Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DIA YANG JAYENG (Bahagian 4/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 3/4)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 4/4)
2020-06-25 | 1 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (58)

Nota Editor:

“Ketika cubaan menimpa, ada yang merungut dan berasa bahawa mereka asyik menghadapi pengehadan, sekatan dan maut; ada pula yang dapat memuji Tuhan dalam cubaan dan daripada cubaan memperoleh jalan menuju ke pembesaran, pembebasan dan kelimpahan hayat.”

“Banyak orang Kristian terhindar daripada menjadi muflis sepenuhnya kerana mereka menerima pelayanan daripada percayawan lain yang terus-menerus menyalurkan kekayaan mereka ke dalam Tubuh Kristus. Orang Kristian sedemikian tidak sedar betapa banyaknya mereka terhutang budi kepada percayawan lain, malah antara percayawan ini, ada yang dipandang rendah oleh mereka. Ketika seseorang kawan datang dari jauh untuk meminta roti daripada kita, Tuan mungkin akan membenarkan kita meminta sesuatu daripada jiran kita untuk diberikan kepadanya, ataupun Dia mungkin akan berkata kepada kita, ‘Kamu berilah mereka makan’ (Mrk. 6:37).”

“Kemiskinan rohani dan kebantutan rohani merupakan dua masalah terbesar dalam gereja, tetapi kemiskinan merupakan akibat, bukan sebab, dan kebantutan juga akibat, bukan sebab. Punca kemiskinan dan kebantutan ialah kekurangan disiplin Roh itu.”

“Adakah kamu fikir bahawa pemberitaan itu sekadar pemberitaan? Adakah kamu fikir bahawa ministri itu sekadar ministri? Percayalah bahawa bukan begitu keadaannya. Melayan Tuhan bukan hanya soal kata atau kerja, tetapi juga berapa banyak pengalaman kamu. Sekiranya kamu tidak pernah membenarkan Roh itu menyusahkan kamu, maka seumur hidup kamu ditakdirkan untuk menjadi miskin. Kamu tidak akan belajar betapa berberkatnya untuk menyerap kepenuhan daripada Tuan, bukan untuk diri kamu tetapi untuk orang lain. Itulah ministri.”

“Wahi terhasil daripada disiplin. Apabila kita rela menerima disiplin Roh itu, kita membuka jalan kepada Roh itu untuk mewahikan kepada kita realiti yang ada dalam Kristus, serta membawa kita ke dalam semua realiti ini. Mengelak daripada disiplin bermaksud enggan memberi-Nya peluang untuk bekerja. Setiap hari Tuhan mencari peluang untuk memperbesar kita, tetapi kita pula menghindar apabila kesulitan timbul dan mengelak ketika cubaan menimpa. Oh, betapa ruginya kita! Dan betapa ruginya umat Tuhan!”

“Oleh yang demikian, bukankah kita harus menyerah diri ke dalam tangan Bapa kita yang kukuh, membiarkan Dia mengatur seumur hidup kita menurut kehendak-Nya? Dalam jagaan-Nya, Dia akan memastikan kerja transformasi Roh Kudus dalam diri kita menjadi lengkap genap dan pasti, sama seperti kerja penebusan yang mula-mula disempurnakan Anak yang dikasihi-Nya untuk kita.”

DIA YANG JAYENG
(Bahagian 4/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 11)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Yoh. 16:13 “Tetapi apabila Dia, iaitu Roh realiti, datang, Dia akan membimbing kamu ke dalam segala realiti; kerana Dia tidak akan berbicara daripada diri-Nya tetapi apa yang didengar-Nya akan dibicarakan-Nya, dan Dia akan menyatakan kepadamu hal-hal yang akan datang.”

ROH KEBENARAN

Akhir sekali, saya ingin berbicara sedikit lagi tentang kerja Roh Kudus. Dalam bab-bab sebelumnya, terutamanya ketika membincangkan ministri Paulus, kita sering berbicara tentang keperluan untuk wahi hal-hal divin. Lebih daripada sekali kita mengatakan bahawa memang penting untuk melihat tujuan Tuhan, melihat Persona dan kerja Kristus, melihat gereja, Tubuh Kristus. Mungkin ada pembaca yang disebabkan salah satu perkara ini bingkas membalas, “Saya tidak melihatnya. Jadi apakah yang kamu cadangkan untuk saya lakukan?”

