengukuh dan melengkapi. 

MENEBUS MASA (Bahagian 1/2)

(Sebuah Transkrip daripada Perhimpunan Hari Tuan, 
Disampaikan di Shanghai pada 13 Januari 1931)

Terbitan No. 13

(CWWN SET 1, JIL. 17)

**Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Gal. 6:10 “Oleh itu, apabila kita berpeluang, haruslah kita melakukan apa yang baik terhadap semua orang, terutamanya terhadap mereka yang daripada keluarga kepercayaan.”

Ef. 5:16 “Tebuslah masa, kerana hari adalah jahat.”

Ef. 4:27 “Juga jangan memberi ruang kepada iblis.”

Roma 13:14 “Sebaliknya, pakailah Tuan Yesus Kristus, dan jangan membuat persediaan untuk tubuh daging bagi memuaskan nafsunya.”

Hari ini ialah Hari Tuan yang pertama pada tahun yang baru. Oleh itu, mari kita dengar apa yang dikatakan Bible. Meskipun kita tidak mementingkan apa yang digelar tahun baru, namun kita harus mempunyai tanggapan yang baru apabila tibanya tahun baru. Meskipun bagi orang Kristian, tahun baru bukannya apa-apa, namun kita harus sentiasa mempunyai permulaan baru setiap kali tahun baru tiba. Wasiat Lama juga ada catatan tentang tahun baru. Tambahan pula, dalam Wasiat Lama, bulan dan hari untuk permulaan tahun baru ditentukan oleh Tuhan. Oleh itu, hari ini kita hendak mempertimbangkan perkara ini. Sama ada kamu seorang Kristian atau bukan, sepanjang tahun-tahun yang lalu, adakah kamu mempunyai apa-apa perasaan atau tanggapan yang khusus, atau adakah tahun-tahun itu mempunyai apa-apa makna yang khusus bagi kamu? Saya tidak tahu apa yang kamu fikirkan, namun bagi saya, setiap tahun bererti saya mempunyai lebih sedikit peluang. Kehilangan peluang bermaksud kehilangan masa. Hari ini, sama ada kamu seorang Kristian atau bukan, soalan pertama untuk bertanya kepada diri kamu sendiri ialah sama ada kamu telah terlepas peluang kamu atau tidak.

Ada satu pepatah yang berbunyi, “Peluang masuk melalui pintu, tetapi terbang keluar menerusi tingkap.” Hal ini benar. Kamu harus membuka pintu untuk mengundang peluang masuk, namun ia mungkin keluar tanpa menunggu kamu membuka pintu. Oleh yang demikian, bagi mereka yang berada di sini, jika kamu belum diselamatkan, kamu harus mencari peluang untuk diselamatkan. Jika kamu sudah diselamatkan, maka kamu harus mencari peluang melayan Tuan; kamu harus mencari peluang mengasihi satu sama lain, dan kamu harus mencari peluang menyelamatkan orang.

Kita baru sahaja membaca frasa, “tebuslah masa” (Ef. 5:16). Tebus dalam teks asal bermakna “membeli kembali”. Dikbang dan dikkak sekalian, Tuhan memberi kita masa. Ini seperti modal seorang pedagang. Masa ialah modal kita. Mungkin tahun demi tahun kamu telah melakukan banyak perkara yang unggul, atau mungkin tahun demi tahun kamu telah membazirkan masa kamu, seperti seorang pedagang yang mengalami kerugian. Mungkin sesetengah orang mempunyai sedikit peluang tetapi mereka telah menyempurnakan banyak perkara; sesetengah pula mempunyai banyak peluang tetapi mereka tidak menyempurnakan apa-apa. Walau bagaimanapun, tahun ini kita harus menebus masa kita. Tuhan telah memberi kita masa dan mengharapkan kita menggunakannya dengan sebaik-baiknya seperti pedagang menggunakan modal mereka dengan sebaik-baiknya. Semoga kita semua menggunakan masa kita dengan sewajarnya, dan semoga kita tidak membiarkannya berlalu dengan sia-sia dan terbazir.

