Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Bacaan Harian CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 1/2)
CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)
2020-06-11 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Bacaan Harian untuk Para Pekudus (44)

Nota Editor:

“Izinkan saya mengatakan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan orang. Hari ini banyak orang dalam gereja seolah-olah tidak diperlukan. Sama ada mereka hadir atau tidak nampaknya tidak membawa apa-apa perbezaan atau pengaruh. Hal ini kerana mereka tidak berhidupkan hayat yang jayeng. Mereka tidak dapat bersaksikan hayat Kristus kepada orang di dunia.”

“Perintah-perintah yang agung dan sukar dalam Bible bukan untuk dipatuhi manusia tetapi untuk dipatuhi Tuan. Semakin sukarnya perintah itu, semakin terbukti bahawa hanya Tuan yang dapat melakukannya.” 

“Dalam Bible Cik M. E. Barber, di bahagian Matius yang mengatakan ‘kamu harus mengasihi Tuan, Tuhanmu dengan segenap hatimu dan dengan segenap sukmamu dan dengan segenap mindamu’, dia menulis ayat berikut: ‘O Tuan, aku bersyukur kepada-Mu kerana wujudnya perintah ini.’ Dia tahu bahawa Tuan akan melakukannya. Semua perintah dalam Bible hanya dapat dilakukan oleh Kristus. Syukur kepada Tuan dan puji-Nya, Kristus ialah hayat kita dan Kristus ialah kemenangan kita..”

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 3/3)

Tarikh: 19 Disember 1936, malam
Tempat: Foochow 

(CWWN SET 2, JIL 42, BAB 56)

** Hak cipta GBC

Bacaan Bible:

1 Kor. 15:57 “Tetapi syukur kepada Tuhan yang memberi kita kemenangan menerusi Tuan kita Yesus Kristus.”

Flp. 4:13 “Aku berupaya melakukan segala sesuatu dalam Dia yang memperkudratkan aku.”

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (samb.)

Kita tidak harus menganggap bahawa berdoa dan membaca Bible dapat memberi kita kekuatan untuk mengatasi dosa. Saya bukan bermaksud kamu tidak harus berdoa dan membaca Bible. Berdoa dan membaca Bible memang ada kedudukannya, tetapi berdoa dan membaca Bible tidak boleh menyebabkan orang jayeng atas dosa. Matius 5 hingga 7 mengatakan bahawa kita ialah anak Tuhan, bukan kita “menjadi” anak Tuhan. Jika kita dikehendaki “menjadi” anak Tuhan, kita pasti tidak akan berjaya. Matius 5:16 berkata, “Agar mereka dapat melihat tingkah lakumu yang baik dan memuliakan Bapamu yang berada di syurga-syurga.” Tingkah laku yang baik dilihat pada manusia, namun yang dimuliakan itu Tuhan; ini membuktikan bahawa Tuhanlah yang melakukannya dalam manusia. Oleh itu kemuliaan diberikan kepada Tuhan, bukan kepada manusia. Sekiranya Dikbang Chi membicarakan mesej dengan baik, orang tidak akan memuji Watchman Nee. Mengapakah tingkah laku kita yang baik menyebabkan orang memuliakan Tuhan? Satu-satunya sebab ialah tingkah laku ini adalah daripada Tuhan dan dilakukan Tuhan.

Hayat yang Diperoleh, Bukan Dicapai

Satu lagi ciri hayat yang jayeng ialah hayat ini sesuatu yang diperoleh, bukan dicapai. Kamu hanya boleh beroleh hayat yang jayeng; kamu tidak boleh mencapai hayat yang jayeng. Beroleh bererti menerima, tetapi mencapai perlu mengambil perjalanan yang panjang. Adakah kamu berusaha dan bergelut untuk diselamatkan? Tidak. Kamu hanya menerima, lalu kamu pun beroleh penyelamatan. Begitu juga, kemenangan itu diperoleh, bukan dicapai dengan berusaha dan bergelut. Beroleh bererti kamu menerimanya sebaik sahaja kamu mengambilnya. Kita boleh melihat 1 Korintus 15:57. Akan tetapi, terjemahan bahasa Cina kurang baik. Menurut bahasa asal Yunani, ayat ini berbunyi: “Syukur kepada Tuhan yang memberi kita kemenangan dalam Kristus.” Syukur kepada Tuhan, kemenangan bukan sesuatu yang kita capai dengan banyak berusaha; kemenangan diberikan Tuhan kepada kita. Tuhan memberi kepada kita, dan kita hanya perlu menghulurkan tangan untuk menerimanya.