Untuk menjawab soalan ini saya perlu merujuk sekali lagi kepada Roh kebenaran. Sila ingat bahawa Dia merupakan satu Persona yang amat dekat, bahkan tinggal dalam hati kita, dan sedia membantu setiap daripada kita dalam keperluan kita. Dutus Yohaneslah yang memberitahu kita bahawa sewaktu para disipal berada dalam situasi yang penuh kebingungan, Yesus memberitahu mereka secara pasti bahawa Roh Kudus akan datang untuk bersaksi bagi Dia sendiri dan untuk membimbing mereka ke dalam semua kebenaran.

Sama ada untuk membolehkan hati kita menerima wahi permulaan tentang perkara-perkara divin, ataupun untuk menjadikan perkara-perkara divin ini betul-betul sebahagian daripada diri kita selepas itu melalui disiplin, kita perlu berpaling berkali-kali kepada Dia yang penuh kurnia, yang menolong kita dalam kelemahan kita. Hanya melalui wahi-Nya barulah kita dapat melihat realiti rohani; hanya melalui disiplin-Nya yang penuh kasih barulah kita dapat memasuki realiti tersebut. Melalui wahi-Nya, Dia membuka pintu untuk kita maju; melalui disiplin-Nya, Dia memimpin kita di jalan kemajuan. Yang pertama ialah asas, manakala yang kedua ialah binaan di atas asas. Tanpa wahi Roh itu, kita tidak dapat memulakan perjalanan; tanpa disiplin Roh itu, kita tidak dapat menamatkan perjalanan. Kedua-dua aspek kerja Roh itu sama pentingnya, tetapi dalam kedua-dua aspek ini kita dapat bergantung sepenuhnya kepada-Nya. 

Bapa telah membuat rancangan; Anak telah melaksanakannya; sekarang Rohlah yang menyampaikan kepada kita apa yang telah disempurnakan Anak untuk kita. Senang bagi kita mengakui kesempurnaan kerja Anak, kerana Dia berkata, “Sudah selesai” lalu duduk di sebelah kanan Yang Maha Besar. Kalau demikian, sekiranya kita tidak meragui bahawa Anak telah menyempurnakan kerja yang diberikan kepada-Nya oleh Bapa, mengapa pula kita meragui bahawa Roh akan menyempurnakan kerja yang diamanatkan kepada-Nya oleh Anak?

Kerja Anak, sebagaimana dengan kerja Bapa, adalah serba merangkumi. Kerja Anak tidak sedikit pun melebihi atau kurang daripada kerja Bapa. Sebagaimana agungnya kerja Bapa, begitu juga agungnya kerja Anak; dan sebagaimana agungnya kerja Anak, begitu juga agungnya kerja Roh. Segala kerja yang disempurnakan oleh Anak untuk kita akan disempurnakan oleh Roh dalam kita tanpa sebarang keciciran. Segala kepenuhan realiti rohani yang ada dalam Kristus akan disalurkan kepada kita oleh Roh Kristus. Berkenaan diri-Nya Yesus berkata, “Akulah realiti,” dan berkenaan Roh, Dia berkata, “Dia akan membimbing kamu ke dalam segala realiti” (Yoh. 14:6; 16:13). Oleh itu, untuk memasuki kepenuhan realiti rohani, persoalannya bukan pada kita tetapi pada Roh itu. Ini bukan persoalan tentang kemampuan kita atau keupayaan kita, tetapi tentang kesetiaan mutlak Roh Kudus Tuhan. Bolehkah Dia dipercayai untuk melakukan semua kerja yang diamanatkan kepada-Nya oleh Anak? Kita harus belajar mempercayai Dia. Kita harus belajar untuk mengandalkan kerja-Nya yang dwi-aspek, iaitu yang pertama, mewahikan kepada kita sifat dan dimensi realiti divin, dan yang kedua, membawa kita ke dalam setiap realiti yang telah diwahikan-Nya.