Galatia 6:10 berkata, “Oleh itu, apabila kita berpeluang, haruslah kita melakukan apa yang baik terhadap semua orang, terutamanya terhadap mereka yang daripada keluarga kepercayaan.” Setiap kali ada peluang, kita harus berbuat baik. Kita harus memberi perhatian kepada perkara ini. Jika tidak ada peluang, memang ketaralah kita tidak ada jalan untuk berbuat baik. Namun demikian, ketika ada peluang, kita tidak ada alasan untuk tidak berbuat baik. Hari ini, kita akan melihat secara ringkas beberapa perkara yang harus kita rebut peluang untuk melakukannya.

I. MENCARI PELUANG UNTUK MENGASIHI TUAN KITA

Dikbang dan dikkak sekalian, adakah kamu ingat akan perempuan dalam Markus 14 yang mencurahkan minyak urapan dari bekas narwastu ke atas kepala Tuan? Berkenaan peristiwa ini, Tuan berbicara baik tentangnya dengan begini, “Dan sesungguhnya Aku berkata kepada kamu, Di mana sahaja injil itu diberitakan di seluruh dunia, apa yang telah dilakukan oleh perempuan ini juga harus dikisahkan sebagai kenangan terhadapnya” (ay. 9). Mengapakah dia berbuat demikian? Tuan berkata, “Dia mengurapi tubuh-Ku terlebih dahulu untuk penguburan” (ay. 8). Oh, sesetengah disipal berfikir bahawa Maria terlalu bodoh. Mengapa begitu membazir? Mengapa tidak memberikan tiga ratus lebih dinar itu kepada orang miskin? Apakah yang dikatakan oleh Tuan? Dia berkata, “Kerana kamu selalu ada orang miskin bersama denganmu, dan pada bila-bila sahaja yang kamu ingini, kamu boleh berbuat baik terhadap mereka. Tetapi kamu tidak selalu ada Aku” (ay. 7). Tuan bermaksud bahawa seseorang mempunyai peluang setiap hari untuk menolong orang miskin, tetapi dia tidak selalu ada peluang untuk mengurapi-Nya kerana Dia sudah hendak mati. Sebaik sahaja peluang hari ini terlepas, maka tidak ada lagi peluang pada hari ini. Tahun 1931 ialah tahun 1931. Tahun depan tidak akan sama dengan tahun ini. Hari ini ialah hari ini; esok bukan hari ini. Hari ini akan berlalu. Tuan akan kembali tidak lama lagi! Segala apa yang dapat kamu lakukan pada hari ini harus kamu lakukan selagi masih ada hari ini. Apabila sampai masa kamu pergi ke hadapan Tuan dan bersemuka dengan-Nya, masa itu sudah terlewat bagi kamu kembali untuk melakukan apa-apa. Siapakah yang dapat mengatakan bahawa Tuan Yesus tidak akan datang tahun ini? Siapakah yang dapat mengatakan bahawa Tuan Yesus tidak akan datang hari ini? Mungkin Tuan akan datang hari ini. Mungkin hari ini ialah peluang terakhir. Oleh itu, kita harus mempersembahkan diri kepada Tuan hari ini. Yang ada hanyalah hari ini. Pada hari itu, apabila kamu bertemu dengan Tuan, sekalipun kamu mempunyai sepuluh ribu hati, kamu pasti akan memberikan kesemuanya kepada Tuan; sekalipun ada sepuluh ribu dunia, kamu akan meninggalkan kesemuanya dengan gembira; namun itu sudah terlambat, kerana kamu telah terlepas peluang. Kamu harus melayan Tuan semasa kamu masih mempunyai peluang.

