Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian DIA YANG JAYENG (Bahagian 3/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 2/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 4/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 3/4)
2020-06-24 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (57)

Nota Editor:

“Sebagai anak Tuhan, kita semua mempunyai tanggungjawab umum untuk bersaksi bagi Tuan, tetapi seseorang hamba Tuhan harus melangkah lebih maju daripada itu. Padanya harus ada tanda yang jelas bahawa Roh itu melakukan kerja penggarapan yang khusus padanya supaya dia mempunyai pengetahuan yang khusus terhadap Tuhan. Daripada inilah ministrinya terhasil.”

“Perasaan bahawa kita lebih cemerlang ini berasal daripada keyakinan diri yang keterlaluan, iaitu kita sangka bahawa kita tahu segala-galanya. Akibatnya, tanpa disedari kita menutup pintu persekutuan, sehinggakan kita tidak dapat berkongsi perolehan kita yang sebenarnya dengan orang. Kita memerlukan kurnia untuk mengaku bahawa kita adalah jahil dan bertanya kepada Tuan tentangnya. Kita harus bersedia berkata, ‘Saya tidak tahu.’ Seseorang pekerja perlu mengambil sikap ini: ‘Jika kamu mempunyai sesuatu untuk dikatakan, saya sedia mendengar, kerana saya juga seorang disipal Tuan.’ Kalau begitu, orang lain tidak akan menyusahkan kamu. Oleh itu, saya menasihati kamu untuk terus menjadi pelajar jangka masa panjang. Letaklah tanda ‘L’ di belakang kamu sekurang-kurangnya sepuluh tahun!”

“Banyak yang merungut tentang kedudukan yang diberikan Tuhan kepada mereka, atau tidak berpuas hati tentang tugas yang diamanatkan-Nya kepada mereka dalam Tubuh...Kita harus ingat bahawa jauh sebelum kita diselamatkan, Tuhan sudah menetapkan tujuan-Nya bagi kita dalam gereja-Nya, kerana prapengetahuan-Nya telah mempersiapkan persekitaran kita dan menentukan jalan kita bahkan sebelum kita dilahirkan. Yesaya dipilih sejak lahir, Saulus dari Tarsus diasingkan ‘sejak dalam kandungan ibu’, Yeremia pula lebih awal lagi, iaitu sebelum dia dibentuk dalam kandungan ibu.”

DIA YANG JAYENG
(Bahagian 3/4)

(CWWN SET 2, JIL 40, BAB 11)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

Roma 9:16 “Dengan demikian, ini tidak bergantung pada dia yang berkehendak, dan tidak bergantung pada dia yang berlari, tetapi bergantung pada Tuhan yang menunjukkan rahmat.”

Kis. 9:15 “Tetapi Tuan berkata kepadanya, Pergilah, kerana orang ini wadah pilihan bagi-Ku, untuk memikul nama-Ku di hadapan bangsa Asing dan raja-raja serta bani Israel.”

Ministri yang Khusus

Sebagai anak Tuhan, kita semua mempunyai tanggungjawab umum untuk bersaksi bagi Tuan, tetapi seseorang hamba Tuhan harus melangkah lebih maju daripada itu. Padanya harus ada tanda yang jelas bahawa Roh itu melakukan kerja penggarapan yang khusus padanya supaya dia mempunyai pengetahuan yang khusus terhadap Tuhan. Daripada inilah ministrinya terhasil. Jika segala yang dapat kita lakukan hanyalah memberitakan injil dan mendidik-bina pekudus secara umum, kita tidak akan banyak berguna kepada gereja-gereja di China atau di tempat lain. Setiap orang Kristian seharusnya dapat melakukan perkara-perkara itu, tetapi percayawan di China akan berharap untuk memperoleh sesuatu yang lebih banyak dan lebih khusus daripada kita. Kita juga tidak harus memenuhi keperluan mereka dengan memberikan ajaran atau doktrin yang istimewa, tidak kira betapa baiknya ajaran itu, sebaliknya saya ulangi, kita harus mempunyai pengetahuan khusus terhadap Tuan yang merupakan milik kita tersendiri. Kita kadang-kadang mengadu bahawa orang tidak lapar akan Sabda, tetapi percayalah, jika kita mempunyai sesuatu yang unik untuk diberikan kepada mereka, mereka akan menjadi lapar. Adakah kehadiran kita membuat orang lapar terhadap Tuhan? Makanan itu sendiri dapat menimbulkan rasa lapar jika cukup menyelerakan, dan orang akan menjadi lapar apabila mereka melihat orang yang dipenuhi Roh itu, penuh dengan kasih, dan bukan hanya berkhutbah atau menyampaikan pengetahuan umum, tetapi meministerkan kekayaan rohani yang membawa tanda pengalaman peribadinya terhadap Tuhan. Sesungguhnya, sekiranya kita tidak dapat menimbulkan kelaparan dalam orang, kita sendiri yang bermasalah.

