Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kidung Kidung 130
Menghayati Kidung 311 & 77
Kidung 140
Kidung 130
2016-11-01 | 373 Baca | 0 Komen
A- A+ Simpan

Kidung #130

  1. O Tuan, kasih-Mu luas, dalam,
    Capai ku, wadah rahmat!
    Lebih dalam dari lautan,
    Melangkaui dugaan!
    Kasih membuat Kau berkorban,
    Dikaulah yang ku dapat,
    Hingga dengan-Mu bersatu,
    Menjadi anggota-Mu.
  2. Budi kasih-Mu berlimpah,
    Tak habis ku mengisah!
    Namun yang paling utama,
    Dengan ku berbaur, esa.
    Oleh kasih, Kau milik ku,
    Jadi s’gala bekal ku;
    Agar ku sentiasa nikmat
    Diri-Mu s’bagai hayat.
  3. Kasih itulah diri-Mu,
    Diri-Mu yang terkudus,
    Menjadi makna hidup ku,
    Agar ku hidup Kristus.
    Dikau hayat, tenaga ku,
    Ku alami kasih-Mu;
    Ku tujuan kasih, kurnia-Mu,
    Dikau pengalaman ku.
  4. Apa yang pisahkan kita?
    Kau cinta ku s’lamanya!
    Nan abadi kita esa,
    Kasih-Mu tiada tara;
    Kasih ini buat ku syukur,
    Jadi tujuan pujian ku!
    Kau jadi ku, ku jadi Mu:
    ’Nilah tujuan kasih-Mu!

Kidung ini merupakan sebuah kidung yang memuji Tuan atas kasih-Nya. Antara beribu-ribu kidung yang berkisahkan kasih agung Tuan di dunia Kristian, kidung ini merupakan kidung yang unggul dengan maksud yang dalam, kebenaran yang kaya, wahi yang tinggi, dan pengalaman yang praktikal. Penggubahan kidung ini mencerminkan pemahaman dan pengalaman penulis yang mestika lagi kaya terhadap kasih Tuan.

Dalam rangkap 1, dari mulanya penulis terus meluahkan perasaan syukur dan kagum terhadap keluasan dan kedalaman kasih Tuan yang mencapai manusia hina. Seperti yang dinyatakan dalam Roma 5:8, “Tetapi Tuhan mempertunjukkan kasih-Nya sendiri kepada kita dalam hal bahawa, sewaktu kita masih pendosa, Kristus mati untuk kita”, kasih Tuan menyebabkan Dia berkorban bagi pihak kita. Akan tetapi, pengorbanan-Nya mempunyai matlamat yang nyata, iaitu supaya “Dikaulah yang ku dapat”. Pengorbanan Tuan bukan hanya telah melunaskan hutang dosa kita, bahkan kita juga memperoleh Tuan sendiri dengan bersatu dengan-Nya. Kita bersatu dengan-Nya seperti anggota dalam tubuh, iaitu kita mempunyai hubungan hayat dengan Tuan.

Rangkap 2 memperkatakan budi kasih Tuan yang berlimpah, yang tidak akan habis kita kisahkan. Dalam banyak perkara yang dilakukan Tuan untuk kita, yang paling utama ialah Dia berbaur dengan kita. Ini digambarkan dengan pencantuman ranting ke dalam pohon. Kita asalnya ialah ranting-ranting daripada pohon zaitun liar yang mempunyai hayat yang miskin. Akan tetapi, kita telah dicantum ke dalam pohon zaitun yang ditanam, iaitu Kristus dengan hayat-Nya yang kaya (Roma 11:17, 24). Pencantuman ini menghasilkan penyatuan organik, iaitu penyatuan dua hayat menjadi satu agar dapat berkongsi satu hayat pembauran dan satu kehidupan. Atas kasih Tuan, Dia menjadi milik kita dan segala bekalan kita. Oleh sebab kita bersatu dengan Kristus, maka kita sentiasa menikmati-Nya sebagai hayat.

Dalam rangkap 3, penulis mewahikan kasih Tuan sebenarnya ialah diri-Nya sendiri. Apabila kita bersatu dengan Tuan, iaitu hayat-Nya menjadi hayat kita, dan kita hidup melalui hayat-Nya, kita menemui makna sebenar kehidupan kita. Dia menjadi hayat dan tenaga kita untuk dialami kita. Kita menjadi sasaran kasih-Nya dan kasih-Nya menjadi pengalaman kita.

Rangkap 4: Apabila kita menyanyi sampai sini, kita merasai apa yang dirasai Paulus dalam penghujung Roma 8. “Jika Tuhan memihak kepada kita, siapakah yang dapat menentang kita?…Siapakah yang dapat mengajukan dakwaan terhadap orang pilihan Tuhan? Tuhanlah yang menjustifikasikan kita. Siapakah dia yang mengutuk? Kristus Yesuslah yang telah mati, malah yang telah dibangkitkan, yang juga berada di sebelah kanan Tuhan, yang juga berdoa-pinta untuk kita. Siapakah yang dapat memisahkan kita daripada kasih Kristus?” (Roma 8:31b, 33-35a). Tidak ada apa-apa di syurga atau di bumi, hal sekarang mahupun hal yang akan datang dapat memisahkan kita daripada kasih Kristus. Kasih-Nya begitu utuh dan abadi! Oleh itu, kidung ini diakhiri dengan syukur dan pujian berserta puncak kasih Tuan—“Kau jadi ku, ku jadi Mu”. Inilah puncak tinggi wahi divin, iaitu Tuhan menjadi manusia agar manusia menjadi Tuhan dalam hayat dan sifat tetapi bukan dalam Ketuhanan.

Menghayati Kidung 311 & 77
Kidung 140
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)