Ketika kita melihat sekeliling kita, kita akan memerhatikan bahawa orang Kristian rata-rata kekurangan pengalaman; keadaan ini memang menyedihkan. Kehidupan mereka sedikit pun tidak memaparkan kepenuhan. Keperluan mereka sendiri pun tidak mampu dipenuhi, apatah lagi untuk membekal kepada orang lain. Mengapakah mereka begitu miskin? Bukankah kerana mereka tidak mengenali disiplin Roh itu? Pemazmur berkata, “Dalam tekanan, Engkau telah memperbesar aku” (Mzm. 4:1, terjemahan Darby New Translation). Matlamat semua tekanan adalah untuk memperbesar orang. Yakobus juga mengatakan sesuatu yang serupa dalam suratnya: “Bukankah Tuhan telah memilih yang miskin di dunia agar mereka menjadi kaya dalam iktikad?” (Yak. 2:5). Matlamat kemiskinan yang sementara adalah untuk memperoleh kekayaan abadi. Tuhan tidak pernah bermaksud supaya tekanan dan kemiskinan tidak menghasilkan apa-apa. Tujuan-Nya ialah semua tekanan akan membawa kepada pembesaran, dan semua kemiskinan akan membawa kepada pengayaan. Matlamat Tuhan terhadap umat-Nya bukanlah mereka terus-menerus berada dalam kesempitan atau kemiskinan. Kesempitan dan kemiskinan bukanlah matlamatnya; semua ini sekadar sarana untuk mencapai matlamat Tuhan. Kesempitan ialah jalan ke arah pembesaran, sementara kemiskinan pula jalan yang menuju pengayaan.

Baca sekali lagi Wahi bab 21. Lihatlah gambaran kepenuhan! Kamu mungkin telah meluangkan banyak masa untuk mengkaji buku Wahi dan masih kurang memahaminya, tetapi kamu pasti melihat bahawa kekayaan, kelimpahan, dan kemuliaan yang dihuraikan dalam bab 21 merupakan sesuatu yang belum pernah dilihat di bumi ini, bahkan zaman kegemilangan Salomo pun tidak dapat menandinginya. Bilakah ada jalan di bumi yang berturap emas? Bilakah dunia ini tidak memerlukan matahari untuk meneranginya? Alangkah kaya! Alangkah mulia! Tidak pernah ada empayar di dunia yang begitu kaya atau berseri-seri seperti Yerusalem Baru. Alangkah luas! Tidak pernah ada kota di bumi yang keluasannya mencecah seperseratus daripada keluasan kota ini. Bible pula memberitahu kita bahawa dia yang jayeng akan mewarisi semua ini!

Ada yang bertanya, “Mengapakah di langit baru dan bumi baru, kita hanya melihat Tuhan dan Anak Domba tetapi tidak disebut tentang Roh Kudus?” Jawapannya tentu ialah: Sebagaimana hari ini Kristus telah menyempurnakan kerja-Nya dan hasil kerja Kristus diperlihatkan dalam gereja, begitu juga pada hari itu, Roh Kudus akan menyempurnakan kerjanya dan hasil kerja Roh itu akan diperlihatkan dalam Yerusalem Baru. Hal ini kerana segala-gala yang ada di sana merupakan realiti, iaitu realisasi penuh bagi segala yang dilakukan Roh itu. Apabila kamu menyentuh gereja hari ini, kamu menyentuh Kristus; demikian juga apabila kamu menyentuh kota itu pada masa itu, kamu menyentuh Roh Kristus. Di sana gereja akan dipenuhi dengan Roh Tuhan yang mempunyai tujuh kali ganda kepenuhan; di sana gereja akan menjadi kota itu, dan akan memperlihatkan dalam dirinya kerja lengkap Roh itu, kerana dia akan menjadi kudus sama seperti Tuannya.