Mengapakah terdapatnya perbezaan antara lima perawan yang jahil dengan lima perawan yang bijaksana dalam Matius 25:2? Apakah perbezaan antara yang bijaksana dengan yang jahil? Mereka mempunyai gelaran nama yang sama, iaitu perawan. Minyak itu juga sama; mereka semua turut membawa pelita. Matlamat mereka sama, iaitu pergi bertemu dengan pengantin lelaki. Mereka mendengar teriakan yang sama; mereka bangun dengan cara yang sama. Apakah yang membezakan mereka? Mungkin sesetengah orang akan mengatakan bahawa yang jahil itu membawa pelita tetapi tidak menyediakan minyak; manakala yang bijaksana itu membawa pelita dan juga menyediakan minyak di dalam wadah. Sudah tentu ini betul, dan saya tidak terlupa tentang hal ini. Akan tetapi, saya ingin mengatakan bahawa yang jahil itu juga menyediakan minyak dalam wadah, cuma mereka membeli minyak itu kemudian masanya (ay. 10). Apakah perbezaan utama antara mereka? Perbezaannya ialah lima perawan yang bijaksana mempunyai minyak yang tersedia terlebih dahulu, sebelum kedatangan pengantin lelaki. Lima perawan yang jahil pula hanya menyediakan minyak mereka kemudian, iaitu selepas kedatangan pengantin lelaki. Meskipun ada minyak, namun minyak itu dibeli selepas pengantin lelaki datang; masa itu telah pun berlalu. Persoalannya bukan pada ada atau tidak ada, tetapi persoalannya ada pada bila masanya. Masa itu merupakan persoalan yang besar. Yang jahil ialah orang yang kehilangan peluang.

Ada seorang percayawan memberi risalah injil kepada seorang yang tidak percaya di taman. Selepas orang itu membacanya, dia mengatakan bahawa risalah itu sesuatu tentang Kristianiti dan karut-karut belaka. Percayawan ini memberitahu dia, “Walaupun hari ini kamu tidak mempercayainya, namun suatu hari nanti kamu pasti akan percaya bahawa hal ini benar. Pada masa kamu masuk ke neraka, kamu akan percaya. Setiap orang di neraka itu percaya, tetapi kepercayaan itu sudah terlalu lewat.” Apa yang dikatakannya itu benar. Selain itu, hal ini juga benar bagi orang Kristian. Soalnya bukan sesuatu perkara tidak dilakukan, tetapi perkara itu dilakukan terlalu lewat. Seseorang yang tidak percaya mungkin kehilangan peluangnya, tetapi seseorang percayawan mungkin juga kehilangan peluangnya.

Saya teringat akan satu kisah seperti ini. Ada seseorang pemuda yang mula bekerja untuk Tuan. Dia berdoa agar Tuhan memberi dia visi supaya dia tahu bagaimana berjerih. Dia bermimpikan suatu mimpi; dalam mimpi itu dia sudah berusia dan dihakimi di hadapan Tuhan. Tuhan mengatakan bahawa pada hari tertentu dan pada masa tertentu, dia sepatutnya mendapatkan banyak orang, namun dia telah membiarkan peluang terlepas dan tidak banyak orang yang diselamatkan; pada hari yang lain dan pada masa yang lain, dia sepatutnya menginjil kepada orang tertentu namun dia membiarkan peluang terlepas dan tidak menginjil. Tuhan seterusnya mengatakan bahawa pada hari tertentu dan pada masa tertentu lagi, dia sepatutnya berbuat baik kepada orang tertentu namun dia membiarkan peluang terlepas lagi dan tidak berbuat demikian. Dalam setiap kes, pada hari tertentu dan pada masa tertentu, sesuatu perkara sepatutnya dilakukan namun peluang terlepas. Maka percayawan itu meminta Tuhan memberi dia satu lagi peluang untuk menggantikannya. Pada saat ini dia terjaga. Dia berada lega kerana itu hanya satu mimpi dan segala-galanya belum berlalu.

Oh, jika ada apa-apa penyesalan di syurga, satu-satunya penyesalan ialah kehilangan peluang! Jika ada apa-apa penyesalan di neraka, satu-satunya penyesalan juga ialah kehilangan peluang! Oh, apabila seseorang pendosa terlepas peluang, dia tidak akan diselamatkan! Apabila seorang percayawan terlepas peluang, dia tidak dapat melayan Tuan dengan sepenuhnya! Hanya seminggu telah berlalu pada tahun ini. Sungguh bertuah, kita masih ada lagi lima puluh satu minggu yang tinggal. Semoga kita semua tidak terlepas peluang.

