Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Pelayanan Apa Maksudnya Tuhan ialah Bapa
Melayan Tuan
Apa Maksudnya Tuhan ialah Bapa
2016-08-17 | 0 Komen
A- A+ Simpan

Puji Tuan, selepas kita percaya kepada Tuan Yesus, kita beroleh hayat Tuhan, dan menjadi anak-anak Tuhan. Tuhan ialah Bapa kita dan Dia sumber hayat kita. Dengan hayat ini kita menjalani kehidupan orang Kristian.

Di samping itu, sebagai orang Kristian, kita juga melayan Tuhan. Dalam pelayanan kamu, pernahkah kamu terfikir bahawa kamu juga harus mengenali Dia sebagai Bapa? Dari segi hayat, kita sudah biasa mengenali Tuhan sebagai Bapa, namun dari segi pelayanan, pernahkah kita mengenali Dia sebagai Bapa? Apakah maksudnya Tuhan ialah Bapa? Maksudnya ialah segala-galanya berasal daripada Tuhan. Dalam Yohanes 5:17, Tuan Yesus berkata, “Bapa-Ku sedang bekerja sampai sekarang, dan Aku juga sedang bekerja.” Perhatikan bahawa Tuan bukan berkata, “Tuhan-Ku sedang bekerja sampai sekarang” tetapi berkata “Bapa-Ku sedang bekerja sampai sekarang”. Tuhan ialah Bapa bermaksud Tuhan ialah Pencipta, Tuhan ialah satu-satunya Pemula. Inilah pengalaman yang harus kita miliki dalam pelayanan kita. Kita harus menerima kurnia daripada Tuhan supaya kita sedar bahawa kita tidak dapat memulakan apa-apa, tidak layak memulakan apa-apa di hadapan Tuhan. Kejadian 1 bermula dengan berkata, “Pada mulanya, Tuhan….” Pada mulanya, bukan kita tetapi Tuhan. Tuhan ialah Bapa, dan segala-galanya berasal daripada-Nya.

Pada hari Tuhan menunjukkan kepada kamu bahawa Dialah Bapa, hari itulah hari yang berberkat. Pada hari itu kamu akan menyedari bahawa kamu tidak dapat berbuat apa-apa dan kamu tidak ada cara. Kamu bukan cuba menahan diri daripada melakukan hal ini atau hal itu. Sebaliknya, kamu akan bertanya, “Adakah Tuhan sudah memulakan hal ini?” Inilah seharusnya pengalaman kita.

Saya bukan bermaksud bahawa kita tidak dapat melakukan banyak hal; kita sememangnya dapat. Kita dapat mengetuai perhimpunan dan membina dewan perhimpunan, kita dapat pergi ke serata tempat untuk mendirikan pusat injil, dan kita nampaknya dapat menghasilkan buah. Namun begitu, segala apa yang dapat kita banggakan itu “tidak terbilang apa-apa” di mata Tuhan. Kita harus menerima penilaian Tuhan terhadap kita dan melihat diri kita tidak terbilang apa-apa.

Kita semua yang bekerja untuk Tuan di tempat-tempat yang berlainan dan dalam gereja-gereja harus mempertimbangkan berapa banyak kerja kita dalam hal melayan Tuhan dimulakan oleh Tuhan dan berapa banyak yang kita mulakan. Tidak kira betapa baiknya kerja kita, berapa banyakkah kerja yang kita lakukan pada masa lampau itu dimulakan oleh Tuhan? Ini memang suatu perkara yang besar. Semua kerja dan pelayanan kita dalam gereja harus dimulakan oleh Tuhan dan harus menurut hasrat-Nya.

Apa-apa yang dimulakan oleh manusia, tidak kira sejauh mana perkara itu adalah untuk Tuhan, hanyalah aktiviti agama. Di mata Tuhan, aktiviti yang sedemikian bukan pelayanan-Nya atau kerja-Nya. Tuhan hanya menganggap apa yang dimulakan oleh-Nya sebagai pelayanan dan kerja untuk-Nya. Tuhan mahu manusia bekerjasama dengan-Nya, tetapi Dia tidak mahu manusia memulakan apa-apa. Apa-apa yang dimulakan oleh manusia ialah aktiviti agama. Apa-apa yang bukan diwahikan, diperintah, atau dipanggil Tuhan ialah aktiviti agama, biarpun hal-hal itu adalah untuk Tuhan. Bermula dengan Adam dalam Wasiat Lama dan berlanjutan hingga akhir Wasiat Baru, aktiviti-aktiviti bagi orang yang melayan Tuhan harus sama sekali berasal daripada Tuhan, bukan daripada manusia. Kita perlu ingat bahawa hanya apa yang berasal daripada atas akan kekal buat selama-lamanya.

Melayan Tuan
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)