Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kidung Kidung 140
Kidung 130
Menghayati Kidung 311: Kedambaan untuk Bebas daripada Diri
Kidung 140
2016-11-02 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Kidung #140

  1. Tuan, Kau Pengantin tersayang,
    Tuhan lantik, ku cinta;
    Diri-Mu sungguh menawan,
    Bagi ku nan mestika!
  2. Tuan, Kau idaman kasih ku,
    Tak terungkap adi-Mu;
    Kasih-Mu sungguh memikat,
    Indah-Mu tak terungkap.
  3. Lebih indah dari s’gala,
    Manis-Mu tiada tara;
    Lemah-lembut, halus, mesra,
    Dikau sungguh sempurna.
  4. Mur meresapi jubah-Mu,
    Bibir-Mu limpah kurnia;
    Dalam semerbak d’rita-Mu,
    Kami cinta, dakap-Mu.
  5. Kau terurap minyak riang,
    Melebihi rakan-Mu;
    Dari istana gading Tuan,
    Melangit sorak, pujian.
  6. Tuhan kekal berkati-Mu,
    Kau jayeng atas musuh;
    Nampak Kau dinobat mulia,
    Penuh kuasa, wibawa.
  7. Kau dambaan semua bangsa,
    Adi-Mu ’kan ternyata;
    Kau lampaui ribuan insan,
    Layak ku puji s’lama.

Kidung ini ditulis berdasarkan tiga buku dalam Bible: Rangkap 1 hingga 3 memetik penghargaan gadis terhadap kekasihnya dalam Kidung Agung, rangkap 4 dan 5 pula adalah berdasarkan tamsil dalam Mazmur 45:7-8, manakala rangkap terakhir memetik Hagai 2:7, yang mengatakan bahawa Kristus ialah Kedambaan semua bangsa.

Dalam rangkap 1 hingga 3, kita melihat bahawa percayawan ialah gadis yang ditawan oleh Kristus agar mengejar-Nya. Kristus ialah Pengantin tersayang kita. Dalam Kidung Agung, gadis desa yang mentamsilkan kita ditawan oleh Kristus yang ditamsilkan oleh Raja Salomo. Cinta Kristus lebih baik daripada wain (Kid. 1:2), nama-Nya umpama minyak urapan dicurah (Kid. 1:3). Akan tetapi, yang paling memikat hati gadis ialah persona-Nya yang mestika, yang lemah-lembut, halus, dan mesra. Kekasih kita sungguh sempurna!

Rangkap 1 hingga 3 menghuraikan persona Kristus yang mestika. Mulai rangkap 4, kita melihat kerja Kristus. Rangkap 4 menyatakan kehidupan insani dan kematian Kristus. Jubah yang diresapi mur melambangkan kehidupan dan perilaku Kristus yang penuh dengan virtu insani serta keharuman kematian-Nya. Dia juga selalu mengeluarkan kata-kata kurnia dalam kehidupan insani-Nya (Luk. 4:22). Mur dalam rangkap ini ialah sejenis rempah yang berbau harum tetapi pahit rasanya, yang melambangkan kematian Kristus yang mestika.

Dalam rangkap 5, kita melihat kebangkitan Kristus. Mazmur 45:8b berkata, “Dari istana-istana gading, bunyi harp menggembirakan-Mu.” Gading menandakan hayat kebangkitan Kristus yang tidak dapat dipatahkan (Yoh. 19:36). Istana-istana pula merujuk kepada gereja-gereja lokal yang dihasilkan menerusi kebangkitan Kristus. Dalam gereja, kita meluahkan suara pujian yang menggirangkan hati Tuan.

Rangkap 6 pula menggambarkan kenaikan Kristus ke syurga. Kristus telah bangkit dan jayeng atas segala musuh, Dia menang atas Syaitan, iaitu musuh Tuhan, atas dunia, atas dosa, dan atas maut. Kristus bukan sahaja telah bangkit, tetapi juga naik ke syurga dan dimahkotai kemuliaan dan kehormatan (Ibr. 2:9). Dia ialah Pemerintah kepada raja-raja di bumi (Wahi 1:5).

Rangkap terakhir pula berbicara tentang perkembalian Kristus ke bumi. Hagai 2:6-7 merupakan nubuat tentang kedatangan Kristus. Dia ialah dambaan semua bangsa. Segala yang didambakan manusia, seperti hayat, cahaya, damai sejahtera, keihsanan dan keadilbenaran, sebenarnya ialah Kristus sendiri. Dia merupakan jasad segala yang positif. Oleh itu, kidung ini berakhir dengan “Kau lampaui ribuan insan, / Layak ku puji s’lama.”

Kidung 130
Menghayati Kidung 311: Kedambaan untuk Bebas daripada Diri
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)