Di Itali ada satu adat: Apabila seseorang gadis berkahwin, dia akan menerima satu kantung. Setiap tahun pada hari pertama bulan pertama, dia perlu memetik bunga ros dan meletakkannya ke dalam kantung ini. Apabila dia mati, kantung yang penuh dengan bunga ros ini akan menjadi bantalnya di dalam keranda. Bau harum bunga ros yang dikumpulkan sepanjang hidup itu ditinggalkan untuk dihidunya selama-lamanya. Semasa kita menempuh hidup kita hari demi hari, kita harus juga memetik bunga ros kita untuk kita hidu bau harumnya buat selama-lamanya. Kita harus menebus masa kita dan tidak kehilangan peluang kita. Jika kamu bukan orang Kristian dan kamu membiarkan hari-hari kamu berlalu satu hari demi satu hari, maka suatu hari nanti kamu pasti akan menyesal kerana kamu tidak diselamatkan. Jika kamu seorang Kristian dan membiarkan hari-hari kamu berlalu satu hari demi satu hari, maka suatu hari nanti kamu pasti akan menyesal kerana kamu tidak melayan Tuan dengan sepenuhnya.

II. MENCARI PELUANG UNTUK BERBUAT BAIK

Kita bukan sahaja harus mencari peluang untuk mengasihi Tuan, kita harus juga mencari peluang untuk berbuat baik. Dikbang dan dikkak sekalian, apa yang kamu fikirkan tentang maksud berbuat baik? Apakah keihsanan dan kebaikan yang terbaik? Saya berfikir maksud yang terbaik terdapat dalam 1 Korintus 13:4-7. Ada satu Bible versi Inggeris yang menterjemahkan ayat-ayat ini dengan cara yang khusus dengan makna yang khusus. Hari ini biar saya membacakan terjemahan ini kepada kamu:

“Kasih itu amat bersabar, amat ihsan. Kasih tidak kenal cemburu; kasih tidak menunjuk-nunjuk, tidak membiarkan diri berlagak, tidak pernah biadab, tidak pernah menjaga kepentingan sendiri, tidak pernah terangsang, tidak pernah berasa geram; kasih itu tidak pernah gembira kerana orang lain melakukan kesilapan, kasih itu bergirang atas kebaikan, tidak terburu-buru mendedahkan orang, sentiasa berhasrat untuk mempercayai aspek yang baik pada orang, sentiasa menaruh harapan, sentiasa bersabar” (daripada Wasiat Baru, terjemahan baru oleh James Moffatt).

Petikan ini amat bermakna. Apabila melihat orang lain melakukan kesilapan, kita berasa gembira; itu memang kelemahan kita. “Menutupi” dalam “menutupi segala sesuatu” ialah perkataan yang sama bagi “bumbung” dalam Markus 2:4 dalam teks asal. Menutupi bermakna tidak mengopak bumbung orang lain. Mengopak bumbung bererti mendedahkan hal ehwal orang lain. Kasih bukan begitu. Kasih sentiasa mengharapkan kebaikan orang lain. Kasih sentiasa percaya kepada aspek-aspek baik orang lain. Kelemahan kita ialah berfikir bahawa orang lain tidak begitu baik. Bagaimanakah Paulus memuji Filemon? “Kerana mendengar tentang kasihmu dan iktikad yang kamu ada terhadap Tuan Yesus dan kepada semua pekudus” (Flm. 5). Filemon bukan sahaja mempunyai iktikad dalam Tuan; dia juga mempunyai iktikad dalam semua pekudus. Inilah apa yang kita perlukan. Kita harus dengan sungguh-sungguh percaya kepada kebaikan orang lain.

Kita telah membaca Galatia 6:10. Ayat ini memberitahu kita bahawa apabila kita ada peluang, hendaklah kita berbuat baik. Hari ini, apa yang dituntut Tuhan daripada kita ialah kita berbuat baik ketika ada peluang. Berkenaan berbuat baik, saya perlu menyebut beberapa butir.

Pertama, saya perlu berbicara tentang mengampuni orang lain. Kita harus sedar bahawa Tuhan memberi kita peluang untuk mengampuni orang lain. Peluang mengampuni orang lain ini akan berlalu. Mungkin dalam sekelip mata kamu akan mati atau dia akan mati. Dikbang dan dikkak sekalian, saya tidak tahu ada sesiapa dalam kalangan kita hari ini yang tidak rela mengampuni orang lain. Jika ada, ampunilah sekarang. Jika kamu menunggu lagi, peluang mungkin akan terlepas.