Encik Trumbull merupakan seorang yang berpengalaman dalam hayat rohani. Dia sedar bahawa hayat yang jayeng sememangnya suatu mukjizat. Pada suatu kali, dia bersaksi kepada seorang penatua bahawa selepas dia menerima Tuan Yesus sebagai hayat, dia bukan sahaja tidak lagi naik marah, bahkan hati untuk naik marah juga hilang. Penatua itu berkata, “Saya percaya bahawa perkara ini benar-benar terjadi pada kamu. Akan tetapi, perkara ini tidak akan menjadi kenyataan pada saya.” Selepas itu, Encik Trumbull mengajak penatua itu sama-sama berdoa. Selepas kali itu, penatua itu sendiri bersaksi, “Dalam seumur hidup, saya tidak pernah mengalami apa yang saya alami malam itu. Hal ini memang mukjizat! Tidak perlu bergelut, tidak perlu berusaha. Semua nafsu telah hilang, bahkan hati untuk berdosa juga hilang. Ajaib sungguh! Memang mukjizat!” Tidak lama kemudian, dia menulis surat kepada Encik Trumbull dengan mengatakan bahawa di tempat kerjanya, terdapat suatu pengaruh jahat yang tidak wajar sedang menular. Dahulu dia selalu cuba menahan diri. Namun sejak kali itu dia berdoa bersama dengan Encik Trumbull, dia bukan sahaja tidak menahan diri, bahkan hati untuk bertahan itu juga sudah hilang.

Dahulu di England, ada seorang penginjil dalam mazhab Anglikan yang bernama Encik Webpeblo. Pada suatu hari, anak perempuannya meninggal dunia. Selepas dia pulang dari upacara pengebumian, dia terfikir bahawa keesokan hari ialah Hari Tuan, lalu dia mempertimbangkan mesej yang harus disampaikannya. Akhirnya dia memilih 2 Korintus 12:9 sebagai tajuk khutbahnya, yang berkata, “Kurnia-Ku cukup bagimu.” Dia berlutut dan memohon kepada Tuhan agar memberkati tajuk ini. Semasa berdoa, dia bertanya kepada diri sendiri, “Adakah kurnia Tuhan cukup bagi saya? Jika kurnia Tuhan tidak cukup bagi saya, bagaimana pula saya dapat berkata kepada orang bahawa kurnia Tuhan cukup bagi mereka? Anak perempuan saya baru mati dan saya sedih, patah hati, dan terluka. Ini bermakna kurnia Tuhan tidak cukup bagi saya. Saya tidak boleh berbohong.” Dia ingin menukar tajuk tetapi masa sudah suntuk. Oleh itu dia terpaksa berdoa kepada Tuhan, “O Tuhan, biarlah aku mengalami kurnia-Mu yang cukup. Semoga kurnia-Mu adalah cukup bagiku.” Sesudah lama berdoa, dia berasa seolah-olah tidak ada sebarang kesan. Pada saat ini, dia terpandang satu ayat Bible yang tergantung pada dinding di atas pendiangan. Ayat itu digantung oleh ibunya semasa dia pergi menghadiri upacara pengebumian. Kebetulan ayat itu ialah 2 Korintus 12:9: Kurnia-Ku cukup bagimu. Perkataan “Ku” dan “mu” dicetak dalam warna biru, manakala perkataan lain berwarna hitam, kecuali “cukup” yang berwarna merah. Tiba-tiba dia menerima cahaya Tuhan. Dia berkata, “Tuan bersabda, ‘Kurnia-Ku cukup bagimu,’ tetapi saya pula berkata, ‘Kurnia-Mu tidak cukup bagiku.’” Maka dia mengaku dosa di hadapan Tuan dengan berkata, “O Tuhan, Engkau mengatakan bahawa kurnia-Mu cukup bagiku, namun aku masih memohon agar kurnia-Mu cukup bagiku.” Sambil dia mengaku dosa, sambil dia bersyukur dan memuji Tuhan dengan berkata, “Kurnia-Mu betul-betul cukup bagiku.” Dia penuh dengan kegirangan dan kesyukuran. Pada keesokan hari di atas pentas, dia membicarakan mesej yang terbaik dalam seumur hidupnya. Ada orang yang bertanya kepadanya tentang rahsia mesej itu. Dia menjawab bahawa setelah pengebumian anak perempuannya, dia melihat apa itu percaya. Percaya bukan memohon kepada Tuhan agar menunaikan janji-Nya. Percaya bererti bersyukur dan memuji Tuhan atas sabda yang telah dibicarakan-Nya. Sejak kejadian itu, kehidupannya mengalami perubahan yang besar.

