Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 1/2)
BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR (Bahagian 2/2)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 2/2)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 1/2)
2020-06-07 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (40)

Nota Editor:

“Tuhan telah menyediakan penyelamatan penuh bagi kita. Dia akan menyelamatkan kita ke tahap sempurna. Jika kita tidak dapat mengalami penyelamatan penuh Tuhan, ini bermaksud bahawa terdapatnya masalah di pihak kita. Bible menunjukkan kepada kita apa itu orang Kristian yang jayeng. Orang Kristian yang jayeng mempunyai sekurang-kurangnya enam keadaan: (1) Dia harus jayeng atas semua dosa yang sudah diketahui; ini merupakan syarat yang paling asas. (2) Dia harus dapat mengekalkan persekutuan yang intim dengan Tuan. (3) Dia harus menerima kemakbulan bagi doanya. (4) Dia harus menikmati membaca Sabda dan dapat memahami Sabda serta menerima cahaya dan bekalan daripadanya. (5) Dia harus sama sekali memahami kehendak Tuhan, dan mengenali Tuhan sendiri. (6) Dia harus dapat patuh kepada Tuhan.”

“Banyak orang Kristian yang menyedari bahawa mereka tidak menjalani kehidupan yang ditetapkan Tuhan untuk mereka. Namun mereka berhasrat untuk menjalani kehidupan yang jayeng. Mereka berhasrat untuk jayeng atas kemarahan, nafsu tubuh daging, pemikiran kotor, dan kesombongan mereka. Mereka menggunakan pelbagai cara, dengan harapan agar mereka mencapai standard Tuhan. Akan tetapi, kaedah mereka bukan kemenangan yang disebut dalam Bible. Mari kita pertimbangkan perbezaan besar antara pemikiran manusia dengan pemikiran Tuhan, dan perbezaan besar antara kerja manusia dengan kerja Tuhan.”

KEMENANGAN BUATAN MANUSIA 
(Bahagian 1/2)

Tarikh: 18 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 55)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Kol. 3:4 “Apabila Kristus hayat kita termanifestasi, maka kamu juga akan dimanifestasikan bersama dengan-Nya dalam kemuliaan.”

Flp. 1:21a “Kerana bagi aku, hidup adalah Kristus.”


Malam ini kita akan teruskan dengan subjek penyelamatan Tuhan untuk kita. Sejak hari manusia berbuat dosa, jalan ke pohon hayat dikawal oleh kerubim dan laluan ke pohon hayat telah tertutup. Tuhan tidak lagi membenarkan pendosa makan buah daripada pohon hayat secara terus. Semenjak itu, manusia harus melalui penebusan terlebih dahulu sebelum dia dapat menerima hayat Tuhan. Tuhan mengutus Kristus untuk menyempurnakan kerja penebusan dari satu segi, dan mendispenkan hayat Dia sendiri kepada kita dari segi yang lain. Apabila manusia percaya kepada Tuan, bukan sahaja dosa-dosanya diampunkan, malah dia juga menerima hayat Tuhan.

PENGALAMAN YANG TIDAK NORMAL DALAM KALANGAN ORANG KRISTIAN

Selepas manusia diselamatkan dan menerima hayat Tuhan, beberapa masalah sering timbul. Pertama, dia masih berbuat dosa dalam kehidupan harian-Nya biarpun dia telah percaya kepada Kristus dan menerima Dia sebagai Penyelamat dan hayatnya. Kedua, biarpun kadangkala dia mempunyai persekutuan yang manis dan intim dengan Tuhan, namun persekutuan itu tidak bertahan lama. Dia mungkin berasa sungguh baik selama sejam pada waktu pagi. Akan tetapi, apabila dia pergi ke sekolah, ke pejabat, atau menghubungi orang di hospital, perasaan mendalam yang dialaminya semasa bersekutu dengan Tuhan telah hilang. Dia mendapati bahawa dia bukan sahaja terbelit oleh dosa-dosa, malah dia juga tidak dapat mempunyai persekutuan manis secara berterusan dengan Tuhan.

Masalah yang ketiga ialah doa kita sering tidak dimakbulkan. Bible tidak mengatakan bahawa doa dimakbulkan merupakan pengalaman bagi sesetengah orang Kristian yang istimewa. Tidak! Setiap orang yang berdoa kepada Tuhan harus menerima kemakbulan bagi doanya. Bible menjanjikan kepada kita bahawa kita dapat sentiasa menikmati jagaan Bapa. Namun berapa banyakkah doa kita yang dimakbulkan? Bukankah jumlahnya begitu sedikit sehinggakan kita dapat mengiranya dengan jari kita? Doa dimakbulkan setiap hari, sentiasa mempunyai pengalaman terhadap doa dimakbulkan, ialah peruntukan Tuhan kepada orang Kristian. Namun banyak orang yang mendapati bahawa mereka mengalami kemakbulan doa yang amat sedikit.