Ada sepasang suami isteri negara Barat yang bergaduh di rumah. Kemudian ketika suami itu melihat masa untuk pergi bekerja sudah tiba, maka dia memegang tangan isterinya untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya, mengucupnya, dan meminta ampun daripadanya sebelum beredar. Namun isterinya tidak mempedulikannya dan tidak rela mengampuninya. Pada waktu tengah hari, tiba-tiba polis membawa suaminya pulang; suaminya sudah mati berlumuran darah. Ketika isterinya melihat keadaan ini, dia berkata, “O Tuhan! Sekiranya aku tahu dia akan pulang dengan sebegini, aku pasti tidak akan membiarkan dia beredar seperti tadi! Oh, peluang sudah terlepas!” Dikbang dan dikkak sekalian, apabila kamu sedar bahawa peluang akan berlalu, sanggupkah kamu tidak mencari peluang untuk mengampuni orang lain?

Kedua, kita harus berusaha mengasihi orang lain. Ada seorang isteri yang telah meninggal dunia, dan suaminya meletakkan sejambak bunga dengan berhati-hati pada tangan isterinya. Namun seorang kanak-kanak, sambil bersandar pada dinding, berkata dengan dingin, “Inilah kali pertama dia menghadiahkan bunga kepada isterinya.” Oh, jika kamu memberi seseorang bunga setelah dia meninggal dunia, mengapa pula kamu tidak menghadiahkan bunga kepadanya ketika dia masih hidup? Saya melihat bahawa banyak orang yang telah diabaikan ketika mereka masih hidup; akan tetapi, apabila mereka meninggal dunia, orang menghantar bunga kepada mereka! Kita harus berbuat baik ketika masih ada peluang. Banyak orang yang sedang menunggu kita berbuat baik terhadap mereka. Terdapat sebuah puisi yang berbunyi:

O kawan-kawan,
Malam ini aku merayu kepadamu,
Jangan menahan ciumanmu
Pada dahiku yang dingin.
Betapa sepinya perjalanan!
Biarlah aku merasai keramahan kalian sekarang.
Moga kalian memikirkan aku dengan mesranya!
Ku rentasi bumi dan lautan,
Sampai kekuatanku hampir lenyap;
Kakiku menggeletar,
Penuh parut tusukan duri.
Maafkanlah aku! O hati yang dingin!
Maafkanlah aku!
Dalam rehat yang tiada lagi mimpi pada masa kelak,
Adakah aku masih memerlukan kasih yang
Ku dambakan malam ini?

Banyak percayawan dan banyak anak Tuhan yang sedang menunggu bantuan kita. Terdapat satu perkara dalam kalangan kita yang saya rasa tidak baik. Mazhab moden banyak bercakap tentang pelayanan dengan mulut mereka, namun mereka tidak melayan. Sudah pasti ini tidak baik. Akan tetapi, kita telah terlalu banyak mengabaikan hal berbuat baik dan membantu orang lain. Keadaan ini memang menyedihkan. Kita harus mencari peluang untuk berbuat baik kepada orang. Dua tahun yang lalu, terdapat satu berita yang luar biasa dalam surat khabar di Amerika Syarikat. Seorang lelaki pergi bekerja di suatu tempat. Setelah selesai kerja, dia menaiki kereta api balik ke rumah. Apabila tiba tidak berapa jauh dari rumahnya, dia membuat panggilan telefon jarak jauh kepada isterinya; panggilan tersebut memakan sebanyak tiga belas dolar dan enam puluh lima sen. Semasa isterinya menjawab panggilan itu, isterinya menyangka bahawa dia menghadapi bahaya. Namun dia hanya berkata, “Aku tetap mengasihimu.” Isterinya berasa hairan bahawa suaminya sanggup menghabiskan begitu banyak wang semata-mata untuk mengatakan beberapa patah perkataan ini. Apabila dia sampai ke rumah, isterinya bertanyakan dia tentang hal ini. Dia pun menjawab, “Aku takut aku akan mati dalam perjalanan dan tidak dapat sampai ke rumah. Oleh itu, aku membuat panggilan telefon dahulu untuk memberitahu kamu kata-kata ini.”