Apabila hayat Tuhan masuk ke dalam kita, kita dapat hidup di dunia sebagaimana Anak-Nya hidup di Nazaret pada zaman dahulu. Tuhan ingin membangkitkan suatu bangsa yang baru, yakni sekumpulan orang yang memiliki Anak Tuhan sebagai hayat mereka dan berhidupkan hayat Anak Tuhan. Filipi 4:13 berkata, “Aku berupaya melakukan segala sesuatu dalam Dia yang memperkudratkan aku.” Tuan yang berada dalam kamu memperkudratkan kamu. Kamu akan mendapati bahawa tidak ada seperkara yang terlalu sukar bagi kamu kerana hari ini ada Seorang yang memperkudratkan kamu di dalam. Dialah Yang Maha Perkasa. Tuan tidak mahu kita menjadi seorang yang biasa. Dia menghendaki kita menjalani kehidupan Tuhan, membicarakan kata-kata yang tidak terbicara oleh manusia, melakukan hal-hal yang tidak dapat dilakukan manusia, menempuh hal yang tidak dapat ditempuh manusia, dan mengalami perkara yang tidak dapat dialami manusia. Asalkan Kristus huni dalam kita, kita dapat menjalani kehidupan sedemikian.

Izinkan saya mengatakan sesuatu yang mungkin menyinggung perasaan orang. Hari ini banyak orang dalam gereja seolah-olah tidak diperlukan. Sama ada mereka hadir atau tidak nampaknya tidak membawa apa-apa perbezaan atau pengaruh. Hal ini kerana mereka tidak berhidupkan hayat yang jayeng. Mereka tidak dapat bersaksikan hayat Kristus kepada orang di dunia. Kita harus memohon cahaya daripada Tuhan agar kita dapat melihat ciri-ciri hayat yang jayeng. Syukur kepada Tuhan, penyelamatan kita ialah penyelamatan yang sempurna. Tuhan bukan sahaja menyelamatkan kita daripada hukuman dosa, tetapi juga menyelamatkan kita daripada belenggu dosa. Cara penyelamatan Tuhan ialah Kristus menggantikan kita untuk menanggung penghakiman dosa, menyalibkan manusia lama kita bersama dengan-Nya, dan membebaskan hayat-Nya untuk didispenkan kepada kita. Hari ini Dia huni dalam kita. Dia dalam kita merupakan hayat kita yang jayeng.

Syukur kepada Tuan, takhta-Nya berada di syurga dan juga dalam hati manusia. Syukur kepada Tuan, Dia hidup di syurga dan juga hidup dalam kita. Dia dapat menyempurnakan kegirangan Tuhan dalam kita. Perintah-perintah yang agung dan sukar dalam Bible bukan untuk dipatuhi manusia tetapi untuk dipatuhi Tuan. Semakin sukarnya perintah itu, semakin terbukti bahawa hanya Tuan yang dapat melakukannya. Dalam Bible Cik M. E. Barber, di bahagian Matius yang mengatakan “kamu harus mengasihi Tuan, Tuhanmu dengan segenap hatimu dan dengan segenap sukmamu dan dengan segenap mindamu”, dia menulis ayat berikut: “O Tuan, aku bersyukur kepada-Mu kerana wujudnya perintah ini.” Dia tahu bahawa Tuan akan melakukannya. Semua perintah dalam Bible hanya dapat dilakukan oleh Kristus. Syukur kepada Tuan dan puji-Nya, Kristus ialah hayat kita dan Kristus ialah kemenangan kita.

CIRI-CIRI HAYAT YANG JAYENG (Bahagian 2/3)
BAGAIMANA MENGALAMI HAYAT YANG JAYENG (1) (Bahagian 1/2)
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)