Namun bagaimanakah gereja mencapai tujuan ini? Satu-satunya jalan adalah dari tekanan ke pembesaran, dari kemiskinan ke pengayaan. Kamu mungkin bertanya: Apa maksud kamu dengan ungkapan “dari tekanan ke pembesaran”? Apabila tiga orang yang dimasukkan ke dalam relau api menjadi empat orang, itulah pembesaran melalui tekanan. Sesetengah orang beranggapan bahawa relau api terlalu sempit untuk tiga orang, jadi mereka cuba melarikan diri. Sesetengah orang pula rela menerima pengehadan ini, dengan itu mereka mendapati ada ruang untuk Yang Keempat. Jangan biarkan kesusahan mengurung kita sehinggakan memisahkan kita daripada Tuhan. Kita harus membiarkan kesusahan mengurung kita ke dalam-Nya, dengan itu tekanan akan menghasilkan pembesaran. Bagi Paulus dan Silas, pintu penjara hanya dapat menutup mereka kepada dunia di luar tetapi mengurung Tuhan di dalam. Oleh itu, penjara mereka tidak mengehadkan mereka sebaliknya membebaskan mereka sehingga mencapai kepenuhan yang lebih besar. Tuhan membenarkan cubaan menimpa Ayub secara bertubi-tubi, tetapi semua cubaan itu hanya mendesaknya hingga mencapai tujuan Tuhan. Yohanes dibuang ke Pulau Patmos demi kesaksian Tuan, namun Tuan yang bangkit sendiri membuka pintu dan menunjukkan kepadanya konsumasi mulia bagi semua hal. Sesetengah orang mencapai matlamat Tuhan melalui tekanan; sesetengah orang pula menemui jalan buntu melalui tekanan. Ada yang mati dalam kesempitan, namun ada pula yang memperoleh kepenuhan hayat melalui kesempitan. Ketika cubaan menimpa, ada yang merungut dan berasa bahawa mereka asyik menghadapi pengehadan, sekatan dan maut; ada pula yang dapat memuji Tuhan dalam cubaan dan daripada cubaan memperoleh jalan menuju ke pembesaran, pembebasan dan kelimpahan hayat.

Banyak orang Kristian yang sangat miskin sehinggakan tidak mampu untuk memenuhi keperluan sendiri. Bagaimanakah mereka dapat membantu orang lain? Terdapat juga orang Kristian yang sangat kaya sehinggakan kamu tidak dapat menilai kekayaan mereka. Segala kesusahan yang kamu hadapi juga pernah dihadapi mereka, dan mereka dapat membantu dalam segala kesulitan kamu. Mereka mempunyai sumber kaya yang secukupnya untuk memenuhi keperluan setiap orang yang datang kepada mereka. Banyak orang Kristian terhindar daripada menjadi muflis sepenuhnya kerana mereka menerima pelayanan daripada percayawan lain yang terus-menerus menyalurkan kekayaan mereka ke dalam Tubuh Kristus. Orang Kristian sedemikian tidak sedar betapa banyaknya mereka terhutang budi kepada percayawan lain, malah antara percayawan ini, ada yang dipandang rendah oleh mereka. Ketika seseorang kawan datang dari jauh untuk meminta roti daripada kita, Tuan mungkin akan membenarkan kita meminta sesuatu daripada jiran kita untuk diberikan kepadanya, ataupun Dia mungkin akan berkata kepada kita, “Kamu berilah mereka makan” (Mrk. 6:37).

Kemiskinan rohani dan kebantutan rohani merupakan dua masalah terbesar dalam gereja, tetapi kemiskinan merupakan akibat, bukan sebab, dan kebantutan juga akibat, bukan sebab. Punca kemiskinan dan kebantutan ialah kekurangan disiplin Roh itu. Orang yang kaya dan yang diperbesar ialah mereka yang telah mengalami disiplin sedemikian. Mereka pernah mengharungi perairan dalam dan memiliki sejarah rohani bersama dengan Tuhan, kerana mereka telah menderita demi Tubuh Kristus. Penyakit mereka, masalah keluarga mereka, kesukaran mereka—semuanya adalah untuk pertambahan Kristus dalam umat Tuhan. Bagi mereka yang mengelak daripada disiplin ini, sebaliknya memilih kehidupan yang senang dan selesa di jalan kemakmuran, mereka merupakan orang yang terbantut dan miskin. Sia-sia sahaja golongan miskin dan kedana pergi kepada mereka untuk meminta pertolongan. Mereka tidak mempunyai limpahan.

