Semasa Yesus berada di bumi, Dia secara terang-terang menyatakan bahawa seluruh Bible (termasuk Kitab Wasiat Lama) membicarakan berkenaan Dia. Pada suatu kali, Dia memberitahu ahli agama Yahudi, “Jika kamu mempercayai Musa, kamu akan mempercayai Aku; kerana dia menulis berkenaan Aku” (Yoh. 5:46). Selepas kebangkitan-Nya, Dia muncul kepada dua orang disipal yang tawar hati semasa mereka dalam perjalanan ke Emaus. “Maka Dia menghuraikan kepada mereka dengan jelas, hal-hal berkenaan diri-Nya dalam semua Kitab, bermula daripada Musa dan semua penyabda” (Luk. 24:27). Kemudian Dia juga muncul kepada para dutus dan berkata kepada mereka, “Segala hal yang tertulis dalam Hukum Musa dan Penyabda serta Mazmur berkenaan Aku mesti digenapi” (Luk. 24:44).

Kristus digambarkan dengan kayanya dalam Wasiat Lama melalui nubuat dan tamsil. Tamsil bererti suatu lambang, wakil, atau simbol bagi sesuatu yang akan datang, seperti suatu peristiwa dalam Wasiat Lama yang membayangkan suatu perihal yang lain dalam Wasiat Baru. Beberapa tamsil bagi Kristus yang terkenal dalam Wasiat Lama termasuk anak domba Paskah (Kel. 12; Yoh. 1:29), manna (Kel. 16; Yoh. 6), dan batuan yang dipukul dan merekah untuk mengalir keluar air (Kel. 17; 1 Kor. 10). Namun begitu, barangkali tamsil bagi Kristus yang paling agung dan lengkap dalam Wasiat Lama, iaitu tamsil yang menggambarkan kealmuhitan-Nya dengan baik sekali, tidak dikenali rata-rata orang Kristian. Tamsil ini ialah tanah permai Kanaan.

Sejarah orang Israel merupakan satu gambaran dan tamsil bagi sejarah orang Kristian dan gereja dalam Wasiat Baru. Tuhan menyelamatkan orang Israel dari Mesir (mentamsilkan dunia), daripada penguasaan Firaun (mentamsilkan raja dunia, Syaitan), untuk membawa mereka ke tanah permai. Seluruh Wasiat Lama boleh dianggap sebagai catatan terperinci tentang tindakan Tuhan membawa umat-Nya ke tanah permai untuk tinggal di situ dan menikmati kekayaan tanah itu supaya mereka dapat dibina menjadi kingdom Tuhan. Bani Israel sudah tentu menghargai penebusan anak domba Paskah, kebebasan daripada belenggu di Mesir, dan bekalan manna dan air di gurun tandus. Namun, mereka belum lagi mengalami rehat yang sempurna dan kepuasan yang sepenuhnya sehinggalah mereka memasuki tanah permai Kanaan.

Tanah ini merupakan janji Tuhan kepada bapa leluhur orang Israel, Abraham, beratus-ratus tahun sebelum orang Israel berjaya memasuki tanah itu. Mula-mula, Dia memanggil Abraham, “Keluarlah dari tanah kamu…ke tanah yang akan Aku tunjukkan kepadamu” (Kej. 12:1). Selepas Abraham mematuhi panggilan Tuhan dan memasuki Kanaan, Tuhan berjanji untuk memberikan tanah ini kepada keturunannya (12:7; 17:8). Malahan Tuhan membuat janji ini dengan sumpah (Kej. 24:7; Kel. 33:1). Tuhan mengulangi janji ini kepada anak Abraham, Ishak (Kej. 26:2-4), dan Ishak memberkati anaknya Yakub berdasarkan janji Tuhan berkenaan tanah itu (28:4). Kemudian, Yakub yang bernama Israel, memindahkan keluarganya ke Mesir disebabkan kebuluran yang dahsyat. Sebelum dia meninggal dunia, dia juga setia menyampaikan janji ini kepada Yusuf anaknya, “Sekarang, aku sudah hendak mati, tetapi Tuhan akan menyertai kamu dan akan membawa kamu kembali ke tanah bapa leluhurmu” (48:21). Akhirnya, semasa Yusuf bersedia untuk mati, dia juga bernubuat kepada saudara-saudaranya, “Tuhan pasti akan mengunjungimu dan membawa kamu pergi meninggalkan tanah ini ke tanah yang telah dijanjikan-Nya dengan sumpah kepada Abraham, kepada Ishak, dan kepada Yakub (50:24). Maka kita melihat bahawa dalam hubungan Tuhan dengan bapa-bapa leluhur Israel, pandangan dan tujuan-Nya tetap berfokus pada tanah itu.

Kristus, “Tanah Permai” itu

Wasiat Lama merujuk tanah ini sebagai “tanah permai” lebih daripada sepuluh kali, contohnya dalam Ulangan 1:35; 3:25; 4:21; dll. Tanah ini juga kerap kali dirujuk sebagai tanah yang beralirkan susu dan madu (Kel. 3:8, 17; Bil. 13:27; 14:8; Ul. 6:3; 11:9). Tiga ayat dalam Ulangan khususnya menghuraikan kepermaian atau kebaikan tanah ini: “Kerana Yehova Tuhanmu akan membawa engkau ke tanah permai, tanah yang mempunyai sungai, mata air dan sumber air, yang mengalir keluar di lembah dan di gunung; tanah yang mempunyai gandum dan barli dan pohon anggur dan pohon ara dan pohon delima; tanah yang mempunyai pohon zaitun yang mengeluarkan minyak dan mempunyai madu; tanah tempat engkau akan makan roti tanpa kekurangan; engkau tidak akan kekurangan apa-apa di sana; tanah yang batunya ialah besi, dan yang dari gunungnya engkau boleh melombong tembaga.

Tanah ini adalah permai dalam banyak aspek: keluasan, ketinggian, dan kekayaan air, makanan, dan bahan mineral yang tidak terhingga. Bagi umat Tuhan, tanah itu merupakan satu-satunya sumber kewujudan, kenikmatan, tempat huni, dan perlindungan mereka. Semua aspek ini mewahikan hasrat Tuhan agar Kristus menjadi segala-gala bagi percayawan-Nya. Kristus ialah penyelesaian yang serba merangkumi bagi setiap keperluan kita. Sebagaimana segala-gala yang diperlukan orang Israel didapati dalam tanah permai, begitu juga, percayawan dapat mencari segala yang diperlukan mereka dalam Kristus. Apa sahaja yang kita perlukan—kasih, kesabaran, damai sejahtera, atau apa-apa virtu yang lain—dapat kita cari dalam Kristus. Dalam rencana yang akan datang, kita akan melihat pelbagai aspek bagi tanah permai; setiap aspek ini sudah tentu memberi kita tanggapan yang mendalam tentang kekayaan Kristus yang almuhit.

Penjelasan yang lebih mendalam, terperinci dan menarik bagi tanah permai berserta pengalaman praktikal berkenaanya dihuraikan oleh Witness Lee dalam buku klasiknya, Kristus Almuhit.