Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Pengetahuan & Pengalaman Hayat Membongkar Tipu Helah Syaitan dan Berdiri Menentangnya
Pohon Hayat—Menghasilkan Hayat yang Bergantung pada Tuhan
Bagaimana Menghadapi Serangan Syaitan
Membongkar Tipu Helah Syaitan dan Berdiri Menentangnya
2017-08-08 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Iblis juga dipanggil Syaitan (Wahi 12:9). Pada asalnya dia ialah kerub yang dicipta Tuhan (Yeh. 28:12-14) dan juga ketua malaikat (Wahi 12:7, Mat. 25:41). Kemudian, dia memberontak menentang Tuhan kerana dia ingin menjunjung dirinya agar menjadi setaraf dengan Tuhan. Oleh itu, dia dihakimi Tuhan (Yes. 14:12-15; Yeh. 28:15-19) lalu menjadi Syaitan, seteru Tuhan. Dalam bahasa Yunani, Syaitan bermaksud “penentang, seteru”. Iblis menentang apa sahaja yang dilakukan Tuhan dan juga selalu melawan dan menindas anak-anak Tuhan dengan tipu helah.

Dua Korintus 10:4-5 menunjukkan kepada kita bahawa Syaitan menggunakan pelbagai alasan sebagai kubu untuk mengepung fikiran manusia. Jika Tuan ingin memperoleh manusia, Dia harus meruntuhkan kubu-kubu Syaitan terdahulu, kemudian barulah Dia dapat merempuh masuk fikiran manusia dan menawannya semula.

Apa itu alasan? Perkataan Yunani bagi “alasan” boleh diterjemahkan sebagai “imaginasi” atau “fikiran”. Syaitan sentiasa menggunakan pelbagai imaginasi untuk mengepung fikiran manusia. Manusia pula sangat jahil kerana beranggapan bahawa imaginasi ini imaginasi mereka sendiri. Sebenarnya, imaginasi ini ialah kubu-kubu yang dibina Syaitan, yang menyebabkan fikiran kita tidak dapat patuh kepada Kristus. Jika kita menganggap imaginasi ini imaginasi kita sendiri, maka kita sudah terjerumus ke dalam jeratnya.

Syaitan menyerang minda kita dengan cara menipu. Dia menyebabkan kita beranggapan bahawa fikirannya ialah fikiran kita sendiri. Sebaik sahaja kita membongkar rupa sebenarnya, kita tidak akan menerima fikiran yang diberikannya kepada kita. Berdiri menentang bermaksud tidak menerima. Apabila Syaitan memberi kita satu fikiran, kita harus berkata, “Saya tidak mahu.” Inilah maksudnya berdiri menentang. Apabila Syaitan menyuntikkan satu fikiran ke dalam kita, kita harus berkata, “Saya tidak mahu”; apabila dia menyuntikkan fikiran yang satu lagi, kita harus berkata, “Saya tidak menerima.” Jika kita berbuat demikian, Syaitan tidak dapat melakukan apa-apa pada kita. Pada pertengahan abad, seorang hamba Tuhan pernah berkata, “Kamu tidak dapat menghalang unggas daripada terbang di atas kepala kamu tetapi sekurang-kurangnya kamu boleh menghalangnya daripada bersarang di atas kepala kamu.” Kita tidak dapat menghalang Syaitan daripada menggoda kita, tetapi kita boleh menghalangnya daripada bersarang, daripada mendapat tempat bertapak. Ini kuasa kita. Sebarang fikiran yang datang kepada kita akan berhenti jika kita enggan memikirkannya.

Yakobus 4:7 berkata, “…Berdirilah menentang iblis, dan dia akan melarikan diri daripada kamu.” Ayat ini mengatakan bahawa berdiri menentang iblis dan dia akan melarikan diri. Kita harus percaya bahawa jika kita berdiri menentang iblis, iblis akan melarikan diri. Jika kita terus berdiri menentang kerana takut iblis masih berada di sana, ini sudah salah. Kata siapakah yang kita percayai? Bible berkata, “Berdirilah menentang…dia akan melarikan diri.” Jika terdapat suara dalam kamu yang mengatakan bahawa dia masih belum melarikan diri walaupun kamu telah berdiri menentangnya, suara siapakah ini? Suara Syaitan! Banyak orang mempercayai kata-kata Syaitan; oleh itu mereka tewas. Jika kita sudah berdiri menentangnya, kita harus mengisytiharkan, “Saya sudah berdiri menentang Syaitan. Dia sudah melarikan diri daripada saya!” Perasaan bahawa dia masih di sini ialah satu dusta; itu bukan satu fakta dan bukan daripada Tuan.

Hari ini kita harus mendedahkan dan membongkar kerja jahat yang dilakukan Syaitan pada anak-anak Tuhan agar kita tidak lagi ditipu olehnya dan dibebaskan daripada belenggu yang dikenakan Syaitan dalam fikiran kita. Kita harus melatih iktikad kita untuk berdiri menentang Syaitan, dan dia akan melarikan diri. Inilah sabda Tuhan dan hakikat rohani. Haleluya!

Pohon Hayat—Menghasilkan Hayat yang Bergantung pada Tuhan
Bagaimana Menghadapi Serangan Syaitan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)