Yohanes 8:32 - “Kamu akan mengenali kebenaran, dan kebenaran akan membebaskan kamu.”
eKebenaran
Kebenaran Kristus Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (2) Keluasan dan Ketinggian Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (1) Janji Tuhan
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (3) Air di Tanah Itu
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (2) Keluasan dan Ketinggian Tanah Itu
2018-02-26 | 0 Komen
A- A+ Simpan

KELUASAN

Pertama sekali, tanah itu permai disebabkan keluasannya. Dalam Keluaran 3:8 Tuhan berkata, “Dan Aku turun untuk menyelamatkan mereka daripada tangan orang Mesir dan membawa mereka naik meninggalkan tanah itu ke tanah yang permai dan luas….” Kristus sebagai realiti tanah permai adalah luas secara universal. Dalam Efesus 3:18 Paulus menghuraikan ukuran Kristus sebagai kelebaran dan kepanjangan dan ketinggian dan kedalaman itu. Dapatkah kamu menduga berapa lebarnya kelebaran itu, berapa panjangnya kepanjangan itu, berapa tingginya ketinggian itu, dan berapa dalamnya kedalaman itu? Kelebaran Kristus ialah kelebaran alam semesta. Kristus ialah kelebaran, Kristus ialah kepanjangan, Kristus ialah ketinggian, dan Kristus ialah kedalaman bagi seluruh alam semesta. Sekiranya alam semesta mempunyai batasnya, maka batas itu semestinya Kristus. Ini menandakan bahawa Kristus begitu luas sehinggakan kita tidak dapat menghabiskan-Nya. Kekayaan-Nya adalah tidak terduga (Ef. 3:8).

Dalam kehidupan praktikal kita, kita mungkin menghadapi situasi yang susah. Seorang dikkak mungkin mempunyai lima orang anak dan sedang mengandung anak yang keenam. Dia berasa khuatir dan bimbang akan keadaannya. Dia berasa susah untuk bertahan lagi. Namun dia perlu sedar bahawa sebagaimana Tuan telah membantu dia mengharungi kehidupan dalam tahun-tahun yang lepas bersama dengan seorang suami dan lima orang anak, sudah tentu Tuan dapat membantu dia pada masa hadapan. Tuan adalah tidak terbatas. Kita hanya perlu melemparkan semua beban kita kepada-Nya.

Bagaimanakah kita dapat tahu sama ada kita mengasihi seseorang dengan kasih sendiri atau dengan kasih Kristus? Jika kasih yang kita gunakan untuk mengasihi orang ialah kasih Kristus, maka kasih itu tidak terbatas, tidak kehabisan. Jika kasih yang kita gunakan ialah kasih kita sendiri, maka sudah pasti bahawa kasih ini akan sampai ke penghujungnya; kasih ini ada batasnya. Kesabaran, kasih, dan kearifan kita adalah terhad dan terbatas. Walau bagaimanapun, virtu-virtu Kristus adalah tidak terbatas dan tidak dapat habis dipakai. Kristus ialah tanah yang begitu luas untuk kita alami dan nikmati dalam setiap situasi.

KETINGGIAN

Kedua, tanah itu permai dari segi ketinggiannya. Dalam buku Ulangan, Musa mengatakan bahawa Yehova membuat Israel “berkendara di tempat-tempat tinggi di bumi” (32:13). Tanah Kanaan bergunung-ganang, mempunyai ketinggian dari 2000 hingga 4000 kaki di atas paras laut. Sekiranya kita meneliti peta, kita akan mendapati bahawa di sebelah Tanah Kanaan ialah Laut Mediterranean dan di sebelah lagi ialah Laut Mati. Dalam Bible, laut mewakili maut. Hal ini bermakna bahawa apa-apa yang mengelilingi Kristus hanyalah maut! Namun daripada maut ini sesuatu telah bangkit. Tanah yang menjulang tinggi ini melambangkan Kristus yang bangkit dan naik ke syurga! Dia telah naik ke syurga, jauh mengatasi segala syurga supaya Dia dapat memenuhi segala sesuatu (Ef. 4:8, 10). Sekarang kita dapat menikmati Kristus dalam kenaikan-Nya ke syurga kerana Tuhan telah “membangkitkan kita bersama dengan-Nya serta mendudukkan kita bersama dengan-Nya dalam kesyurgaan dalam Kristus Yesus” (Ef. 2:6).

Kita mungkin tidak faham apabila sesetengah hal atau masalah yang nampaknya tidak munasabah berlaku kepada kita. Semua tekanan, masalah, dan kesulitan ini sebenarnya bertujuan agar kita mempelajari sesuatu berkenaan kudrat perkasa kebangkitan Kristus. Tidak ada apa-apa yang dapat menekan kudrat kebangkitan Kristus. Bila-bila masa kita berasa tertekan dalam roh atau dalam hati, itu bermaksud kita berada di bawah ancaman maut, di bawah kuasa kegelapan. Kita perlu belajar menerapkan Kristus, iaitu Kristus yang naik ke syurga, pada situasi kita. Kita perlu menghubungi Kristus dengan serta-merta. Kita harus berkata, “Saya tidak bersetuju dengan penekanan daripada sebarang jenis situasi. Saya mempunyai Kristus yang naik ke syurga; saya berada dalam Kristus yang naik ke syurga.” Apabila kita menghubungi-Nya, kita akan dibangkitkan, kita akan naik tinggi kerana Kristus yang kita hubungi itu Kristus yang telah naik ke syurga-syurga.

Di syurga-syurga bersama dengan Kristus yang naik ke syurga ini, kita dapat berperang menentang musuh; musuh akan berada di bawah kaki kita. Apabila kita ditekan oleh Syaitan, kita berada di bawah kakinya; masakan kita dapat berperang dengannya. Kita harus sedar bahawa kita berada dalam Kristus yang naik ke syurga. Kita sudah didudukkan di syurga-syurga dalam Kristus. Betapa ajaibnya bahawa kita dapat mengalami tempat perlindungan yang syurgawi sedemikian dalam Kristus kita yang naik ke syurga!

Lebih banyak huraian dan penjelasan boleh didapati dalam buku Kristus Almuhit oleh Witness Lee.

Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (1) Janji Tuhan
Tanah Permai Kanaan — Tamsil bagi Kristus yang Almuhit (3) Air di Tanah Itu
Tinggalkan komen / perkongsian anda
Daftar atau isi maklumat di bawah:
1. Nama (Diperlukan)
2. E-mel atau Telefon (Diperlukan)