Pada suatu kali di Amerika Syarikat, saya tinggal di rumah sepasang suami isteri yang percaya kepada Tuan. Mereka meminta saya agar berdoa untuk mereka. Saya pun bertanya tentang masalah mereka. Mereka mengaku kepada saya, “Oh, Encik Nee, kehidupan kami sangat teruk kebelakangan ini. Kami cepat naik marah disebabkan anak-anak kami, dan sepanjang beberapa minggu ini kami berdua naik berang beberapa kali dalam sehari. Kami benar-benar mengaibkan nama Tuan. Bolehkah Encik Nee meminta Tuhan agar memberi kami kesabaran?” Saya berkata, “Saya tidak dapat melakukan hal ini.” Mereka bertanya, “Apakah maksud kamu?” Saya menjawab, “Maksud saya, terdapat satu perkara yang pasti, iaitu Tuhan tidak akan mendengar doa kamu.” Dengan hairan sekali, mereka berkata, “Adakah kamu bermaksud bahawa kami begitu mundur sehinggakan Tuhan tidak rela mendengar doa agar menjadikan kami bersabar?” Saya menjawab, “Bukan, maksud saya bukan begitu…Saya yakin kamu selalu berdoa sedemikian. Tetapi adakah Tuhan mengabulkannya? Tidak! Tahukah kamu sebabnya? Sebabnya ialah kamu tidak memerlukan kesabaran.” Ketika itu, mata isteri itu terpancar api kemarahan dan dia berkata, “Apakah yang kamu maksudkan? Kamu mengatakan bahawa kami tidak memerlukan kesabaran sedangkan kami naik marah sepanjang hari! Apakah sebenarnya maksud kamu?” Saya menjawab, “Yang kamu perlukan bukan kesabaran, tetapi Kristus.”

Tuhan tidak akan memberi kita kerendahan hati, kesabaran, kekudusan atau kasih sebagai kurnia yang berasingan. Dia bukan peruncit yang memberikan kurnia mengikut jenis dalam kuantiti tertentu sebagai modal kita—menimbang kesabaran untuk diberikan kepada orang yang tidak sabar, kasih untuk orang yang bukan pengasih, kerendahan hati untuk orang yang sombong. Tidak, Dia hanya memberi kita satu kurniaan untuk memenuhi semua keperluan kita. Kurniaan ini ialah Anak-Nya Kristus Yesus. Apabila saya memandang kepada-Nya untuk menghidup keluar hayat-Nya dalam saya, Dia akan menjadi kerendahan hati, kesabaran, kasih dan segala sesuatu yang lain yang saya perlukan. Ingatlah kata-kata dalam Satu Yohanes: “Tuhan memberi kita hayat abadi dan hayat ini ada dalam Anak-Nya. Dia yang mempunyai Anak mempunyai hayat; dia yang tidak mempunyai Anak Tuhan tidak mempunyai hayat” (5:11-12). Hayat Tuhan bukan diberikan kepada kita sebagai bahagian yang berasingan; hayat Tuhan diberikan kepada kita dalam Anak-Nya. Dutus Paulus berkata, “Tetapi kurniaan Tuhan ialah hayat abadi dalam Kristus Yesus, Tuan kita” (Roma 6:23). Hubungan kita dengan Anak ialah hubungan kita dengan hayat.

Alangkah bahagianya jika kita mengetahui perbezaan antara kurnia orang Kristian dan Kristus; mengetahui perbezaan antara kelembuthalusan dan Kristus, antara kesabaran dan Kristus, antara kasih dan Kristus! Ingatlah sekali lagi apa yang dikatakan dalam 1 Korintus 1:30: “Daripada-Nya, kamu berada dalam Kristus Yesus yang telah menjadi kearifan kepada kita daripada Tuhan: keadilbenaran, pengudusan, dan penebusan.” Lazimnya konsep orang tentang pengudusan ialah setiap butir dalam kehidupan seharusnya kudus; namun itu bukan kekudusan, itu hanyalah buah kekudusan. Kekudusan ialah Kristus. Tuhan telah menjadikan Tuan Yesus sebagai kekudusan kita. Begitu juga dengan kasih, kerendahan hati, kudrat, kawalan kendiri, dan sebagainya. Pada hari ini kita memerlukan kesabaran, dan Dialah kesabaran kita! Pada hari esok kita mungkin memerlukan kemurnian, dan Dialah kemurnian kita! Dialah jawapan kepada setiap keperluan kita.

(Dipetik daripada Kehidupan Orang Kristian yang Normal, bab 10, oleh Watchman Nee)