Adakah kamu fikir bahawa pemberitaan itu sekadar pemberitaan? Adakah kamu fikir bahawa ministri itu sekadar ministri? Percayalah bahawa bukan begitu keadaannya. Melayan Tuhan bukan hanya soal kata atau kerja, tetapi juga berapa banyak pengalaman kamu. Sekiranya kamu tidak pernah membenarkan Roh itu menyusahkan kamu, maka seumur hidup kamu ditakdirkan untuk menjadi miskin. Kamu tidak akan belajar betapa berberkatnya untuk menyerap kepenuhan daripada Tuan, bukan untuk diri kamu tetapi untuk orang lain. Itulah ministri.

Wahi terhasil daripada disiplin. Apabila kita rela menerima disiplin Roh itu, kita membuka jalan kepada Roh itu untuk mewahikan kepada kita realiti yang ada dalam Kristus, serta membawa kita ke dalam semua realiti ini. Mengelak daripada disiplin bermaksud enggan memberi-Nya peluang untuk bekerja. Setiap hari Tuhan mencari peluang untuk memperbesar kita, tetapi kita pula menghindar apabila kesulitan timbul dan mengelak ketika cubaan menimpa. Oh, betapa ruginya kita! Dan betapa ruginya umat Tuhan! Sudah tentu jika kita sengaja menyimpang daripada kehendak Tuan, disiplin divin akan menimpa kita; itu merupakan perkara yang berbeza, yang bertujuan untuk membetulkan dan menyembuhkan kita. Kita tidak boleh lari daripada disiplin jenis itu, namun kita boleh, jika kita mahu, menghindari disiplin Roh itu yang positif. Walau bagaimanapun, jika kita rela tunduk kepada penanggulangan-Nya, Dia akan menuntun kita dan membawa kita ke matlamat Tuhan. Sudikah kita berkata, “Tuan, aku akan minum hingga habis cawan yang Engkau berikan; aku ingin memikul salib dan tidak mencari kelegaan melalui hempedu atau cuka”? Oh, betapa perlunya persembahan yang mutlak daripada umat Tuhan supaya Dia dapat menggenapkan segala rancangan dalam hati-Nya terhadap mereka! Itu akan membawa kepada kepenuhan, yakni kepenuhan Yerusalem Baru. Tidak ada segumpal emas di kota itu yang tidak dicuba di relau api; tidak ada seketul batu berharga yang tidak melalui api, dan tidak ada sebutir mutiara yang tidak terhasil menerusi penderitaan.

Ketika Petrus bertanya kepada Yesus tentang Yohanes, apakah jawapan Tuan kita? “Jika Aku mahu dia tinggal hingga Aku datang, apa kena-mengenanya dengan kamu?” Hingga Aku datang! Ministri Roh kebenaran yang dibicarakan oleh Yohanes akan berterusan hingga akhir; hal ini sama sekali tidak akan berhenti. Tujuan Tuhan dalam gereja-Nya akan tercapai; hal ini pasti tidak akan terhalang. Visi kota kudus, iaitu pengantin perempuan yang siap berdandan untuk suaminya, pasti akan tergenap, dan kita akan melihatnya. Tidak ada apa-apa yang dapat menyentuh “hingga Aku datang”; hal ini sudah ditetapkan di syurga.

Oleh yang demikian, bukankah kita harus menyerah diri ke dalam tangan Bapa kita yang kukuh, membiarkan Dia mengatur seumur hidup kita menurut kehendak-Nya? Dalam jagaan-Nya, Dia akan memastikan kerja transformasi Roh Kudus dalam diri kita menjadi lengkap genap dan pasti, sama seperti kerja penebusan yang mula-mula disempurnakan Anak yang dikasihi-Nya untuk kita.

DIA YANG JAYENG (Bahagian 3/4)
HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 1/3)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)
1 Komen / Perkongsian
SBW5119 Ricky Chai pada 2020-06-25
"Melayan Tuhan bukan hanya soal kata atau kerja, tetapi juga berapa banyak pengalaman kamu. Sekiranya kamu tidak pernah membenarkan Roh itu menyusahkan kamu, maka seumur hidup kamu ditakdirkan untuk menjadi miskin. Kamu tidak akan belajar betapa berberkatnya untuk menyerap kepenuhan daripada Tuan, bukan untuk diri kamu tetapi untuk orang lain." Harus diingatkan bahawa segala perkara dan orang yang di sekitar adalah menanggulangi diri kita untuk menyerap kepenuhan daripada Tuan Kristus yang almuhit dan luas tidak terbatas.