Sikap Ingin Belajar

Semasa keluar bekerja, sentiasa bawa tanda “L” besar di belakang kamu! Mereka yang menganggap diri mereka sebagai “guru” orang lain meletakkan diri dalam kedudukan yang bahaya. Banyak yang telah melampaui batas mereka dan membicarakan perkara yang belum dialami mereka, dengan itu menimbulkan masalah dalam minda pekudus yang simpal. Sekiranya kita terlalu yakin dan mengatakan sesuatu dengan tergesa-gesa, kita terpaksa mengingati jawapan yang pernah kita berikan, jika tidak, kita akan mendapati kita sekarang memberikan jawapan yang berbeza! Semakin banyak kita mendakwa bahawa kita tahu, semakin banyak ruang untuk pendengar kita mengkritik kita, kerana mereka akan mempunyai harapan yang terlalu tinggi terhadap kita. Perasaan bahawa kita lebih cemerlang ini berasal daripada keyakinan diri yang keterlaluan, iaitu kita sangka bahawa kita tahu segala-galanya. Akibatnya, tanpa disedari kita menutup pintu persekutuan, sehinggakan kita tidak dapat berkongsi perolehan kita yang sebenarnya dengan orang. Kita memerlukan kurnia untuk mengaku bahawa kita adalah jahil dan bertanya kepada Tuan tentangnya. Kita harus bersedia berkata, “Saya tidak tahu.” Seseorang pekerja perlu mengambil sikap ini: “Jika kamu mempunyai sesuatu untuk dikatakan, saya sedia mendengar, kerana saya juga seorang disipal Tuan.” Kalau begitu, orang lain tidak akan menyusahkan kamu. Oleh itu, saya menasihati kamu untuk terus menjadi pelajar jangka masa panjang. Letaklah tanda “L” di belakang kamu sekurang-kurangnya sepuluh tahun!

Sejarah Kerja Tuhan

Selain itu, saya juga percaya bahawa setiap hamba Tuhan mempunyai beberapa perkara dalam sejarahnya yang menjadi bukti kukuh bahawa kehadiran Tuhan dan kudrat Tuhan ada bersama dengannya. Saya telah mengisahkan di tempat lain suatu kejadian bagaimana Tuhan menjawab doa iktikad untuk hujan dengan cara yang sangat ajaib sehinggakan kami yang hadir tidak dapat melupakannya (lihat buku “Duduk, Jalan, Berdiri”, bab 3.) Akan tetapi, mubaligh dari Barat biasanya mempunyai latar belakang. Mereka mempunyai penjelasan untuk perkara-perkara tertentu, dan guru-guru Kristian pula dapat memberi alasan berdasarkan doktrin tentang sebab jarangnya berlaku mukjizat pada zaman kita. Alasan sedemikian tidak akan diterima oleh percayawan yang simpal kerana mereka sendiri sering melihat tangan Tuhan yang bekerja.

