Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Hayat Pengetahuan & Pengalaman Hayat APAKAH ITU HAYAT ABADI?
Datang dan Minum
Cawan Itu
APAKAH ITU HAYAT ABADI?
2018-04-11 | 0 Komen
A- A+ Simpan

APAKAH ITU HAYAT ABADI?

Tuhan ialah hayat. Untuk mengenali Tuhan, kita perlu tahu apa itu hayat, atau hayat abadi. Dalam bahasa Yunani, iaitu bahasa Wasiat Baru, terdapat tiga perkataan yang berlainan yang diterjemahkan sebagai “hayat” dalam bahasa Malaysia. Pertama, bios, merujuk kepada hayat fizikal yang dimiliki segala benda hidup; kedua, psuche, merujuk kepada hayat sukma atau hayat psikologi; ketiga, zoe, merujuk kepada hayat Tuhan yang divin, abadi, dan tidak tercipta.

Dalam seluruh alam semesta, hanya hayat Tuhan yang dikira sebagai hayat, manakala hayat lain tidak dikira sebagai hayat. Mengapakah hanya hayat Tuhan yang dikira sebagai hayat? Ini kerana hanya hayat Tuhan adalah divin dan abadi.

Jadi, apakah maksud “abadi”? Abadi bermaksud tidak tercipta, tidak mempunyai permulaan atau kesudahan, kekal-wujud, tidak berubah hingga selama-lamanya. Hanya Tuhan yang tidak tercipta; hanya Dia yang “dari keabadian ke keabadian” (Mzm. 90:2), yakni yang tidak mempunyai permulaan atau kesudahan. Memandangkan Tuhan sendiri adalah sedemikian, begitu jugalah dengan hayat yang merupakan Tuhan sendiri. Oleh sebab hayat Tuhan dan Tuhan sendiri adalah sama, iaitu tidak tercipta, tidak mempunyai permulaan atau kesudahan, kekal-wujud, dan tidak berubah hingga selama-lamanya, maka hayat Tuhan adalah abadi. Oleh itu, Bible menggelar hayat Tuhan sebagai “hayat abadi”.

Mengapakah hanya hayat yang bersifat divin dan abadi yang boleh dikira sebagai hayat? Ini kerana hayat ialah sesuatu yang hidup, dan segala-gala yang dianggap sebagai hayat seharusnya tidak akan mati. Yang tidak akan mati bererti tidak boleh diubah, iaitu kekal sama dan terus hidup walau dalam apa keadaan pun. Hayat yang terjejas disebabkan maut atau perubahan dan tidak dapat tahan sebarang tamparan atau kemusnahan adalah tidak abadi, akan mati, dan boleh diubah, dengan itu tidak boleh dianggap sebagai hayat. Yang boleh dikira sebagai hayat haruslah sesuatu yang hidup buat selama-lamanya dan tidak berubah. Hanya apa yang abadi itu yang boleh menjadi demikian. Maka hanya yang divin dan abadi itu yang boleh dikira sebagai hayat.

Sehubungan dengan itu, Yohanes 3:16 berkata, “…Semua yang percaya ke dalam-Nya…beroleh hayat abadi.” Kita harus ingat bahawa hayat abadi yang disebut di sini bukan bermaksud kita akan hidup buat selama-lamanya dalam hayat manusia atau masuk ke syurga. Beroleh hayat abadi bermaksud beroleh hayat zoe, iaitu hayat Tuhan. Kita tidak menerima hayat Tuhan ini pada kelahiran pertama daripada ibu bapa, tetapi pada kelahiran kedua kita, iaitu ketika kita percaya kepada Tuan Yesus (Yoh. 1:12-13).

Tuan Yesus berkata, “Aku datang supaya mereka beroleh hayat dan berolehnya secara berlimpah-limpah” (Yoh. 10:10). Malangnya, banyak percayawan salah faham akan ayat ini. Mereka berfikir bahawa ketika kita menerima Tuan Yesus sebagai Penyelamat kita, kita menerima hayat manusia yang kaya dan makmur. Dengan demikian, segala-galanya menjadi mudah bagi kita dan “hidup” kita (yang biasa difahami kebanyakan orang) akan menjadi lebih baik. Ini bukan apa yang dimaksudkan oleh Tuan Yesus. Dalam Yohanes 10:10, Tuan Yesus berbicara tentang hayat Tuhan yang divin, tidak tercipta, dan abadi. Hayat ini terkandung dalam Tuan Yesus. Maka untuk membolehkan kita beroleh hayat ini, Tuan Yesus perlu disalibkan dan mati (12:24). Kemudian Dia perlu bangkit dan menjadi Roh beri-hayat (1 Kor. 15:45b). Sekarang hayat abadi ini dapat disalurkan ke dalam berjuta-juta orang menerusi kelahiruan (kelahiran kedua). Dengan demikian hayat abadi Tuhan dapat dilipatgandakan dalam manusia. Dengan cara ini, Tuhan dapat memperoleh anak yang banyak. Tuhan bukan mengambil anak angkat kerana kita yang percaya ini benar-benar dilahirkan daripada hayat Tuhan dan sifat Tuhan-Nya (2 Ptr. 1:4). Anak-anak ini menampilkan Tuhan bukan dengan cara meniru tetapi dengan membenarkan hayat-Nya hidup dan bertumbuh dalam mereka (Gal. 2:20; Flp. 1:19-20).

Inilah hayat abadi yang kita terima ketika kita percaya kepada Yesus. Hayat ini harus bertumbuh dalam kita (Kol. 2:19). Semoga kita menghargai hayat divin ini dan membenarkan hayat ini bertumbuh dan matang dalam kita.

Kidung #443

  1. Sungguh kudus! Sungguh mulia!
    Tuhanlah hayat kekal!
    Kaya, limpah dan berkuasa,
    Berahmat, murni, sinar!
    Kasih dan kelimpahan-Nya,
    Semua dalam hayat-Nya.
Datang dan Minum
Cawan Itu
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)