Keempat, terdapatnya masalah dalam memahami Bible. Banyak orang membaca Bible tanpa memahaminya; mereka hanya menyentuh huruf dalam Sabda. Bible seakan-akan hanya huruf hitam putih bagi mereka, yakni tidak ada wahi, cahaya, atau pemahaman. Tuhan telah memberikan buku ini kepada manusia. Buku ini ialah sabda Tuhan; buku inilah yang diperlukan manusia untuk kehidupan harian mereka. Anak-anak Tuhan harus menerima pengkhasiatan daripada Sabda-Nya setiap hari, pagi dan malam, sama seperti makan makanan setiap hari. Tuhan berhasrat agar semasa kita membuka Bible, kita akan menemui keriangan, cahaya, pengkhasiatan rohani, dan bekalan hayat. Namun banyak orang yang membaca Bible sekadar untuk merasuah zimah mereka agar mereka berasa aman. Ini bukan kehidupan orang Kristian yang sewajarnya.

Kelima, terdapatnya masalah dalam memahami kehendak Tuhan. Domba mengenali suara tuannya. Begitu juga, setiap anak Tuhan seharusnya mengenali kehendak-Nya. Kita berada pada zaman Wasiat Baru, bukan seperti pada masa Keluaran; pada masa itu Tuan perlu menuntun orang Israel. Hari ini, setiap orang dapat mengenali kehendak Tuhan secara dalaman. Ibrani 8 mengatakan bahawa Tuhan telah menaruh hukum-hukum-Nya dalam hati orang Kristian. Orang Kristian tidak perlu mengajar rakan sewarganegaranya atau saudaranya, kerana semua akan mengenali Tuhan, daripada yang kecil kepada yang besar (ay. 10-11). Percayawan Wasiat Baru tidak perlu berterusan meminta nasihat orang lain berkenaan kehendak Tuhan. Bagaimanapun, pada hakikatnya, banyak orang yang tidak memahami kehendak Tuhan atau patuh kepada kehendak Tuhan. Ini bukan kehidupan yang sepatutnya ada bagi orang Kristian yang normal.

Masalah keenam ialah hati yang tidak patuh kepada Tuhan. Orang Kristian yang jayeng mempunyai hati yang ingin patuh kepada Tuhan. Dia tidak tawar-menawar dengan Tuhan. Dia mempunyai keupayaan dalamnya untuk patuh kepada Tuhan. Orang Kristian yang jayeng tidak mengelak salib; sebaliknya dia memeluk salib dengan girang. Kita perlu mengaku bahawa banyak orang tidak menjalani kehidupan jenis ini.

Semua keadaan di atas tidak normal. Tuhan telah menyediakan penyelamatan penuh bagi kita. Dia akan menyelamatkan kita ke tahap sempurna. Jika kita tidak dapat mengalami penyelamatan penuh Tuhan, ini bermaksud bahawa terdapatnya masalah di pihak kita. Bible menunjukkan kepada kita apa itu orang Kristian yang jayeng. Orang Kristian yang jayeng mempunyai sekurang-kurangnya enam keadaan: (1) Dia harus jayeng atas semua dosa yang sudah diketahui; ini merupakan syarat yang paling asas. (2) Dia harus dapat mengekalkan persekutuan yang intim dengan Tuan. (3) Dia harus menerima kemakbulan bagi doanya. (4) Dia harus menikmati membaca Sabda dan dapat memahami Sabda serta menerima cahaya dan bekalan daripadanya. (5) Dia harus sama sekali memahami kehendak Tuhan, dan mengenali Tuhan sendiri. (6) Dia harus dapat patuh kepada Tuhan. 

KEMENANGAN BUATAN MANUSIA

Banyak orang Kristian yang menyedari bahawa mereka tidak menjalani kehidupan yang ditetapkan Tuhan untuk mereka. Namun mereka berhasrat untuk menjalani kehidupan yang jayeng. Mereka berhasrat untuk jayeng atas kemarahan, nafsu tubuh daging, pemikiran kotor, dan kesombongan mereka. Mereka menggunakan pelbagai cara, dengan harapan agar mereka mencapai standard Tuhan. Akan tetapi, kaedah mereka bukan kemenangan yang disebut dalam Bible. Mari kita pertimbangkan perbezaan besar antara pemikiran manusia dengan pemikiran Tuhan, dan perbezaan besar antara kerja manusia dengan kerja Tuhan. Kita boleh menggunakan kemarahan sebagai ilustrasi. Kemarahan ialah dosa umum. Satu Korintus 13 adalah berkenaan kasih; ayat pertama dan terakhir menyebut tentang kesabartahanan atau kesabarderitaan. Bersabar bererti tidak naik marah. Terdapat beberapa cara yang biasanya digunakan manusia untuk menanggulangi kemarahannya.