 Saya masih ingat akan seorang tukang jahit yang bernama Chen. Dia memang seorang yang sangat simpal. Dia tidak pernah bertemu dengan orang Kristian yang lain. Yang ada dalam tangannya hanyalah satu salinan Injil Markus, tetapi selepas membacanya dia bertemu dengan Penyelamat, dan dia pun percaya. Kemudian dia membaca sampai ke bab 16, iaitu bahagian yang kononnya dianggap sebagai suatu “kemusykilan”. Setelah dia membaca dengan teliti, dia berkata kepada Tuhan, “Tuan, aku sangat kecil sehingga satu kurniaan kecil pun sudah mencukupi bagiku. Berilah aku kurniaan penyembuhan!” Dia segera keluar dan pergi dari rumah ke rumah di kampungnya untuk berdoa bagi orang sakit. Apabila kami berjumpa dengannya selepas itu dan menyoalnya dengan teliti, jelas bahawa disebabkan sikapnya yang rendah hati dan kepercayaannya yang mutlak kepada Tuhan, maka tidak kira betapa tenatnya penyakit itu, atau sama ada doanya beroleh jawapan yang pasti, beberapa kejadian yang ajaib memang telah berlaku di kampung itu! Orang yang menyembah berhala telah diyakinkan bahawa Tuan lebih unggul daripada dewa kafir, dan ada yang telah percaya. Namun kami mendapati bahawa dia masih seorang dikbang yang rendah hati, yang tidak mengatakan apa-apa secara berlebih-lebih, sebaliknya tetap bersaksi untuk Tuan Yesus secara diam-diam di samping meneruskan pekerjaannya sebagai tukang jahit kampung yang sederhana. 

Pada suatu kali di Barat, saya menghadiri suatu persidangan sekumpulan dikbang yang salih dan mendengar mereka membincangkan beberapa persoalan doktrin yang sukar. Semakin mereka berbincang semakin dalamnya mereka menyelam. Akhirnya saya tidak dapat menahan diri daripada mencelah. Saya berkata dengan suara yang kuat, “Dikbangku yang dikasihi! Di negara saya, apabila keperluan timbul dan jika kamu tidak tahu mengusir demon, semua pengetahuan kamu yang lengkap tentang perincian Bible ini tidak akan memberi apa-apa faedah!” Hari ini kita terlalu beradab, sehinggakan kita sering menutup pintu kepada Tuhan. Kadang-kadang saya fikir bahawa Tuhan ingin membawa kita ke suatu peluang, tetapi sikap alamiah kita yang berhati-hati telah menghalang kita mengorak langkah iktikad ke arah-Nya. Akibatnya, kita tidak beroleh mukjizat hayat, tetapi sekadar suatu ajaran baru. Sesungguhnya, kita harus mengharapkan Tuhan untuk mengesahkan Sabda-Nya dengan tanda-tanda dan keajaiban. Sekiranya kita benar-benar mengenali Tuhan, perbuatan-Nya yang ajaib tidaklah jauh daripada kita. Hari ini tempat duduk Syaitan dicabar oleh iktikad kita terhadap Tuhan yang hidup.

PANGGILAN TUHAN

Tidak ada seorang tuan yang memiliki begitu banyak hamba seperti Tuan kita, dan bagi setiap hamba Dia telah memperuntukkan kerja yang sesuai. Dia memberi Yusuf tugas yang khusus, iaitu menyelamatkan Israel daripada kebuluran. Samuel juga tampil pada masa yang ditentukan, untuk melakukan kerja khusus yang mengalihkan kehentaran kepada kemaharajaan. Begitu juga, pada masa kemudian, Elia datang untuk mengalihkan kemaharajaan kepada kepenyabdaan. Ketika Naaman mempunyai keperluan, seorang hamba perempuan yang kecil bersaksi kepadanya. Bahkan seekor keldai juga tersedia untuk ditunggang Yesus bagi masuk ke Yerusalem. 

Banyak yang merungut tentang kedudukan yang diberikan Tuhan kepada mereka, atau tidak berpuas hati tentang tugas yang diamanatkan-Nya kepada mereka dalam Tubuh. Mereka mahu melakukan hal ini, tetapi Tuhan mengatur mereka untuk melakukan hal itu. Mereka berkeazaman untuk melayan Dia di sini, tetapi rancangan-Nya menghendaki mereka berada di tempat lain. Apabila kita menghadapi keadaan yang bercanggahan ini, kita harus ingat bahawa jauh sebelum kita diselamatkan, Tuhan sudah menetapkan tujuan-Nya bagi kita dalam gereja-Nya, kerana prapengetahuan-Nya telah mempersiapkan persekitaran kita dan menentukan jalan kita bahkan sebelum kita dilahirkan. Yesaya dipilih sejak lahir, Saulus dari Tarsus diasingkan “sejak dalam kandungan ibu”, Yeremia pula lebih awal lagi, iaitu sebelum dia dibentuk dalam kandungan ibu. Kes Saulus memang menghairankan bagi Ananias kerana dia banyak mendengar daripada orang lain berkenaan orang yang menindas pekudus ini, namun rupa-rupanya dia “wadah pilihan” Tuan! Walau bagaimanapun, Tuhan telah menyediakan jalan yang ajaib untuk hamba-hamba-Nya. Dia menentukan anak siapa kita akan jadi, walaupun kadang-kadang kita mungkin berasa bahawa kita telah dilahirkan dalam keluarga yang salah! Sesetengah daripada kita pula menyukai ibu bapa kita tetapi berharap dapat mengubah adik-beradik atau saudara kita yang lain! Tetapi Yusuf berkata, “Tuhan mengutus aku mendahului kamu untuk memelihara nyawa.” Sekiranya kita belum melihat tangan Tuhan dalam pilihan-Nya, kita akan kehilangan peluang besar untuk memuji Dia. 

