Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Amalan Hayat Berdoa Doa—Mengungkapkan Tuhan
Doa—Melatih Roh untuk Bersekutu dengan Tuan
Doa dan Kerja Tuhan
Doa—Mengungkapkan Tuhan
2017-08-01 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Kidung #567

Doa mengungkapkan Tuan,
Bukan ungkapkan diri;
Tuan wahikan diri-Nya,
Ku nyatakan maksud-Nya.

Satu lagi makna doa ialah mengungkapkan Tuhan. Mengungkapkan Tuhan bermaksud membenarkan Dia berbicara, iaitu biar Tuhan diungkapkan. Semasa kita berdoa, kita harus membenarkan Tuhan berbicara dan biar Dia selesaikan pembicaraan-Nya. Berkenaan hal ini, mari kita lihat dua kisah yang disajikan dalam Bible. Satu ialah contoh yang negatif manakala satu lagi ialah contoh positif yang harus kita teladani.

Yohanes 11

Dalam Wasiat Baru, Marta terlalu banyak berkata-kata. Apabila saudara Marta, Lazarus, mati lalu Tuan datang kepadanya, Marta tidak membenarkan Tuan bercakap dahulu. Sebaik sahaja dia melihat Tuan, dia berkata, “Tuan, jika Engkau ada di sini, saudaraku tidak akan mati” (Yoh 11:21). Tuan berkata kepadanya, “Akulah kebangkitan dan hayat; dia yang percaya ke dalam Aku, meskipun dia mati, dia akan hidup…Percayakah kamu akan hal ini?” (ay. 25-26). Marta membalas, “Ya, Tuan; aku percaya bahawa Engkaulah Kristus itu, Anak Tuhan” (ay. 27). Apa yang dijawab Marta tidak secocok dengan apa yang diwahikan Tuan kepadanya. Oleh sebab dia asyik bercakap, kata-kata Tuan tidak dapat masuk ke dalamnya. Apa-apa sahaja yang dikatakannya merupakan ungkapan dirinya. Ini bukan doa yang sebenar; ini ialah teriakan manusia alamiah. Doa yang sebenar ialah kita datang kepada Tuhan dan membenarkan Tuhan berbicara serta mengungkapkan diri-Nya, bukannya kita mengutarakan kata-kata sendiri dan mengungkapkan diri sendiri. Sering kali kita adalah seperti Marta semasa berdoa. Kita hanya mengambil berat tentang ungkapan diri kita, kita tidak membiarkan Tuhan mengungkapkan diri-Nya.

Kejadian 18

Doa Abraham dalam buku Kejadian 18 merupakan contoh yang baik untuk kita teladani. Apabila Tuhan memberitahu Abraham bahawa Dia akan menghakimi kota Sodom yang berdosa, Abraham berkata, “Adakah Engkau benar-benar akan menghapuskan yang adilbenar bersama dengan yang durjana? Sekiranya terdapat lima puluh orang yang adilbenar di dalam kota itu, adakah Engkau benar-benar akan menghapuskan tempat itu…?” (ay. 23-24). Kita mungkin akan berkata, “Tuhan, Engkau mesti selamatkan Sodom. Di kota itu terdapat lima puluh orang yang adilbenar; oleh itu, Engkau mesti selamatkan mereka.” Abraham tidak berdoa sebegini; sebaliknya, dia bertanyakan apa yang akan dilakukan Tuhan jika terdapat lima puluh orang yang adilbenar di dalam kota itu, dan apa yang akan dilakukannya jika terdapat empat puluh lima orang yang adilbenar, lalu Tuhan memberitahu Abraham apa yang akan dilakukan-Nya. Apabila Abraham bertanya tentang sepuluh orang yang adilbenar, Tuhan berkata, “Aku tidak akan memusnahkannya kerana sepuluh orang itu” (ay. 28-32). Dengan demikian, Abraham memahami hasrat Tuhan.

Walaupun Abrahamlah yang menanya secara berterusan dalam doa itu, namun doa itu sebahagian besarnya ialah pembicaraan Tuhan, bukan pembicaraan Abraham. Oleh itu, pada akhir bab itu, Bible mencatat, “Dan beredarlah Yehova sejurus selepas Dia selesai berbicara dengan Abraham” (ay. 33). Walaupun Abrahamlah yang berdoa, namun Yehovalah yang berbicara. Yehovalah yang selesai berbicara dan yang mengungkapkan hasrat-Nya.

Secara kesimpulan, setiap doa seharusnya menyentuh Tuhan dan membiarkan Tuhan melalui kita dan diungkap keluar daripada kita.

Doa—Melatih Roh untuk Bersekutu dengan Tuan
Doa dan Kerja Tuhan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)