Menahan

Menahan kemarahan seseorang sama seperti cuba menutup botol dengan ketat. Apabila kemarahan sudah hampir meledak, dia cuba menahannya. Dia cuba menelan kemarahannya. Akan tetapi, menelan kemarahan seseorang bukan kesabartahanan yang sebenar. Dalam buku Puan Hannah Whitall Smith yang bertajuk The Christian’s Secret of a Happy Life (Rahsia Kehidupan yang Girang bagi Orang Kristian), dia menyebut tentang contoh seorang gadis yang tinggal bersama dengan ibu saudaranya. Pada suatu hari, seseorang memarahi ibu saudaranya dengan tidak semena-mena, namun ibu saudaranya masih tersenyum. Selepas memerhati kejadian itu, gadis itu berkata kepada ibu saudaranya, “Dalam seumur hidup saya, saya amat mengagumi kesabaran kamu. Jikalah saya yang bertemu dengan orang sedemikian yang tidak munasabah, awal-awal lagi saya sudah berang.” Ibu saudaranya menjawab, “Barangkali ada sesuatu yang tidak kamu ketahui. Jangan ingat saya tidak marah. Walaupun kemarahan itu tidak keluar dari mulut saya, hati saya sudah pun menyala dengan api kemarahan.”

Pernah sekali pipi seorang dikbang ditampar oleh seorang Kristian yang lain. Dia berkata, “Saya akan jayeng melalui Kristus. Kristus telah memberi saya kudrat untuk jayeng.” Namun dalam hatinya, dia masih mengutuk orang yang menamparnya. Ini bukan kemenangan yang sejati. Kemenangan yang dibicarakan dalam Bible ialah hati yang tidak terangsang. Stefanus jayeng kerana dia dapat berdoa untuk penindasnya; dia tidak ada sebarang perasaan ingin membalas dendam (Kis. 7:60). Kemenangan yang sejati bererti langsung tidak tersentuh atau tersinggung. Perbuatan menelan kemarahan sekadar kemenangan buatan manusia. Kemenangan bukan perihal menggunakan seluruh kekuatan seseorang untuk menahan dirinya dengan harapan agar tidak berbuat dosa atau agar mencapai kesempurnaan. Kemenangan bererti Tuhan membolehkan kamu langsung tidak ada apa-apa ketidakpuasan atau kebencian dalam diri kamu.

Menjinakkan Tubuh Daging

Cara yang paling biasa digunakan untuk menjinakkan tubuh daging ialah cuba melunakkan kemarahan. Orang Cina mempunyai suatu pepatah yang berbunyi, “Menjinakkan naga dan menundukkan harimau”. Inilah cara kebanyakan orang menahan kemarahan mereka. Mereka cuba mengubah kuda liar menjadi kuda jinak. Banyak orang beranggapan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menjinakkan kemarahan mereka dan memupuk perwatakan mereka. Mereka beranggapan bahawa kemenangan ialah keupayaan untuk menjinakkan diri. Semasa saya berada di Beijing, saya bertemu dengan seorang dikbang yang berumur lebih daripada tujuh puluh tahun. Dia seorang yang cepat naik marah. Saya bertanya kepadanya, “Bagaimanakah sifat pemarah kamu ini pada tiga puluh sembilan tahun yang lalu?” Dia menjawab, “Tiga puluh sembilan tahun yang lalu, sifat pemarah saya lebih teruk daripada sekarang. Sekarang umur saya sudah lebih daripada tujuh puluh tahun, sudah tentulah kemarahan saya itu berkurangan sedikit.” Ini bukan kemenangan yang sejati. Kemenangan yang diberikan Tuan adalah serta-merta. Penyelamatan kamu juga adalah serta-merta. Kemenangan kamu juga adalah serta-merta. Penyelamatan dan kemenangan kamu ialah kerja yang telah disempurnakan oleh Tuan. Kamu bukan ditundukkan secara perlahan-lahan, dan kamu bukan diperbaik secara beransur-ansur.

Pernah sekali semasa berada di sebuah restoran, saya secara tidak sengaja tertumpah sedikit kicap pada pakaian seorang pelayan. Di depan semua orang, dia berkata, “Tidak apa, encik.” Namun di belakang saya, dia memarahi saya dengan berkata, “Orang ini, entah mana letaknya mata dia!” Inilah kemenangan yang dikatakan kebanyakan orang Kristian hari ini. Inilah kemenangan buatan manusia. Kemenangan buatan manusia adalah tidak bernilai di mata Tuan. (bersambung...)

BAHAGIAN PERJALANAN YANG TERAKHIR (Bahagian 2/2)
KEMENANGAN BUATAN MANUSIA (Bahagian 2/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)