Terdapat seorang perempuan yang menderitai penyakit batuk kering dan sedang nazak. Suaminya berada di situ dan doktor memberitahunya bahawa isterinya sedang nazak. Kemudian suami itu berkata kepada isterinya, “Jika kamu meninggal dunia, aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan kerana aku benar-benar mengasihimu.” Isterinya menjawab, “Jika kamu berkata sebegini kepadaku sejak awal-awal lagi, segala-gala akan baik.” Dia berkata demikian kerana cara suaminya melayannya dalam kehidupan membuat dia meragui kasih suaminya dan menyebabkan dia tertekan sampai jatuh sakit.

Encik Panton berkata, “Ambillah peluang hari ini untuk mengucapkan sedikit kata ihsan, kata pujian, kata penghargaan.”

Di England terdapat seorang sasterawan yang amat terkenal. Hubungannya dengan isterinya telah bertahun-tahun menjadi dingin. Suatu hari, isterinya meninggal dunia. Apabila dia sampai ke rumah, dia berkata kepada mayat itu, “Betapa aku harap kamu masih hidup buat lima minit lagi supaya aku berpeluang untuk memberitahu kamu bahawa walaupun hubungan kita begitu renggang beberapa tahun ini, namun hatiku tidak pernah meninggalkanmu.”

Jika kita tidak mengambil peluang untuk mengasihi orang hari ini dan berbuat baik terhadap mereka, kita akan menyesal pada suatu hari. Semoga kita belajar mengampuni orang hari ini, dan semoga kita belajar mengasihi orang serta membicarakan kata ihsan kepada mereka hari ini.

Ketiga, kita harus membantu orang dengan wang kita. Seorang yang kaya pernah berkata, “Jika ada wang, wang itu harus diberikan.” Jangan fikir bahawa kamu boleh menyimpan wang untuk kegunaan yang lebih baik pada masa akan datang, dan kamu akan menyumbang lebih banyak wang apabila adanya kegunaan yang lebih baik. Sebenarnya “kegunaan yang baik” pada masa sekarang lebih baik daripada “kegunaan yang lebih baik” pada masa akan datang. Banyak orang ingin menyimpan lima puluh atau seratus ringgit dan mengeluarkannya apabila betul-betul memerlukannya. Akan tetapi, saya harus memberitahu kamu bahawa pada hari itu kamu mungkin tidak dapat mengeluarkannya. Mengapa pula tidak memberikan sepuluh sen, dua puluh sen, atau tiga puluh sen kepada pengemis pada hari ini? Mungkin sudah terlalu lewat apabila keperluan yang sebenar datang.

Apakah yang dikatakan dalam Injil Lukas berkenaan perbuatan penyelenggara yang tidak setia itu? Dia mengambil kesempatan ketika dia masih mempunyai kedudukan sebagai penyelenggara untuk berkata kepada orang yang berhutang kepada tuannya sebanyak seratus sukatan minyak, “Ambillah surat hutangmu, lekas duduk dan tulis lima puluh” (16:6). Kemudian kepada seorang lagi yang berhutang kepada tuannya sebanyak seratus sukatan gandum, dia berkata, “Ambillah surat hutangmu dan tulis lapan puluh” (ay. 7). Dia tidak menunggu sehingga dia bukan lagi penyelenggara baru berbuat demikian. Jika dia menunggu sehingga dia bukan lagi penyelenggara, itu sudah terlambat. Menerusi perkara ini, Tuan mengajar disipal agar merebut peluang untuk memperoleh kawan, iaitu memperoleh kawan dalam keabadian. Dikbang dan dikkak, inilah yang harus kita pelajari hari ini. Rebutlah peluang hari ini untuk menggunakan tiga atau lima ringgit selagi kamu masih ada untuk kerja Tuan, untuk percayawan yang miskin, dan orang yang miskin. Di tepi jalan, kita bertemu dengan orang miskin; dalam perhimpunan, kita bertemu dengan pula dengan percayawan yang miskin. Jika kita mempunyai keupayaan, kita harus merebut peluang untuk berbuat baik terhadap mereka. (bersambung...)

Gereja Tuhan Berdoa Supaya Kehendak Tuhan Terlaksana Di Bumi Sebagaimana Di Syurga
Menebus Masa (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)