Kerja Daud bermula dengan Goliat, tetapi dia sudah mempelajari pelajarannya sewaktu dia masih seorang gembala. Dia dapat berkata, “Yehova menyelamatkan aku daripada cakar singa.” Petrus seorang nelayan yang sudah biasa menarik pukat. Mungkin disebabkan ini dia dapat memahami dengan lebih baik visi “kain yang besar” di Yope. Paulus berkenalan dengan Akwila dan Priskila menerusi kemahirannya membuat khemah. Tidak perlu ada seseorang di luar bidang itu untuk belajar kemahiran itu kemudian pergi membantu dua orang itu sehingga menjadi pentafsir jalan Tuhan yang teliti. Selain itu, pada zaman kemunduran gereja di Efesus, tersedianya seorang Timotius yang sejak bayi lagi sudah memahami penulisan suci.

Tuhan tidak pernah melakukan sesuatu secara tiba-tiba; Dia selalu membuat persiapan jauh lebih awal. Oleh itu, tidak ada apa-apa yang perlu dirungutkan, dan tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dalam panggilan Tuhan. Kita juga tidak perlu mencemburui sesiapa, kerana kelebihan orang lain tidak ada kena-mengena dengan kita. “Ini tidak bergantung pada dia yang berkehendak, dan tidak bergantung pada dia yang berlari, tetapi bergantung pada Tuhan yang menunjukkan rahmat” (Roma 9:16). Warisan kita, kelahiran kita, bakat semula jadi kita—semuanya sudah ditentukan oleh Tuhan. Kita mungkin mempelajari hal lain dalam perjalanan, kerana kita selalu belajar, tetapi jalan itu ialah jalan yang disediakan-Nya. Apabila kita mengimbas kembali kehidupan kita, kita akan tunduk dan mengakui bahawa semuanya disediakan oleh Tuhan. Kita tidak perlu takut akan terlepas sesuatu. Jika hati kita mempunyai sikap sedemikian, itulah rehat yang sebenar.

Tuhan ialah Tuhan yang bekerja, dan Dia sudah mula bekerja bertahun-tahun yang lalu. Apabila Dia menginginkan seseorang hamba yang khusus, atau ketika gereja memerlukan pertolongan khas, Tuhan sentiasa bersedia. Dia tidak pernah menghadapi waktu kecemasan. Dalam sejarah anak-anak-Nya, tangan-Nya ada di mana-mana sahaja. Jika kita merenung sejenak, masing-masing akan berkata, “Sesungguhnya kurnia-Nya mengikut aku seumur hidupku.” Paulus mengatakan sesuatu (walaupun konteksnya adalah berkenaan hal lain) yang amat sesuai merumuskan sikap kita terhadap ketentuan Tuhan: “Dalam panggilan apa setiap orang dipanggil, hendaklah dia kekal dalam panggilan ini” (1 Kor. 7:20). Apabila kita melihat tujuan Tuhan, kata-kata seperti ini akan menjadi sangat bermakna. Tuhan telah memanggil setiap daripada kita dan sedang mempersiapkan kita untuk tugas-tugas yang dipraketahui-Nya. Paulus berkata di tempat lain, “Aku mengejar, mungkin aku dapat memperolehnya, yang untuknya aku juga telah diperoleh Kristus Yesus” (Flp. 3:12). (bersambung...) 

DIA YANG JAYENG (Bahagian 2/4)
DIA YANG JAYENG (Bahagian 4/4)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)